Negara Haram Israel

 Bahagian pertama ‘dari pojok sejarah’ saya banyak menghuraikan tentang permasalahan keturunan Yahudi yang mendominasi Israel sejak negara itu ditubuhkan pada 14 Mei 1948. Tarikh tersebut merupakan tarikh penubuhan rasmi negara haram Yahudi, yang hingga kini telah menyebabkan rantau Timur Tengah tidak pernah berada dalam situasi aman. Idea penubuhan sebuah negara haram Israel muncul dari sebuah tulisan yang diilhamkan oleh Theodore Herzyl, seorang intelektual Yahudi keturunan Ashkenazi dari Austria yang mendapat jolokan sebagai Bapa Zionisme Moden. Namun terdapat beberapa keterangan sejarah bahawa penubuhan sebuah negara untuk keturunan Yahudi sudah dicadangkan lebih awal lagi, termasuk cadangan Napoleon Bonarparte (1769-1821), iaitu selepas berlakunya Revolusi Perancis (1789-1799).

Napoloen yang mengisytiharkan dirinya sebagai Maharaja Perancis dan Itali pada 18 Mei 1804 yang mana sebelum itu beliau adalah Jeneral Revolusi Perancis dan Konsul Pertama Republik Perancis (11 November 1799 hingga 18 Mei 1804). Semasa pemerintahannya, orang Yahudi diberikan beberapa keistimewaan kepada masyarakat Yahudi untuk hidup sama dengan warganegaran Perancis, bukan sahaja di Perancis bahkan seluruh wilayah yang dikuasai Perancis. Misalnya, akhbar  Le Moniteur Universel, memetik satu kenyataan ringkas (22 Mei 1799) yang bermaksud: “Bonaparte telah menerbitkan sebuah proklamasi di mana dia mengajak semua orang Yahudi di Asia dan Afrika untuk berkumpul di bawah benderanya untuk membangun kembali kuno Baitulmuqaddis. Dia telah memberikan senjata kepada sejumlah besar, dan batalion mereka mengancam Aleppo.” (dalam https://ms.mihalicdictionary.org/wiki/Napoleon_and_the_Jews).

Sebab itulah Perancis dianggap negara pertama berusaha untuk  membentuk sebuah negara Yahudi sebelum Theodore Herzyl menulis rencana besarnya pada tahun 1896, iaitu 75 tahun selepas kematian seorang pemimpin yang termasuk dalam kategori ‘mabuk kuasa’ dan sangat besar keinginan untuk menguasai dunia. Ini bermakna, idea pembinaan negara haram Israel oleh Herzyl bukan sekadar sebuah negara bagi keturunan Yahudi yang dari seluruh dunia, ia juga mewarisi semangat Napoleon untuk menguasai seluruh dunia menerusi doktrin, One World, One Order –Satu Dunia, Satu Sistem atau Pemerintahan.

Theodore Herzyl dilahirkan di Budapest dari susur galur keluarga berasal dari Zemun (dalam wilayah Serbia) pada 2 Mei 1860. Semasa berumur 18 tahun, keluarga beliau berpindah ke Vienna dan ketika di universiti beliau mempelajari undang-undang. Bagaimanapun, setelah setahun mempelajari undang-undang di Universiti Vienna, Herzyl membuat keputusan untuk mempelajari bidang kewartawanan.

Selepas tamat pendidikan tinggi, Theodore bekerja dengan Allgemeine Zeitung of Vienna sehingga tahun 1892 untuk memulakan kerjayanya sebagai wartawan di akhbar Neue Freie Presse yang beribupejabat di Paris. Beberapa tahun kemudian, Herzyl diberikan peranan lebih besar oleh pengurusan akhbar tersebut sebagai editor sastera. Sepanjang pembabitannya sebagai editor, Herzyl turut mengarang beberapa buah naskhah komedi untuk dipentaskan oleh sebuah kumpulan teater di Vienna. Herzyl juga turut menjadi ahli Burschenshaft, iaitu sebuah pertubuhan yang memperjuangkan perpaduan rakyat Jerman.

Semasa mudanya, Herzyl tidak memfokuskan karyanya kepada kehidupan masyarakat Yahudi dan tidak menampakkan unsur-unsur politik. Pemikiran politiknya mula berkembang setelah beliau dan isterinya menetap di Paris dan menyaksikan peristiwa Dryfeus (1894) tatkala bertugas sebagai koresponden Neue Freie Presse . Peristiwa tersebut kemudian menjadi rujukannya untuk menulis dua buah karya monumental, iaitu risalah Der Judenstaat (Negara Yahudi), yang diterbitkan pada tahun 1896 dan Altneuland (Tanah Baru Lama), novel utopia yang diterbitkan enam tahun kemudian (1902).

Alfred Dreyfus (1859-1935) merupakan seorang perwira Yahudi berpangkat kapten dalam pasukan tentera Perancis. Ketika itu muncul gerakan anti-Semit begitu kuat di Perancis dan Herzyl pernah dikejutkan dengan beberapa teriakan untuk membunuh orang-orang Yahudi, termasuklah apa yang dihadapi oleh Dreyfus. Skandal ini bermula pada bulan Disember 1894 apabila Kapten Alfred Dreyfus didakwa melakukan satu bentuk pengkhianatan dan dijatuhkan hukuman penjara seumur atas kesalahan membocorkan rahsia tentera kepada pegawai di Kedutaan Jerman di Paris. Ketika itu, Dreyfus baru berusia 35 tahun dan terpaksa merengkok dalam penjara di Pulau Iblis , French Guyana.

Pada tahun 1896, terdapat bukti baharu bahawa Dreyfus bukanlah pesalah sebenar. Dari penyiasatan Georges Picquart (Ketua Penyiasatan Balas), pelaku sebenar ialah seorang anggota tentera darat yang berpangkat jeneral, iaitu Ferdinand Walsin Esterhazy. Namun, setelah dua hari dibicarakan semula kes, mahkamah tentera akhirnya sebulat suara membebaskan Esterhazy, Dreyfus terus dipersalahkan dengan tuduhan tambahan,  memohon perbicaraan semula berdasarkan dokumen palsu.

Perihal ketidakadilan itu mendapat perhatian Émile Zolas (1840-1902), seorang penulis novel politik terkenal Perancis. Emile Zola menulusi sepucuk  surat terbuka J’Accuse …!, dan penyebaran surat tersebut telah mencetuskan sebuah gerakan untuk mendesak pembebasan Dreyfus. Ia telah meningkatkan tekanan kepada kerajaan Perancis untuk membuka semula kes.

Selepas lima tahun dipenjarakan di Pulau Iblis, tahun 1899, Dreyfus dihantar semula ke Perancis untuk diadili sekali lagi. Ia kemudiannya menjadikan skandal kehakiman dan politik yang dikaitkan dengan Dreyfus cukup menyebabkan masyarakat Perancis terbelah kepada dua kumpulan besar. Kumpulan pertama (Drefusards) ialah yang menyokong Dreyfus. Antaranya ialah Sarah Bernhart, Anatole, Henri Poincare dan Georges Clemenceau. Kumpulan kedua ialah dikenali sebagai Anti-Drefusards ialah Edourd Drumont (Pengarah dan penerbit akhbar anti-semit, Parol La Libre). Ia kemudiannya membawa kepada kekalutan dan radikalisme politik Perancis.

Setelah perbicaraan semula dilakukan, Dreyfus diringankan hukuman kepada 10 tahun. Pada tahun 1906, Dreyfus dibebaskan dan dilantik semula menganggotai pasukan tentera Perancis. Beliau terus berkhidmat sepanjang Perang Dunia I dan akhirnya bersara dengan pangkat Leftenan Kolonel. Dreyfus meninggal dunia pada tahun 1935.

Akibat ketidakadilan yang berlaku ke atas Alfred Dreyfus itu membangkitkan pembelaan Herzyl dan mengemukakan satu cadangan yang lebih besar, iaitu menjamin keselamatan dan kehidupan masyarakat Yahudi yang lebih baik. Bagi Herzyl, masyarakat Yahudi akan mempunyai masa depan yang lebih baik sekiranya mereka mempunyai sebuah negara, dengan kerana itulah risalah Negara Yahudi ditulis, serta dijadikan kerangka yang perlu direalisasikan. Dengan tertubuhnya sebuah negara Yahudi, ia dapat membutkikan kepada masyarakat dunia bahawa keturunan Yahudi bukanlah keturunan yang bangsat dan hidup secara bergelandangan. Stigma antisemitik dapat dikurangkan.

Inilah fokus penulisan saya dalam bahagian kedua, iaitu untuk memperlihatkan bagaimana idealisme perjuangan Herzyl untuk menubuhkan sebuah negara Israel di Palestin direalisasikan. Ia amat signifikan dengan dua peristiawa besar yang berlaku dalam bulan Mei, iaitu,  kelahiran Herzyl (2 Mei 1860) dan  rasminya penubuhan negara haram Yahudi, Israel pada  14 Mei 1948. Herzyl meninggal dunia pada tahun 1904 ketika berusia 44 tahun, manakala negara haram Yahudi muncul selepas 44 tahun ulang tahun kematiannya. Apakah dua angka 44 tahun itu suatu ‘suratan’ atau ‘kebetulan’? Mahupun ia sebuah kisah perancangan yang boleh dianggap berjaya? Saya tidak mempunyai jawapan yang tepat.

Sama ada ia sebuah perancangan untuk mengisytiharkan tarikh penubuhan negara haram Israel secara rasmi menjelang ulang tahun kematian Herzyl ke-44, atau mengambil keberkatan angka 44 tidak dapat dirasionalkan secara jelas, tetapi ia memperlihatkan kegigihan dan strategi yang cukup berjaya telah dilaksanakan untuk menaikkan moral dan mendapat kepercayaan masyarakat antarabangsa (khususnya Amerika Syarikat, Britain dan Perancis) untuk merealisasikan Yahudi kembali ke mitos ‘Tanah Yang Dijanjikan’. Deklarasi penubuhan negara haram Israel secara rasmi itu (Yahudi sebenarnya sudah lebih setahun mula membanjiri bumi Palestin apabila mandat British dilaksanakan Amerika Syarikat pada tahun 1947).

Selepas Perang Dunia Kedua (1 September 1939- 2 September 1945), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1947  menggunakan Pelan Pembahagian untuk Mandat Palestin untuk membahagikan Palestin kepada dua bahagian, iaitu penubuhan sebuah negara Arab dan sebuah negara Yahudi yang yang merdeka, di samping mengantarabangsakan kota Jerusalem (Baitulmakdis). Jerusalem merupakan sebuah kota yang menjadi rebutan tiga agama wahyu –Judaisme, Kristian dan Islam. Trias Kuncahyono yang memetik pendapat Leah Sullivan berdasarkan buku Jerusalem: The Three Religions of the Temple Mount, tiga agama wahyu itu memandang Jerusalem sebagai ‘pintu ke syurga’ dan di situlah berlakunya ‘pertemuan dunia-akhirat.”

Tulis Trias Kuncahyono lagi: Jerusalem ‘dikuduskan oleh agama dan tradisi, oleh sejarah dan teologi, oleh tempat-tempat suci dan rumah ibadat. Itulah Jerusalem, kota yang dipuja-puja, ditakzimkan oleh umat Yahudi, Kristian dan Islam. Semua itu mencerminkan keghairahan dan kesalihan dari tiga agama monoteistik, yang semuanya dikaitkan dengan pemujaan dan cinta…

“Selama berabad-abad, Jerusalem menjadi simbol, lambang persatuan dengan Tuhan. Di kota suci itu, manusia merasa menemukan Tuhannya. Di Jerusalem, manusia tidak hanya merasakan bahawa Tuhan ada ‘di luar sana’ tetapi juga di sekeliling meraka. Tuhan dirasakan begitu dekat. Ada dalam setiap tarikan nafas. Ada di dalam hati mereka. Menyatu. Kerana itu, ketika kota itu diancam, banyak orang merasa diri mereka juga terancam; ketika kekudusan kota itu dilecehkan [diperlekehkan], banyak orang merasa bahawa pada saat itu mereka juga dilecehkan. Jerusalem sungguh sangat berarti bagi banyak orang, banyak pihak.” (Trias Kuncahyono, Jerusalem: Kesucian, Konfli dan Pengadilan Akhir, 2008:222).

(Bersambung)

Kamarun KH

Translate »