Ketika ini,  apa pun yang diucap dan dilakukan oleh Anwar Ibrahim rakyat tetap membuat satu kesimpulan yang jelas. Apa pun Anwar cakap, komen, cadang dan kritik adalah memacu kepada satu tujuan yang satu, iaitu menekan Muhyiddin supaya meletakkan jawatan.

Selagi Muhyiddin tidak meletakkan jawatan, Anwar akan menggunakan apa sahaja ruang dan kelemahan untuk menggambarkan kerajaan Perikatan Nasional sudah tidak ada sokongan majoriti, termasuklah membawa tuntutan di Mahkamah perihal nasihat yang diberikan kepada Yang di Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat pada 13 Januari 2021.

Selain Anwar, Khairudin Abu Hassan turut mengemukakan keinginannya untuk menolak Muhyiddin atas alasan kedudukan Perdana Menteri ke-8 itu tidak lagi sah kerana sudah tidak ada sokongan majoriti setelah tiga orang pemimpin UMNO mengambil keputusan tidak menyokong Perikatan Nasional.

Tengku Razaleigh Hamzah adalah wakil rakyat UMNO pertama yang berpendapat Perikatan Nasional adalah kerajaan yang tidak mendapat mandat rakyat dan kerana ini tidak hadir untuk mengundi Belanjawan 2021 ketika dibahaskan di peringkat dasar dan juga Jawatankuasa.

Biarpun Tengku Razaleigh mengambil sikap tidak mahu terbabit –sama ada menolak atau menyokong –Belanjawan 2021 akhirnya berjaya diluluskan di peringkat dasar dan juga Jawatankuasa. Kelulusan tersebut turut mencabar ‘air muka Anwar’ yang merupakan Ketua Pembangkang.

Ketika di peringkat dasar, Belanjawan 2021 diluluskan tanpa undi belah bahagi (26 November 2020). Akibatnya, bukan sahaj Anwar dibelasah bahkan Anthony Loke terpaksa membuat penjelasan bahawa Belanjawan 2021 akan berhadapan dengan cabaran yang lebih besar apabila dibahas di peringkat Jawatankuasa sebelum bacaan kali ketiga.

Mahathir yang bangun untuk menyokong undi belah bahagi yang dicadangkan oleh Mahfuz Omar terpaksa menerima hakikat bahawa bukan semua wakil rakyat PH menentang. Sehari sebelum pengundi dibuat, Anwar dikatakan sudah mengeluarkan arahan kepada wakil rakyat PH supaya tidak menentang Belanjawan 2021.

Ada kemungkinan Anwar takut dirinya dituduh ‘engkar kepada titah Yang di Pertuan Agong’ yang pada suatu ketika menyeru agar semua pemimpin politik menyokong kerajaan untuk membendung wabak COVID-19. Ini kerana Anwar ada satu lagi ‘keputusan tergantung’ yang diharapkan akan dibuat oleh Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong (YDPA), yakni mengesahkan dakwaannya bahawa dirinya mempunyai sokongan lebih besar.

Sebelumnya, Anwar mengadap YDPA dan menyampaikan bukti (dokumen) yang dirinya mempunyai sokongan majoriti dan kerajaan Muhyiddin ‘sudah tumbang’. Biarpun Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan bahawa Anwar mengemukakan dokumen, tetapi tidak memberikan senarai lengkap siapakah wakil rakyat yang berpihak kepadanya.

Sebaik sahaja kenyataan Istana Negara itu tular, Anwar sekali lagi diserang dan diperlekehkan. Desas-desus itu kemudiannya sampai ke konflik seterusnya apabila tular surat daripada Presiden UMNO yang meminta wakil rakyat menyokong Anwar untuk menumbangkan Muhyiddin. Akibatnya, Zahid mengisytiharkan ‘gencatan politik’ dan menyeru kepada semua wakil rakyat UMNO menyokong Perikatan Nasional, yang sedang dibelenggu oleh peningkatan kes COVID-19.

Ketika Anwar dipersalahkan kerana menghantar makluman kepada wakil rakyat PH untuk tidak melakukan undi belah bahagi, ramai melihat ia sebagai ‘kaedah memujuk’ biarpun pemimpin PH turut mencabar kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang.

Belanjawan 2021 yang mendapat perbahasan daripada 87 wakil rakyat, terus diluluskan di peringkat Jawatankuasa dan seterusnya ketika bacaan kali ketiga. Dalam pengundian akhir, Belanjawan 2021 yang dikenali sebagau RUU Perbekalan (Belanjawan) 2021 diluluskan untuk bacaan kali ketiga dengan 111 menyokong dan 108 lagi menolaknya. Dengan itu, PH dilihat kecundang dan kedudukan Muhyidin mula diukur daripada sokongan tersebut.

Setelah Ahli Parlimen Machang, Ahmad Jazlan Yaakub mengumumkan tidak lagi menyokong Perikatan Nasional (9 Januari 2021) dan kemudian disusuli oleh Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz tiga hari kemudian, menjadikan kedudukan Muhyiddin semakin goyah, dan dilihat hanya tinggal 109 sokongan. Ini bermakna PH yang mempunyai 108 wakil rakyat, walaupun tidak dianggap mencapai majoriti mudah kerana 3 wakil rakyat UMNO –Gua Musang, Machang dan Padang Rengas –tidak secara terbuka menyokong Anwar.

Mungkin kerana kedudukan yang goyah itu dikatakan menjadi punca Muhyiddin memohon sekali lagi untuk perkenan YDPA untuk mengisytiharkan ‘Proklamasi Darurat’ setelah permohonan pertama tidak diperkenankan (25 Oktober 2020). Dalam keadaan itulah Anwar, Khairudin dan pemimpin PH terus mendendangkan ratib bahawa Muhyiddin sebenarnya bukan lagi PM yang berkuasa dan sah, kerana sudah tidak ada majoriti.

Pada masa yang hampir sama, meletus satu isu yang cukup menggambarkan keretakan dalam Perikatan Nasional apabila Tan Sri Anuar Musa dipecat sebagai Setiausaha Agong BN (5 Januari 2021) dan digantikan oleh Ahmad Maslan. Sebelumnya, Ahmad Maslan menggantikan Anuar Musa sebagai Setiausaha Agong UMNO. Rentetan daripada itu menyebabkan Zahid Hamidi akhirnya dicabar agar meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO atas alasan ‘menjadi bagasi’ setelah didedahkan oleh Anuar Musa sangat cenderung untuk bekerjasama dengan Anwar Ibrahim bagi menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional.

Sehari selepas dilantik, Ahmad Maslan mencetuskan kontroversi yang lebih parah lagi sehingga menampakkan UMNO seperti ‘mengsendiri berhadkan parti’ oleh beberapa orang pemimpinnya sendiri, terutama dalam kalangan mereka yang masih belum selesai proses mahkamah.

Menurut Ahmad Maslan, dua sebab mengapa ‘mereka menentang Muhyiddin. Pertama kerana UMNO tidak puas hati dengan pembahagian jawatan dalam kabinet (tanpa jawatan Timbalan Perdana Menteri dan lebih mengutamakan wakil rakyat Bersatu, termasuk bekas wakil rakyat UMNO yang melompat) dan juga perihal kedudukan tiga jawatan Menteri Kanan.

Azmin merupakan menteri kanan paling kanan, yang diberikan peranan mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri sekiranya Muhyiddin ‘berhalangan’ atau tidak berada dalam negeri. Jika Azmin juga tidak ada dalam negeri, Dr Radzi Jidin yang dilantik sebagai Menteri Kanan (Pendidikan) walaupun kalah kepada Anuar Musa di Parlimen Ketereh.

Nama Ismail Sabri Yaacob, Menteri Kanan (Pertahanan) tidak disebut sekiranya Azmin dan Dr Radzi tidak ada dalam negeri yang dibolehkan mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri. Ini bermakna, Muhyiddin lebih mengutamakan Bersatu daripada rakan-rakan kerjasamanya walaupun UMNO ada jumlah wakil rakyat yang lebih besar daripada Bersatu dan PAS.

Kedua, menurut Ahmad Maslan adalah sebab yang lebih penting untuk memutuskan kerjasama dalam kerajaan Perikatan Nasional ialah Muhyiddin tidak ‘campur tangan’ meneruskan kezaliman “Dr Mahathir, Latheefa Koya dan Tommy Thomas’ walaupun ketiga-tiga mereka ‘sudah entah ke mana’. Apa yang diharapkan ialah setelah terjalinnya kerjasama, Muhyiddin tidak akan meneruskan dakwaan terhadap pemimpin UMNO di mahkamah.

Orang awam melihat, sekiranya Muhyiddin melakukan perkara yang sama dilakukan sebaik sahaja PH menang, ia merupakan satu bentuk penodaan terhadap sistem kehakiman sebagaimana dikecam ketika Dr Mahathir melakukannya (PM ke-4) dan tatkala Tommy Thomas menggugurkan kes-kes Lim Guan Eng (kes tersebut sudah dibicarakan), dakwaan pembabitan pemimpin DAP menyokong dan mempromosi LTTE, dakwaan ‘isyarat lucah’ Siti Kassim, tuduhan menghasut oleh kartunis Zunar, penghinaan Ratu Naga, kes hasutan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Bekas MP Padang Serai (N Surendran),Ahli Parlimen Sungai Buloh (S Sivarasa)  dan Ahli Parlimen Kampar (Thomas Su Keong Siong).

UMNO melihat Bersatu pimpinan Muhyiddin semakin ghairah untuk ‘menghancurkan UMNO’ sebagaimana diinginkan oleh Dr Mahathir. Walaupun Muhyiddin belum mengeluarkan kenyataan jijik kepada UMNO sebagaimana Dr Mahathir, dan boleh bersatu dalam pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional selepas Langkah Kajang, agenda besar bekas PM ke-7 diteruskan secara berhati-hati dan pembulian.

Biarpun Muhyiddin tidak melakukan secara terang-terangan, beberapa orang ‘katak yang melompat ke Bersatu’ dilihat begitu ghairah untuk menyingkirkan UMNO secara halus, termasuk oleh Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainudin yang memegang jawatan Setiausaha Agung Bersatu. Azmin Ali yang diterima menyertai Bersatu selepas merancang Langkah Kajang turut menjadikan UMNO sebagai sasaran demi mengukuhkan kedudukannya.

Bersatu, berdasarkan kenyataan Hamzah Zainuddin berhasrat untuk menubuhkan 8,000 cawangan parti itu dalam tempoh tiga bulan. Ini bermakna, bagi menjayakan hasrat itu, Bersatu perlu mempengaruhi ahli-ahli UMNO agar dapat menubuhkan cawangan, yang menurut Nazri Aziz turut ditawarkan wang sehingga RM 20,000. Hal itu turut diakui oleh pemimpin PAS Gombak, pernah dihubungi dan diminta untuk tidak menyokong UMNO, dengan pelbagai tawaran, termasuk wang.

Tentunya, pendedahan pemimpin PAS Gombak itu boleh dibaca oleh pemerhati politik. Ini kerana PAS dan UMNO sudah bersetuju (sebelum penyertaan dalam Perikatan Nasional), PAS akan memberikan laluan kepada UMNO sekiranya undi di kawasan tersebut UMNO lebih menonjol daripada PAS (berdasarkan keputusan PRU ke-14). UMNO juga dikatakan bersetuju memberikan laluan kepada PAS sekiranya undi PAS lebih besar daripada UMNO. UMNO dan PAS berusaha untuk mengelakkan pertembungan.

Dalam pada itu, UMNO sangat mendesak Muhyiddin akan segera mengadakan PRU ke-15 walaupun situasi COVID-19 meningkat. Menurut Ahmad Maslan, jika rakyat boleh beratur bila membeli-belah, tidak ada sebab tidak boleh beratur dalam satu hari untuk mengundi. Ia sesuatu yang dilihat sebagai ‘cadangan dan gesaan’ yang tidak bijak oleh Ahmad Maslan.

Kini, isu pengisytiharan Proklamasi Darurat menjadi serangan terhadap Muhyiddin biarpun ada pihak berpendapat, keputusan YDPA mengisytiharkan Proklamasi Darurat itu tidak boleh dicabar. Apa yang dilakukan oleh Anwar dan Khairudin ialah mempersoalkan kedudukan Muhyiddin, yang dilihat tidak lagi sah semasa memohon perkenan YDPA kerana beliau bukan lagi ‘ada kuasa’ dan ‘tidak ada majoriti’.

Jika keputusan mahkamah membenarkan proses yang didakwa oleh Anwar dan Khairudin, ia memperlihatkan kesan politik yang lebih besar ke atas sistem perundangan di Malaysia. Jika mahkamah menolak saman kededua politikus itu, ia memperlihatkan bahawa tafsiran terhadap ‘kuasa budi bicara YDPA’ akan kekal sah dan tidak boleh dicabar, dan akan menjadi rujukan penting pada masa hadapan.

Apa pun tindakan, perucapan dan sanggahan Anwar, akan tetap dilihat sebagai langkah ‘terdesak’ setelah beberapa langkah dan perancangannya telah gagal. Sejak PH tidak lagi memerintah, Anwar sudah beberapa kali gagal dalam tindakannya untuk menjatuhkan Muhyiddin bermula dengan menamakan kumpulan Azmin Ali sebagai pengkhianat, perebutan calon PM bagi PH Plus, keputusan tidak meneruskan cadangan menggagalkan Belanjawan 2021, undi tidak percaya kepada Muhyiddin, ada nombor yang cukup dan meyakinkan, sudah ada sokongan 114 atau 115 wakil rakyat dan kali ini ialah menggugat Muhyiddin menerusi tindakan undang-undang setelah YDPA tidak yakin dengan dokumen sokongan dalam pertemuan pada 13 Oktober 2020.

Kenyataan terbaharu Anwar, banyak negara jahanam bila penguasa menganggap dirinya serba tahu tidak jelas kepada siapakah yang disasarkan. Apakah Anwar melihat bahawa Muhyiddin adalah ‘penguasa serba tahu’?  Siapakah sebenarnya yang ‘berpura-pura bercakap soal kepentingan dan keperihatinan rakyat? Apakah yang Anwar lakukan sejak beliau keluar daripada Penjara Sungai Buloh dan mendapat pengampunan membela ‘kepentingan dan keprihatinan rakyat’.

Bahkan, sejak ‘gila-gilan nak jadi PM’ Anwar semakin tidak kisah apa yang sedang dialami oleh pengundi di Port Dickson. Apakah penyelesaian yang dilakukan oleh Anwar untuk menghidupkan Port Dickson yang turut dikenakan PKP? Apakah jaminan Anwar bahawa hotel-hotel di Port Dickson akan terus beroperasi biarpun beberapa hotel di Pulau Pinang sudah menunjukkan ketidakmampuannya ekoran bencana COVID-19.

Dua buah hotel di bawah jenama Shangri-La di Batu Feringgi dilaporkan sedang menawarkan pemberhentian sukarela (VSS) kerana tidak dapat menanggung kos pengurusan setelah mengalami kemerosotan perniagaan manakala Hotel Equatorial di Bukit Jambul akan menutup operasinya pada 31 Mac 2021. Tak perlulah Anwar bercakap dan berdalih, lakukanlah tindakan dan ‘sentuhan ajaib’ untuk membantu hotel-hotel yang semakin tidak mampu beroperasi jika benar-benar prihatin dengan masalah rakyat. Ini kerana hotel turut menyediakan pekerjaan kepada rakyat.

Kalau hanya sekadar bercakap dan memberikan cadangan tanpa tindakan, rasanya Rani Kulup lebih baik daripada Anwar. Sekurang-kurangnya Rani yang terkenal dengan Kipidab tidak menggunakan bahasa bombastik, yang kadangkala sangat paradoks antara cakap dan tindakan. Telah lama rakyat memerhatikan siapakah sebenarnya Anwar, bahkan semakin lama semakin hilang ‘sentuhan’nya kerana nawaitu ialah ‘mahu jadi PM’ dengan apa cara sekali pun.

Telah lama rakyat Malaysia faham, Anwar bukanlah seorang pemimpin yang mendahulukan rakyat, kerana apa yang dikejarnya ialah kedudukan sebab itu setiap hari ada penyokong-penyokong dan pendokongnya berpatah arang berkerat rotan dengan Anwar Ibrahim. Rakyat Malaysia bukan sahaja bosan mendengar, bahkan jika boleh, nama Anwar Ibrahim tidak lagi muncul dalam kamus politik Malaysia selepas  PH terlucut kuasa.

Setakat ini, tidak ada pemimpin yang melabelkan dirinya serba tahu, kecuali Anwar Ibrahim yang bijak mengeksploitasikan keadaan dan memanipulasikan setiap ruang yang terbuka meskipun sumbang dan menjengkelkan.

 

MONOSIN SOBRI

 

Translate »