SENDU DAN GALAUNYA HALUAN POLITIK DALAM POJOK SEJARAH.

Disebabkan Aidilfitri 1442 H semua rakyat Malaysia berada dalam tempoh PKP 3.0, sambutannya begitu sepi dan sunyi. Tiada aktiviti kunjung mengunjungi (rumah ke rumah, ziarah menziarahi dan bersalaman) serta pagi yang muram (sembahyang sunat Aidilfitri dihadkan di masjid dan surau) maka sambutannya banyak berlangsung dalam rumah yang semakin sepi dan dalam mood kesendirian. Ketiadaan keriuhan anak cucu berlarian, bekejaran di luar dan di dalam rumah. Anak-anak meraikan Adilifitri dalam keluarga kecil mereka, masing-masing di rumah apabila kebenaran rentas negeri dan daerah dikuatkuasakan mulai 10 Mei hingga 6 Jun 2021.

Halangan merentas negeri dan daerah itu bukanlah perkara baharu, bahkan sudah memasuki larangan sebanyak tiga kali dalam tempoh 14 bulan, yakni sejak pandemik COVID-19 diisytiharkan pada bulan Mac 2020.  Ertinya, dalam tempoh tersebut, tiga kali juga PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilaksanakan. Cuma, ada sedikit perbezaan dengan tempoh PKP pertama (atau PKP 1.0), tiada sektor ekonomi dibuka kecuali kedai runcit, farmasi, klinik perubatan dan setesen minyak, tetapi waktu operasinya dihadkan. Dalam PKP 3.0, sektor ekonomi boleh aktif asalkan melaksanakan SOP dengan tegas dan masa operasinya dilanjutkan hingga jam 10 atau 12 malam.

Itenari sambutan Aidilfitri kali ini, juga seperti tahun lepas (1441H) mengucur sedikit air mata, tetapi kesedihan itu dilihat sebagai sesuatu yang lazim dalam kehidupan umat Islam dan orang Melayu yang sangat terikat dengan hubungan kekeluargaan dan persaudaraan. Biarpun hanya memakan ketupat dan berteleku di siaran televisyen menghabiskan ‘masa-masa sunyi dan sepi’,  sesekali turut mengimbas beberapa peristiwa yang berlaku pada tarikh bulan Mei, yang kebetulan Aidilfitri disambut pada tarikh yang sama.

Kenapa saya hanya menulis beberapa peristiwa besar dalam bulan Mei? Saya sedarnya saya tidak ada justifikasi khusus. Yang membangkitkan semangat dan keinginan saya ialah kerana bulan Mei adalah bulan yang sangat sibuk dengan pelbagai perayaan atau penetapan hari tertentu. Bulan Mei, kita ada Hari Pekerja (1 Mei), Hari Akhbar Antarabangsa (3 Mei), Hari Jururawat Antarabangsa (5 Mei), Hari Palang Merah Antarabangsa (8 Mei), Hari Ibu Antarabangsa (9 Mei), Hari Jururawat Antarabangsa (12 Mei), HAri Keluarga Antarabangsa (15 Mei), Hari Belia Kebangsaan (15 Mei), Hari Guru Kebangsaan (16 Mei), Hari Buku Antarabangsa dan Komunikasi Antarabangsa (17 Mei), Hari Dialog dan Pengembangan Perbezaan Budaya Antarabangsa (21 Mei), Hari Perdamaian Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (29 Mei), Hari Tanpa Tembakau Sedunia (31 Mei). Boleh dikatakan setiap hari dalam bulan Mei, ada hari khusus untuk diingati dan diraikan sama ada sebagai hari untuk kita bermuhasabah diri mahupun untuk mengembangkan potensi kesendirian atau menjauhi sesuatu yang dikategorikan sebagai kesan buruk.

Apa pun yang anda raikan, ingin jauhi kesemuanya berkaitan dengan apa yang telah berlaku dalam sejarah manusia. Begitu juga bagi saya, sebagai generasi yang lahir pada tahun kemerdekaan (dalam bulan Mei), tentu ramai di antara kita mengingati detik-detik hitam yang berlaku dalam tahun 1969, iaitu Tragedi 13 Mei, selain detik kelahiran kita sendiri. Beberapa tahun lalu, kita ghairah memperkata dan menghimpun mereka yang lahir pada bulan kemerdekaan, termasuklah mereka yang dinamakan dengan Merdeka.

Sejak setahun dua yang lepas, keghairahan untuk mengumpulkan generasi yang lahir dan diraikan pada tarikh tersebut sudah sepi, hanya diraikan secara sepi dan kesendirian, atau dalam kumpulan kecil masing-masing. Itupun jika ada. Sebahagian daripada kita hanya menyambut ulangtahun kelahiran itu di dalam hati, kerana tidak ada yang hadir atau muncul untuk meraikannya. Agak bernasib baik juga bila kawan-kawan mengucapkan Selamat Ulangtahun menerusi platform media sosial. Itupun kalau kita bukan dari jenis ‘anti sosial di media sosial’ ada kumpulan sebaya, sepekerjaan, sekampung ataupun setaman.

Semalam, kita menyambut Aidilfitri (13 Mei 2021), tetapi sebelumnya kita menerima berita duka dari bumi Palestin apabila pihak zionis melancarkan serangan ganas ke atas penduduk Gaza. Dilaporkan lebih 80 orang terkorban dan ratusn cedera manakala dalam laporan di tv, tersiar sebuah runtuhan bangunan bertingkat akibat tembakan peluru berpandu Israel. Turut menyebabkan ‘darah kita menyirat’ ialah siksaan yang terpaksa ditanggung oleh penduduk Gaza apabila tanpa belas kasihan tentera Israel membelasah penghuni di dalam rumah, membelatankan anak muda di jalanan, manakala anak-anak kecil dan isteri menangis akibat terbunuhnya orang yang paling dekat dengan mereka.

Kebetulan pula pada malam tadi saya menonton klip video pendek mengenai pandangan Dr Daniel Zainal Abidin, berasal dari Kg Manggis, Sungai Ara, Pulau Pinang dan seorang doktor perubatan lulusan bidang perubatan dari Universiti Iskandariah, Mesir, Pulau Pinang dalam rancangan Halaqah (TV 3) menyatakan ada pendapat bahawa bumi Israel akan lenyap pada tahun 2022. Ia berdasarkan pendapat seorang tokoh politik dan strategis yang pernah menjadi penasihat di Rumah Putih, iaitu Henry Kissinger, mantan Setiausaha Luar Negara dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat. Kenyataan ini dinyatakan oleh Cindy Adam dalam tahun 2012 (akhbar New York Post), dalam tempoh sepuluh tahun (2022), tidak ada lagi Israel di muka bumi.

Bagi Dato’ Dr Danial penulisan itu ada asasnya, bukan boleh dibuat oleh secara semberono oleh Cindy Adam kerana Henry Kissinger adalah tokoh dan strategis politik yang sangat terkenal. Dari perspektif Islam, pandangan Henry Kissinger itu ada asasnya, kerana ia telah dinyatakan dengan jelas oleh hadis Rasullullah SAW, dengan kalam Allah SWT bahawa tidak akan berlaku kiamat selagi tidak ada orang Islam membunuh orang Yahudi. Itu janji Allah SWT. Kedua, selama 69 tahun penduduk Palestin kekal bersemangat dan berani untuk melawan Yahudi, walaupun setiap hari dibelasah, ditindas dan dianianyai. Kelompok Islam di Palestin ini merupakan umat Islam terbaik, terbaik kerana sikap dan pendiriannya yang sangat kukuh. Kekuatan yang ada itu perlu dicontohi oleh umat Islam.

Bagaimanapun senario negara-negara Islam sangat tidak menunjukkan sikap, pendirian dan tindakan yang boleh menakutkan Israel. Umat Islam dan negara Islam sering bertelagah sesama sendiri, dan kadangkala terlalu apologetik, pesimis dan menikus dalam perjuangan untuk membantu Palestin, setelah ditekan dan dikeronyok oleh sekutu Israel. Itu dapat kita saksikan, bagaimana Mesir yang pada suatu ketika sangat bersimpati dengan ‘kehilangan wilayah Palestin’, akhirnya terpaksa tunduk kepada agenda Zionis dengan menutup sempadannya di Rafah. Mesir khuatir, jika sempadannya di Rafah tidak dikawal dan ditutup, bantuan kewangan daripada Amerika Syarikat tidak lagi diterima. Ertinya, pemimpin-pemimpin Mesir amat bergantung kepada budi-baik Amerika Syarikat. Untuk mendapat perhatian, mesti tidak menunjukkan sikap penentangan yang jelas dan nyata ke atas Israel.

Kita dapat melihat bagaimana Irak dihancurkan kerana tidak mahu berada dalam telunjuk Amerika Syarikat. Begitu juga Iran, setiap rencana pembangunannya akan dikritik kerana tekadnya menentang penguasaan Israel cukup kuat dan tekal, bahkan pernah mengugut, senjata balistik yang dimiliknya mampu sampai ke Israel. Hal itulah menyebabkan Amerika Syarikat (pada masa pentadbiran Barrack Obama) cukup keras terhadap Iran dan mendesak beberapa kali sekatan ekonomi dilaksanakan. Ia berbeza dengan tindakan Donald Trump, lebih terus terang dalam membantu Israel mengukuhkan kedudukannya.

Trump melakukan tindakan memindahkan kedutaannya di Jerusalem, dan ini bermakna, Trump mengisytiharkan secara rasmi mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu negara Israel, bukan lagi Tel Aviv. Trump juga mengkhianati semangat masyarakat antarabangsa dengan menyekat bantuan dan sumbangan kepada PBB menerusi UNICEF dan Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu apabila Palestin diterima sebagai ahli Majlis Keselamatan, di samping mengeluarkan kenyataan mendesak Israel menghentikan tindakan tidak berperikemanusiaannya ke atas penduduk Palestin. MAsyarakat antarabangsa juga turut mengecam program pembinaan rumah (kemudahan petempatan) dengan merampas tanah milik penduduk Palestin. Sebab itulah sejak kehadiran sebuah negara haram Israel pada tahun 1947, keluasa tanah milik penduduk Palestin semakin sempit dan pada tahun 2020, hanya tinggal 15 atau 20 peratus daripada sempadan asal yang ditentukan pada tahun 1967, yakni selepas Perang Enam Hari.

Menurut peruntukan Mandat Palestin (1947), keturunan Yahudi hanya dibenarkan memilik tanah sebanyak 6 peratus daripada keseluruhan tanah di Palestin. Tidak berapa lama dahulu (Julai 2020) kita dikejutkan bahawa nama Palestin sudah lenyap dalam pencorakan pemetaan maya oleh Google Maps, hanya tertera nama Jerusalem, yang diiktiraf oleh Donald Trump sebagai ibu negara Israel. Berita ini dilaporkan oleh Arab News, dan menimbulkan prasangka umat Islam sebagai agenda halus Yahudi kerana mereka menguasai pelbagai platform media, termasuk Google, Facebook, WhatsApps dan media konvensional serta agensi berita yang berpengaruh. Itu sekilas pojok sejarah mengenai Palestin dan keganasan Israel yang tidak pernah berhenti menyiksa penduduk asal di Tanah Yang Dijanjikan itu. Dalam satu penyelidikan ilmiah, keturuan Yahudi yang sedang menguasai Palestin itu sebenarnya bukan kerabat Yahudi asal yang diusir oleh kuasa politik sepanjang sejarah peradaban Timur Tengah.

Menurut Teori Khazaria (Ernest Renan 1823-1892), orang-orang Yahudi Askhenasi (berbangsa Khazar) yang pernah muncul di Eurasia. Mereka adalah orang-orang Turki (bukan Kanaan) yang memeluk agama Yahudi (Nasrani), semasa Empayar Khazaria mengalami kehancuran akibat serangan bangsa Mongol. Akibat ketakutan ancaman Monggol mereka kemudiannya berpindah ke seluruh pelosok Eropah. Orang Yahudi Kanaan menggunakan bahasa Ibrani manakala orang Yahudi Khazaria menggunakan bahasa Yiddish. Bahasa Yiddish digunakan oleh sebahagian penduduk Yahudi Israel.

Menurut Renan, istilah Turki merujuk kepada pengertian yang lebih luas, iaitu termasuk suku kaum nomad yang hidup dari Asia Tengah hingga ke Eurasia. Empayar Khazaria mula didirikan pada Abad ke-7 oleh suku kaum separa nomad Turki, Khazaria setelah jatuhnya pemerintahan Empayar Hun selepas kematian Attila – The Hunt.

Selain teori Khazaria, teori lain yang berkembang ialah Ashkenazi yang dikemukakan dalam Teori Rhineland. Dalam teori ini, Yahudi Ashkenazi merupakan keturunan Yahudi dari Kanaan, iaitu berasal dari Timur Tengah. Bangsa Kanaan kemudianya berhijrah ke Eropa sebaik sahaja Khalifah Umar al-Khattab berjaya membebaskan Palestin daripada penguasaan Romawi Byzantium pada pada 637. Ada andaian bahawa tempoh migrasi itu cukup panjang, lebih 200 tahun. PAda abad ke-15, diberitakan ada sekitar 50,000 Yahudi memencilkan diri, meninggalkan Rhinelad atau Jerman menuju ke Eropah Barat, Eropah Tengah dan Eropah Timur. Mereka kemudiannya dikatakan telah mengalami pertumbuhan yang pesat berdasarkan Teori Hyperbaby Boom. Biarpun mengalami pelbagai situasi, malapetaka dan kemelesetan ekonomi, keturunan Yahudi Ashkenasi telah menunjukkan lonjakan yang besar pada Abad ke-20. Ia dikatakan telah mencapai populasi seramai 8 juta orang. BAgaimanapun, Prof Harry Ostrer dan Dr Gil Artzmon hanya mampu berkata dan menyebutnya sebagai ‘suatu keajaiban’.

Dianggarkan terdapat sekitar 13.4 juta orang keturunan Yahudi di seluruh dunia (2010). Antara 60 hingga 80 peratus adalah kelompok Yahudi Ashkenazi. Berdasarkan data 2016, jumlah penduduk Israel ialah 6.45 juta, yakni sekitar 75 peratus adalah keturunan Yahudi, separuh daripadanya ialah Yahudi Ashkenazi. Penduduk bukan Yahudi ialah Arab yang beragama Islam. Kristen dan kelompok Druze. Jika dilihat daripada susur galur pemimpin Israel, boleh dikatakan bahawa hampir keseluruhan pemimpinnya adalah mereka yang bermigrasi dari Eropah, terutama dari Rusia, Eropah Timur, Eropah Tengah dan sebahagian kecil dari Eropah Timur (khususnya Jerman), yakni hampir mutlak daripada keturunan Yahudi Ashkenazi. Antaranya, Chaim Weizmenn, David van Gurian, Benjamin Neetanyahu,  Gal Gadot (bekas tentera yang menjadi aktres (Holywood) dan memainkan peranan sebagai Wonder Woman.

Dalam kasta Yahudi Israel, keturunan Ashkenazi merupakan kelompok teratas manakala daripada lain-lain keturunan, mereka dianggap sebagai kelas kedua. Manakala keturunan lain, orang-orang Arab (Muslim, Kristian dan Druze) dan lain-lain yang tidak berganjak dengan petempatan asal mereka, terus menerima layanan buruk dan kekerasan oleh rejim Zionis. Bahkan, kelompok Yahudi Mizrahu (berasal dari Timur Tengah)  dan Yahudi Sephardi (berasal dari Sepanyol) turut dikenakan pelbagai tindakan kekerasan dan kejam oleh kelompok Yahudi Ashkenazi (Israel’s Great Divide, Al-Jazeera, 13 Julai 2016). Kedua-dua kumpulan Yahudi itu merupakan bekas penduduk Andalusia, yang kemudiannya berpindah ke Afrika, terutamanya di Maghribi atau Anatolia ketika dikuasai oleh Empayar Uthmaniyyah.

Menurut Teori Khazaria, Ernest Renan dalam tulisannya bertajuk  Judaism as a Race and as Religion (1883), Khazar ialah keturunan Yahudi Ashkenazi adalah berbangsa Khazar yang pernah muncul di Eropah, yang berasal dari orang-orang Turki (bukan Kanaan). Jadi, daripada perspektif ini, dakwaan bahawa Tanah Yang Dijanjikan sebagai milik mereka adalah bohong, kerana mereka bukanlah keturunan Yahudi (asal) yang pernah diusir oleh Nabi Ibrahim AS. Renan yang turut menulis buku Life of Jesus, melalui gagasan nasionalisme yang dikemukakanya telah menemui bukti kuat bahawa dakwaan Ashkenazi sebagai Yahudi asal di Palestin semakin tidak boleh dipercayai. .

Palestin pada awalnya dikenali sebagai bumi Kanaan. Ini bermakna, penduduk asal kawasan tersebut ialah bangsa Kanaan. Kaum Kanaan sudah menduduki Palestin sebelum kedatangan Nabi Ibrahim AS, iaitu sekitar 2000 hingga 3,000 tahun Sebelum Masihi. Ada juga pendapat mengatakan asal muasal Kanaan ialah daripada keturunan Ham, iaitu putera Nabi Nuh AS, yang berhijrah ke Palestin untuk mencari kehidupan yang lebih baik. Kaum Kanaan dikatakan sangat mahir dalam ketukangan logam, tekstil, kesenian, perdagangan dan ketenteraan. Mereka kebanyakannya mendiami kawasan berbukit dengan melakukan pekerjaan sebagai penternak manakala mereka yang tinggal di kawasan lembah merupakan petani dan yang ditinggal di pesisir Jordan menjadi pelaut yang handal.

Dalam sejarah, keturunan Israel (Yahudi) pernah diusir pada zaman Nabi Yaakub AS dan Nabi Yusuf AS atas kezaliman mereka sendiri. Ketika berhadapan dengan kekejaman Fir’aun di Mesir, mereka diberikan peluang untuk kembali ke Palestin, tetapi, mereka enggan berpindah ketika zaman Nabi Musa AS. Mereka hanya memasuki Palestin selepas Nabi Yushak AS berjaya mengalahkan kaum Kanaan. Peristiwa kemenangan tersebut menyebabkan Allah menghentikan peredaran matahari (menangguhkan waktu malam).Nabi Yushak AS kemudian membahagikan bumi Palestin menjadi 12 bahagian (twelve tribes of Israel), yakni setiap suku kaum Israel mendapat satu bahagian (kawasan).

Akibat proses asilimasi yang berlaku, kaum Kanaan kemudiannya hampir lenyap dan pernah disenaraikan sebagai 10 kaum yang lenyap (pupus). Saki bakinya mula bertebaran di Eropah dan bumi Kanaan bukan lagi merupakan Tanah Yang Dijanjikan sebagaimana didakwa oleh International Jews yang diasaskan oleh Theodore Herzyl dalam idea penubuhan sebuah negara Israel. Sebenarnya, Pakatan Yahudi Antarabangsa menggunakan pelbagai bukti palsu untuk membolehkan mereka menubuhkan sebuah negara Israel di Palestin, dan kerana itu, Israel dilihat sebagai Is Not Real. (Bersambung)

kamarun KH

Translate »