Saya menemui sepucuk surat memerihalkan falsafah politikus (politik + tikus). Surat itu adalah surat terbuka yang ditulis oleh seorang pelajar pascasiswazah, Amir ‘Izzuddin Muhamad yang disiarkan dalam Malaysiakini, 12 Januari 2021.

Amir menghuraikan makna perkataan itu, dari makna politik yang ditelesuri daripada gagasan Aristotles sebagai ‘pengurusan bandar’ hinggalah kepada etimologinya politica dan politea yang berkongsikan akar yang sama, iaitu polis. Perkataan tikus, yang dalam bahasa Arab disebut “sebagai ’ الفأر’ tetapi Rasullullah SAW dalam hadisnya menggelarkan haiwan licik ini sebagai fawasiq (فَوَاسِقُ ) “mischief-doers” yang mempunyai akar kata fasiq (ف-س-ق) yang bermaksud melakukan kerosakan, menyimpang daripada jalan yang benar, tiada moral, perbuatan yang tidak senonoh.

Ya! Tikus maksudnya licik melakukan kerosakan. Jika digabungkan dengan politik menjadi politikus, maka ia membawa maksud ahli politik yang melakukan kerosakan, menyimpang daripada jalan yang benar, tiada moral dan gemar bertindak secara tidak senonoh. Maka, itulah dalam peribasa Melayu ada berkata, seperti tikus membaiki labu.

Dalam Kamus Dewan saya temui pengertian tikus sebagai (1) sejenis binatang mengerip; (2) sejenis tumbuh-tumbuhan (pokok memanjat), akar hitam, akar kekala; dan (3) sejenis burung (dari keluarga helang). (Edisi Keempat, 2007:1683). Dalam bahasa Inggeris, ia dipanggil rat dan juga mouse. Ia dikaitkan dengan (1) rodensia kecil dengan ekor yang panjang; (2) orang yang malu, segan-segan, pemalu; (3) peranti kecil yang digerakkan dengan tangan bolak-balik di atas sesuatu permukaan untuk mengawal pergerakan kursor pada skrin komputer; tetikus, maus. (Oxford English-Malay Dictionary. 2007:  932 dan 1205).

Dalam Kamus Besar Bahasa Melayu susunan Haji Zainal Abidin Safarwan, ditemukan perkataan tikus sebagai “cewe, cek, mencit” dan juga perkataan ‘menikus’ (simpulan bahasa) –tidak berkata-kata/membantah kerana takut, mendiamkan diri (kerana takut); tikus jatuh ke dalam gedung (gudang beras) “(1) orang beroleh kekayaan tetapi dia tidak menceritakannya kepada orang lain; dan (2) orang tang telah mendapat kesenangan mendiamkan dirinya); tikus membaiki labu (peribahasa) “orang yang tidak tahu tentang sesuatu benda cuba hendak membaikinya akhirnya rosaklah benda itu”; dan jenis-jenis tikus (tikus kecil– tikus kasturi, celurut); tikus belanda (marmot); tikus buluh (dekan); dan tikus tanah (mucus). Jadi, kalau seseorang itu dilantik sebagai ‘dekan’, iaitu ketua sesebuah fakulti atau bahagian akademik di pusat pengajian tinggi itu adalah “tikus buluh”. (Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan, Edisi Ekonomi, 2002: 2061).

Saya tidak pasti apakah jawatan dekan itu bererti tikus buluh, kerana dalam bahasa Inggeris dipanggil Dean –ketua jabatan pengajian di universiti (Oxford English-Malay Dictionary, 2007:353). Apa pun, sekurang-kurangnya kita faham mengenai perangai tikus, sama ada makhluk perosak ataupun makhluk yang turut memperindahkan flora dan fauna, kerana tanpa tikus, maka bersepahlah ‘sisa-sisa makanan manusia’ yang dibuang, dan ia sangat mengingatkan, tikus juga boleh membunuh manusia.

Ya! Belum ada penawar akibat ‘kencing tikus’ dan setiap orang perlu menjaga kebersihan rumah dan persekitaran jika takut diganggu oleh tikus-tikus, termasuk tikus tanah yang berkali ganda saiznya daripada celurut. Hal ini mengingatkan manusia bahawa, lebih banyak keburukan yang ditimbulkan oleh tikus, termasuklah suka menjatuh-jatuhkan barangan yang kita susun di ruang dapur, dan juga dibawah katil.

Jadi apabila memanggil ahli politik itu sebagai politikus, maka orang tersebut akan tetap dirujuk sebagai tokoh yang banyak melakukan kerosakan, tindakan tidak bermoral dan sangat mementingkan diri (seperti mencari kekayaan peribadi, mengejar status dan sebagainya) sehingga sanggup menggunakan apa sahaja peluang dan ruang, hatta ‘membunuh karakter’ kalaupun tidak pembunuhan fizikal. Sebab itulah, kata Amir ‘Izzudin, “Rakyat ‘bernafas’ tetapi tercungap-cungap.”

Pengajaran terbesar yang saya peroleh selepas selesai membaca Jangan Hidup Seperti Kera dan Babi sangat menarik, terutama dalam memperbetulkan kesilapan sendiri. Terima kasih kepada Abdillah Firmansyah di atas satira dan kupasan yang menarik, kerana setiap makhluk ada faedahnya kepada makhluk yang lain, sekaligus, ada bahayanya. Sebab manusia mempunyai ‘akal’ dan ‘kebolehan berfikir’ maka manusia bukan sahaja diwajibkan menekuni hidupnya dalam pola keseimbangan sekurang-kurangnya, dan lebih baik mendahulukan kebaikan atau amar makruf. Nahi mungkar dilarang sama sekali, kecuali dalam keadaan terpaksa, antara hidup dan mati, misalnya terpaksa ‘membunuh’ ketika mempertahankan diri setelah diserang perompak yang megacukan aksi ganas.

Ia bukan sebagai satu bentuk ‘hobi’ atau ‘budaya’ dalam apa pun profesyen yang kita tekuni. Kita mesti ingat jawapan tikus, yang menyindir ‘tidak mahu jadi manusia’, tetapi manusia lebih cenderung menjadi tikus. Semakin hari semakin ramai manusia melakukan dosa, curang dan mengsengsarakan orang lain, dan sampai bila pun tikus akan tetap menjadi tikus.

Lembu juga tidak berkeinginan menjadi manusia, tetapi tetap memberikan harapan kepada manusia sebagai pembekal susu, daging yang berkhasiat (apa pun kategorinya, wagyu, batang pinang, daging pejal, belulang dan tulang-tulang sangat enak dinikmati setelah dimasak dengan pelbagai cara –memanggang, menggoreng, digulai, dibuat sop, disalai mahupun dijadikan sosej dan frankfuter).

Secara alaminya, lembu menghasilkan susu dan daging, juga pernah digunakan untuk membajak sawah dan mengangkut barang (manusia juga dengan kereta lembu); kucing mengurangkan populasi tikus dan melegakan para petani; tikus memakan sisa makanan yang dibuang manusia; maka, di sinilah kita perlu menjawab pertanyaan kita sendiri, apa manfaatnya manusia dan untuk apa Tuhan menciptakan manusia?

Kalau binatang dengan tugas dan peranan masing-masing, maka jawapan kepada apa tujuan manusia dihidupkan, ada dalam hati dan fikiran manusia masing-masing, biarkan secara universalnya, manusia adalah ‘hamba Allah SWT’, yakni makhluk yang paling sempurna penciptaan dan sifatnya.Jika begitu, kenapa dalam diri manusia ada ‘sifat binatang’ dan sifat-sifat itu semakin mendominasi pemikiran dan tingkah laku, yang hingga kini masih wujud tatanan sosial yang dikatakan harmoni dan benar berper-adab-an, bukan sekadar erti peradaban.

Babi, satu lagi binatang yang cukup menarik ‘kebencian’ orang Islam selain dilarang (haram) memakan daging dan juga menyentuhnya. Bahkan jika seseorang menyumpah dengan menggunakan perkataan babi, perilakunya dianggap sebagai yang terburuk. Namun, babi dalam sesetengah masyarakat merupakan ternakan yang sangat menguntungkan, bahkan di Malaysia ada sikap pihak tertentu lebih mementingkan babi daripada ‘kesejahteraan masyarakat’ walaupun kehadiran ladang ternakan babi cukup memualkan penduduk setempat.

Tahun 2000, seorang anak muda yang banyak menimbulkan kontroversi, Wee Meng Chee atau lebih dikenali dengan nama galmor, Nanewee berdasarkan sebuah ‘kisah benar’yang berlaku di sebuah sekolah di selatan tanah air. Filem ini, mendapat pencalonan berdasarkan skor runut bunyi yang bertajuk Happy Family dalam Festival Filem Golden Horse 2020 dalam kategori Runut Bunyi Filem Asal Terbaik. File mini belum ditayangkan di Malaysia.

Menurut satu kisah, seperti ditulis oleh Syeikh Muhammad bin Ahmad bin Iyas dalam buku Kisah Penciptaan dan Tokoh-Tokoh Sepanjang Zaman, (Pustaka Hidayah, Bandung, 2002), babi mula dikatakan hadir ketika zaman Nabi Nuh a.s. lagi. Diceritakan, bahtera Nabi Nuh a.s. tersangat kotor dan Nabi Nuh a.s mengadu kepada Allah SWT. Allah SWT kemudian mewahyukan Nabi Nuh a.s. agar memeras ekor gajah. Ketika memeras itulah muncul babi jantan dan babi betina memakan semua kotoran yang ada di dalam kapal tersebut.

Ketika babi bersin, Allah SWT menjadikan pula sepasang tikus, jantan dan betina. Tikus itu mula berkembang biak, dan mula merosakkan kayu-kayu binaan kapal Nabi Nuh a.s. Hal itu kemudian diberitakan kepada Nabi Nuh a.s., maka beberapa ekor kucing mula dijadikan ternakan untuk memakan tikus-tikus yang membiak di dalam bahtera tersebut.

Pada zaman dahulu, babi telah digunakan untuk membersih kawasan bandar dan lorong-lorong yang kotor dan berlumut. Disebabkan babi akan memakan apa sahaja makanan dan tumbuhan, binatang-binatang kecil seperti cacing dan anai-anai, pada malam hari babi-babi dilepaskan untuk membersih kawasan yang berbau busuk dan hanyir. Kerana sifat babi yang pengotor itu, Islam melarang memakan dagingnya.

Di dalam dagingnya terkandung pelbagai parasit yang boleh membawa penyakit kepada manusia, antaranya H5N1, selsema burung dan dalam organ babi, terdapat 98 sisa asid urik yang tersimpan. Hanya 2 peratus sahaja dikeluarkan menerusi pembuangan najis. Maka, itulah sebabnya daging babi diharamkan dan larangan tersebut sekurang-kurangnya terdapat empat tempat di dalam al-Qur’an, iaitu Surah Al Baqarah [2] : 173; Surah Al – Maa’idah [5] : 3; Surah Al- An’aam [6] : 145;  dan Surah Al- Nahl [16] : 115. (Bersambung)

KAMARUN KH

Translate »