Walaupun belum sempat membaca keseluruhan memoir bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang sedang hangat diperkatakan dan beberapa hari mula berada di pasaran, berdasarkan dua laporan Malaysiakini, satu kesimpulan dapat dibuat bahawa Dr Mahathir ‘memang sangat teruk’.

Sebelum ini, Musa Hitam yang menyimpan rahsia selama 30 tahun mendedahkan perkara yang sama walaupun isunya berlainan mengenai sikap dan perangai Dr Mahathir dalam memoirnya, Frankly Speaking (2016).

Datuk Wong Sulong yang menulis biografi Tun Abdullah Ahmad Badawi, Being Abdullah Ahmad Badawi (2016) turut menceritakan bagaimana teruknya perangai Dr Mahathir ‘menyerang’ penggantinya sehingga menimbulkan kemelesetan kuasa dan penguasaan BN dalam PRU ke-12.

Dalam pemahaman saya setelah membaca biografi Tun Abdullah muncul ‘sifat cemburu Dr Mahathir’ setelah Tun Abdullah berjaya melakarkan kejayaan lebih besar dalam PRU ke-11, dan kejayaan itu mengatasi kesemua PRU yang ditunjangi oleh Dr Mahathir sendiri selama 22 tahun menjawat jawatan Perdana Menteri, Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional.

Dr Mahathir walaupun terlalu vokal mengkritik dan menghentam PAS, merasakan kecewa apabila PAS berjaya menguasai Terengganu selepas PRU ke-10 (1999), yang juga merupakan PRU terakhir dibawah pengawasan dan penyeliaannya secara langsung.

PRU 1999 telah membangkitkan era politik baharu yang menjengkelkan nama Dr Mahathir sendiri kerana sebelum itu terpalit dengan isu kronisme, nepotisme dan korupsi serta ‘konspirasi politik’ akibat pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Timbalan Presiden UMNO.

Ketika itu Dr Mahathir dilabelkan dengan pelbagai imej yang menggambarkan ‘kediktatoran’ pentadbirannya dan juga bakal dihadapkan ke mahkamah sekiranya berjaya dijatuhkan atau selepas meletakkan jawatan atas beberapa isu besar, termasuk kehilangan berbilion ringgit akibat berniaga mata wang asing (Bank Negara Malaysia), bail-out (MAS, MISC, PLUS Highway dan ERL), memaksa Tabung Haji membeli dua bangunan di Kuala Lumpur dengan harga berganda daripada nilai sebenar yang ditaksirkan oleh jurunilai (TH Selborn dan  TH Perdana), menggunakan wang Petronas untuk membina KLCC dan Dayabumi (menguntungkan kroni), kemunculan politik wang yang tidak dapat dikawal apabila membuka ruang kepada golongan korporat menyertai UMNO, dan juga memindah milik, menswasta serta ‘menjual’ entiti yang ditubuhkan oleh UMNO dan kerajaan kepada individu dan syarikat-syarikat tertentu yang ada hubungan rapat (personal contact).

Sayangnya, kesemua dakwaan buruk terhadap Dr Mahathir tidak dibawa ke pengadilan mungkin kerana memikirkan kedudukannya sebagai ‘negarawan’ dan menghormati jasanya yang juga besar dalam membangunkan Malaysia sebagai negara moden. Atas pertimbangan itu, Dr Mahathir dianggap terlepas dan hampir sama dengan apa yang dialami oleh Soeharto di Indonesia.

Soeharto, walaupun pernah berjanji akan memulangkan apa yang diambil daripada negara, tidak dibicarakan sebagaimana berlaku ke atas Hosni Mubarak selepas hilang kuasa. Seoharto sehingga kematiannya, tidak menyerahkan apa yang dikatakan akan diserahkan kembali (Baca: RE Nelson, Riwayat Politik Suharto, Sri Kembangan: IBDE, 2017).

Musa Hitam menceritakan tentang apa yang berlaku ketika beliau dikatakan ‘bertanggungjawab mengarahkan’ pihak berkuasa menangani reaksi balas Ibrahim Libya dalam Tragedi Memali pada tahun 1985. Sebelum itu, ramai yang percaya bahawa Musa Hitam bertanggungjawab memberikan kebenaran pihak polis bertindak kerana gambaran yang muncul dalam ingatan rakyat Malaysia adalah Dr Mahathir tidak berada dalam negeri. Semuanya terbongkar, Dr Mahathir bukan ‘tidak tahu’, bahkan telah diberitahu oleh Menteri Dalam Negeri, iaitu Musa Hitam mengenai peristiwa tersebut sebelum ianya mencetuskan tragedi. Dr Mahathir berada dalam negeri, bukan tiada dalam negeri.

Dua pendedahan dan budaya politik Dr Mahathir itu semakin diperkuatkan dengan pendedahan Tommy Thomas terhadap tidak konsistennya seorang Perdana Menteri dan bekas Perdana Menteri yang memakai baju berlainan dalam dua period yang juga berbeza. Dalam period pertama, Dr Mahathir memakai baju UMNO dan BN manakala dalam period kedua selepas sengang 15 tahun, Dr Mahathir memakai baju Bersatu dan PH.

Ketika memakai baju UMNO dan BN, walaupun apa pun kesilapan Dr Mahathir, sangat ramai askar-askar yang akan mempertahankannya kerana UMNO dan BN adalah parti dan gabungan kerjasama “perkongsian kuasa’ yang sangat dominan. Ada banyak kelompongan dan hal-hal negative berjaya ditutupi, bukan dengan nyiru tetapi dengan permaidani indah buatan Iran atau Turki.

Ketika itu tidak banyak saluran yang boleh digunakan untuk ‘membocor maklumat’ kerana semuanya telah dikekang. Penjawat awam dikekang dengan Akta Rahsia Rasmi (OSA), akhbar dikekang oleh pelbagai Akta (Akta Mesin Cetak, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Hasutan, Akta Penyiaran, OSA dan sebagainya). Ahli politik atau aktivis sosial yang lantang mengkritik akan dikenakan tahan tanpa bicara menerusi penggunaan ISA. Ia berlaku dalam tahun 1987 menerusi Operasi Lalang.

Berbeza dengan apa yang berlaku selepas tahun 2000 setelah akhbar-akhbar mengalami kemerosotan dengan munculnya generasi baharu yang bertindak sebagai citizen journalist berkat teknologi internet dan telekomunikasi. Konsep maklumat di hujung jari dan langit terbuka benar-benar memberi cabaran besar kepada semua pemimpin, baik sebagai pemerintah ataupun pembangkang kerana apa yang berlaku benar-benar merupakan ‘real time’ dan ‘breaking news’.

Ramai pemerhati yang boleh merakamkan aksi dan juga merekodkan apa yang diperkatakan sehingga meyuarat rahsia tidak menjadi rahsia lagi. Ada rakaman suara yang bocor, ada surat ‘sulit’ bertukar menjadi ‘rahsia terbuka’ dan semua orang boleh menyatakan pendapatnya, asalkan bukan boleh ditafsirkan sebagai fitnah dan kebohongan.

Tahun 2016 sebahagian besar berita bukan lagi berpaksikan kebenaran dan menepati konsep jurnalisme kerana akhbar dan media lebih mengutamakan berita-berita yang ditulis berdasarkan churnalisme, hanya menggunakan bahan yang dikeluarkan oleh pengurusan perhubungan awam (siaran media mahupun kenyataan media), tanpa merujuk kes yang dilaporkan di lapangan secara signifikan atau kata Nick Davies, wartawan veteran The Guardian, tidak berada di lokasi kejadian hanya berdasarkan ‘newswire’.

Dua buku memoir dan autobiografi (Frankly Speaking dan Being Abdullah Ahmad Badawi) belum cukup ‘dahsyat’ berbanding perihal kebobrokan Dr Mahathir yang tersingkap dalam pendedahan Barry Wain, Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad In Turbulent Times (2009). Barry lebih fokus kepada kerakusan Dr Mahathir untuk membina ‘kekayaan peribadi dan keluarga’ menerusi pelbagai rencana dasar dan tindakan sehingga menyebabkan negara ketugian ratusan billion ringgit sejak berkuasa (1981-2003) yang mana ‘tidak dijawab’ dengan jelas bagi memperbetulkan ‘salah fakta’.

Ketika mengulas mengenai pendedahan buku tersebut, Dr Mahathir hanya mengambil sikap ‘biarkan’ dengan harapan jika Barry Wain disaman, akan berlarutan dengan beberapa lagi ‘perkara karut dan tidak betul’. Jika ini berlaku, reputasi dan imejnya sebagai ‘negarawan’ akan merosot habis hingga ke tahap ‘busuk dan mual’ seperti ditulis oleh Shahnon Ahmad sebagai ‘p*****k’ dalam novel Shit (1999) yang menggemparkan.

Kali ini Tommy Thomas memberitahu betapa tidak konsistennya Dr Mahathir dalam mempertimbangkan sesuatu perkara termasuk kisah pelantikannya sebagai Peguam Negara menggantikan Tan Sri Afandi Ali yang dilantik semasa pentadbiran Najib. Dr Mahathir membenci Najib kerana dua perkara pokok: kedudukan Mukhriz dalam UMNO dan dipaksa meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah; tidak puas hati kerana Najib tidak mendengar nasihat (? Oh nasihat. Dr Mahathir pernah bercakap mengenai perihal nasihat, bukanlah arahan semasa jadi PM ke-4 dan memimpin UMNO, termasuk tidak mengotakan nasihat agar UMNO membuat pemilihan semula selepas dibuktikan ada perwakilan tidak sah mengundi dalam perebutan jawatan 1987).

Semua orang tahu, prinsip pentadbiran yang diamalkan oleh Dr Mahathir penuh dengan paradok dan kekal dengan keputusannya jika ia ‘berjejaki dengan kuasa yang dipegang’nya. Itulah yang cuba didedahkan oleh Tommy Thomas, setelah dilantik pada keesokannya, diminta untuk meletakkan jawatan atas alasan ‘reaksi’ daripada orang Melayu.

Setelah diberitahu kemudiannya, Tommy juga pernah mewakili PAS dalam saman royalty minyak Kelantan, ‘nasihat meletakkan jawatan’ ditarik sehinggalah Tommy Thomas kekal sebagai Peguam Negara selama lebih setahun. Tommy akhirnya meletakkan jawatan selepas Dr Mahathir ‘penasaran’ meletakkan jawatan tanpa berbincang dengan rakan-rakannya dalam PH.

Bukankah ‘sangat teruk’ perangai Dr Mahathir? Ketika berusaha membentuk PH, ia mendapat persetujuan dan kerjasama yang baik daripada PKR, DAP dan PAN, kecuali PAS setelah beberapa kali dipujuk tetap tidak mahu bekerjasama selagi ‘membabitkan DAP dan PAN’. PAS melihat PAN sebagai sebuah parti ‘entah dari mana’ , yakni daripada kumpulan pemimpin yang telah dirasuk oleh kepentingan ‘kuasa’ atau ‘kebendaan’. Kumpulan yang kecewa setelah ditolak oleh ahli PAS di peringkat akar umbi yang mahukan PAS kembali kepada landasan kepimpinan ulamak. Mungkin kesan daripada krisis politik di Kedah semasa diterajui oleh PAS, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Sebaliknya, dalam membuat keputusan, Dr Mahathir kekal dengan Mahathirisme dan sentiasa berusaha untuk meletakkan pandangan atau pilihannya adalah betul. Ia dapat dilihat bagaimana Dr Mahathir berusaha merasionalkan tindakannya terhadap pelantikan Latheefa Koya (SPRM), Tan Sri Hamid Badur (Ketua Polis Negara), Datuk Shukri Abdul (SPRM) dan Pesuruhjaya SUHAKAM walaupun sebelumnya dipersetujui bersama melalui keputusan Jawatankuasa Pelantikan Penjawat Awam (PAC) yang dilantik, bukan lagi merupakan prerogative Perdana Menteri bagi mengelakkan salah guna kuasa atau nepotisme.

Jawapan Dr Mahathir ada lojiknya kerana PAC tidak mempunyai kuasa (diperlukan pindaan Perlembagaan untuk memberikan kuasa) dan jika menunggu keputusan PAC ia akan mengambil masa ‘yang lama’ dan ini akan menjejaskan perjalanan pentadbiran. Atas alasan itu, kontroversi dapat diredakan. Tetapi, yang menjadi persoalannya, kenapakah sebelum meletakkan jawatan, Dr Mahathir tidak kembali berunding dengan saki baki pemimpin dalam PH untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

Sebaliknya, membiarkan ‘kuasa lain’ untuk memutuskan penggantian PM dan dalam masa yang sama, masih teringin untuk kembali ke jawatan Perdana Menteri. Huh, banyak songeh sehingga ada yang melabelkan Dr Mahathir dengan keinginan besarnya, PM Seumur Hidup. Tidak cukup 22 tahun (PM ke-4 dan 22 bulan PM ke-7), masih bercakap “saya sedia jadi PM semula jika itu yang diinginkan (orang minta)”. Siapakah yang benar-benar mahukan Dr Mahathir kembali menjadi PM? Tidak lain tidak bukan ialah anaknya, Mukhriz dan juak-juaknya yang sudah tidak ada ‘roh UMNO’ dan ingin kembali mencari laba daripada kedudukannya sebagai PM?

PKR sudah menolak secara terang-terangan bahkan tidak sanggup lagi berada di bawah Dr Mahathir selepas 10 Mei 2020 (Otai Reformasi), pemimpin DAP juga sudah menyuarakan perihal peralihan kuasa antara Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim kerana persetujuan awal (ketika PH dibentuk) adalah kerana kedudukan Anwar yang tidak membolehkannya menjadi Perdana Menteri (masih belum bebas). Sebab itulah Dr Mahathir dan pemimpin yang membentuk PH bersetuju, pembebasan Anwar perlu diselesaikan sebaik sahaja PH menang dan Anwar boleh dilantik sebagai PM enam bulan kemudian, yakni jika mendapat pengampunan.

Dr Mahathir melakukan dua perkara, mendapat pembebasan awal dan mendapat pengampunan. Hanya satu perkara besar yang tidak dilakukan dan tidak mahu dilakukan (dengan pelbagai alasan dan janji), iaitu menyegerakan peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim setelah sah bergelar wakil rakyat (PRK Port Dickson) atas alasan, selepas OPEC (November 2020) dan memerlukan masa yang panjang untuk membaiki kerosakan.

Anwar memang sedar ‘permainan politik Dr Mahathir’, tetapi Anwar tidak boleh bersuara dan mendesak secara lantang. Jika desakan itu terbuka dan lantang disuarakan, Dr Mahathir memang cukup cekap untuk mengawal Anwar Ibrahim, akan ada serangan hendap dilakukan, atas keputusan Anwar ‘gila-gila nak jadi Perdana Menteri’.

Jadi, apa yang diperkatakan oleh Tommy Thomas dalam memoirnya, My Story: Justice in the Wilderness yang diterbitkan oleh SIRD (Strategic Information Research Division) itu tidak mengejutkan saya. Saya memang sudah lama memahami paradoknya Dr Mahathir bukan hanya sekadar membaca buku Khoo Boo Teik, Paradoxes of Mahathirism: An Intelectual Biography of Mahathir Mohamad (1995), John Hilley, Malaysia: Mahathirisme, Hegemoni dan Pembangkang Baru (2008) atau In-Wong Huang, Personalized Politics:  The Malaysian State Under Mahathir (2003) dan RS Milne and Diane K Mauzy, Malaysian Politics Under Mahathir (1999).

Adakalanya, Dr Mahathir sendiri berusaha memperbetulkan ‘pendapat’nya dan tidak lagi mempertahankan apa yang diperkatakan sebelumnya, kerana Dr Mahathir adalah seorang politikus yang tahu bagaimana mendapatkan kuasa, menguruskan kuasa dan juga menyalahgunakan kuasa.

Sangat licik dan ‘heroic’ kerana itulah apa sahaja yang dilakukan pengganti-penggantinya ‘adalah salah dan tidak betul’ mungkin kerana begitu taksub dengan teori pemikiran (analisis transaksional oleh Thomas A Harris, I’M OK, You’re OK (1967):   I’m Ok, you’re Not OK. Sangat cuba dielakkan ialah I’m OK, You’re OK, kecuali ‘bila saya memerlukan kamu’ dan setelah itu, ‘saya buang atau ketepikan’, kerana ‘kamu sudah tidak berguna lagi’. Itulah yang sudah dirasai oleh bekas Menteri Penerangan, Allahyarham Tan Sri Mohamad Rahmat sebagaimana dinukilkan dalam UMNO: Akhir Sebuah Impian (2009).

Mungkin ia berbeza dengan apa yang dirasai oleh Tommy Thomas, saya menanti kesempatan untuk memiliki memoir tersebut dan membacanya, yang mungkin dapat saya fahami apa yang berlaku sepanjang beliau dilantik sebagai Peguam Negara (4 Jun 2018 hingga 28 Februari 2020) dari perspektif ‘orang pertama’ terhadap Dr Mahathir pemimpin paling lama berada dalam lanskap politik dan paling lama berkuasa di Malaysia dalam sejarah pentadbiran kuasa eksekutif mengatasi period pemerintahan Yang di Pertuan Agong.

 

MONOSIN SOBRI

Translate »