Kita mungkin teringat ketika Nabi Muhammad SAW pulang ke rumah selepas menerima wahyu pertama di Gua Hira’. Ia berlaku pada malam 17 Ramadhan (6 Ogos 610M). Nabi Muhammad SAW diajar sebanyak tiga kali untuk membaca ‘Iqra’….”, tetapi kerana baginda adalah seorang yang ummi (tidak boleh membaca) berkata: “ma ana bi qariin” yang bermaksud “saya bukanlah seorang yang pandai membaca” dengan perasaan takut pulang ke rumah.

Khadijah yang melihat ‘ketakutan’ Rasullullah SAW mendengar dengan tenang apa yang dialami oleh suaminya. Rasullullah SAW melepaskan ‘rasa takut’ itu dengan merapatkan dirinya dengan Khadijah. Ertinya, Rasullullah SAW memerlukan sokongan semangat, dan ternyata Khadijah tidak menghampakan suaminya.

Apakah keadaan seperti itu berlaku dalam hidup kita bersama seorang perempuan yang kita kahwini setelah sekian lama? Apa kata perempuan apabila suaminya pulang ke rumah? Apakah si isteri akan membantu meringankan beban itu? Bertuahlah jika pengalaman itu anda miliki, dan anda lalui berkali-kali sebelum salah seorang daripada pasangan itu benar-benar ‘tiada’.

‘bosan’ kerenah suami

Apakah saya memerlukan seorang isteri seperti Khadijah? Itu adalah sesuatu yang ideal dan dambaan semua orang. Termasuk juga seorang perempuan, yang azamnya memang kuat ketika mula-mula berkahwin dan semakin luntur bila ‘bosan’ kerenah suami. Kata orang, semakin lama semakin sayang, sudah bukan lagi kata yang cukup bermotivasi. Ia sudah meninggalkan maksudnya yang kudus dan begitu ritual sifatnya.

Apa yang berlaku, semakin lama semakin kendur ‘kasih sayang’ kerana masing-masing merasakan sudah bosan dan tidak perlu lagi atas alasan ‘malu’ jika dilihat oleh anak cucu. Sepatutnya, sebagai teladan, pasangan berusia perlulah menunjukkan kasih sayang yang semakin melimpah, seumpama masih dalam mood berbulan madu, buka kerana ‘seks’.

Kita mungkin teringat kepada sebuah filem Bollywood yang mendapat sambutan hangat dan dikategorikan sebagai pecah panggung, termasuk di Malaysia, walaupun sebahagian besar yang menontonnya tidak tahu berbahasa Hindi. Ceritanya cukup kuat dan penuh warna-warni kehidupan bahagia sepasang suami isteri yang telah meniti usia senja.

Seorang isteri tetap berada di sisi suaminya tanpa menjarakkan diri atas alasan tertentu, termasuk sudah tua. Mereka kembali kepada keadaan seperti saat-saat memulakan kehidupan berkeluarga. Filem Kabhie Khusie Kabhie Gam (2001). Biarpun ada subplot yang banyak, filem itu amat menarik untuk difahami makna kasih sayang dan perlunya kasih sayang dalam kehidupan.

brain rules

Saya pernah terbaca sebuah tulisan psikologi yang menarik mengenai sifat pasangan berusia. Ia menepati pemenemuan John Medina, Brain Rules: Brain Rules: 12 Principles for Surviving and Thriving at Work, Home, and School (2008) yang kemudiannya dikembangkan dalam beberapa buah bukunya yang lain. Antaranya, Brain Rules for Ageing Well: 10 Principles for Staying Vital, Happy, and Sharp (2017); Brain Rules for Baby: How to Raise a Smart and Happy Child from Zero to Five (2010); dan Attack of the Teenage Brain! Understanding and Supporting the Weird and Wonderful Adolescent Learner (2018).

Apa yang ditemukan oleh beliau ialah antara lelaki dan perempuan, selain bentuk fizikalnya secara lahiriah berbeza, dari perspektif keupayaan memorinya juga berbeza. Perempuan mempunyai kekuatan memori yang lebih tinggi berbanding lelaki. Sifat itulah yang membuatkan perempuan boleh mengungkit-ungkitkan kisah lama yang sudah dilupai oleh seorang lelaki, atau peristiwa dalam hidup mereka berdua. Dalam keadaan tertentu, ada ketikanya lelaki lupa tarikh perkahwinan mereka, apatah hari hari kelahiran isteri. Tetapi, seorang isteri tidak lupa semua tarikh-tarikh tersebut sama ada berhasrat untuk menyambutnya atau tidak.

Seorang perempuan mampu ingat apa yang berlaku ketika di sekolah rendah sedangkan seorang lelaki kadangkala lupa untuk mengingat kisah semasa di sekolah menengah. Sebab itulah dalam kumpulan whatsapp kita melihat yang ghairah bercerita kisah lama (nostalgia) adalah perempuan berbanding lelaki.

Lelaki, hanya sesekali mencelah, sama ada bergurau atau mengusik sebagai provokasi. Kadangkala yang boleh menerimanya, tetapi sebahagian yang lain merasakan ia tidak sepatutnya berlaku. Ada yang marah-marah dan tidak kurang yang mengambil keputusan ‘left group’ kerana tidak mahu diganggu dengan cerita dan provokasi.

Cerita dan provokasi itu turut dijadikan sebagai isu yang menyakitkan hati dan dulang-ulang antara rakan-rakan yang masih berkawan atau dianggap ‘satu kepala’. Ia boleh mengeluarkan komen dan berbincang selama berjam-jam hingga larut malam dan ketiduran bersama telefon genggam tergenggam di tangan. Ada benarnya kata orang sekarang, isteri atau suami lebih rela tidur dengan telefon setiap malam daripada tidur bersama isteri atau suami.

Kalaulah kecenderungan itu semakin membudaya, maka rosaklah kehidupan berkeluarga dan pudarlah ‘kasih sayang’. Apa tidaknya, seorang suami atau isteri akan bermasalah sekiranya telefon peribadi yang dimiliki dibaca mesej dan perbualannya dibaca. Bahkan bila menerima panggilan, sanggup menjarakkan diri dengan suami atau isteri, kerana enggan perbualan itu diketahui. Meskipun kemudiannya diceritakan,ceritanya sudah disaring, ditapis dan dipilih-pilih agar enak didengar atau tidak menimbulkan syak wasangka.

ketawa sendirian

Telefon bimbit atau genggam sudah mempengaruhi iklim kasih sayang dan komunikasi antara pasangan. Bahkan, ketika sama-sama menunggu makanan yang ditempah, masing-masing lebih selesa membaca atau scroll skrin telefon, ketawa sendirian dan senyum tanpa sedar ia adalah senyum yang tidak akan mendapatkan balasan.

Hanya senyum seorang diri, kerana skrin tidak dapat merakamkannya kecuali bila tombol kamera dihidupkan. Ada ketikanya terbetik rasa cemburu ‘orang sebelah’ atau ‘orang di hadapan’ norma baharu makan berhadapan akibat penjarakan sosial (satu meja hanya boleh makan berdua).

Kadangkala boleh ketawa dan kadangkala mengetap bibir, walaupun itu hanyalah perlakuan yang dibuat-buat berdasarkan aplikasi tik-tok. Kalau lucu, dikongsikan bersama. Kalau ‘marah’ atau ‘meluat’, hanya diri sendiri yang memahaminya, ‘orang di sebelah’ atau ‘orang di hadapan’  hanya ‘buat tak tahu’ atau biarkan, biarkan kerana faham emosi yang mudah tersentuh. Nak ditegur serba salah. Lebih baik biarkan sahaja ia berlalu kerana itu hak dan privasi masing-masing yang perlu dijaga walaupun perempuan itu isteri kita.

Bila ditegur, boleh jadi ‘gaduh’, sebab isteri zaman sekarang lebih bijak dan pandai daripada suami. Isteri sekarang lebih berperasaan daripada suami. Apatah lagi bila seorang isteri ada pencen bulanan sedangkan suami, walaupun sudah pencen tidak ada pencen bulanan kerana bekerja dengan syarikat swasta. Itulah sebabnya sebahagian suami kadangkala lebih ‘suka’ lepak dengan kawan-kawan di warung kopi kerana mengelakkan daripada mendengar leteran seorang perempuan.

siapa lelaki

Saya temui sebuah rencana ringkas, Suami ni semakin berusia semakin pelupa, sebab tu isteri ada saling mengingatkan, (https://www.pesonapengantin.my/suami-ni-semakin-berusia-semakin-pelupa-sebab-tu-isteri-ada-untuk-saling-mengingatkan/). Rencana itu cukup ringkas tapi baik untuk difahami oleh suami/isteri jika mahukan hidup bahagian hingga ke Jannah. Rencana itu menyebut:

Walaupun kebanyakan isteri faham bahasa tubuh suaminya. Andai seorang perempuan itu tahu sebab lelaki dicipta, pasti dia bersyukur kerana dicipta sebagai perempuan.

Lelaki ini tidak banyak cakap, sebab dia tidak suka perbesarkan perkara kecil.

Lelaki ini tidak banyak fikir sebab dia tak nak fikirkan perkara yang belum tentu.

Lelaki  ini banyak tanggungjawabnya sebab dia khalifah di muka bumi. 

Lelaki ini tegas, sebab dia perlu memimpin seluruh keluarganya.

Lelaki ini, berat bebanannya, sebab dia perlu menggalas dosa setiap ahli wanita dalam keluarganya selagi mana dia tidak menegur dan berusaha membetulkannya.

Dia tidak pandai tunjuk kasih sayangnya, kerana padanya asalkan insan kesayangannya cukup makan, pakainya, dia sudah cukup gembira.

Dia tidak minta dipuji, kerana padanya itu bukan yang penting.

Dia tidak minta dibalas jasanya, kerana ia tahu semua jasa itu adalah tanggungjawabnya.

Dia sering disalah erti kerana dia tidak banyak berbicara.

Bila dia bergaduh dengan kamu, lepas itu dia tegur kamu, itu maknanya dia minta maaf. Jadi terimalah maafnya sekadar itu kerana dia tidak akan sebut ‘saya minta maaf’.

Bila dia sudah sakitkan hati kamu, lepas itu dia pandang kamu dengan lembut, bantu kerja kamu, itu maknanya dia pun kesal kerana sudah sakitkan hati kamu.

Bila dia susah hati dan runsing, dia tidur.

Bila dia termenung panjang, maknanya dia sedang dilanda masalah, jadi jangan serabutkan masalah fikirannya.

Bila dia marah, kamu diam. Biarkan dia.

Bila dia garang dengan anak-anaknya, bukan dia tak sayang. Dia tahu isterinya yakni ibu mereka akan pujuk anak-anaknya. Kerana dia hendak anak-anaknya rapat dengan ibu mereka kerana syurga anak-anak di bawah kaki ibu mereka. 

…..

Penat,  memang penat buat seorang isteri. Tapi itulah buat kamu istimewa di matanya.

Kenapa dia jadi begitu, sebab tugasnya memimpin bukan menghafal apa yang kamu inginkan.

Maka, saya turut tersintak apabila ‘perempuan’ itu berkata: Semuanya lupa, cari semuanya tak jumpa. Tetapi ‘yang itu’ boleh jumpa walaupun dalam gelap’.

pukulan maut’

Apa anda akan jawab bila menerima ‘pukulan maut’ itu? Saya hanya mampu berkata: ‘yang itu senang dicari, terlekat begini. Di mana ada kamu, disitulah ‘yang itu’ bertempek’. Apa kata perempuan isteri anda bila anda jawab begitu? Saya tidak berhak untuk menduga mahupun membuat spekulasi.

Apa yang saya dapat katakana ialah ‘kaca mata kehidupan setiap pasangan adalah berbeza’ tetapi yang perlu disamakan ialah bagaimana boleh kita hidup sebagai pasangan bahagia dengan setiap hari belajar untuk ‘memahami’ dan ‘difahami’.

Memahami fitrah masing-masing dan mengerti tanggungjawab yang sesungguhnya, saling melengkapi bukan saling ‘bermusuhan’. Itulah sebabnya Allah SWT menciptakan lelaki dan perempuan, bukan hanya sekadar melahirkan zuriat bahkan juga untuk hidup saling berkasih sayang, bukan sekadar menyebut ‘kasih’ dan ‘sayang’ atau ‘cinta’.

Kasih sayang atau cinta sepanjang hayat, bukan retorik kata-kata yang melankolik, tetapi sebuah praktis yang positif, atau bukan mencari kebenaran di ruang yang salah dan masa yang tergopoh-gapah. Di situ amat banyak belenggu yang sedang menunggu rantai perkahwinan diputuskan.

Kita sebenarnya tidak mahu, berpisah hidup ketika usia lanjut kerana sebelumnya kita turut resah dengan pasangan yang bercerai dalam usia perkahwinan dini meningkat dari tahun ke tahun.

Tahun 2019, sejumlah 56,975 pasangan bercerai. Naik 12 peratus daripada tahun 2018, iaitu seramai 50, 862 pasangan. Ertinya, setiap hari ada 156 penceraian atau 6.5 pasangan setiap jam atau lebih 2 pasangan setiap 20 saat.

Angka itu menjadi semakin besar kerana pada suatu ketika, purata penceraian berlaku setiap 17 saat. Kini (2019), puratanya berlaku satu penceraian dalam tempoh kurang 10 saat. Mungkinkah tahun 2020 akan meningkat lagi kerana adanya COVID-19 menyebabkan ramai hilang pekerjaan dan dirundung ‘emosi terkurung’?

Juga menarik dari data terbaharu, Sebanyak 0.3 peratus pengantin lelaki berusia 65 tahun ke atas telah berkahwin dengan pengantin wanita yang lebih muda iaitu berusia sekitar umur 24 tahun dan ke bawah. Manakala 0.2 peratus pengantin wanita berusia 65 tahun ke atas telah berkahwin dengan pengantin lelaki lebih muda yang berumur 24 tahun ke bawah. (Rujuk: ‘Bilangan berkahwin turun, jumlah bercerai meningkat’, Malaysiakini, 30 November 2020)

Kita berkata, mereka belum matang dari persekitaran hidup berumahtangga, tetapi, apakah kita yang sudah matang berfikir sudah menemui ‘kematangan berumahtangga’ setelah sekian lama mengharapkan bahagia hingga ke Jannah tetapi kandas dalam ‘perseteruan’ emosi dan kata hati?

 

KAMARUN KH

  

Translate »