PERUBAHAN daripada satu keadaan kepada satu keadaan bukanlah sesuatu perkara yang mudah.
Ramai dalam kalangan kita yang ingin berubah daripada melakukan perkara yang tidak baik kepada perkara yang baik, dari perkara yang Allah murka kepada perkara yang Allah reda.
Seringkali perkataan istiqamah diucapi dan didengari bertujuan agar apa yang kita lakukan dapat dilaksanakan sehingga ke akhir hayat.
Perkataan istiqamah menurut Kamus Dewan ialah menjalankan sesuatu suruhan secara terus-menerus. Imam Nawawi mengatakan makna istiqamah ialah ‘sentiasa mengikut ketaatan kepada Allah’.
Ini berdasarkan firman Allah di dalam Surah Hud ayat 112: Maka beristiqamahlah sebagaimana kamu telah diperintahkan.
Seseorang yang ingin berubah maka perlulah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk meninggalkan segala perkara yang boleh menyebabkan dirinya kembali kepada asal.
Misalnya seseorang yang tidak berhijab kemudian mengambil keputusan untuk berhijab tetapi mereka tidak istiqamah lantas mereka kembali membuka hijab semula.
Begitu juga dengan mereka yang berubah untuk meninggalkan maksiat tetapi selepas itu kembali melakukannya.
Istiqamah bukan hanya meninggalkan maksiat tetapi ia juga dalam melakukan amalan baik seperti seseorang yang melakukan solat Dhuha tetapi selepas beberapa ketika mereka berhenti daripada melakukannya. Begitu juga dengan membaca al-quran dan sebagainya.
Mungkin inilah yang menjadi halangan utama untuk seseorang itu berubah kerana tidak dapat istiqamah dalam sesuatu amalan. Beberapa faktor harus difahami untuk istiqamah dalam sesuatu perkara. Antaranya ialah:
1. Perlu niat ikhlas kerana Allah
Seseorang yang ingin melakukan sesuatu perkara semestinya perlu berniat ikhlas kerana Allah. Ini kerana hanya amalan yang ikhlas kerana Allah akan diterima dan dipermudahkan.
Tanpa niat dan keikhlasan semata-mata kerana Allah SWT, sukar untuk individu istiqamah dalam melakukan penghijrahan ke arah perkara kebaikan. Jika diperhatikan secara terperinci, setiap ibadat dalam Islam akan disertai dengan kewajipan memasang niat.
Sabda baginda Rasulullah: Umar Al-Khattab meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Segala amal (tidak berlaku) melainkan dengan adanya niat dan sesungguhnya setiap seorang hanya akan beroleh balasan berdasarkan niatnya. Dengan asas itu, sesiapa yang berhijrah dengan tujuan mencapai keredaan Allah dan Rasul-Nya; maka hijrahnya itu menyampaikannya kepada (balasan baik) Allah dan Rasul-Nya; dan sesiapa berhijrah dengan tujuan mendapat faedah dunia atau dengan tujuan hendak berkahwin dengan wanita, maka hijrahnya itu hanya menyampaikannya kepada apa yang dituju sahaja.” – [HR Bukhari 1].
2. Berubah mengikut kemampuan
Melakukan sesuatu amalan yang baik sudah pasti akan diberikan ganjaran yang hebat daripada Allah. Oleh kerana itu, ramai yang beranggapan bahawa jika seseorang itu ingin berubah maka ia perlu melakukan sesuatu secara drastik.
Sebenarnya amalan yang paling dicintai oleh Allah ialah amalan yang sedikit tetapi berterusan. Ini berdasarkan hadis nabi.
Sabda Baginda Rasulullah: “Aishah bertanya kepada nabi: Amalan apakah yang paling dicintai Allah?” Dia menjawab; “Yang dikerjakan terus menerus walaupun sedikit, lalu beliau bersabda: “Beramallah sesuai dengan kemampuan kalian”. – [Bukhari 5984].
3. Memilih sahabat yang baik
Hubungan persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia kerana kawan atau sahabat berperanan dalam membentuk personaliti seseorang. Jika kita tersalah memilih kawan maka setiap apa yang kita usahakan tidak akan berjaya.
Baginda Rasulullah mengingatkan kepada kita dengan sabdanya: Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan baju anda berlubang, atau mendapat bau yang busuk. – [HR Bukhari 5108].
4. Berdoa
Doa merupakan senjata bagi orang mukmin. Pernah satu ketika sorang lelaki berjumpa dengan Syeikh Ramadhan Al-Buti bertanyakan mengenai perilakunya yang sentiasa melakukan maksiat kepada Allah sehinggakan dia merasai kelazatan dalam melakukannya. Menangis Syeikh Ramadhan mendengar keluhan pemuda itu. Lalu dia berkata:
“Wahai pemuda janganlah engkau mengadu kepadaku tetapi mengadulah kepada Allah yang Maha Mendengar lagi Maha mengetahui”. Baliklah pemuda itu kerumahnya. Selang beberapa bulan selepas itu, pemuda itu datang semula kepada Syeikh Ramadhan dan berkata kepada Syeikh: Wahai Syeikh sesungguhnya pada waktu aku mengadu kepada engkau aku merasai kelazatan dalam melakukan maksiat tetapi pada hari ini aku telah merasai kemanisan dalam ibadah”.
Berdoalah kepada Allah yang Maha mendengar kerana dengan izin dan bantuan Allah kita dapat berubah daripada satu keadaan kepada keadaan yang lain.
Sentiasalah beramal dengan doa ini selepas solat:Ya Allah bantulah aku dalam menyebut namaMu, mensyukuri nikmatMu dan jadikanlah aku seorang insan yang baik.
Istiqamah bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan oleh sesiapa pun bahkan tidak ramai yang mampu untuk melaksanakan istiqamah ini dalam kehidupan seharian.
Ia memerlukan keimanan dan ketakwaan kepada Allah yang teguh.
Apabila kita diberikan kekuatan melakukan sesuatu kebaikan keimanan dan ketakwaan akan memberikan kita dorongan dan motivasi untuk melaksanakannya secara konsisten.
Walaupun adakalanya amalan tersebut nampak kecil tetapi kebaikan yang dilaksanakan secara istiqamah itu akan memberikan impak tabiat yang baik kepada pelakunya secara berterusan.
Oleh Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan
Sumber : mstar.com.my
Recent Comments