MEMBACA ‘JALAN HIDUP MANUSIA’: KREATIVITI, IMAJINASI DAN NASIHAT AGAMA (IV).
Semakin lama manusia menghuni bumi, maka semakin banyaklah manusia keliru. Saya teringat kepada sebuah wawancara peradaban yang pernah dibukukan, iaitu antara Arnold Toynbee (1889-1975), seorang sejarawan besar British berama seorang pengamal dan pengembang agama Buddha (Soka Gakkai) berketurunan Jepun, Daisaku Ikeda (lahir 2 Januari 1923). Malaysia turut mempunyai pertubuhan Soka Gakkai dan dikatakan sudah berkembang sejak tahun 1984, sebagai pertubuhan bukan kerajaan yang mempromosikan ‘keamanan’ menerusi pertukaran kebudayaan dan pendidikan kemanusiaan sebagaimana terkandung dalam falsafah Buddha Nichiren, aliran Buddha yang diasaskan oleh Nichoren Daishonin (1222-1282) di Jepun pada Abad ke-13.
Soga Gakkai adalah salah satu aliran dalam Nichoren Shu. Pada tahun 1991, Goka Sakai disingkirkan daripada Nichiren Shosu dan bergerak secara berasingan. Daisaku Ikeda mengambil alih kepimpinan Soka Gakai pada tahun 1960, dua tahun selepas kematian Josei Toda (1900-1958) yang dilihat sebagai ‘seorang lelaki berkeyakinan kuat dengan bakatnya dapat menjelaskan konsep Buddhisme yang amat dalam secara logik dan istilah yang mudah diterima”. Hingga kini, Daisaku Ikeda memegang jawatan sebagai Presiden Soka Gakkai Antarabangsa.
Dalam tersebut cukup menarik dan telah diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Dr Asmah Haji Omar, Memilih Kehidupan: Satu Dialog Arnold Toynbee dan Daisaku Ikeda (Petaling Jaya: Fajar Bakti, 1988) dan disusuli Kemanusiaan Baru: Koleksi Ucapan Daisaku Ikeda, terjemahan BC Tan (Petaling Jaya: Fajar Bakti, 1999). Dalam memperkatakan mengenai kehidupan kreatif, Daisaku Ikeda berkata: “kita akan menerima seni sebagai perantara asas yang membawa insan menemui kaitannya dengan insan yang lain, umat manusia dengan alam semula jadi dan umat manusia dengan alam semesta…sesebuah permata karya seni dapat menimbulkan suatu perasaan yang tidak terperi hingga membawa kita melayang tinggi di angkasa, membolehkan kita berkongsi pengalaman tersebut dengan orang lain dan dalam masa yang sama mengiakan kebenaran pengalaman itu.” (Ucapan di Academe des Beaux-Art (Akademi Seni Halus), Paris pada 14 Jun 1989 dalam Kemanusiaan Baru).
Saya memetik ucapan itu bagi menjelaskan kenapa saya begitu tertarik dengan novel Hujan, garapan Tere Liye, yang bukan salah seorang pengarang yang saya sangat kagum kreativitinya. Saya hanya membaca novel tersebut secara kebetulan, setelah mendapat perkhabaran bahawa Tere Liye (lahir 21 Mei 1979), seorang akauntan yang sangat popular dalam penulisan kreatif di Indonesia, iaitu di luar daerah kelahirannya, Kabupaten Lahat, Sumatera Selatan.
Novel Hujan diterbitkan pada tahun 2016, dan dalam tempoh empat tahun sudah mengalami cetakan ke-35 (menurut naskhah yang saya beli pada tahun 2020) dan paling banyak diperkatakan oleh khalayak pembacanya berbanding dengan novel-novelnya terdahulu seperti Hafalan Shalat Delisa (2005) yang telah diadaptasikan ke skrin; Kisah Sang Penandai (2005, kemudian diberikan judul baharu (2018), Harga Sebuah Percaya); Bidadari-Bidari Syurga (2008 , juga diadaptasikan ke filem dan tahun 2018 dicetak semula dengan tajuk baharu Dia Adalah Kakakku); Rembulan Tenggelam di Wajahmu (2009 dan sudah diadaptasikan ke filem); Daun Yang Jatuh Tidak Pernah Membenci Angin (2010); Ayahku Bukan Pembohong (2011, juga diadaptasikan ke filem); Siri Negeri Para Bedebah (2012); Rindu (2014); Sunset & Rosie (2018, sebelumnya (2008) diberi judul Sunset Bersama Rosei); Selamat Tinggal (2019) dan beberapa siri novel Bumi (setakat ini sudah ada 9 siri), Pulang (3 siri), Anak Nusantara (7 siri) dan The Gogons (2 siri).
Novel Hujan turut mengingat saya kepada Tragedi Banjir Besar di Kelantan (2014) yang dikatakan berpunca daripada pembalakan di Hulu Kelantan tanpa batasan sehingga begitu cepat melimpah masuk ke Gua Musang, Jeli, Kuala Krai dan akhirnya menjadi ‘bah termenung’ di beberapa tempat di Tumpat dan Kota Bahru. Air yang berwarna kuning itu menjadikan sebahagian besar Kelantan ‘lumpuh’ beberapa hari manakala banyak harta musnah. Ia juga menimbulkan pelbagai interpretasi dan kecaman, namun segalanya menjadikan sebahagian penduduk menjadi kreatif, mencipta rumah seperti rakit dan tidak kurang berusaha mengubahsuai kediaman dari setingkat kepada dua tingkat.
Secara politiknya, kerajaan dikecam ‘kerana tidak bijak menguruskan mangsa banjir’, ‘lambat menyampaikan bantuan, dan hanya mengharapkan bantuan kerajaan Persekutuan’, melihat semula hubungan pembalakan dan hujan, kerana politikus yang memerintah, banjir berlaku ‘tiada kaitan dengan pembalakan, ia berlaku kerana hujan terlalu lebat’. (Baca, Zulkifli Yusof dan Abdul Hamid Mar Iman, (penyunting), Bah Kuning 2014 di Kelantan, Skudai:UTM Press, 2020; Dr Wan Nik Wan Yusof dan Ahmad Ukasyah Hassan, Bencana Banjir Kelantan 2014: Tanda Kekuasaan Illahi, K.Bahru: Pusat Kajian Strategik Kerajaan Negeri Kelantan, 2016 dan Dr Afiq Rahim, I Need Helicopter: My Patient is Dying/Episod Cemas Banjir Besar 2014, Batu Caves: PTS, 2015)
Hujan menceritakan tentang persahabatan, cinta, percubaan melupakan kesedihan, perpisah dan hujan itu sendiri. Fokusnya ialah bagaimana kisah-kisah terjalin setelah berlakunya bencana alam. Seorang professor memberikan kita satu makna besar, apabila dia mengatakan bahawa manusia sebenarnya hidup seperti virus, berkembang biak memakan apa sahaja sehingga tidak ada lagi yang tinggal. Untuk mengatasinya, diperlukan ubat, yakni yang paling kuat untuk menghentikan perilaku manusia yang memakan apa sahaja. Ubat itu bukanlah peperangan atau wabak penyakit, tetapi ia adalah bencana alam. Wabak penyakit tidak mematikan kesemua manusia, masih ada yang berbaki.
Manusia yang berbaki inilah kemudiannya menjadi semakin berkembang, dan membiak sebagaimana muncul generasi ‘baby boom’ selepas Perang Dunia Kedua. Hingga kini, manusia sudah mencecah lebih 7.8 bilion (setakat 20 Mac 2020) dan dijangka akan terus bertambah ekoran ‘lockdown’ akibat COVID-19. Di Malaysia ia sudah menampakkan pertambahan yang lebih besar mulai akhir tahun 2020 selepas PKP dimulakan pada 18 Mac 2020. Ia memang dijangka kerana PKP akan membataskan mobilisasi dan lebih banyak masa berada di rumah bersama pasangan dan ahli keluarga.
Apa yang cuba ditulis oleh Tere Liye itu mengingatkan kita kepada sikap dan hakikat manusia itu sendiri. Walaupun dikatakan spesies paling berkuasa dan unggul di atas muka bumi, manusia sebenarnya adalah ‘sangat lemah bila berhadapan dengan alam’. Kita boleh perhatikan dengan apa yang ketika pandemik COVID-19 masih besar dan belum dapat dikawal sepenuhnya. Kalaupun pandemik dapat dikawal beberapa tahun lagi, manusia masih belum mampu mengatasi bencana alam seperti tsunami pada 26 Disember 2004 yang mengorbankan hampir 300,000 orang di seluruh pesisir pantai Lautan Hindi. Setakat ini (29 Januari 2021), COVID-19 telah membunuh 2,182,867 orang di seluruh dunia, di mana 425, 670 kematian berlaku di Amerika Syarikat, sebuah negara yang amat maju dalam bidang perubatan dan teknologi serta memiliki kuasa terbesar di dunia. Ia bermakna, sejauh manapun kepintaran manusia, ia masih kerdil di sisi Sang Pencipta. Ia suatu hakikat dan pengajaran yang wajar diberikan perhatian sebagaimana tulis Tere Liye, “Semaju apa pun teknologi di muka bumi, tidak ada yang bisa mencegah kejadian itu. Bencana alam yang sangat mematikan”. (halaman 18)
Laporan kajian terhadap ‘Bencana Banjir di Kelantan 2014’ turut mengungkapkan “kejadian bencana alam yang berlaku di kebanyakan tempat seringkali dikaitkan sebagai fenomena alam semulajadi seperti perubahan cuaca dan perubahan muka bumi. Fenomena semulajadi mempunyai had kemampuannya untuk menyeimbangkan antara kerosakan dan pemulihan. Namun sekiranya akibat itu hasil daripada tindakan manusia yang merubah had kemampuan keseimbangan maka berlaku bencana lebih teruk daripada biasa.” (Dr Wan Nik Wan Yusof, et.al,, halaman 1) Hal ini menjadikan ada kebenarannya bahawa akibat pembalakan yang tidak terurus, sejumlah 90 peratus keluasan tanah di Kelantan mengalami banjir sehingga menyebabkan lebih 151,000 orang terpaksa dipindahkan dengan kerugian mencecah RM 1 bilion.
Banjir besar turut melibatkan kematian 25 orang di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Johor (Ibrahim Komo, Ibrahim Komoo, 2014. Bencana banjir besar: respon dasar, tindakan dan penyelidikan, yang dapat diakses dan dibaca dari perspektif akademik di alamat http://rmc.umt.edu.my/wpcontetnt/upload/sites/68/2015/Bencana_Banjir_2104_Respons_Dasar 683_Tindakan_dan_Penyelidikan.pdf ) Ia menolak pandangan awal respon kerajaan Kelantan apabila kajian akademik sebelum itu telah memberikan amaran awal mengenai kemungkinan negeri itu akan mengalami bencana besar. Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaacob dilaporkan berkata: “Banjir (besar) baru sampai Kelantan. Negeri lain pun sama, Pahang, Johor, Terengganu pun banjir, memang hujan lebat…Nak kata tak buat kerja, semua buat kerja, semua negeri buat kerja sebab hasil (dan) hasil pun kita tak ambil semua, jadi tak boleh tuding jari kepada Kelantan.” (Berita Harian, 7 Januari 2021; Free Malaysia Today, 10 Januari 2021; Sinar Harian, 7 Januari 2021; bandingkan dengan apa yang ditulis oleh Nazman Che Ibrahim “Banjir Kelantan dan Otak Sempit”, Harakahdaily, 4.12.2019)
Saya juga terjumpa pengakuan jujur penulis hasil Kajian Banjir Kelantan 2014 bila merumuskan bahawa “Masyarakat harus sedar bahawa walau secanggih manapun sistem amaran digunakan, ia menjadi kurang berkesan sekiranya mangsa banjir tidak mengambil peduli.Antara lain juga, perkara-perkara yang berkaitan dengannya adalah seperti menganggu sungai dan tebingnya….magnitude dan kekerapan banjir terus meningkat sekiranya kawasan yang mudah dilanda banjir masih dan dibangunkan sesuka hati. Kaedah perancangan pembangunan yang kurang bijak bukan sahaja menggagalkan program pengawalan banjir tetapi menambahkan lagi keseriusan ancaman banjir.” (Dr Wan Nik Wan Yusof et al, halaman 14-15) Mungkin itu adalah sindiran tajam kepada Pulau Pinang setelah Lim Guan Eng merayu untuk mendapat bantuan kerajaan persekutuan semasa banjir 2017 (Berita Harian, 5 November 2017, “Terima Kasih Jawab panggilan 3.30 pagi:Guan Eng”)
Biarpun Tere Liye mengandaikan hujan akan menjadi kemusnahan total pada tahun 2042, ketika dunia sudah memasuki era ‘paling canggih dan termaju’, manusia masih belum mampu menghindari bencana alam. Ia sekaligus memberikan saya sedikit jawapan kepada propaganda Hollywood dalam filem 2012, yang menceritakan ‘jika ada wang yang banyak, manusia boleh selamat’ daripada malapetaka besar seperti ‘kiamat’ itu.
Wang boleh membeli tiket untuk merakit dalam sebuah bahtera paling besar dan canggih, berdasarkan tafsiran Ronnald Emmerick. Ia seolah-olah mengulangi ketakutan yang disebabkan oleh ramalan kalendar purba Maya, yang meramalkan ‘end of times’ setelah memasuki period masa selama 5,126 tahun (bermula pada tahun 3.113 SM). Dalam sistem takwim tersebut, tarikh ‘end of times’ ialah 21 Disember 2012. Bagaimanapun, ramalan itu tidak berlaku, kecualilah gambaran kemusnahan dahsyat oleh Ronald Emmerick dalam filem 2012, yang pada satu sisi sangat mengelirukan, hanya beberapa bahagian di negara China yang terselamat, termasuk pagoda. Untung besar Ronald Emmerick kerana filem itu menghasilkan kutipan di seluruh dunia sebanyak $791.2 juta berbanding kos pembikinan sebanyak $200 juta dolar.
Sekali lagi saya melihat kegagalan manusia sebagaimana angkuhnya kapten kapal Titanic yang mengambil sikap ‘tidak perlu takutkan iceberg’ kerana jangkaannya, kapal tersebut adalah lebih besar dan berupaya membadai ‘iceberg’ di bahagian utara Lautan Atlantik setelah belayar dari Southampton, England pada 10 April 1912. Titanic tenggelam empat hari kemudian (14 April 1912) setelah berada di kedudukan 375 batu di selatan Newfoundland, yang kemudian dapat diselamatkan sekitar 705 daripada 2,224 orang penumpang dan anak kapal. Ia diselamatkan oleh kapal RMS Carphatia yang tiba dua jam selepas Titanic dilaporkan karam. RMS Carphatia akhirnya tenggelam pada 17 Julai 1918 (Perang Dunia Pertama) selepas dihujani peluru dari Kapal Selam U-55 Jerman di selatan pesisir pantai Ireland. (Bersambung)
KAMARUN KH
Recent Comments