Apabila pemasangan ‘suis’ yang sudah dimulakan dibuat percubaan, Anwar akhirnya ‘terkangkang’ kerana tidak semua ‘pendawaian semula’ itu berhasil, masih ada ‘shock’ di sana sini, maka ia menyebabkan ‘rewire’ bukan sahaja terbakar, bahkan turut menyebabkan ‘grid penyaluran kuasa terpelantik’. Anwar terpaksa menongkah dan berjuang untuk memperbetulkan, namun, beliau akhirnya gagal.

Itulah sebabnya, tidak semua UMNO berpihak kepadanya, masih ramai lagi veteran UMNO sanggup mempertahankan Dr Mahathir kerana pendawaian semula yang dilakukan oleh Anwar belum sepenuhnya bersambung. Zahid Hamidi yang lantang mengkritik Dr Mahathir akhirnya ‘bertenang’ apabila senarai pemilikan saham-sahamnya didedahkan secara terbuka. Rahsia dikelasifikasikan dan sebahagian butiran kertas Jemaah Menteri atau keputusan tertentu dikeluarkan.

Akhirnya Anwar seperti ‘terpaksa’ menerima kenyataan balas daripada lain-lain pemimpin UMNO sebagai orang yang tidak sabar. Hanya selangkah sahaja lagi, beliau akan berada di puncak kuasa. Anwar juga sedikit keliru kerana merasakan pemimpin-pemimpin Semangat 46 (dibubarkan pada bulan Mei 1996) yang kembali diterima akan berusaha mencari ruang semula untuk berada dalam gelanggang kuasa. Ini bermakna pemilihan UMNO selanjutnya akan ada cabaran yang lebih besar. Bekas-bekas pemimpin Semangat 46 ada keinginan juga untuk berada dalam lingkaran kuasa parti di peringkat pusat, negeri dan bahagian.

Pada tahun 1996, Mohd Sayuti Omar dalam Agenda 1996- Anwar lawan Mahathir (Kuala Lumpur: Tinta Merah, 1995) menyatakan akan berlaku dalam pemilihan nanti. Walaupun masih di peringkat ‘embargo’. Sayuti melihat kenyataan Dr Mahathir pada 19 September 1995 yang menafikan ‘ada perselisihan faham antara Presiden dan Timbalan Presiden’ dan Anwar menjelaskan tindakan melaga-lagakan mereka berdua sebagai “bankrap dan sakit jiwa” (berucap merasmikan perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Tampin pada 23 September 1995)  bukanlah “jaminan  tidak akan menentang Mahathir”.

Katanya, “Ia adalah ‘kenyataan politik yang kita semua sudah arif benar apakah erti dan maksudnya’ (hal. 3) dan  “Ia tidak dapat djelaskan menerusi sifir orang politik kerana 2×2 tidak akan mendapat jawapan sebanyak 4. Ia boleh saja 9.10 …hatta 100. “ Politik mempunyai pelbagai kemungkinan, kawan tidak akan kekal selama-lamanya begitu juga musuh. Selagi ada peluang dan ruang, musuh boleh bertukar menjadi kawan; kawan bertukar menjadi musuh apabila ada kepentingan diri yang berbeza. Janji boleh dimungkiri, kerana janji itu bukan ‘kitab suci’ dan ‘malaikat pun boleh buat silap’.

Menariknya, bila Khalid Samad menyambung, “Nabi [Rasullullah SAW] tidak tunai janji” (https://www.youtube.com/watch?v=9ySeyEKHFiE). Masya Allah, kotornya politik demi mencari alasan sanggup memperherotkan apa sahaja termasuk ‘insan suci’ dan juga manusia paling mulia di atas muka bumi. Bahkan, ayat-ayat suci (al-Qur’an) dipetik sewenang-wenangnya untuk mewajarkan pemikiran dan menatijahkan tindakan.

Tahun 1996, Anwar mahukan Isa Samad memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO. Namun, Zahid menafikan beliau turut ditaja oleh Anwar untuk menentang penyandangnya, Tan Sri Rahim Tamby Chik. Pertandingan 1996 cukup bersejarah, di mana empat calon mencabar Rahim. Keputusan Zahid menang dengan 199 undi manakala Rahim hanya mampu berpuas hati dengan meraih 103 undi, Isa Samad mendapat 72 undi, Annuar Musa 135 undi dan Abdul Rahman Salleh hanya satu undi.

Sebelumnya, Zahid menjelaskan bahawa Anwar memintanya menarik diri bagi memberikan kemenangan kepada Isa Samad yang dalam pemilihan 1993 kalah tipis kepada Rahim Tamby Chik.  Zahid tetap bertekad untuk bertanding, dan tiada apa yang boleh menghalangnya kecuali atas permintaan kedua orang tuanya. Zahid dikatakan turut dihulurkan sekeping sampul surat sebagai ‘bayaran tarik diri’ oleh Azmin, tetapi ditolaknya.

Bila diketahui oleh Anwar, beliau melenting “degil sungguh Zahid kerana beliau sudah kaya”. Lalu dijawab, kekayaan yang diperolehnya bukan disebabkan “agihan saham Proton atau Hicom oleh Anwar”, tetapi daripada “latar belakang korporatnya sendiri tanpa bantuan Anwar”. (baca http://catatanzabidi.blogspot.com/2016/11/anwar-mahu-isa-jadi-ketua-pemuda-1996.html)

Ertinya, politik wang semakin menjadi-jadi dan wang jugalah digunakan untuk memutuskan seseorang itu ‘bertanding’ atau ‘menarik diri’. Licik sungguh Anwar melakukan hal itu untuk membina rangkaian penyokong-penyokongnya sejak dilantik sebagai Menteri Kewangan. Mengagihkan ‘pink form’ dan kemunculan syarikat sendirian berhad (berdaftar) dengan modal berbayar dua ringgit cukup banyak dan tidak hairan ketika itu muncul orang kaya baharu hasil pembahagian ‘pink form’.

Anwar dikatakan begitu cepat berjaya membina kekayaan peribadi sehingga berjaya menyimpan wang di luar negara (Israel) atas nama isteri dan anak-anaknya begitu besar (sehingga kini, isu tersebut belum terbukti dan Anwar juga tidak menafikannya secara bersungguh-sungguh).

Anwar juga dikatakan cukup kaya menerusi ‘right issue’ dan penyenaraian syarikat-syarikat tertentu di Bursa Saham. Ada syarikat proksi seperti ‘joint capital’, institusi kewangan (misalnya Abrar Corporation) diberikan lesen mudah oleh Anwar, yang sebahagian hilang tanpa kesan sebaik sahaja Anwar tidak lagi berada dalam kerajaan. Masih ramai orang awam mempertikaian sumber kekayaan Anwar Ibrahim, termasuklah wang untuk membeli jenama pakaian mewah ketika berkuasa dan membiayai banglonya di Bukit Segambut. Ia turut dipetikaikan mengenai integriti Anwar sebagai seorang pemimpin yang ‘bersih’ dan ‘tidak rasuah’ yang kemudiannya, disimbah dengan penghodohan karakter oleh Khalid Jafri dalam 50 Dalil Kenapa Anwar Tidak Boleh Jadi Perdana Menteri (1998).

Kenapa buku itu ditulis? Sebabnya, memang Anwar ‘terburu-buru’ memikirkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri. Anwar perlu ‘menjatuhkan Dr Mahathir’ kerana tahun 1996, cita-citanya tidak dapat direalisasikan. Desas-desusnya dapat dikesan dan disekat lebih awal. Dan, antara tahun 1995 hingga 1997, berlaku pelbagai kenyataan paradoks antara Anwar dan Dr Mahathir, termasuklah konsep Nilai-Nilai Asia dan penyelesaian krisis mata wang.

Anwar dituduh ‘menyebelahi kaedah penyelesaian Yahudi’ manakala Dr Mahathir begitu kuat menyalahkan kapitalis Yahudi memporak-perandakan ekonomi negara-negara membangun dan sedang membangun di sebelah timur (Korea Selatan, Taiwan, Thailand, Indonesia dan Malaysia) tetapi tidak melakukan tindakan yang sama ke atas Singapura.

Singapura sangat pro Yahudi, menjadi pengkalan pengembangan perniagaan Yahudi di Asia Tenggara dan bahkan menggunakan kepakaran Yahudi dalam pembangunan armada tentera, perancangan ekonomi serta percaturan geopolitik serantau. Ia dilakukan oleh Lee Kuan Yew bagi membebaskan negara itu daripada stigma kepungan ‘Malay Belt’, yang bagi Mahathir hanya boleh mengajar Singapura dengan berunding semula perjanjian bekalan air mentah dan pembinaan Jambatan Bengkok.

Bila Jambatan Bengkok berjaya dibina, air Selat Tebrau akan menjadi lebih lancar dan sedikit sukar untuk Singapura terus memperluaskan kawasannya menerusi aktiviti tambak laut. Sebagai halangan mudah dan jangka pendek, pengksportan  pasir dari Malaysia disekat. Ia juga ada kaitannya dengan tuntutan bertindih terhadap Pulau Batu Putih dan Tubir Selatan. Pulau Batu Putih akhirnya menjadi hak milik Singapura selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan dengan undian juri 12:4 pada bulan Mei 2008 manakala Tubir Selatan akan ditentukan kemudian, tetapi Batuan Tengah adalah hak Malaysia.

Pemecatan Anwar itu dilihat juga sebagai ‘kambing hitam’ apabila menggunakan alasan ‘kesalahan moral’. Anwar yang harum dengan imej seorang pemimpin moderat dan berwatakkan Islam sukar untuk diyakini ada masalah moral, terutama perlakuan seks di luar tabie. Tuduhan itu bagaimana pun tidak menjadi, Anwar dibebaskan dengan keputusan juri. Tetapi, Anwar didapati bersalah atas masalah ‘salah guna kuasa’, maka Anwar terpaksa meringkok dalam Penjara Sungai Buloh selama 4 tahun.

Tahun 2004, Anwar dibebaskan. Namun, Anwar tidak boleh aktif berpolitik selagi ‘edah’nya belum habis. PRU 2008, Anwar tidak bertanding tetapi sebelumnya, Anwar berjaya menyatukan parti-parti pembangkang dalam satu gagasan. PRU 2008 menyaksikan ‘euforia Abdullah Badawi berada di penghujungnya’ bila BN hanya mampu menguasai 140 kerusi Dewan Rakyat dan tewas di Kedah, Perak, Selangor, Pulau Pinang serta gagal berkuasa di Kelantan.

Sebelumnya (PRU 2004), BN menang besar (195 kerusi Dewan Rakyat) dan merampas semula Terengganu daripada PAS. Tetapi, Abdullah akhirnya menimbulkan masalah kepada Dr Mahathir, walaupun berjanji tidak akan aktif berpolitik lagi selepas bersara, Dr Mahathir menyerang pengganti yang dipilihnya atas beberapa persoalan ‘kambing hitam’.

Kepimpinan Abdullah dilihat lemah dan hilang dalam peralihan kuasa itu kerana memberikan ruang pengaruh ‘anak dan menantu’ yang dikenali sebagai ‘budak-budak lantai empat’. Bagi sebahagian yang mengenali Dr Mahathir, alasan itu adalah ‘kambing hitam’ yang digunakan oleh Dr Mahathir kerana Abdullah membatalkan projek Jambatan Bengkok yang bakal menggantikan Tambak Johor.

Tahun 2009, bulan April 2009, Najib mengambil alih jawatan Perdana Menteri. Najib adalah calon yang disukai oleh Dr Mahathir. Beberapa selepas Najib berkuasa, Dr Mahathir kembali menyertai UMNO (kali kedua. Kali pertama pada zaman Tun Razak selepas dipecat oleh Tunku Abdul Rahman kerana mengkritik kepimpinannya dan menyalahkan Tunku lebih melayani tuntutan bukan Melayu, khususnya MCA).

Kalau dilihat daripada perjalanan politik Dr Mahathir, tahun 1981 juga boleh dianggap sebagai satu tindakan bersifat ‘kambing hitam’. Setelah Hussein menjalani proses permbersihan dalam kabinet daripada anasir subversif, amalan rasuah dan sebagainya, Dr Mahathir  mula mempercayai bahawa dirinya yang paling layak untuk menggantikan Hussein Onn, dan tindakan perlu disegerakan.

Kalau pada zaman Tunku, Dr Mahathir pernah mendakwa akibat ‘terlalu lama berkuasa’, kepimpinan Tunku sudah tidak berkesan lagi. Tetapi, kali ini, Dr Mahathir merasakan ‘jika bukan masanya sekarang’, ruang dan peluang untuknya menjadi Perdana Menteri tidak kesampaian. Ini kerana, beliau tidak mempunyai ‘rangkaian penyokong’ yang kental dan kuat sebagaimana Ghafar Baba, Tengku Razaleigh dan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dalam parti. Beliau perlu berada di puncak kuasa untuk membina kelompok politik’nya, dan menguasai pemimpin-pemimpin UMNO.

Tahun 1981 adalah tahun pemilihan UMNO. Dr Mahathir yang kurang bersetuju dengan keturunan bangsawan mengambil peluang untuk mengkhianati Tengku Razaleigh dengan menyokong Musa Hutam. Ertinya, Musa Hitam dijadikan ‘kambing hitam’ untuk membolehkan dirinya dilihat tiada hubungan kebangsawanan dan menjerat hati sebahagian perwakilan.

Musa Hitam menang dan hal yang sama berulang lagi pada tahun 1984. Tahun itu menyaksikan Tengku Razaleigh mampu menjadi pencabar yang bukan mudah untuk dikalahkan kecuali dengan pelbagai strategi memburuk-burukkannya. Antaranya ialah mengaitkan semula dengan skandal BMF dan kemewahan seorang keturunan raja termasuk mempunyai pejabat mewah (karpet yang lembut dan berharga mahal), belanja ubahsuai pejabat, kepala paip bersalut emas dan sebagainya.

Setelah kalah kali kedua, Tengku Razaleigh masih kekal dalam kabinet, tetapi ditukarkan ke Kementerian Perdagangan dan Perindustrian yang kurang membabitkan pemberian tender dan projek. Hal ini tidak lama, Musa Hitam mula kecewa dengan pendirian Dr Mahathir mengekalkan Tengku Razaleigh walaupun tewas dua kali. Februari 1986 Musa Hitam meletakkan kerana didakwa berusaha menggulingkan Dr Mahathir dan dijadikan ‘kambing hitam’ dalam Tragedi Memali. (Musa Hitam, Frankly Speaking, 2016).

Sepanjang 22 tahun pentadbiran Dr Mahathir sebagai PM ke-4, kita sering mendengar ucapan-ucapan kilas Dr Mahathir terhadap PAS, di mana apa sahaja yang dicadangkan oleh PAS sebagai satu tindakan tidak sesuai dan bertentangan dengan hakikat Islam sebenar. Bahkan cadangan PAS agar dilaksanakan peraturan syariah, dikritik oleh Dr Mahathir sebagai tidak sesuai dengan realiti masyarakat bahkan desakan-desakan dilihat sebagai ‘menggunakan agama untuk kepentingan politik’. Ada versi lain tentang Islam, iaitu versi rasional Dr Mahathir hatta terhadap pengakuan seseorang yang melakukan jenayah rogol.

Bila bercakap mengenai hukum hudud, Dr Mahathir cukup lantang mengkritik atas alasan, kesahihan saksi dalam memberikan keterangan terhadap jenayah. Ini kerana kebiasaannya, perilaku jenayah rogol atau maksiat tidak berlaku secara terang-terangan. Orang yang berzina tidak melakukan zina di depan khalayak terbuka, maka adalah sukar keterangan saksi untuk dipertahankan. Begitu juga dengan hukuman ke atas pesalah curi. Jika hukum hudud digunakan maka ramailah orang Islam akan cacat, yakni kudung tangannya. Ia tidak boleh dianggap adil kerana bukan Islam yang mencuri tidak dipaksa cacat.

Jika menelusuri perjalanan politik Dr Mahathir, kita akan menemui terlalu banyak alasan yang dicipta dan menepati makna ‘kambing hitam’. Istilah ‘kambing hitam’ adalah terjemahan daripada istilah Inggeris, scapegoat. Menurut kamus maksud perkataan itu ialah “orang yang disalahkan atau dihukum kerana salah laku orang lain’ (Oxford Advanced English-Malay Dictionary, 2007, hal. 1305) manakala Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan (2002:789) mentakrifkan kambing hitam sebagai: (1) orang yang dipersalahkan; (2) orang yang nakal/jahat dan kerana kejahatannya kepada orang ramai. Mengambinghitamkan bermaksud “menunjukkan kesalahan orang lain”. Itulah hobi, tabiat, feel dan perangai Dr Mahathir. Beliau tidak akan mengakui kesalahan sendiri, termasuklah apa yang menyebabkan PH terlucut kuasa, yang tali pengikat sebenarnya dileraikan olehnya sendiri pada 24 Februari 2020, seminggu lagi sebelum cukup setahun.

 

MONOSIN SOBRI

Translate »