Era pentadbiran Donald Trump yang terkenal dengan “You Are Fired” dengan rasminya telah berakhir sebaik sahaja Joseph Rabinette Biden Jr mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-46 pada 20 Januari 2021.

Presiden Amerika Syarikat ke-46 itu lebih dikenali dengan panggilan Joe Biden merupakan presiden yang tertua dalam sejarah politik negara adikuasa yang terperangkap dengan pendekatan Donald Trump yang menimbulkan pelbagai kegaduhan dengan penjawat awam dan negara China setelah cuba menterjemahkan slogan America Great Again.

Jo Biden yang menang dalam pilihan raya presiden pada 3 November 2020 beberapa kali diganggu oleh Donald Trump dengan dakwaan kemenangan menerusi penipuan undi dan ‘mencuri undi’,  mendesak beberapa negeri undi perwakilan dikira semula di samping melantik Rudy Guliani sebagai ketua pasukan undang-undang untuk mencabar keputusan.

Bagaimanapun, dua minggu sebelum majlis angkat sumpah, Donald Trump telah mengajak penyokong-penyokongnya membantah proses penentuan kemenangan Joe Biden yang sedang berlangsung di Bangunan Kapitol sehingga menimbulkan rusuhan dan menyebabkan lima orang meninggal dunia serta berpuluh lagi cedera.

Tragedi pada 6 Januari 2021 cukup memberikan kesan buruk kepada demokrasi Amerika Syarikat yang dilihat sebagai contoh dan model yang dikagumi oleh masyarakat seluruh dunia. Ekoran kejadian tersebut, Trump digelar ‘criminal and political pyromaniac’ oleh Menteri Luar Luxembourg dan mencadangkan dibawa ke mahkamah jenayah untuk dibicarakan.

Akibat memuatkan pelbagai kenyataan provokasi, akaun facebook, twitter dan instagram milik Donald Trump telah digantung. Twitter telah menggantung akaun rasmi Donald Trump secara kekal. Sebagai reaksinya, Trump bercadang untuk membangunkan platform media sosialnya sendiri pada masa hadapan, atau kemungkinan untuk membuka laluannya semula berkempen bagi kembali mencabar Joe Biden dalam Pilihan Raya Presiden 2024.

Dalam kejutan terakhir sebelum hari mengundi, yang dikenali sebagai October Surprise, Rudy Guliani-seorang peguam, bekas datuk bandar New York ketika Tragedi World Trade Center (WTC) dan penyokong Republikan- mendedahkan skandal yang membabitkan anak lelaki kedua Joe Biden, Hunter Biden.

Hunter Biden, berdasarkan maklumat yang diperoleh menerusi laptop yang dihantar diperbaiki, anak lelaki bekas Naib Presiden (era Obama) itu terbabit dengan skandal seks wanita dibawah umur dan tindakan melobi oleh sebuah syarikat kerjasama antara Ukraine dan China ketika bekerja di sebuah syarikat petroleum Ukraine, Burisma Holding Limited.

Burisma pula mempunyai kaitan dengan sebuah lagi syarikat petrolemum dari China,  sebagai langkah melobi dengan harapan pengundi Amerika Syarikat akan menolak calon Demokrat yang berusia 78 tahun itu.

Hunter Biden bukanlah seorang pakar dalam bidang petroleum. Beliau mempunyai sebuah syarikat yang mengendalikan urusan dan rundingan pelaburan, iaitu Rosemont Seneca Partners. Atas hubungan itu, Hunter menjadi bahan dalam salah satu teori konspirasi.

Strategi yang digunakan tidak menjadi, Joe Biden akhirnya menang dengan 306 undi perwakilan anakala Trump dengan 232 undi perwakilan. Trump akhirnya terpaksa menerima kenyataan pahit bahawa rakyat Amerika Syarikat lebih ramai tidak menyukainya untuk kekal buat penggal kedua selama empat tahun lagi.

Dalam upacara mengangkat sumpah pada hari Rabu lalu, Joe Biden berkata, “Saya akan bertanggungjawab atas kesalahan yang mungkin saya lakukan” dan berjanji akan membaiki apa yang berlaku di era pentadbiran Donald Trump, terutama masalah ekonomi, penularan wabak COVID-19 dan konflik perkauman.

Kami menghadapi perkauman yang belum pernah terjadi sebelumnya, dan negara kita telah melalui banyak cabaran dan kita mempunyai tanggungjawab besar,” kata Joe Biden dengan ketegasan beliau akan memecat sesiapa sahaja yang memperlakukan orang Amerika secara terhormat.

Biden turut menyeru agar semua bekerja dalam kesatuan dan “hari ini kita meraikan kemenangan demokrasi, kita mesti menyembuhkan keretakan dan membuat kebaikan. Saya berjanji untuk menjadi presiden semua orang Amerika dan berusaha untuk kepentingan mereka yang menyokong saya dan mereka yang tidak,” jelas beliau dalam ucapannya setelah mengangkat sumpah.

Biden, sebagai seorang berpengalaman dalam politik dan diplomatik sangat yakin bahawa masa depan Amerika Syarikat bukan sekadar kata-kata, ia memerlukan kesatuan.

Kerana itu, tambah Biden dalam ucapan pertamanya “Kita bersedia untuk menghadapi apa yang digambarkannya sebagai terorisme domestic dan ekstremisme politik dan mengakhiri perang tanpa peradaban antara Republican dan Demokrat, dan antara liberal dan konservatif.”

Presumptive Democratic presidential nominee Joe Biden is seen on July 14.

Hasil gandingan dengan Kamala Haris, keturunan India-Amerika secara simboliknya menggambarkan dasar awal parti itu untuk mengharungi cabaran terbesar politik Amerika Syarikat yang terpalit dengan isu perkauman ketika pentadbiran Donald Trump.

Trump bukan sahaja anti kaum imigran, bahkan berusaha membangkitkan kenyataan-kenyataan yang bersifat white supremacy sehingga mempengaruhi seorang warganegara Australia (Brenton Tarrant) untuk melancarkan serangan ganas di Christchurch, New Zealand  ketika umat Islam bersiap sedia untuk menunaikan sholat Jumaat di Masjid An-Nour dan Pusat Islam Linwood pada 15 Mac 2019.

Dalam serangan itu, Brenton Tarrant yang melakukan serangan rambang ke arah Jemaah telah membunuh sekurang-kurangnya 51 orang dan 49 orang cedera. Serangan itu dilakukan dengan bangganya sebagai tindakan xenophobia dan Islamophobia yang disiarkan secara langsung menerusi facebook live.

Setelah mengangkat sumpah, berdasarkan laporan media, Biden telah menyampaikan pesanan eksekutif dan akan menandatangani  15 perintah membabitkan sekurang-kurangnya dalam lima hal, iaitu: (1) kembali aktif (membatalkan keputusan menarik diri) dalam Perjanjian Iklim Paris yang dilakukan oleh Trump; (2) membatalkan kebenaran Trump terhadap saluran paip Keystone XL yang ditentang oleh aktivis alam sekitar dan penduduk Amerika; (3) membatalkan dasar imigresyen (terhadap negara-negara majoriti penduduk Islam) dan deklarasi darurat bagi membolehkan pembinaan tembok sempadan dengan Mexico; (4) mewajibkan pemakaian pelitip muka oleh semua kakitangan kerajaan dan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk membendung COVID-19 di Rumah Putih; dan (5) menamatkan larangan kemasukan pelawat daripada beberapa buah negara Islam di samping mencari jalan penyelesaian untuk tidak meneruskan perang perdagangan dengan China.

Namun apa yang dicurigai oleh masyarakat dunia ialah keputusan-keputusan yang bakal diambil oleh sesiapa pun presiden yang menduduki Rumah Putih kerana ia sangat dipengaruhi oleh pelobi-pelobi Yahudi, termasuklah para kapitalis yang membiayai dana kempen.

Daripada perspektif tindakan presiden Amerika Syarikat, mereka yang mewakili Republikan dilihat lebih terbuka dalam menentukan dasar dan sokongan kepada Israel manakala Demokrat lebih ‘berhati-hati’ sehingga banyak kenyataan mereka bersifat retorik. Jika George W Bush (Bush Jr) dan Donald Trump terang-terangan ‘bermusuh dengan Islam’, Obama pula secara senyap-senyap ‘menyentap’nya namun akhirnya mereka sama-sama membangun permusuhan demi kelangsungan Israel sebagai paksi keseimbangan dan pencorakan geopolitik di Timur Tengah.

Jika Bush Jr menggunakan Tragedi WTC sebagai ‘lesen menghancurkan negara-negara Islam’ dan Trump mengisytiharkan Baitul Maqdis sebagai ibu kota Israel yang baharu, Obama melanjutkan ‘mandat politik’ itu dengan meletakkan Iran sebagai pusat krisis baharu sebagai negara yang giat membina keupayaan nuklear untuk memajukan senjata, meneruskan misi pembunuhan Osama Benladin (yang didakwa terlibat dalam keganasan dan terorisme global) dan juga membantu menghapuskan kekuatan dunia Islam (membunuh Muammar Gadafi) di samping bekerjasama dengan pemberontak bagi menjatuhkan Bashar al-Assad di Syria.

Ia memperlihatkan kesinambungan kehendak Israel yang tidak mahu adanya pemimpin-pemimpin Islam berpengaruh. Saddam dibunuh kerana Israel takut dengan kekuatan ketenteraan yang diasaskan oleh pemimpin Parti Baath itu manakala Iran yang berusaha membangunkan nuklear untuk menggantikan pergantungan kepada minyak pada masa hadapan dituduh ‘membangunkan senjata nuklear’ yang sehingga ke hari ini belum ada bukti yang jelas.

Trump melanjutkan ‘ego’ tersebut dengan melancarkan serangan dan membunuh seorang pakar nuklear Iran dan seorang jeneral yang menjadi penasihat kepada Majlis Revolusi Iran. Tujuannya adalah jelas untuk mengkeronyokkan Iran selepas berjaya menghuru-harakan Irak dan memporak-perandakan Libya.

Sejak serangan ke atas Irak (2003), Saddam berjaya dibunuh (30 Disember 2006), Muammar Gadafi (20 Oktober 2011) hanya Iran dilihat mempunyai kekuatan ekonomi dan kemampuan untuk ‘menghadapi cabaran peradaban barat’, yang kini sedang ‘galak diberikan perhatian oleh Israel’ untuk terus melobi Amerika Syarikat menyandera negara yang dibangunkan atas semangat Revolusi Islam.

Biarpun ramai di antara pemimpin Islam mengharapkan ada perubahan yang jelas dalam dasar Washington di bawah kepimpinan Joe Biden, harapan yang sama pernah diberikan kepada Obama untuk memperbaiki ‘salah faham terhadap dunia Islam’ ia tidak menjadikan persepsi barat semakin baik.

Bahkan Obama, yang retoriknya untuk memberikan semula Irak kepada rakyatnya turut dilihat gagal sepanjang pentadbirannya selama dua penggal walaupun secara dasarnya berjaya mengurangkan bilangan tentera, ia tetap menjadikan Irak sebagai pengkalan strategiknya untuk menguasai Timur Tengah secara halus dengan alasan ‘membendung keganasan’ dan membantu menghapuskan pengaruh al-Qaeda dan militant DAESH.

Sama ada al-Qaeda atau DAESH, secara jelasnya ia membuktikan Amerika Syarikat terbabit untuk mencetuskan suasana tidak aman di Timur Tengah. Kedua-dua pertubuhan tersebut pada asasnya ditaja dan dilatih oleh Amerika Syarikat untuk menjadi kumpulan pendesak atau pihak yang boleh ‘menghancurkan pemerintahan yang sah’ atas alasan tertentu, menguasai kepentingan ekonomi (mengawal dan memiliki telaga minyak) dan memaksa melupakan ‘kejahatan Amerika Syarikat’ menubuhkan negara Israel.

Itulah sebabnya, walau sesiapa pun menang dan menduduki Rumah Putih (Demokrat atau Republikan), hasrat dan keinginan Israel tidak akan berkurangan, ia tetap kekal sebagai satu perancangan dan tindakan dasar Washington, kerana setiap calon telah ‘dibeli’ oleh pelobi-pelobinya yang menguasai ekonomi Amerika Syarikat, termasuk taikun di Wall Street mahupun kapitalis yang kaya raya menerusi pengumpulan dana kempen.

Berdasarkan laporan media, semasa upacara mengangkat sumpah, Bangunan Kapitol, Rumah Putih dan bangunan-bangunan kerajaan di Washington dikawal oleh 25,000 orang tentera, satu gambaran ketakutan yang jelas terhadap kemunculan semula kumpulan yang menyokong Donald Trump. Suasana Washington pada hari itu digambarkan ‘kosong’ , menjadi hijau dan merah.

Menjelang pemasyhuran Donald Trump sebagai Presiden ke-45 pada tahun 2017, penyokong Demokrat turut melakukan pelbagai rusuhan anti-Trump kerana disifatkan sebagai seorang yang tidak boleh diharapkan, bakal merosakkan imej Amerika Syarikat dan dasar imigresyen yang menghalang kemasukan pekerja asing.

Beberapa negeri, misalnya California pernah mengancam untuk keluar daripada kesatuan Amerika Syarikat kerana tidak berpuas hati dengan kemenangan Donald Trump. Bagaimanapun, selepas Trump berjaya ke Rumah Putih, ancaman tersebut tidak menjadi kenyataan.

Sehari sebelum mengangkat sumpah, iaitu pada hari Selasa Biden dan isterinya, Jill Biden berlinangan air mati untuk meninggalkan kampong halamannya di Wilmington, Delaware dan sempat berkata “Ini adalah masa sukar, tetapi selalu ada harapan.”

Pada mulanya Biden dan isteri bercadang untuk menaiki keretapi, tetapi disebabkan halangan akibat COVID-19 rancangan tersebut terpaksa dibatalkan.

Trump buat kali terakhir diberikan keistimewaan untuk menggunakan Air Force One untuk pulang ke Florida bersama isterinya, Melania Trump dan sebelum berangkat berpeluang menyampaikan ucapan terakhir di Joint Base Andrews pada hari Rabu pagi dengan memuji isterinya sebagai wanita pertama yang bermaruah dan sangat popular.

Trump bagaimanapun tidak hadir majlis angkat sumpah Presiden Amerika Syarikat ke-46 dan kepulanganya diiringi dengan lagu ‘My Way’. Sebelumnya, Trump menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada ketua kakitangan Rumah Putih, Mark Meadow dan Naib Presiden, Mike Pence walaupun tanpa kehadiran Pence.

Mulai Rabu, 20 Januari 2021, Joe Biden akan diperhatikan oleh seluruh masyarakat dunia kerana diharapkan dalam usaha menyelesaikan konflik Isreal-Palestin,  dasar luar dengan dan penamatan perang perdagangan dengan China, dan percaturan di Laut China Selatan.

Awal November lalu, pemimpin Palestin meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat perubahan dasar Washington bagi memulihkan hubungan yang telah dirosakkan oleh Donald Trump, termasuk tindakannya ‘memaksa’ negara-negara Arab bersetuju dengan proses normalisasi dan memindahkan pejabat kedutaan ke Baitul Maqdis, yang diiktiraf sebagai ibu kota Israel selepas beberapa bulan menduduki Rumah Putih.

Bekas Datuk Bandar Bethlehem dan Ahli Dewan Kebangsaan Palestin, Vera Baboun seperti dilaporkan oleh Arab News, berkata “Rakyat Palestin meletakkan harapan yang tinggi kepada kerajaan Amerika Syarikat yang baharu berhubung soal keamanan” dan amat “berharap Joe Biden akan memberikan reaksi positif untuk mengundang Presiden Palestin, Mahmoud Abbas ke seminar antarabangsa bagi keamanan pada tahun 2021.”

Penzahiran itu turut menjadi harapan pemimpin-pemimpin dunia, termasuk Malaysia.

Malaysia mungkin akan menjadi fokus di rantau Asia Tenggara memandangkan pembabitan agresif China untuk mengubah sejarah dan pemetaan laluan strategik dan perdagangan menerusi Laut China Selatan.

Semasa pemerintahan Obama, Amerika Syarikat mempunyai dasar yang jelas mengenai Laut China Selatan yang dinamakan Pivot Asia, yakni satu perancangan meneruskan hegemoni bagi mengekang tindakan China yang begitu rakus untuk menguasainya.

China melihat Laut China Selatan seluas 3,5 juta kilometer persegi yang menganjur dari Selat Taiwan ke Indochina dan berakhir di Singapura itu kepunyaannya berdasarkan nama  yang diberikan oleh kolonial untuk menghapuskan sejarah Melayu Champa.

Konflik tuntutan hak ke atas Laut China Selatan kembali memuncak pertengahan tahun 2018 apabila China bertindak mengerahkan syarikat gali minyak miliknya  ke kawasan selatan Paracel Islands, iaitu kawasan yang turut dituntut oleh Vietnam, sebahagian daripada Kepulauan Spartly. Gugusan Kepulauan Spartly menjadi rebutan China, Vietnam, Taiwan, Malaysia, Brunei dan Filipina.

Namun, konflik antara Vietnam dan China mendapat sorotan yang meluas kerana masing-masing menggunakan kaitan sejarah sebagai asas tuntutan. China menyandarkan hujah mengenai sejarah Dinasti Han (200 SM sehingga  tahun 220 M); Vietnam menggunakan penguasaan kerajaan Melayu Champa sebagai hujah termasuk masih mempunyai  penduduk dari etnik minoriti Melayu Cham seramai 160,000 orang.

Biden sudah pun menilai semula arahan pentadbiran bekas presiden Donald Trump dan kemungkinan akan memperkemaskan rencana Washington dalam penerusan Pivot Asia. Trump yang gemar menggunakan pendekatan konfrontasi (ciri utama dan budaya politik presiden daripada Republikan) sedangkan amalan budaya politik presiden daripada Demokrat lebih terarah kepada pendekatan liberalisme.

Perbezaan pendekatan itu menyebabkan imej Republikan dilihat ‘rakus dan kasar’: Bush Jr dengan ‘memerangi keganasan’;  Bush Sr dengan campur tangan Perang Teluk;  Ronald Reagan menyebut Kesatuan Sosialis Soviet Republik yang ditunjangi oleh Rusia sebagai “Empayar Syaitan”,   membangunkan projek Star Wars dan terbabit dengan skandal Iran Contragate; dan Trump dengan pembunuhan (Jeneral Revolusi Iran dan pakar nuklear Iran) dan melancarkan perang perdagangan dengan China.

Atas budaya politik lazim pemimpin Demokrat, Biden tidak perlu melakukan  konfrantasi (bersemuka) dengan China, dan dijangka akan lebih banyak rundingan dan perbincangan antara kedua buah negara, dan dalam masa yang sama,  Amerika Syarikat akan mengarahkan kehadiran tentera lautnya di perairan Lautan Pasifik dan Laut China Selatan bagi mengimbangi ketumbukan tentera China.

Biden dijangka akan kembali kepada asas Pivot Asia yang dilakukan oleh Barrack Obama, tetapi dengan beberapa perbezaan kecil bagi memulihkan maruah Amerika Syarikat dalam strategi pendekatan ekonomi dalam berhadapan dengan China. Biden sudah pun menamakan Kurt Campbell sebagai penasihat Indo-Pasifik manakala Jake Sullivan sebagai penasihat Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) mengambil alih tempat David Friedman, Avi Berkowitz dan Jared Kushner.

Dalam pentadbiran Biden-Haris (Joe Biden dan Kamala Haris), memperlihatkan banyak perubahan sedang berlaku di mana keturunan India-Amerika mempunyai kedudukan istimewa yang memungkinkan India menjadi kuasa pencabar dan pengimbang yang diharapkan. Ini dilihat semakin berpengaruh terutama dalam tumpuan tenaga mahir dan pakar, juga pertumbuhan ekonominya.

Dengan menggalakkan lebih banyak pelaburan di India, ia bakal mengimbangi kebanjiran produk dari China yang banyak menguntungkan Amerika Syarikat. Produk daripada India akan dapat dikeluarkan dengan harga yang mampu bersaing atau setanding, dengan menggunakan kepakaran dan teknologi Amerika Syarikat. Dari perspektif sekatan pelaburan, India tidak banyak memberikan tekanan undang-undang kepada pelaburan asing, terutama dari Amerika Syarikat dan Eropah.

Senario ini akan membuka peningkatan ekonomi India dengan lebih tinggi dan akhirnya, berupaya menandingi China dengan sokongan Amerika Syarikat dan sekutunya dari Eropah. Ia lebih mudah berlaku kerana India merupakan wilayah pengguna bahasa Inggeris terbesar dan mempunyai sumber tenaga yang banyak, yang sanggup bekerja meskipun tanpa penetapan ‘gaji minimum’.

Sebahagian pelabur Amerika Syarikat telah melihat bahawa kesukaran menembusi perniagaan di China, perang perdagangan yang dimulakan oleh Donald Trump sebagai satu situasi ‘pembaziran dana’, dan lebih baik Amerika Syarikat meneruskan pelaburan berimpak tinggi di negara-negara yang tertentu, termasuk India.

Dengan cara ini, produk jenama Amerika akan menjadi lebih berdaya saing dan menguntungkan Amerika Syarikat dalam jangka panjang berbanding dasar Trump yang mahukan peningkatan pelaburan domestik sebagai tindakan populis (America for American). Dengan cara ini, proses dan hasrat China untuk menjadi hegemoni kuasa ekonomi dalam tempoh 20 tahun lagi dapat dibantutkan dan dalam tempoh itu, Amerika Syarikat boleh memperkuatkan kedudukannya.

KAMARUN KH

 

Translate »