Sejak saya boleh memahami perjalanan dan proses politik, saya menemui banyak sekali ‘kambing hitam’. Kambing-kambing hitam politik antara Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim yang berlaku sejak 40 tahun lalu (1981-2021), iaitu sejak Anwar ‘dibawa masuk’ ke dalam UMNO sehinggalah perbalahan besar akibat peletakan jawatan sebagai PM ke-7 tanpa menyerahkan kuasa kepada ‘pengganti’nya, Anwar Ibrahim pada 24 Februari tahun lalu.

Ia menjadi semakin kontroversi dan berpanjangan apabila Tommy Thomas, bekas Peguam Negara menulis tentang kejatuhan Pakatan Harapan disebabkan tindak-tanduk Dr Mahathir sendiri dengan menyalahkan ‘tidak mempunyai sokongan majoriti’. Buku memoir, My Story: Justice in the Wilderness (2021) telah membuka banyak ‘pekong PH’ dan tentunya secara langsung atau tidak langsung mencerminkan kelemahan dan kegagalan Dr Mahathir ‘membaiki kerosakan’ atau mecipta ‘Malaysia Baru’.

Kegagalan itu kemudiannya mendapat kupasa yang cukup tajam daripada Dr Mujahid Yusuf Rawa, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menerusi rakaman video yang tular beberapa hari lalu sebelum berlangsungnya  wawancara dengan Johan Jaafar yang disiarkan secara langsung dan dianjurkan oleh Sinar Harian (laporannya lihat Malaysiakini, 17 Februari 2021, Dr M: Anwar mengaku budaknya jahat, susah nak kawal).

Saya melihat ini sebagai satu lagi siri ‘kambing hitam’ Dr Mahathir dan banyak lagi ‘kambing-kambing’ yang akan dikambinghitamkan selagi ada kambing-kambing yang belum mati akibat kembong. Atau selagi kededuanya kekal berada dalam pentas politik Malaysia, masing-masing ada keinginan besar untuk berkuasa.

Dr Mahathir berkeinginan semula berkuasa selepas gagal ‘mendapatkan sokongan’ kerana tiada yang memabantu dicalonkan semula selepas meletakkan jawatan. Peletakan jawatan secara mengejut itu bukan sahaja enigma politik yang dimahukan oleh Dr Mahathir, tetapi ia adalah langkah pengunduran ‘tidak beradab’ setelah ‘paluan masuk dilakukan secara beradab’. Itulah yang dipersoalkan oleh Mujahid.

Bagi orang awam, perilaku Dr Mahathir itu seumpama ‘permainan kanak-kanak’ yang selalu ingin menang dan diberikan pujukan selepas tewas. Dr Mahathir terasa masih belum cukup dengan 22 tahun dan 22 bulan, kerana itulah yang dimahukan sekali lagi dengan berkambinghitamkan ‘keperluan’ atau permintaan sekumpulan orang dan keperluan sendiri apabila ‘agenda besar’nya belum terlaksana.

Antara agendanya sebagaimana persepsi awam ialah menentukan kroni-kroninya terus mendapat ‘habuan ekonomi’ dalam persaingan tender, kontrak dan rundingan terus kerajaan selain menjamin kedudukan anaknya, Mukhriz menjulang kedudukan teratas dalam mercu kuasa politik. Biarpun dinafikan, diselindungi dan dikatakan ‘tidak’, orang awam sudah membaca sedikit sebanyak ‘kilas di air’ berdasarkan metod politiknya yang licik dan penuh strategi ‘berhelah’ dan ‘bukan saya’ tetapi ‘orang lain’.

Psikik politik yang dibentuk oleh Dr Mahathir sudah lama dapat dihidu, dan Anwar memang mahir ‘membaca’nya. Cuma Anwar belum cukup mahir untuk mentafsirkan secara tuntas dan memintal kesaktian ‘keris Taming Sari’ dalam dua pertarungan besar yang berakhir dengan kekalahan.

Anwar memang semua orang tahu, bukan sahaja ‘gila-gila nak jadi PM’, juga seringkali memfalsafahkan dirinya seumpama ‘pujangga politik’ paling hebat walaupun hanya sekadar ‘mengulas’ dan melepaskan kembali untaian falsafah tokoh-tokoh tertentu yang dibacanya.

Saya mengambil contoh kisah ‘kambing hitam’ yang dibicarakan oleh Karen Armstrong dalam Fields of Blood: Religions and Histroy of Violence (2015) sebagai naratif sekularisme ketika mengganyang agama demi meruntuhkan mekanisme yang telah banyak berjasa kepada manusia dalam memandu dan mengkerangkakan kehidupan spiritual dan budaya bertindak masyarakat.

Ia menjadi teras perbincangan Karen Armstrong untuk memerihalkan peranan dan kerangka agama yang mempengaruhi setiap tindak tanduk manusia sehingga melahirkan sekumpulan manusia untuk menentangnya, termasuk dalam masyarakat beragama Kristian. Kelompok itu hadir di tengah-tengah penguasaan mutlak agamawan yang cukan sahaja mengongkong pemikiran rasional, bahkan turut melakukan banyak penyelewengan kemanusiaan berpaksikan doktrin gerejawan sehingga timbulnya perlawanan dan pemberontakan yang membunuh.

Kaum sekularis meletakkan agama sebagai ‘kambing hitam’ dan kuasa gereja sebagai kata putus yang sangat mutlak sifatnya sehingga mereka yang bercanggah pendapat boleh dijatuhkan hukuman bunuh mahupun hasil kerjanya ditolak manakala buku-buku yang ditulisnya dibakar.

Kebangkitan usaha membebaskan manusia daripada kongkong kelompok agama (gerejawan) akhirnya menjadikan ‘agama’ seumpama ‘kambing hitam’ yang wajib dihantar ke padang pasir yang ‘kering kontang’ agar lebih cepat mati. Mereka akhirnya, bukan sahaja tidak berdaya ‘mematikan kambing hitam itu’ setelah beberapa lama dibuang ke padang pasir, tetapi ‘kambing-kambing itu’ terus membiak dan segar bugar, kerana semangat dan ikhtiar hidup ‘kambing-kambing hitam’ itu cukup kuat dan kental.

Setelah mengumpul semula kekuatan, kawanan semakin banyak dan sosok tubuh lebih perkasa berbanding ‘kambing-kambing’ yang dipelihara, kambing-kambing hitam itu kemudiannya kembali ke bandar, sebahagian tempat asal mereka dan pernah membesar dengan tekad dan cita-cita yang baharu.

Dipelajarinya kembali pergerakan di bandar yang sudah semakin maju tetapi hilang keupayaan kemanusiaan dan nilai agama, maka kambing-kambing itu melancarkan gerakan untuk ‘membalas dendam’ ataupun ‘membalas tindakan’ yang tidak menepati doktrin yang mereka perkuatkan ketika ‘berkelana di padang pasir’ dalam persekitaran perjuangan atas nama agama dan kelompok yang pernah ‘terbuang’ dan ‘ditindas’.

Akhirnya tercetus beberapa siri konflik, serangan ganas dan tragedi yang mengakari bandar-bandar di Eropah sehingga konflik agama sentiasa muncul. Walaupun ‘kambing-kambing hitam’ yang awal dibuang sudah lama mati, semangat dan perjuangan mereka ‘tidak mati’, ia diteruskan oleh generasi terkemudian.

Saya mengambil naratif itu untuk melihat semula hubungan politik antara Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim kerana ia seumpama kisah kambing hitam yang diperihalkan oleh Karen Armstrong. Cuma berbeza ialah latar belakang penceritaan sahaja; Karen Arsmtrong menukilkan dalam perspektif ‘konflik keagamaan’ sehingga mencetuskan keganasan apabila kambing-kambing hitam itu tidak mati, bahkan semakin membiak dan kuat pegangan keyakinannya.

Begitulah apa yang akhir-akhir ini kita dengar daripada kenyataan Dr Mahathir sendiri berkenaan Anwar Ibrahim. Dr Mahahir pernah mempunyai kekuatan yang besar ketika Anwar berada dalam UMNO, terutama di peringkat awal pentadbirannya.

Awal tahun 1980-an, tentangan terhadap UMNO cukup kuat daripada PAS, termasuklah fatwa yang amat bebal sehingga muncul sebagai doktrin politik yang menakutkan. Itu berlaku atas banyak sebab, antaranya ialah reaksi Haji Hadi menghidupkan semula nilai dan takrif ‘kafir’ seseorang itu yang tidak berada dalam Jemaah PAS.

Ia bukan sesuatu yang baharu, ia sudah dikatakan bermula pada tahun 1964, yakni ketika berlakunya PRK di Pasir Mas, Kelantan. Ketika itu, PAS adalah ‘raja politik’ di Kelantan, baharu sepenggal mentadbir negeri yang pernah digelar ‘Serambi Mekah’, kemenangan dalam PRK itu adalah ‘kemenangan kepada Islam’ dan suatu kebanggaan serta bermaruah kerana dicabar oleh UMNO yang dibangunkan atas semangat kebangsaan, yang kemudiannya ditafsirkan sebagai asabiyyah.

Haji Hadi yang pernah bersama Anwar Ibrahim semasa dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) terpanggil untuk meneruskan perjuangan ‘menegakkan Islam’ menerusi PAS, manakala Anwar Ibrahim sedang berusaha memasuki UMNO dengan berselindung di sebalik keinginan peribadi beralaskan UMNO yang mempelawainya. Namun, seperti pernah diceritakan oleh Ibrahim Ali, secara berselindung dengan alasan itu, Anwar mungkin dapat mengekang kemarahan pemimpin-pemimpin ABIM yang lain dan juga dapat menggunakan kedudukannya nanti untuk mempromosikan ABIM dalam lingkaran kuasa.

Anwar menyertai UMNO bukan atas keikhlasan perjuangan, tetapi meletakkan syarat secara tegas, perlukan jaminan mempeoleh jawatan-jawatan tertentu dalam kerajaan ataupun kabinet. Akhirnya, Tengku Razaleigh ikut setuju kerana mungkin dapat menggunakan pengaruh Anwar bagi ‘membalas dendam’ ke atas tindakan Haji Suhaimi Kamarudin.

Tetapi, Tengku Razaleigh tidak mempunyai ‘kuasa’ untuk menawarkan apa-apa jawatan kepada Anwar, maka pertemuan dengan Dr Mahathir diatur. Dalam pertemuan itu, Dr Mahathir bersetuju dengan kemasukan Anwar dan sedia menawarkan jawatan untuk pemimpin ABIM itu.

Di situlah bermulanya ‘keintiman’ Anwar dan Dr Mahathir walaupun masing-masing adalah  oportunis besar untuk menguasai dan memandulkan politik Melayu-Islam menurut ‘rahim’ masing-masing. Tahun 1982, Anwar bertanding di Permatang Pauh, namun menurut Ibrahim Ali, tidak ada pemimpin-pemimpin ABIM yang datang membantu. Reaksi daripada pemimpin UMNO Permatang Pauh juga tidak menyenangkan, tiada bantuan dan peruntukan kempen diberikan. Dikhabarkan sebahagian besar belanja kempen dibiayai oleh Tengku Razaleigh.

Ibrahim mula melaksanakan gerak kerja manakala Tengku Razaleigh menyalurkan bantuan kewangan bagi menentukan kemenangan Anwar. Anwar menang dan dari situ bermulalah pendakian Anwar ke puncak kuasa sehingga Anwar dilihat sebagai pengganti Dr Mahathir yang terbaik sebelum mereka bermusuh dan bertelagah pada tahun 1997. Kemuncaknya ialah pada tahun 1998, Anwar dipecat.

Pemecatan tersebut dilihat seperti juga ‘kambing hitam’ kerana Dr Mahathir takut kedudukannya terancam. Lebih menariknya, ia ditempiaskan dengan teori konspirasi. Anwar telah membina kekuatan itu pada hari pertama pelantikannya sebagai Menteri Pertanian sehinggalah berjaya mengganyang Ghafar Baba dalam pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1993, menggunakan blok Team Wawasan.

Ramai juga veteran UMNO yang mendokong Ghafar Baba membuat pusingan 360 darjah kerana takut ‘miss sorrow’ (hilang jawatan termasuk menteri-menteri dan timbalan menteri). Akibat tekanan itu, peranan Ghafar yang banyak dikatakan sebagai ‘trouble shooter’ dalam mendamaikan krisis perlembagaan dengan istana dilupakan, maka berundurlah ‘membawa diri’.

Pengaruh Anwar begitu kuat di mana hampir di setiap kedudukan jawatan dalam kerajaan, baik di peringkat negeri dan pusat, dipenuhi oleh orang-orangnya. Dari jawatan Setiausaha Politik hinggalah dalam GLC, GLiC, Universiti Awam dan sektor awam. Sebab itulah bila Anwar dipecat, ramai yang ikut turun dijalanan dan menulis menerusi internet mencaci kepimpinan Dr Mahathir sehingga terlekat imej fir’aun dan ‘Mahazalim’. DAP menggunakan ‘kemarahan’ itu dengan pelbagai dakwaan termasuk ‘paling korup’ dan ‘darconian’. Kisah-kisah penangkapan dalam Operasi Lalang (1987) dibangkitkan semula. Persoalan penggunaan ISA menjadi wahana demonstrasi jalanan.

Sistem ‘pemetaan politik’ dan ‘pendawaian semula UMNO’ yang dilakukan oleh Anwar menyebabkan ramai pemimpin pro Dr Mahathir merasakan ‘cemas’. Mereka menjadi lebih cemas apabila audio yang membicarakan keinginan Anwar untuk ‘merampas kuasa’ daripada Dr Mahathir sehingga ada yang menulis surat terbuka menceritakan perangai dan tindakan Anwar yang cukup bahaya.

Ada yang sangat mempengaruhi kerana Anwar ialah seorang yang cukup berjaya menggunakan kaedah rertorik dengan jargon-jargon falsafah yang cukup indah. Ketika itu, ada yang membuat kesimpulan, sesiapa yang mendengar ceramah Anwar dari awal hingga akhir akan membuat kesimpulan menyebelahi Anwar.

Bahkan, selepas 2004, ada yang menyamakan kehebatan retorik Anwar hampir menyamai ‘air jami’ Ayah Pin (Ariffin Mohamad 1941-2016). Apabila seseorang itu meminum air dalam ‘telaga Ayah Pin’ sebaik sahaja memasuki perkampungan mereka di Hulu Besut (Kg La), ia akan mempercayai bahawa pemimpin yang suka ‘laga ayam dan lembu’ itu benar-benar berjaya menguasai ‘kerajaan langit’. Walhal Ayah  Pin bukanlah seorang pemimpin agama yang memahami Islam dengan baik kerana beliau hanya bersekolah setakat darjah dua. Beliau mendakwa mendapat wahyu dari ‘langit’ dan pengikutnya menganggap dirinya sebagai “Tuhan”.

Walaupun Anwar tidak sampai ke tahap tersebut, retoriknya sangat menakjubkan dan boleh bertukar-tukar wajah dan imejnya seumpama ‘sesumpah’. Tuduhan itu dijawab oleh Anwar, prinsip perjuangan tetap sama cuma pendekatan kepada khalayaknya sahaja berbeza. Ia adalah perlu disesuaikan menurut khalayak. Katanya, “(Khalayak) itu bagi saya penting. Kita tengok khalayak. Ada orang kritik kata Anwar sekejap baca al-Quran, sekejap petik Shakespeare, sekejap pergi menari tarian masyarakat India atau sampaikan tazkirah. .. Dia tak faham. Takkan saya pergi kampung bagi tazkirah di masjid quote Shakespeare, Winstons Churchill atau Abraham Lincoln?” (Malaysiakini, 6 September 2020). (Bersambung)

MONOSIN SOBRI

Translate »