Ada banyak cerita yang kita dengar, apatah lagi komen netizen apabila seseorang mengeposkan selfie dalam keadaan sekalipun. Bagi tuan punya ‘diri’, wajah selfie itu tetap mengandung makna tertentu; lucu, sedih, suka ataupun sekadar membuang kebosanan oleh sesuatu keadaan atau sebab. Misalnya bosan lama terkurung akibat PKP. Tetapi kebosanan PKP 2.0 tidaklah sampai terperok panjang seperti PKP 1.0.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Nor Hisham Abdullah, kerajaan mungkin tidak akan melanjutkan PKP 2.0 selepas 4 Februari 2021 kerana bimbangkan keadaan ekonomi menjadi semakin parah. Semasa PKP 1.0, Perdana Menteri pernah menyatakan dari segi ekonomi kerugian setiap hari dianggarkan RM 2.4 bilion. Bayangkan, PKP 1.0 berjalan begitu lama (dari 18 Mac 2020 hingga 31 Ogos 2020) yakni lima bulan setengah (177 hari). Secara kasarnya dalam tempoh tersebut kerugian ialah RM 424.8 bilion, melebihi peruntukan yang diperlukan untuk pengurusan kerajaan dan negara bagi setahun (Belanjawan 2021).

PKP 2.0 berbeza dengan PKP 1.0. PKP 2.0 sektor ekonomi masih dibenarkan beroperasi sehingga jam 10 malam (kedai runcit dan restoran), bekalan barangan keperluan masih mudah diperoleh (walaupun sedikit mahal), dan tidak berlaku ‘pembelian panik’ seperti permulaan PKP 1.0. Tidak ada kisah ‘kari kambing’ dalam PKP 2.0 tetapi ada kisah yang cukup ‘gila’ perihal vaksin COVID-19. Mereka seolah-olah ingin memperlekehkan para saintis yang bertungkus lumus mencari vaksin dan usaha kerajaan untuk melaksanakan program vaksinasi kepada sebanyak mungkin rakyat.

Ia bermula dengan pertikaian harga belian sehinga ada dakwaan akibat rundingan sulit itu boleh mendapat komisyen lumayan. Kemudian, apabila vaksin tersebut mula dilakukan di beberapa buah negara timbul pula isu keberkesanan tahap rintangan jangkitan dan kemudian tersebar cerita seorang jururawat yang sihat terganggu fikirannya selepas disuntik. Ada juga cerita seseorang telah mati sebaik sahaja beberapa jam menerima suntikan vaksin. Muncullah lebih banyak kumpulan yang mempertikaikan mengenai vaksin di luar negara dan turut menjadi-jadi dalam negara.

Ada orang awam bercakap mengenai faktor kenapa kita perlu menolak suntikan vaksin. Ada yang berkata, berdasarkan rekod mereka yang pulih sepenuhnya selepas menerima rawatan, ketika vaksin belum dijumpai, maka tidak ada sebab kita perlu percaya kepada vaksin sebagai langkap imunisasi.

Kemudian muncul pula seorang wanita mencabar Menteri Sains, Teknologi dan Innovasi untuk menjawab satu laporan setebal 60 halaman yang menidakkan keperluan suntikan vaksin. Penciptaan vaksin dikaitkan dengan konpirasi dan kegelojohan kapitalisme kerana seseorang telah menderma ratusan juta ringgit untuk tujuan tersebut. Bila vaksin dapat dicipta, maka tokoh penderma berkenaan akan menjadi lebih kaya, atau disanjung sebagai dermawan dan seorang philantropis yang telah berjaya menyelamatkan jutaan manusia daripada COVID-19.

Vaksin turut dipersoalkan daripada perspektif agama. Ada yang mempersoalkan dari sudut halal dan haram. Ia sesuatu yang wajar kerana Islam mementingkan bahan dan proses pembuatan vaksin itu adalah dari sumber yang halal. Ini kerana ada dakwaan bahawa sebahagian besar bahan yang digunakan dalam kebanyakan vaksin bersumberkan bahan haram (misalnya daripada apa yang sahaja dikaitkan dengan babi), atau cara bahan itu diambil tidak menurut kehendak syari’e (misalnya enzim lembu untuk vaksin campak).

Akhirnya, satu kenyataan telah dikeluarkan. Indonesia membenarkan umat Islam disuntik vaksin manakala di Malaysia, ia dikategorikan sebagai harus. Harus bererti dibolehkan, dan tidak haram atau berdosa bila seseorang itu disuntik vaksin atau vaksinasi.

Itu perihal kemajuan perubatan untuk membantu manusia menjaga kesihatan diri dan masyarakat. Bagaimana pula halnya dengan obsesi seseorang terhadap kecantikan dan kesihatan diri sehingga sanggup menghabiskan sebahagian pendapatan bulanan kerana ingin dilihat cantik, ayu dan jelita? Dari segi Islam, ia secara terang-terangan dilarang untuk berhias hanya kerana ingin dilihat cantik, ayu dan jelita secara penampilan fizik, hanya kerana untuk mendapat pujian dan sanjungan seseorang yang bukan muhrimnya.

Contohnya, ada sanggup berbelanja ribuan ringgit untuk melakukan pembedahan plastik bagi menukarkan hidungnya yang sedikit kembang menjadi mancung seperti hidung kepunyaan Julia Robert. Ada juga sanggup menukarkan bentuk bibirnya agar kelihatan seksi seperti Angelina Jolie. Ada juga yang sanggup mengambil risiko sehingga mengalami kesan sepanjang hayat atau meninggal dunia kerana menyedut lemak untuk kelihatan ‘sangat menarik’ dan melambatkan proses penuaan. Semuanya tidak memikirkan apakah bahan yang digunakan itu ‘halal’ atau ‘haram’ walaupun kita tahu bahawa ia turut menjadi ‘darah daging’ sebagaimana suntikan vaksin.

Kalau kegilaan itu tidaklah memuncak, maka kita yakin kemunculan peniaga-peniaga supplement dan kosmetik untuk kecantikan tidak serancak beberapa tahun kebelakangan ini, sehingga ada yang berlagak sombong, riak dan tidak kurang juga mencabar manusia lain yang terus bersyukur dengan apa yang dimiliki secara azali. Mereka tidak memerlukan pelbagai supplemen dan kosmetik atau pil anti penuaan, kerana secara semula jadi badan manusia ada kelebihan dan bahan-bahan yang diperlukan, cuma tinggal bagaimana untuk menambah dan membantu agar tidak kelihatan lebih tua daripada usia sebenar.

Secara psikologi, ketawa itu merupakan penawar semula jadi yang sangat mujarab untuk memperlihatkan wajah yang tidak dimakan usia. Ketawa itu tidak bermakna mentertawakan orang lain secara mengejek kerana perbuatan itu dilihat sebagai satu bentuk buli dan pelecehan yang turut diharamkan oleh agama. Kita boleh ketawa, senyum sepanjang masa kerana senyum itu adalah sedekah.

Kita faham, sedekah itu adalah satu amalan yang sangat dituntut oleh agama, kerana dengan senyuman ia membolehkan seseorang merasa senang dan hilang banyak persoalan yang menjadi kusut-masai kehidupan. Seperti kata orang tua, biar buruk rupa hati mesti baik. Senyuman adalah tanda ‘hati baik’ manakala ‘bermasam muka’ petunjuk ‘hati kurang baik’.

Umar, sudah tujuh tahun bersara. Beliau kelihatan sehat dan cukup bertenaga. Setiap enam bulan melakukan pemeriksaan kesihatan secara sukarela walaupun belum ada tanda-tanda mengidap darah tinggi, diabetes dan masalah jantung. Suatu hari rahsia Umar terbongkar, tidak ada supplement mahupun ubat-ubatan yang diamalkan. Apa yang dilakukannya ialah budaya hidup sehat, menjaga pola makan dengan tidak mengambil makanan banyak lemak, makan sayur-sayuran dan menjaga berat badan agar perutnya tidak menonjol ke depan dan digelar gendut.

Sejak pernah mengalami rasa ngilu di penjuru kiri dada, Umar mendisiplinkan diri untuk melakukan senaman berdasarkan keupayaan diri. Umar tidak memaksa untuk melakukan jogging setiap pagi atau petang, tetapi setiap hari dipastikan bahawa dapat menapak lebih 10,00 langkah sehari. Dia amalkan rutin itu sejak memasuki umur 35 tahun, dan hingga kini sudah 32 tahun dilakukannya tanpa halangan.

Sebagai seorang pegawai di sebuah jabatan kerajaan, Umar juga mempunyai masa kerja yang sibuk dan perlu dilakukan kerana situasi kerja sudah banyak berubah daripada tahun-tahun sebelumnya. Ketika di peringkat awal berkerjaya, Umar tidak banyak hadir mesyuarat dan perbincangan-perbincangan, hanya menerima arahan untuk menyiapkan laporan dan memberikan maklum balas terhadap tugas yang diamanahkan. Kadangkala Umar perlu ‘outstation’ untuk sesuatu tugas yang diamanahkan. Tetapi, Umar tidak pernah ponteng melakukan rutin hariannya, iaitu berjalan.

Jika berada di luar pejabat, Umar akan gunakan masa di awal pagi, misalnya selepas sembahyang subuh untuk melakukan senaman ringan dengan berjalan-jalan di sekitar hotel penginapan. Jika tidak dapat dilakukan pada waktu pagi, akan dicari jalan waktu petang atau malam dengan alasan menikmati suasana di sekeliling tempat di mana dia menginap. Jika tidak bekerja di luar stesen, Umar lebih banyak menggunakan kenderaan awam untuk ke pejabat walaupun memiliki kereta.

Untuk ke stesen pengangkutan awam, Umar akan berjalan sekitar 10 atau lima belas minit, selepas selesai sholat Subuh. Paling lewat ialah jam 6.30 pagi. Umar terpaksa menyambung perjalanannya ke Putrajaya dengan menaiki bas di hadapan Pasar Seni. Dari stesen KTM di Daya Bumi, ke Pasar Seni, Umar berjalan sekitar 10 minit. Setibanya di Putrajaya, Umar mengambil masa selama 10 minit lagi untuk sampai ke pejabat. Waktu pulang juga begitu. Itulah yang dilaluinya selama 10 tahun setelah ditukarkan ke Putrajaya sehingga sampai waktu bersara.

Sebelum itu, Umar ditukarkan ke beberapa buah negeri,  yang rutin senamannya menjadi lebih mudah berbanding ketika bertugas di Putrajaya, sangat tertakluk kepada masa. Jika keluar lewat, Umar akan ditinggalkan oleh kenderaan awam. Jika berlaku kelewatan kepada pengangkutan awam, Umar akan berhadapan dengan masalah lewat sampai pejabat. Bila hujan, Umar turut mengalami gangguan waktu ketibaan. Semuanya sudah berlalu, Umar tempuhi dengan jayanya kerana kad perakam waktu belum bertukar kepada merah walaupun ada sesekali diberikan kad berwarna hijau sejak kaedah itu diperkenalkan pada awal 1980-an.

Umar turut mengawal pemakanannya. Selain tidak mengambil makanan banyak lemah, tidak menyentuh minuman berkarbonit, kecuali tidak dapat dielakkan. Setiap kali menjamu selera, Umar tidak makan begitu kenyang, cukuplah sekadar alas perut dan rasa kenyang. Biarpun ada kawan-kawan menyindir, tetapi sindiran itu sebenarnya hikmah yang sangat dihormati oleh Umar. Hati dan perasaannya tidak tergores, sebaliknya, Umar hanya mampu berkata, “Saya memangnya tidak banyak makan, tangki kecil’. Kadangkala Umar dan kawan-kawan ketawa, kadangkala Umar jadikan itu sebagai ‘petua’ untuk tidak menjadikan dirinya ‘makan sehingga sendat’.

Bagi Umar, ketika proses penghadaman makanan, ia seumpama kita menggunakan blender. Mesti ada ruang bagi membolehkan bilah-bilah itu membuat kitaran bagi menghancurkan apa yang kita masukkan ke dalam bekas tersebut (baling khas). Ia juga perlu dimasukkan sedikit air, kerana peranannya ialah melembutkan bahan-bahan yang hendak diproses itu. Jika balung itu tidak mempunyai ruang bilah-bilah membuat pusingan memecahnya, maka ia akan menyebabkan blender tidak dapat berfungsi. Itulah gambaran yang sama dalam sistem penghadaman kita dalam usus.

Sebab itu, sebelum makanan kita telan, ia perlu dikunyah perlahan-lahan dan beberapa kali. Cara kita makan tidaklah sama seperti ular sawa. Ular sawa boleh telan seekor kambing tanpa perlu membuang tulang-tulang dan kulit kambing, kerana di dalam badannya ada cecair yang boleh melembutkan kesemuanya, tetapi, selepas menelannya, ular sawa akan berdiam diri beberapa hari sehinggalah semuanya telah hadam dan selesai proses pencernaannya. Berbeza dengan kita manusia, kita sentiasa mahu makan tanpa memikirkan apakah perut kita perlu berehat atau tidak daripada memproses.

Sebab itulah kita menjadi cepat gemuk, makan sehingga terlalu kenyang dan bila-bila masa walaupun lewat malam. Akhirnya, akibat kegemukan itu kita cepat letih dan seterusnya mula mengalami gangguan penyakit. Ya, semua tahu akibat makanan berlemak boleh menyebabkan penyumbatan saluran darah. Bila saluran darah tersumbat, ia menyebabkan berlakunya masalah kardiovaskular. Akibat makan tanpa ‘rasa kenyang’ dan setiap masa, kita mengumpul protein yang tidak dapat diproses menjadi tenaga, ia kemudian menjadi longgokan kalestrol. Kolestrol menjadi punca kepada penyakit lain, bermula dengan masalah tekanan darah (halangan kemasukan oksijen), diabetes dan seterusnya, boleh berlarutan hingga kegagalan buah pinggang dan stroke.

Semuanya itu dapat kita atasi jika sejak daripada zaman muda lagi tidak mengambi minuman berkarbonit, mengandungi banyak lemak, gula dan garam, walaupun ada dakwaan bahawa makanan-makanan itu enak dan sangat menyelerakan. Sebagai contoh, kita mungkin boleh membaca bagaimana syarikat-syarikat memproses makanan seperti bijirin cereal telah mnipu kita dalam iklan makanan sehat yang mereka keluarkan dalam Micheal Moss, Salt Sugar Fat: How the Food Giants Hooked Us (2014). Atau Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Toxic Trans Fat in Processed Food, dan Shocking Ingredients in Your Food and Other Products.

Kita mungkin tidak praktiskan apa yang kita percaya, nasihat doktor kerana kita kadangkala menggunakan alasan ‘doktor juga akan mati’, maka tidak melanggari apa yang kita percaya dan yakin. Itulah sebabnya kita sangat mudah terkena penyakit walaupun kita tahu, gaya hidup sehat sangat kita perlukan, kerana yakin antibodi kita masih kuat.

Alasan lain yang lebih menampakkan kebodohan ialah “doktor hanya melakukan uji cuba; jika tidak sesuai dengan ubat, maka ubat lain akan diberi”, sakit akhirnya tidak sembuh. Inilah yang sedang diperkatakan oleh kumpulan anti-vaksin. Ada yang tidak percayakan doktor (atau perubatan moden), kerana sifatnya ialah mengawal penyakit berbanding dengan herba tradisional yang boleh menyembuhkan penyakit. Tidak ada data yang lengkap bagaimana herba dapat menyembuhkan penyakit, termasuklah petua menggunakan serai, daun mambu dan bunga kantan untuk menyembuhkan COVID-19.

Apa yang kita dengar, pengeluar ubat atau makanan tambahan mereka ada cara untuk menyembuhkan penyakit dan bahan-bahan yang dihasilkan bebas daripada kimia. Syukurlah kalau produk berkenaan didaftarkan dan diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, tetapi, banyak produk tidak berdaftar, ia bukan sahaja tidak menjamin kemujarabannya, bahkan ada yang boleh menyebabkan kesan sampingan yang teruk.

Sebenarnya, dalam herba turut terkandung bahan kimia semulajadi, yang boleh menyebabkan keradangan jika pengambilannya tidak terkawal atau menurut preskripsi doktor. Sebahagian besar ubat-ubatan herba diproses dengan cara yang tidak berdasarkan piawaian yang betul, hanya berdasarkan ‘keyakinan pembuat’nya, dan tidak melepasi ujian klinikal. Biarpun didakwa telah melepasi ujian makmal tanpa mengandungi bahan terlarang, ia tidak diuji dan dianalisis berdasarkan kesesuaian darah seseorang.

Kita kita seringkali mendengar ada orang muntah-muntah apabila mengambil herba tertentu. Kita juga mendengar ada manusia menemui ajalnya kerana mengambil herba terlalu banyak kerana percayakan ia dapat membantu mengubati penyakit. Ia sesuatu yang menakutkan pada suatu ketika bila diberitahu bahawa sejenis rumput yang tumbuh liar boleh mengatasi banyak penyakit dengan meminum air rebusannya.

Beberapa hari lalu tersebar pula kenyataan bahawa Vietnam tidak memerlukan vaksin kerana rakyatnya mengamalkan minuman lemon untuk merentangi jangkitan COVID-19. Suatu ketika masyarakat begitu teruja untuk menanam kunyit hitam setelah MARDI berjaya memformulasikan bahan yang terkandung di dalamnya dengan mengekstrak fitokimia bagi membantu mengawal kalestrol dan penyakit tiga serangkai (darah tinggi, diabetes dan serangan jantung). Maka, banyaklah pengeluar herba berasaskan kunyit hitam, yang sebahagian besarnya tidak mendapat kelulusan KKM, terutama dalam bentuk kapsul. Iklan mengenai kebaikan dan kemujarabannya bersepah di media sosial, ada di antaranya mendakwa produk mereka dikeluarkan oleh MARDI.

MARDI sebenarnya bukan pengeluar produk, MARDI adalah agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan kajian dan pengembangan mengenai pemprosesan pertanian, makanan ternakan, pembiakan anak benih, dan menyediakan pakar perundingan dalam industri makanan dan industri asas tani. Apakah benar MARDI mengkomersialkan hasil penyelidikan mereka? Atau memberikan formula dan hasil penyelidikan mereka untuk dikomersialkan oleh syarikat-syarikat tertentu? Ada kekhuatiran yang timbul kerana ada promosi yang dikaitkan dengan MARDI sebagai gimmik, dan apabila ditanya dengan mendalam, dijawabnya secara sinis “terpulanglah, kami tidak memaksa tuan membelinya” setelah gagal menunjukkan ada kerjasama dengan agensi penyelidikan pertanian dan ternakan tersebut.

Begitu juga dengan mereka yang merasakan dirinya tidak perlukan vaksin. Mereka sebenarnya silap perhitungan. Keliru antara vaksin dan ubat. Vaksin bukanlah ubat, kerana tujuan vaksin dicipta ialah untuk melindungi seseorang daripada terkena jangkitan penyakit berjangkit. Ubat dicipta untuk merawat sesuatu penyakit, kalaupun tidak dapat menyembuhkan penyakit, ia mampu melambatkan penyakit itu merebak atau menjadi lebih kritikal. Vaksin disuntik bagi merentangi kemungkinan jangkitan penyakit yang berjangkit.

Sejarah penggunaan vaksin berlaku sebagai respon kepada penyakit cacar. Sehingga tahun 1980-an, cacar telah menyebabkan kematian lebih 500 juta orang di seluruh dunia. Ia adalah jauh lebih besar daripada kematian akibat wabak Maut Hitam (Black Death) yang berlaku pada Abad ke-14 di mana dianggarkan 200 juta orang mati.

Ar-Razi (Abu Bakr Muhammad ibn Zakariya ar-Razi 854-925 M) merupakan pakar sains pertama dari Iran yang berjaya menghuraikan virus cacar dan membezakan antara campak (measles) dan cacar air (chickenpox). Hasil kajian dan penulisannya, Kitab fi al-Jadari wa al-Hasbah telah menjadi rujukan dalam usaha pembendungan wabak cacar dan permulaan mencari vaksin untuk merentanginya terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Pada Abad ke-18, seorang doktor daripada England, Edward Jenner (1749-1923) memulakan percubaannya menyuntik nanah dari kulit seorang pemerah susu lembu kepada seorang kanak-kanak berusia 8 tahun. Kanak-kanak tersebut mengalami demam ringan dan repuhan kecil di kulitnya, ia kemudiannya semakin hilang. Jenner kemudiannya melakukan suntikan yang sama kepada anak-anaknya. Hasilnya, vaksin yang dilakukan oleh Jenner telah diterima dan berjaya menurunkan setengah angka kematian akibat cacar di England dalam tempoh 10 tahun (1810-1820).

England kemudiannya menggubal undang-undang mewajibkan vaksinasi pada tahun 1853. Ia kemudiannya diperketatkan pada tahun 1867. Pasukan petugas akan mengingatkan ibu bapa bahawa setiap kanak-kanak mesti mempunyai sijil vaksinasi sehingga umur mencapai 14 tahun, dan jika diabaikan, ibu bapa akan dikenakan denda termasuk harta benda dirampas bila enggan menerima vaksinasi setelah diberikan nasihat kali terakhir.

Gerakan anti vaksin semakin berkembang selepas ada keinginan para saintis dan pejuang hak asasi manusia mula mempertikaikan undang-undang mewajibkan vaksinasi. Seorang saintis dari Rusia, Ilya Mechikov menemukan sel darah putih dalam diri manusia mampu menguatkan imunisasi secara semula jadi.

Tahun 1898, England menarik balik peraturan mewajibkan vaksinasi dan akhirnya penyakit cacar kembali menjadi masalah besar pada tahun 1902 dan 1903 di England dan Wales. Tragedi yang sama turut melanda Boston, tetapi ia tetap menjadi tentang kumpulan hak asasi manusia dan pseudosains untuk mempertikaikan keberkesanan vaksin, walaupun vaksin telah menyelamatkan ribuan kanak-kanak daripada meninggal dunia akibat cacar.

Beberapa vaksin lain terus dimajukan selepas kejayaan vaksinasi cacar. Ia kemudiannya mendapat perhatian semula apabila Loius Pasteur (1822-1895), seorang pakar perubatan dan mikrobiologi Perancis berjaya mencipta vaksin rabies dan anthrax menerusi proses fermentasi. Proses itu kemudian dikenali sebagai pasteurisasi, iaitu pemanasan makanan untuk membunuh organisme yang merbahaya (bakteria, protozua dan sebagainya) bagi memperlambatkan mikrob pada makanan. Ia kemudiannya berkembang dalam kebanyakan proses penyediaan makanan seperti susu, buah-buahan, penyimpanan jus, minuman tenaga, pemerosesan madu dan telur.

Seorang ilmuan Amerika Syarikat, Tom Nichols yang menulis buku The Death of Expertise (2017) begitu kesal dengan sekumpulan manusia yang tidak menghargai kepakaran, sebaliknya berusaha menjadi pejuang ‘kebodohan’ bila menolak penemuan dan pandangan mereka yang terlatih serta bekerja atas kemajuan ilmu pengetahuan dan kesejahteraan kehidupan. Dikisahkan bagaimana masyarakat Amerika Syarikat boleh percaya dengan rawatan kesihatan rahim hanya dengan ritual duduk di atas ‘singggahsana mini’ dengan membiarkan ‘wap daripada tumbuhan mugwort’ yang dipanaskan  dengan inframerah memasukinya dan melakukan pembersihan” yang kemudiannya dapat menyeimbangkan hormon estorogen.

Gwyneth Paltrow bukanlah seorang ahli mikrobiologi mahupun pakar geneakologi. Tetapi, beliau mempunyai pengaruh, dan mampu menasihati ramai wanita menerusi majalah gaya hidup, GOOP.com. Paltrow hanya belajar antropologi dari University California tanpa tamat untuk menjadi  pelakon. Tetapi, disebabkan kedudukannya sebagai aktres yang berjaya dan dipilih sebagai duta minyak wangi Pleasure Estee Lauder, apa yang diperkatakan sangat dipercayai, bahkan menurut seorang penulis satira, Laura Hooper Beck, :

Pada dasarnya, jika seorang doktor menganjurkan saya melakukannya, saya akan langsung menolak. Tetapi jika seorang perempuan kurus berambut pirang yang mengenakan rambut palsu buruk mengatakan bahawa meniupkan udara panas ke vagina akan menyembuhkan semua hal yang pernah saya alami, termasuk hubungan buruk dengan ibu saya, maka saya akan mendengarkannya, kerana ia, Gwyneth Paltrow, faham sains’” (edisi terjemahan bahasa Indonesia, Tom Nichols, Matinya Kepakaran, 2018:141).

Menurut Tom Nichols, pembabitan aktres dalam pelbagai perbincangan yang bukan kepakaran mereka terus dijadikan bahan kempen politik. Misalnya, pada tahun 1985, seorang anggota kongres Demokrat dari California, Tony Coelho telah mengundang Jane Fonda, Sissy Speck dan Jessica Lange untuk bercakap mengenai masalah pertanian. Ia diundang kerana ketiga-tiganya pernah berlakon sebagai isteri petani dalam tiga buah filem berbeza, bahkan Presiden Ronald Reagan dengan ‘keangkuhan intelektual’nya menjawab :”Mereka mungkin mempunyai pemahaman yang lebih baik mengenai masalah pertanian dibandingkan aktor di RUmah Putih” (Tom Nichols, 2018:229).

Itulah sebabnya Pak Pandir boleh jadi raja manakala mereka yang pakar terus dihina dan dikecam sebab tidak dapat mengemukakan pandangan dan hasil kajiannya secara bombastic, serta tidak ada pengaruh sebagaimana selebriti, yang tentunya, pembohongan sebegini banyak berlaku dalam bidang pemasaran produk. Artis Malaysia juga tidak terkecuali, sebagai duta produk dan dibayar begitu lumayan, sanggup menipu ‘sejak gunakan produk berkenaan kulit saya semakin putih dan anjal’.

Kalau benar produk itu bagus dan berkesan, bolehlah mencari seseorang yang berkulit kusam dan ‘hitam’ untuk diputihkan sehingga puteh dan menggebu seumpama  Daiyan Trisha setelah menggunakan produk kecantikan dari Korea. Indah khabar dari rupa, Daiyan Trisha memang dilahirkan cantik, bukannya dilahirkan dengan wajah seperti Intan Terpilih. Memang setiap gerak geri, percakapan artis diperhatikan orang, tetapi bukan berbohong dengan mengatakan “rutin saya ringkas sahaja, dengan memakai produk kencantikan Fair & Lovely” (Harian Metro, 9 Mac 2018). Seolah-olah ingin menidakkan kecantikan asli yang dianugerahkan oleh Allas SWT.

Dalam resah kehidupan, COVID-19 masih belum mencapai sasaran dua angka, tidak perlulah seseorang itu menjadi jaguh untuk mempengaruhi orang lain walaupun percaya semangat ‘raja dan ratu kepada diri sendiri’, biarlah orang lain belajar menghargai kepakaran sebenar untuk menilai sama ada perlu vaksinasi atau tidak. Mereka berhak untuk membuat pilihan dan kalau anda tidak bersetuju vaksinasi, janganlah ‘memaksa’ orang lain untuk percaya bahawa anda adalah pakar seumpama bomoh yang dapat merawat semua penyakit, walhal bomoh itu sendiri pun tidak boleh mengelak daripada diserang penyakit.

Saya ketawa berdekah-dekah apabila seorang bomoh kencing manis akhirnya dipotong kakinya kerana kencing manis dan pernah menolak ‘ubat hospital’ yang didakwa ‘bukan menyembuh’ dan hanya ‘mengawal’. Akibat percaya kepada ilmunya, bomoh berkenaan tidak ke hospital sebaliknya sibuk berbomoh dan menghasilkan herba untuk merawat penyakitnya dan menyebarkan ‘kemujaraban’nya kepada orang lain. Penawarnya bukan murah, jusnya sebotol ratusan ringgit, diri sendiri akhirnya tersiksa dengan ‘kesombongan pengetahuan dan formula’ sendiri.

Jangan hal seperti itu berlaku dalam suasana kerajaan bersiap sedia untuk memulakan vaksinasi COVID-19, kerana vaksin itulah harapan kita untuk kembali memulakan kehidupan baharu setelah lebih setahun wabak itu mengancam umat manusia. Benar, Tuhanlah yang akan menentukan segala-galanya, tetapi Tuhan juga menyuruh kita berikhtiar dan mengatasi cabaran yang ada berdasarkan pengetahuan dan ilmu yang kita miliki. Tidakkah Kamu Berfikir? Bukankah itu adalah seruan Allah SWT dan perintah-Nya untuk mengatasi setiap kesulitan dalam hidup?

 

MONOSIN SOBRI

 

Translate »