Perkembangan politik tanah air semakin bergelora. Bahang tahun baharu, walaupun iklim sebenar dalam negara ‘agak sejuk’ kerana hujan dan beberapa negeri dilanda banjir tidak dapat meng-conditioning-kan politik Malaysia. Dua pergolakan besar sedang berlaku dalam UMNO, sebuah parti yang pada suatu ketika menganggap dirinya dinosaur, kini bermetaforsis seumpama ingin kembali muncul sebagai raksaksa. UMNO bukanlah sebuah parti yang ‘sangat kuat’ bahkan dalam PRU ke-14 berjaya dikalahkan oleh parti nyamuk yang hanya baharu menetas sebagai jejentik.

Kenapa UMNO menjadi kerdil dan dapat dikalahkan? Sebab UMNO tidak mendengar suara akar umbi dan pemimpinnya lebih mementingkan jawatan daripada menterjemahkan hasrat rakyat. UMNO hanya menjadikan hasrat rakyat sebagai slogan ketika berkempen, tetapi setelah berkuasa, banyak tindakan pemimpinnya tidak  menuju ke arah itu. Banyak contoh dan teladan yang boleh kita pelajari jika kita menyingkap sejarah.

UMNO sebenarnya tidak belajar daripada sisi hidup sejarah politiknya sendiri. Jika kita mengambil contoh bagaimana BN mengalami defisit keyakinan dalam PRU ke-12 (2008), iaitu kesombongan dan kebobrokan pemimpinnya ia menjadikan gabungan yang kuat itu kehilangan empat buah negeri (Perak, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang), tewas teruk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (peringkat Parlimen) dan gagal ‘merampas Kelantan’.

Ia berbeza dengan keputusan PRU ke-11, Tun Abdullah yang dianggap ‘Mr Clean’ hampir berjaya menumbangkan PAS di Kelantan dan kembali berkuasa di Terengganu setelah pengundi Terengganu menolak kepimpinan Dr Mahathir dan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad. PRU ke-13, tidak mencapai keputusan membanggakan walaupun ia adalah pilihan raya pertama yang dipimpin oleh Najib Tun Razak, yang menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi (yang dikritik keras oleh Dr Mahathir) sebagai ‘lembik’ dan oleh penganalisis politik sebagai ‘lost in transision’.

Najib terpaksa menerima keputusan itu dengan sedikit kecewa, keupayaan BN merosot daripada 140 kerusi (PRU ke-12) hanya tinggal 133 kerusi (PRU ke-13). Ia menjadi semakin mengecewakan bila keputusan PRU ke-14, BN hanya mampu keputusan yang dianggap ‘sudah jatuh ditimpa kalah’. BN ‘hilang kuasa’ dan pencapaian BN terlalu buruk, hanya menang 74 kerusi untuk Dewan Rakyat dan hanya berjaya kekal di Perlis dan Pahang. Apa sebab dan faktor boleh kita fikirkan, sangat banyak dan saling berkait. Tetapi yang jelas ialah penolakan rakyat terhadap BN adalah kerana perilaku pemimpinnya yang kurang elok pada pandangan pengundi. Ia seterusnya menjadi bahan kempen yang sangat berkesan.

Saya masih ingat, ketika menghuraikan mengenai potensi BN menang dalam PRU ke-13, Najib pernah mengatakan, Malaysia masih mampu mengekalkan kerjasama politik antara parti sebelum keputusan pilihan raya. Ia berbeza dengan negara-negara lain hampir seluruh dunia (Antaranya, Britain, Australia, Jerman, Perancis dan New Zealand) terpaksa membentuk kerajaan menerusi perkongsian dengan parti-parti kecil selepas pilihan raya diadakan. Parti yang menang banyak kerusi pun tak mampu berkuasa, tidak mencapai majoriti.

Itulah yang berlaku semasa pembentukan kerajaan PH dan PN. Oleh sebab Dr Mahathir dipersetujui sebagai Perdana Menteri (sementara), beliau diberikan amanah untuk memimpin Pakatan Harapan walaupun Bersatu hanya menang 13 kerusi, jauh lebih kecil daripada PKR dan DAP. Dr Mahathir akhirnya terpaksa lari daripada dilemma –tuntutan PKR dan DAP—dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 24 Februari 2020 tanpa berbincang dengan PKR, DAP dan Amanah dan menamakan penggantinya. Strategi itu telah menyebabkan politik Malaysia semakin kelam-kabut. Seminggu diperbincangkan siapakah yang akan dilantik sebagai PM atau apakah akan ada PRU seterusnya.

Bila Muhyiddin dilantik sebagai pengganti berdasarkan budi bicara SPBYDA, Dr Mahathir dan Anwar kembali bertelagah. Pertelagahan tersebut masih belum selesai sehingga sekarang. Anwar kekal menjadi tokoh yang paling lama menunggu dan mencanangkan dirinya sebagai calon perdana menteri yang paling layak (sejak tahun 1998).

Dah lebih dua dekad, impian Anwar belum tercapai, Langkah ke Putraya dan Langkah Kajang kecundang. Ia menjadi bertambah parah bila Langkah Sheraton membawa pukuluan ‘knock out’ sehingga Anwar kembali meracau dengan nombor yang cukup menyakinkan. Ia tenggelam seketika setelah Dr Mahathir menyatakan Shafie Afdal sebagai Perdana Menteri dan Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri II manakala Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri 1.

Bulan September lalu, Anwar mengumumkan sekali lagi ‘ada nombor yang cukup meyakinkan’ dan meletus perihal ada sokongan daripada pemimpin-pemimpin UMNO. Surat yang dikatakan ditulis oleh Ahmad Zahid Hamidi dan disokong oleh Najib, menjadi tular di media sosial. Akibatnya, Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan ‘gencatan politik’ dan kembali menumpukan menyokong Perikatan Nasional yang dipimpin oleh Muhyiddin sehingga PRU ke-15 ditetapkan. Alasannya, membantu rakyat mendepani COVID-19. (Astro Awani, 21 Oktober 2020).

Tanpa diganggu oleh Dr Mahathir dan dikecohkan oleh Anwar, tiba-tiba politik Malaysia kembali bergelora menjelang tahun baharu 2021. Dr Mahathir hanya membebel seorang diri memerihalkan sikap dan kecamannya terhadap Anwar, UMNO memulakan pergolakan dengan memukul gendang agar PRU ke-15 segera diisytiharkan oleh Muhyiddin. UMNO memberikan tempoh kepada Muhyiddin sehingga akhir bulan Januari 2021 untuk mengisytiharkan pembubaran Dewan Rakyat dan jika tidak diisytiharkan akan memutuskan kerjasama dengan Perikatan Nasional.

Dari situ sudah jelas sikap sebenar pemimpin UMNO yang semakin tidak berpuas hati dengan Bersatu. UMNO kecewa dengan Bersatu. Bersatu telah menyebabkan 16 wakil rakyat UMNO menjadi ‘katak’. Setelah Bersatu berpecah dua (kumpulan Mahathir dan kumpulan Muhyiddin), Mahathir menjauhkan diri daripada Bersatu (dipecat atau secara automatik gugur selepas berada dalam barisan pembangkang semasa di pembukaan Dewan Rakyat pada 18 Mei 2020) dan menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Hingga kini, Pejuang belum mendapat kelulusan penubuhannya secara sah. Pejuang hanya disokong oleh enam wakil rakyat, kini tinggal mereka berempat (Mahathir, Mukhriz, Amirudin dan Dr Shaharudin manakala Syed Saddiq tidak menyertai –menubuhkan parti Muda Malaysia dan Mazlee Malik keluar dari Pejuang untuk bergerak cergas dalam NGO).

Setelah terbentuknya Perikatan Nasional, terusirnya kumpulan pro Mahathir, Bersatu menambah kekuatannya dengan menerima ‘katak-katak’ dari PKR. Ini bermakna dalam Bersatu ada tiga kumpulan ‘katak’. Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil menulis, katak itu adalah pengkhianat. Mereka adalah (1)  Pengkhianat PH dari PPBM yang menjatuhkan kerajaan mereka sendiri; (2)  Pengkhianat UMNO yang melompat parti ke PPBM apabila Barisan Nasional hilang kuasa sebagai kerajaan; dan (3) Pengkhianat PKR dari puak Azmin yang melompat parti ke PPBM apabila Azmin bergaduh dengan Anwar. (Isham Jalil, Nasib Tiga Pengkhianat, https://www.editormalaysia.com/20471/).

Dalam UMNO ada tiga kelompok besar, (1) kelompok yang mempertahankan Zahid dan Najib; (2) kelompok anti-Najib dan Zahid Hamidi; dan (3) kelompok marginal. Kelompok Zahid dan Najib inilah yang dikatakan telah berusaha untuk kekal dan sangat ghairah untuk mencampakkan UMNO ke arah perpecahan yang lebih besar. Ada dakwaan, kelompok ini sedang merancang dan merancakkan semula penerimaan terhadap Najib agar kembali dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya UMNO mendominasi semula kuasa politik. Najib dilihat sebagai faktor akan memberikan kekuatan setelah berjaya menarik sokongan pengundi dengan kehadirannya dalam beberapa siri kempen PRK dan walkabout selepas BN kecundang.

Zahid Hamidi yang menang dalam pemilihan tiga penjuru jawatan Presiden UMNO (2018), dilihat semakin ghairah untuk menggunakan kuasa politik bagi membersihkan imejnya yang tercalar oleh 87 pertuduhan rasuah dan pecah amanah. 33 pertuduhan adalah melibatkan suapan RM 42.76 juta berhubung sistem Visa Luar Negara antara tahun 2014 hingga 2017.

Pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018 serta 20 Februari lalu (2019), Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap 47 pertuduhan dengan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi. Dakwaan-dakwaan tersebut masih belum berakhir, dan ia sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi (Berita Harian, 27 Jun 2019; https://koran.tempo.co/read/internasional/436253/mantan-wakil-pm-malaysia-didakwa-pencucian-uang; Harian Metro, 20 Februari 2019; dan Sinar Harian, 17 Jun 2020). Zahid kini berhadapan dengan 47 pertuduhan.

Najib telah dijatuhkan hukum penjara 12 tahun (keputusan keseluruhan penjara selama 72 tahun) dan denda RM 210 juta setelah didapati bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan penggubahan wang haram berjumlah RM 42 juta milik SRC International Sdn Bhd. (https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/07/715776/najib-dihukum-penjara-12-tahun-denda-rm210-juta).

Bagaimanapun, Najib dibenarkan membuat rayuan. Lain-lain pemimpin UMNO yang sedang berhadapan dengan dakwaan di mahkamah ialah Bung Mokhtar, Ahmad Maslan, Tan Sri Shahrir Abdul Samad manakala Tengku Adnan Tengku Mansor masih dalam proses rayuan setelah dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM 2 juta setelah didapati bersalah menerima rasuah RM 2 juta daripada ahli perniagaan Tan Sri Chai Kin Kong. Kes-kese sedemikian menyebabkan imej UMNO semakin terjejas dan tidak lagi boleh mendakwa ada keahlian lebih 3 juta orang di seluruh negara.

Atas sebab itulah ramai mengesyorkan agar UMNO merehatkan sementara pemimpin-pemimpinnya yang ada kes mahkamah dan melakukan transformasi kepimpinan yang lebih bersih dan berintegriti jika mahu kembali mendapat sokongan. Daripada situlah kemudiannya munculnya kelompok Anti-Najib dan Zahid Hamidi. Mereka tidak menyokong Zahid setelah beliau kembali menerajui UMNO selepas bercuti.

Ramai melihat kepimpinan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan lebih diterima daripada Zahid Hamidi. Kumpulan Anti-Zahid dan Najib ini bergerak secara terancang dan halus. Mereka kadangkala terlalu mengambil tindakan secara berbeza, secara terbuka menyokong tetapi di belakang, mengeluh dan tidak setuju.

Kumpulan marginal ialah kumpulan yang melihat UMNO umpama seekor ikan yang sudah busuk bukan hanya di kepala, bahkan sudah merebak ke bahagian badan. Kelompok ini masih sayangkan UMNO dan tidak menunjukkan sikapnya yang jelas. Mereka cuba menjadi kumpulan yang berada di antara dua kelompok – pro Najib dan Zahid dan Anti Najib dan Zahid. Mungkin Tengku Razaleigh Hamzah memperlihatkan contoh yang jelas kelompok marginal dalam UMNO.

Tengku Razaleigh tidak menyertai UMNO secara en-block menyokong Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, mencadangan kerakyatan Melayu, dan melihat UMNO tidak perlu meneruskan kerjasama dalam Perikatan Nasional untuk PRU ke-15. Ada banyak perkara yang menyebabkan Tengku Razaleigh mengambil keputusan bersendirian dan sebahagian besar adalah reaksi kecewanya terhadap kepimpinan UMNO sekarang. Termasuklah ketika beliau kembali menemui Dr Mahathir untuk bekerjasama membentuk pakatan baharu. Tengku Razaleigh sanggup melupakan sengketanya selepas kalah pada tahun 1987.

Berdasarkan senario tersebut, kelompok marginal semakin berpengaruh. Ia akan menjadi lebih mendapat sambutan daripada akar umbi UMNO setelah Presiden UMNO dan Pengerusi BN memecat Tan Sri Anuar Musa sebagai Setia Usaha Barisan Nasional pada 5 Januari 202u1. Ekoran pemecatan tersebut, Anuar Musa mendedahkan kisah antara sebabnya ialah konsisten dengan prinsip “No DAP No Anwar”. Ia kemudian mendapat kritikan keras daripada Najib dan sekumpulan penyokong kerana cuba mempertahankan diri dengan mendedahkan sesuatu yang tidak betul dengan pendirian parti.

Menariknya lagi, Ahmad Maslan membuat pendedahan yang jelas kenapa UMNO mendesak agar PRU ke-15 disegerakan. Selain tidak puas hati dengan pembahagian jawatan dalam kabinet dan kerajaan, kerajaan pimpinan Muhyiddin masih meneruskan kezaliman kerajaan terdahulu terhadap pemimpin-pemimpin UMNO, termasuk dirinya. Kes-kes yang dibawa ke mahkamah adalah kes kezaliman zaman Dr Mahathir, Latheefa Koya dan Tommy Thomas. Tetapi kes yang dibawa itu masih diteruskan oleh kerajaan sekarang?.

Ada kumpulan yang tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh Tun Dr Mahathir, kumpulan 41 dan kumpulan 80, orang dan organisasi. Kenapa aset (akaun) kumpulan 41 disita? Yang 80 orang ‘termasuk saya’ diarahkan membayar berkali ganda daripada jumlah yang diterima walhal mereka melihat wang itu adalah sebagai ‘dana politik biasa’. Ada yang dapat RM 50,000 daripada Presiden, disuruh bayar kompaun RM 2.5 juta. Ia suatu ‘kegilaan melampau’ dan ‘kezaliman tahap tinggi”.

“Saya dan Tan Sri Shahrir mengepalai 43 orang menyaman SPRM tetapi diheret ke mahkamah dan diteruskan oleh kerajaan yang ada ini. Kerajaan yang ini meneruskan kezaliman,” kata Ahmad Maslan, “oleh kerana itu, saya harap kerajaan ini perlukan pilihan raya semula. Kerajaan yang ada sekarang ini adalah kerajaan yang majoriti paling tipis dalam dunia.”

Walaupun Latheefa Koya, Tommy Thomas dan Tun Dr Mahathir sudah tiada, kezaliman tersebut tetap diteruskan. Maknanya, Ahmad Maslan mengharapkan dengan sokongan UMNO dalam kerajaan PN beberapa kes yang dihadapi oleh pemimpin UMNO diketepikan sebagaimana kes Lim Guan Eng, pembabitan ahli DAP menyokong LTTE, dan sebagainya telah digugurkan oleh Tommy Thomas.

Ahmad Maslan tidak berpuas hati kerana denda yang dikenakan adalah berlipat kali ganda daripada wang diterima oleh mereka. Mereka tidak mengetahui daripada mana wang itu diperolehi dan apa yang dianggap wang itu adalah dana politik seperti biasa. Juga yang belum ditimbulkan ialah kenapa wakil rakyat yang menjadi ‘katak’, yang turut menerima dana politik tersebut tidak diheret ke mahkamah. Misalnya, Mustapha Mohamed.

Tidak puas hati UMNO kepada Perikatan Nasional semakin membarah apabila Bersatu ghairah ‘mencuri ahli UMNO’ untuk membolehkan parti itu yang awalnya bercita-cita ‘menggantikan UMNO’ dan mengukuhkan kedudukannya sebelum PRU ke-15. Bersatu, menurut Setiausa Agongnya, Hamzah Zainudin menyasarkan 8,000 cawangan dalam tempoh tiga bulan (Berita Harian, 1 Januari 2020). Setakat ini, Bersatu dikatakan sudah mempunyai jumlah keahlian seramai 600,000 orang dan terus menerima permohonan penubuhan cawangan baharu.

Ekoran cita-cita besar itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Asyraf Wasdi Dusuki mendakwa Bersatu ‘mencuri’ dan ‘membeli ahli UMNO’. Ia kemudian disambung oleh Nazri Aziz “Bersatu tawar wang tubuh cawangan” (Sinar Harian, 3 Januari 2021). Bagaimanapun, Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Ji menafikan apa yang didedahkan oleh Asyraf dan penafian tersebut dikritik oleh Nazri sebagai ‘tidak cerdik’.

Menurut Nazri, “Tak cerdik… Macam mana tak curi (ahli UMNO)? Orang ini bertanding atas lambang Barisan Nasional (BN), jadi kalau tak curi kita lawanlah nanti, kita tengok. Itu baru tak curi. Mereka curi 16 kerusi kita, Parlimen dan negeri. Perak ini dua DUN kita dia curi. Dia (Bersatu) bukan curi dari kita sahaja… daripada orang lain pun sama, itu curilah namanya,” (Astro Awani, 3 Januari 2021).

UMNO bakal berpecah lagi. Tahun 1987 berpecah kerana perebutan jawatan. Tahun 1998, akibat pemecatan Anwar Ibrahim. Tahun 2008, BN kehilangan majoriti dua pertiga (dan empat buah negeri) kerana ‘kegilaan Dr Mahathir’ mengecam penggantinya. Salah satu sebab ialah tidak meneruskan Jambatan Bengkok. Tahun 2016, UMNO berpecah lagi apabila Tan Sri Muhyiddin, Shafie Afdal dilucutkan jawatan dalam kabinet. Ia menjadi semakin besar apabila Mukhriz dipaksa meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah (3 Februari 2016) kerana kehilangan sokongan majoriti, terutama daripada UMNO. Ia membawa kepada penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atau dikenali dengan Bersatu.

PRU ke-14, UMNO hilang daripada ‘radar kuasa’ apabila BN tewas. Akibat BN tewas dan hilang kuasa, 16 wakil rakyat UMNO mengisytiharkan sebagai ‘wakil rakyat bebas’ sebelum diterima sebagai ahli Bersatu. Kumpulan ini merupakan kumpulan yang sangat berpengaruh dalam Bersatu. Ia dibantu oleh kumpulan Azmin Ali yang bermusuh dengan Anwar.

Bersatu mempunyai 31 kerusi (4 kerusi asal –Muhyiddin, Redzuan Yusuf, Rina Harun dan Ahmad Faizal Azumu;  16 kerusi ‘katak UMNO’ ((1) Bagan Serai; (2) Bukit Gantang; (3) Masjid Tanah;(4) Jeli; (5) Beaufort; (6) Larut; (7) Kudat; (8) Beluran; (9) Hulu Terengganu; (10) Tanah Merah; (11) Mersing; (12) Tasek Gelugor; (13) Labuan; (14) Sipitang ; (15) Libaran;  dan (16) Sabak Bernam) dan 11 kerusi ‘katak PKR’ ((1). Gombak, Azmin Ali; (2). Ampang, Zuraida Kamarudin; (3). Indera Mahkota, Saifudin Abdullah; (4) Bandar Tun Razak, Kamarudin Jaafar; (5) Nibong Tebal, Mansor Othman; (6) Batu Pahat, Rashid Hasnon; (7) Segamat, Santhara Kumar; (8) Seratok, Ali Biju; (9) Puncak Borneo, Willie Mongin; (10) Ranau, Jonathan Yasin; dan (11) Selangau, Baru Bian). Sekarang, ia tinggal 30 apabila Baru Bian menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada 30 Mei 2020.

BN mempunyai 39 kerusi, iaitu 37 adalah UMNO (satu kerusi kosong, iaitu di Grik). Mungkin dengan kedudukan 37 kerusi itu UMNO memandang dirinya ‘masih kuat’? Atau kerana melihat Bersatu semakin mengukuhkan kedudukannya, UMNO merasakan perlu disekat kemaraan ‘sekutu yang tidak sebulu’ itu? Apakah UMNO ‘sangat berani’ untuk meninggalkan Perikatan Nasional ketika ini? Apa akan berlaku sekiranya PRU ke-15 berlangsung ketika COVID-19 semakin memuncak di Gelombang Ke-3 ini? Apakah UMNO bersedia menerima kutukan rakyat dengan memaksa PRU ke-15 diadakan bakal mengulangi ‘kesan positif COVID-19 selepas PRN Sabah?

Dalam keghairahan itu, sudah ada kenyataan, rakyat akan memilih siapa sahaja asal bukan “UMNO” menjadi realitinya? Itulah antara beberapa persoalan yang wajar dinilai kembali oleh pemimpin UMNO sebelum dihukum sekali lagi oleh pengundi dalam PRU ke-15. Bagaimanapun, UMNO sukar untuk pulih. Masalah besarnya ialah ‘buruk di kepala’ dan selagi tidak ada pembersihan penyakit ‘busuk kepala’ selagi itulah UMNO tidak mampu berkuasa semula dengan kekuatan yang pernah dimiliki sebelumnya.

BN mempunyai kekuatan yang terbaik ialah selepas PRU ke-12 (2004) apabila menguasai 198 daripada 219 (90 peratus) kerusi Dewan Rakyat, dan UMNO menyumbang 109 kerusi (55 peratus). Undi popular yang diterima oleh BN ialah 63.9 peratus (jumlah keluar mengundi 6,916,318) dan UMNO berjaya meraih 36 peratus (2,483,249 undi).

PRU ke-14, BN hanya mampu menguasai 79 kerusi (222 kerusi) dengan undi popular sebanyak 4,080,797 atau 33.7 peratus. Apakah dengan pergolakan-pergolakan yang berlaku sekarang, BN akan berhadapan kemungkinan paling sukar atau hanya akan tinggal nama seumpama ‘dinasour’? Kita hanya kenal dinasour itu berdasarkan lakaran daripada fosil dan janaan komputer. Anak-anak kita kenal dinasour kerana adanya keinginan dan pembabitan ahli sains menyelidiki dan mendokumentasikannya? Ya mungkin, suatu hari anak-anak kita hanya akan kenal UMNO/BN berdasarkan semakan di perpustakaan dan belajar sejarah?

UMNO sepatutnya lebih berusaha untuk tidak mengulangi kesilapan dan perpecahan dalamannya sehingga fenomena ‘jatuh menjatuh’ dan ‘tikam dari belakang’ terus berlaku. Di manakah seruan ‘penyatuan dan perpaduan’ dari dalam boleh dipraktikkan dan pemimpin yang bermasalah (atau dilihat bermasalah) secara sukarela mengundurkan diri. Datuk Onn Jaafar sanggup melepaskan jawatan kerana pendiriannya tidak dipersetujui oleh ahli. Tunku Abdul Rahman sanggup melepaskan jawatan bila perpaduan rakyat mula bermasalah dan memberikan ruang kepada Tun Razak untuk menyuntik semula ‘regangan’ itu. Tun Hussein Onn boleh meletakkan jawatan kerana melihat Dr Mahathir ‘ghairah’ dan lebih berwawasan.

Apakah Zahid Hamidi akan melakukan perkara yang sama setelah UMNO semakin gagal dalam penyatuan ‘kabilah’ dan perjuangan untuk orang Melayu-Islam? Zahid sudah tersandung dengan ‘penyakit’ maka Zahid wajar mengubatinya terlebih dahulu. Setelah sembuh dan tidak meninggalkan parut, Zahid boleh diterima kembali memimpin UMNO. Begitu juga Najib, Tengku Adnan Tengku Mansor, Ahmad Maslan, Bung Mokhtar mahupun Isa Samad.

Mahanor Saleha

Translate »