Dari perspektif sejarah, sudah tiga kali Dr Mahathir bercerai dengan UMNO. Penceraian yang pertama berlaku pada tahun 1970 apabila ‘diceraikan’ oleh UMNO yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman kerana ‘kecewa’ dengan kekalahan dalam PRU 1969 di Kota Star. Kekalahan Dr Mahathir kerana kesilapannya sendiri, tidak mempedulikan pengundi-pengundi bukan Melayu yang menjadi ‘faktor penentu’ dan hanya mengharapkan sokongan besar daripada pengundi Melayu. Suatu jangkaan yang meleset, kerana pengundi Melayu telah berpecah dan lebih berpihak kepada Yusuf Rawa. Akibat kalah, Dr Mahathir mula merepek dan merasionalkan pelbagai isu sehingga sanggup menulis surat terbuka dan menghina orang Melayu dalam Malay Dilemma.
Setelah Tun Razak mengambil alih jawatan PM, Dr Mahathir diterima semula menyertai UMNO. Tetapi, dalam masa sebelumnya (ketika diceraikan oleh UMNO), Dr Mahathir hadir di pentas PAS mengkritik UMNO, seolah-olah semua yang pernah dilaksanakan oleh UMNO itu tidak betul. Ia seumpama orang lelaki ‘gila talak’ tetap akan memburuk-burukkan ‘isteri’nya. Ini bermakna, sikap menyalahkan ‘orang lain’ sangat tebal dalam diri Dr Mahathir tanpa berusaha menilai kesalahan sendiri, dan menyenaraikan kelebihan UMNO sepanjang berada di dalamnya (mula aktif pada tahun 1959). Itulah sifat manusia lebih mudah nampak keburukan ‘orang lain’ berbanding menilai ‘kesalahan sendiri’.
Kali kedua Dr Mahathir bercerai dengan UMNO ialah pada tahun 2006 apabila mengkritik pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi, pengganti yang dipilihnya sendiri. Ada beberapa sebab yang memungkinkan Dr Mahathir ‘bencikan’ penggantinya. Pertama kejayaan besar Abdullah memimpin BN sehingga hampir mutlak memenangi PRU ke-10 (2004). Imej Tun Abdullah yang dianggap sebagai “Mr Cleans” dan berjiwa Islam bakal ‘menjejas’kan imej Mahathir sendiri yang kurang senang dengan tafsiran terhadap Islam dalam budaya Melayu atau kearifan lokal, sebaliknya lebih menumpukan asas meniru budaya kerja Jepun dan Korea Selatan.
Kedua, Dr Mahathir rasa tersinggung bila Tun Abdullah membatalkan projek Jambatan Bengkok yang sudah dimulakan di bahagian Malaysia. Jambatan itu adalah satu cara yang dilihat oleh Dr Mahathir sebagai ‘kaedah memaksa Singapura’ untuk bersetuju bagi menggantikan Tambak Johor. Aliran air di Selat Tebrau yang tersekat dengan Tambak Johor memudahkan Singapura melakukan proses penambakan laut (meningkatkan keluasan tanah). Ini dilihat sebagai cabaran terbesar Malaysia kerana Singapura sebenarnya lebih baik mengambil kesempatan di atas ‘lemah-lembut’ budaya politik yang dipimpin oleh orang Melayu, termasuklah mengenai Perjanjian Pembelian Air Mentah dari Johor dan kemudiannya menjual air yang dirawat dengan harga yang berkali ganda. Singapura bukan sahaja mengawal ‘loji air di Johor’ bahkan menggunakan rasional itu untuk melakukan pelbagai tindakan yang tidak menyenangkan Malaysia, termasuk pengintipan.
Setelah Abdullah menyerahkan jawatan PM kepada Najib, Dr Mahathir kembali menyertai UMNO (2009) tetapi kembali mengkritik Najib kerana tidak mendengar nasihatnya. Najib awalnya disukai oleh Dr Mahathir kerana diharapkan dapat meneruskan Mahathirisme, dan bakal membina semula Jambatan Bengkok. Ini kerana sebahagian kontraktor yang diberikan tawaran pembinaan di bahagian Malaysia dikatakan ada kaitan dengan Dr Mahathir (sama ada sebagai proksi atau orang yang yang dipercayainya sebagai kroni), maka Najib kemudiannya menjadi mangsa kritikan keras.
Ia menjadi semakin keras apabila laporan audit tersebar mengenai kelemahan pengurusan dalam 1MDB, sebuah syarikat pelaburan yang diperluaskan daripada TIA (Terengganu Investment Authority). TIA ditubuhkan untuk menjadi sayap pelaburan Terengganu, iaitu melaburkan sebahagian wang yang diperoleh daripada royalti minyak kerana memikirkan galian berharga itu tidak akan kekal selama-lamanya (kehabisan rezab) dan juga dunia sedang bergerak kea rah penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui (tidak sepenuhnya bergantung kepada penggunaan bahan fosil).
Kelemahan-kelemahan dalam pengurusan 1MDB kemudiannya menjadi lebih besar apabila berlakunya kebocoran maklumat mengenai ‘derma’ yang diterima oleh Najib dalam akuan peribadinya sebanyak RM 2.6 bilion. Kisah derma itulah juga digunakan oleh Dr Mahathir dan konco-konconya untuk melobi Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat untuk menjatuhkan Najib. Ia menjadi semakin mendesak Dr Mahathir untuk tidak mempercayai Najib apabila Mukhriz kemudiannya terpaksa meletakkan jawatan setelah ikut sama mengkritik Najib dengan kes 1MDB. Tetapi, penyingkiran Mukhriz dilakukan oleh UMNO Kedah, yang diketuai oleh Datuk Ahmad Bashah.
Setelah Mukhriz turun ‘takhta’, beliau yang diharapkan sebagai penyambung legasi ayahandanya, mengambil langkah membantu menjatuhkan UMNO/BN dan kepimpinan Najib. Ia kemudiannya disokong oleh Muhyiddin yang disingkirkan dalam kabinet dalam penyusunan semula jawatan pada Julai 2015. Muhyiddin ketika itu masih kekal sebagai Timbalan Presiden UMNO, sehinggalah dipecat pada bulan Jun 2016. Gabungan 3M -Mahathir-Muhyiddin-Mukhriz (3M)- itulah kemudiannya berjaya menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tetapi masih meniru dan menggunakan perlembagaan parti UMNO, termasuk daripada perspektif peraturan penubuhan, perjalanan parti dan konsepnya, hanya terbuka kepada Pribumi (maksudnya orang Melayu atau yang bertaraf bumiputera) pada 8 September 2016.
PArti itu kemudian bergabung dengan PKR, DAP dan PAN (parti serpihan daripada PAS) membentuk Pakatan Harapan. Usaha Dr Mahathir memujuk PAS kembali menyertai gabungan parti pembangkang gagal kerana PAS tetap bertekad tidak akan menyertai mana-mana gabungan yang bekerjasama dengan DAP. PAS merasakan sudah serik dibuli dan dipermainkan oleh DAP setelah duduk bersama selama dua penggal dalam Pakatan Rakyat. Disebabkan PH tidak mempunyai kepimpinan yang boleh diterima oleh sebahagian besar pengundi, maka Dr Mahathir dilantik sebagai Pengerusi PH dengan ‘janji’ akan menyerahkannya kepada Anwar Ibrahim selepas Penasihat Umum dibebaskan (dan dibenarkan menyertai secara aktif dalam politik).
Ia bukan kali pertama bagi Anwar terhalang, Kali pertama ialah sebaik sahaja dibebaskan daripada Penjara Sungai Buloh akibat ‘salah guna kuasa’ pada tahun 2004, beliau terpaksa melepasi edah selama empat tahun daripada tarikh pembebasannya. Ini bermakna, syarat itu telah kekal menyebabkan Anwar tidak berpeluang bertanding dalam PRU 2008. Walaupun tidak bertanding, Anwar terus menjadi penggerak utama penyatuan parti-parti pembangkang untuk mencabar UMNO/BN. Percubaan itu berjaya mereka lakukan sehingga BN kehilangan kuasa dua pertiga di Dewan Rakyat (140 kerusi daripada 222) dan gagal di Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor serta tidak dapat merampas kuasa politik di Kelantan. Ini menjadikan Tun Abdullah Badawi sebagai subjek kritikan dan politicking yang besar sehingga memaksanya menyerahkan jawatan PM kepada Najib.
Bagaimanapun, keupayaan Najib terus tercabar. 1MDB menjadi sesuatu yang begitu berat untuk ditanganinya kerana naratifnya terlalu banyak ‘kisah keraguan’ dan ‘kegagalan’ bila dikaitkan dengan jumlah hutang, yang suatu ketika diberikan amaran bahawa Malaysia akan menuju ke tahap muflis dalam tempoh beberapa bulan oleh Daim Zainudin, bekas menteri kewangan yang bukan saha merombak asas ekonomi negara, tetapi dipersoalkan dengan penguasaan peribadinya dalam memfaraidkan aset-aset UMNO, aset-aset agensi kerajaan dan juga projek-projek ‘maruah’ janaan Dr Mahathir sepanjang pentadbirannya selama 22 tahun.
Setelah Anwar menggantikan Daim sebagai Menteri Kewangan, bekas bendahari UMNO itu ‘berdiam diri’ dengan bergiat cergas dalam dunia perbankan di luar negara. Daim kemudiannya muncul sesekali dengan tulisan dan pengamatannya tentang ekonomi sehinggalah kembali lantang bercakap apabila dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan untuk mengemukakan cadangan transformasi ekonomi dan pentadbiran kerajaan.
Akhirnya, Daim turut didakwa ada kaitannya dengan kenaikan kos pembinaan ECRL setelah dimuktamadkan dengan China Communication Construction Company (CCCC) dari RM 30 bilion kepada RM 40 bilion. Sebelumnya, BN didakwa menaikkan harga kepada RM 55 bilion walhal dapat dilakukan dengan hanya melibatkan kos kurang daripada RM 30 bilion. Bagaimanapun, isu penjimatan kos sebenarnya berlaku kerana penukaran spesifikasi, yakni melakukan penjajaran semula landasan (tanpa perlu melalui terowong mesra alam di Gombak), pengurangan jumlah stesen dan pemendekan landasan, pembinaan gerabak dan jumlah koc, keemasan stesen, dan kemudahan lojistik.
Apakah apabila Dr Mahathir merasakan dirinya masih ‘sayangkan UMNO’ dan kemungkinan akan ‘kembali menyertai UMNO’ akan menyebabkan UMNO ‘rasa hormat’ atau di sebaliknya? Apakah perlu Dr Mahathir ‘kembali ke pangkuan UMNO’ setelah tiga kali bercerai dengan UMNO dan dalam masa ‘perceraian’ tersebut digunakan sepenuhnya untuk memburuk-burukkan UMNO tidak dapat menyedarkan UMNO perihal ‘kejahatan’nya?
Apakah Tengku Razaleigh sanggup menjadi ‘cina buta’ kepada Mahathir untuk kembali hidup dan menghabiskan sisa-sisa usia dalam UMNO agar dapat ‘menghapuskan dosa-dosa’ terhadap parti yang pernah ‘memuliakan’ nya? Kita tahu, pada satu ketika Tengku Razaleigh dan Dr Mahathir bermusuh. Tetapi, permusuhan tidak sampai ke peringkat ‘membunuh’ kerana Tengku Razaleigh tidak pernah bercerai dengan UMNO.
Tengku Razaleigh telah dipisahkan dengan UMNO setelah Dr Mahathir menggunakan kedudukannya untuk tidak membenarkan UMNO yang mahukan kembali kepada prinsip asal penubuhannya pada tahun 1946. Dr Mahathir khuatir, dengan tertubuhnya UMNO (Asal), kedudukan politiknya akan terancam maka disegerakan penubuhan UMNO (Baru) yang sepenuhnya dikawal oleh Dr Mahathir. Itulah detik-detik kerosakan dan memudarnya semangat UMNO asal yang sekarang diberikan perhatian oleh Dr Mahathir tentang kemungkinan menyertai semula.
Apakah selama 22 tahun pentadbiran Dr Mahathir (menerajui UMNO) beliau telah gagal menerajui UMNO berlandaskan prinsip asal penubuhannya? Ini juga satu penilaian yang perlu dibuat secara mendalam, kerana memangnya, semasa UMNO ditadbir oleh Dr Mahathir, dinamisme politik Melayu terarah kepada ‘politik wang’ yang merosakkan nilai dan budaya politik asal penubuhan UMNO. Berapa banyakkah kekayaan yang dikumpulkan oleh Dr Mahathir dan anak beradik sepanjang memimpin UMNO dan kerajaan? Itu satu persoalan yang tidak dapat diampun oleh seluruh rakyat Malaysia.
Kita masih ingat kata-kata mendiang Karpal Singh terhadap Dr Mahathir “Mahathir Orang Pertama Akan Masuk Penjara Jika Pakatan Menang PRU” (19 April 2013). Mahathir bernasih baik kerana semasa hayat Karpal Singh, pakatan (maksudnya Pakatan Rakyat) tidak dapat menukarkan kerajaan walaupun Anwar begitu ‘lajak’ melakukannya pada 16 September 2008.
Begitu juga janji Dr Wan Azizah, sekiranya PH menang akan disiasat Dr Mahathir. PH menang PRU 2018, Dr Mahathir tidak juga disiasat dan dibiarkan mengembalikan Mahathirisme selama 22 bulan, yang akhirnya PH menjadi objek penghinaan oleh Dr Mahathir sekarang. Dr Mahathir setelah gagal mendapat kepercayaan semula daripada PH (calon PM selepas terlucut kuasa), terus mengecam PH kerana tidak sepenuhnya menyokong dalam tempoh interim dan juga selepas Muhyiddin dilantik sebagai PM ke-8.
Seperti kata peribahasa Melayu “hidung tak mancung pipi tersorong” (saya bukan menidakkan kemancungan hidung Dr Mahathir secara fizikal) tetapi ‘kemancungan politik’ nya sejak akhir-akhir ini diibaratkan sebagi seorang lelaki ‘gila talak’ dan ‘semakin terdesak’ keranan ‘banyak lagi agenda belum selesai’. Apakah kemungkinan kali ini Dr Mahathir akan meletakkan ‘syarat’ sebagaimana perkahwinan ‘cina buta’ kerana percaya bahawa UMNO-lah wadah perjuangan politik Melayu-Islam yang paling berkesan dan sukar diputuskan akar umbinya.
Itu bermakna Dr Mahathir telah gagal secara mutlak untuk ‘membunuh UMNO’ kerana akar yang menghidupkan UMNO begitu kuat, tanpa memerlukan ‘viagra’ atau ‘ubat kuat’ yang hanya ‘membangkitkan perasaan ghairah’ namun ‘cukup mengecewakan’ kerana memang kudrat manusia bila sampai tahap tertentu ia akan terus menurun. Ia adalah lumrah dan tentunya Dr Mahathir menyedari hakikat itu kerana beliau belajar mengenai anatomi manusia dan mempraktiskannya dalam kehidupan peribadi sehariannya, sehingga masih dilihat bertenanga (cara orang tua) dalam usia yang sudah melebihi 95 tahun.
Apakah kali ini Tengku Razaleigh sanggup menjadi ‘orang tengah’ ketiga kemasukan semula Dr Mahathir ke dalam UMNO? Datuk Harun Idris menjadi orang tengah pertama, kemudian, Muhyiddin membawa masuk semula Dr Mahathir ke dalam UMNO semasa Najib. Jika benar Dr Mahathir kembali dan sah menyertai semula UMNO, UMNO akan menjadi sebuah ‘parti usang’ yang terus berkubang dengan rasa benci, marah dan terus dimandulkan oleh pemimpin-pemimpinnya yang ‘sangat tidak memahami semangat zaman’. Slogan peremajaan UMNO semakin tidak mampu dilaksanakan kerana akar umbi sangat mengharapkan lebih ramai pemimpin-pemimpin yang ‘bermasalah’ direhatkan.
Mereka mahukan ‘darah muda’ dan orang-orang yang belum ‘teremar’ dengan gelagat politik ‘memukul paku dulang yang terserpih’. Biarpun ‘cina buta’ dibolehkan tetapi ia tetap suatu tindakan yang ‘dikutuk oleh Allah’. Cina buta hanyalah muncul dalam persekitaran budaya Melayu, maka tidak sepatutnya Dr Mahathir meletakkan syarat untuk membolehkannya kembali ke pangkuan UMNO. Seharusnya UMNOlah yang meletakkan syarat kepada Dr Mahathir, kerana terlalu banyak kerosakan yang ditimbulkan olehnya atas kepentingan politik dan cita-cita peribadi.
MONOSIN SOBRI
Recent Comments