Dalamm perspektif Islam, setiap bencana yang melanda dilihat sebagai satu kaedah bagaimana Allah SWT menguji kesabaran dan sikap pasrah dirinya. Bencana boleh dinilai sebagai perencah yang boleh menambahkan keimanan seseorang malah malapetaka itu juga boleh ditinjau dalam persekitaran kealpaan manusia terhadap keharmonian alam sekitar.
Lebih menyedihkan ialah bagaimana manusia turut melakarkan ke arah kehidupan yang serakah dan penuh kepalsuan sehingga sanggup melanggar nilai adat dan etika. Mereka yang berkuasa, sanggup melakukan “penjualan maklumat dari dalam” sehingga membolehkan kenalan atau kroninya membida sesuatu tender dengan tawaran yang lebih baik, sedangkan keupayaan fizikalnya amat terhad.
Mereka yang melaksanakan urusan pemberian kontrak sanggup menerima tawaran daripada para pelobi dengan sedikit imbuhan manakala ada juga yang menubuhkan syarikat tertentu atas nama sanak saudaranya yang terdekat semata-mata inginkan projek terbabit.
Bencana yang dimaksudkan itu menggambarkan betapa menipisnya moral seseorang, termasuk tokoh agama. Tokoh agama sanggup berbohong dan bahkan melakukan penyelewengan dan salah guna kuasa. Dalam hal ini, ia bukan sahaja membantu membentuk imej buruk orang tertentu, bahkan organisasi yang berada di sekelilingnya.
Institusi agama turut menerima tempias, kerana ada segelintir pemimpinnya sanggup menipu atas alasan kepentingan agama. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman: “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan janganlah kamu membawa urusan harta itu kepada Hakim supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan jalan dosa. Padahal kamu mengetahui. ” (Al-Baqarah [2] : 188)
Kita tidak mengharapkan sesetengah bencana itu berlaku ke atas diri mahupun keluarga kita, tetapi ia boleh berlaku juga atas kesilapan diri kita sendiri. Dengan menurunkan bencana, Allah SWT sebenarnya memberikan petunjuk bahawa atas kedegilan itulah dunia bakal musnah dan kehidupan berkecai.
Namun, ketika ditimpa musibah, manusia begitu mengharapkan belas ihsan Allah SWT agar ia dihentikan secepat mungkin sebagaimana trauma manusia ketika dilanda tsunami tujuh tahun lalu.
Musibah juga merupakan petanda akan datangnya limpahan rahmat Allah.
Betapa pahit dan getirnya musibah yang menimpa, baik berupa kemiskinan, kesakitan, ketakutan, kegagalan mahupun semua bencana di dunia ini, Syeikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi ad-Dansyaqi menjelaskan di dalam kitabnya Mau’idhatul Mu’minin bahawa di dalamnya mengandungi lima perkara yang sepatutnya disyukuri.
Pertama,memberikan kita pengertian bahawa musibah itu adalah hakikat kebesaran Allah SWT.
Kedua,musibah yang menimpanya itu tidak membabitkan urusan agama.
Ketiga, musibah yang menimpanya pada ketika dia masih berada di dunia adalah lebih ringan berbanding ketika di akhirat. Semasa dilanda musibah di dunia, manusia masih mempunyai peluang untuk mengatasinya, tetapi di akhirat peluang itu tertutup sepenuhnya.
Keempat, sejak azali lagi setiap musibah itu telah tertulis di lohmahfuz, jauh sebelum kelahiran seseorang itu lagi.
Kelima, apabila kita dapat menerima musibah dengan sabar dan tenang, kita sebenarnya berupaya lahir sebagai orang kuat dan yakin dengan ketentuan Allah SWT, yakni menerima suratan takdir.
Dalam meneruskan kehidupan ini, kita harus bersyukur kerana kita dilahirkan dalam sebuah negara (Baldatun Thoiyyibatun) yang dilimpahi nikmat kekayaan, jauh daripada malapetaka alam yang besar dan sentiasa dilingkari kedamaian.
Secara lahiriah, kemakmuran boleh dilihat dengan jelas, namun tidak mampu melahirkan ketenangan dan kebahagiaan. Sebaliknya, mereka dilanda gelisah, cemas, bimbang dan takut. Ada juga manusia berpura-pura hidup dalam keadaan tenang dan makmur, tetapi dalam hati kecilnya penuh dengan kebimbangan, ketakutan dan rasa cemas.
Bencana juga turut dikaitkan dengan aktiviti yang berkaitan dengan kemaksiatan, sehingga tidak ada yang mampu mencegahnya dan tidak ada pula yang mampu mengajaknya ke jalan yang benar.
Amar makruf nahi mungkar adalah dua perkara yang harus dilakukan bersama. Amar makruf nahi mungkar yang dilakukan oleh pemerintahan itu berupaya membimbing atau mengajak rakyatnya bersungguh-sungguh dalam menegakkan peraturan dan undang-undang tersebut.
Oleh Mohd Shauki Majid
Recent Comments