SAHABAT adalah seorang yang setiakawan, boleh membantu apabila kita berada di dalam kesusahan.
Sahabat juga mampu meredakan kesedihan, menghilangkan kebimbangan dan sanggup berjuang demi kebaikan kita. Sahabat adalah orang yang mampu menyimpan rahsia dan keaiban kita. Mereka akan sentiasa melindungi kita.
Sejak kebelakangan ini kita dapat saksikan ada dalam kalangan mereka yang sanggup untuk melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang sahabat yang sejati.
Antaranya menipu, mengaibkan hal peribadi sahabat karibnya, menjatuhkan maruah dan pelbagai lagi sehingga ada yang sanggup pecah amanah terhadap sahabatnya itu.
Betapa pentingnya memilih sahabat yang baik sehinggakan baginda Rasulullah menyebut di dalam hadisnya: Seorang mukmin itu cermin bagi mukmin lainnya, dan seorang mukmin itu saudara bagi mukmin lainnya; ia membantunya saat kesulitan serta menjaganya (membelanya) dari belakang – [HR Abu Daud 4272].
Dalam Islam, beberapa faktor dalam memilih kawan amat dititik-beratkan. Hubungan persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia, kerana kawan atau sahabat berperanan dalam membentuk personaliti individu.
Ada kawan yang sanggup bersusah-payah dan berkongsi duka bersama kita, dan tidak kurang juga kawan yang nampak muka semasa senang dan hanya sanggup berkongsi kegembiraan sahaja.
Terdapat ayat yang mengisyaratkan mengenai peranan dan pengaruh kawan, antaranya firman Allah didalam Surah At-Taubah ayat 119. Maknanya: Wahai orang yang beriman! Bertakwalah dan hendaklah kamu bersama-sama orang yang bersifat benar.
Pendek kata sahabat boleh menentukan corak hidup kita. Justeru, jika salah pilih sahabat kita akan merana dan menerima padahnya. Selari dengan hadis Rasulullah yang bermaksud: “Seseorang itu akan mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya.” – [HR Tarmizi 2300].
Dalam hadis yang lain pula: Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan baju anda berlubang, atau mendapat bau busuk. – [HR Bukhari 5108].
Oleh kerana itu pemilihan sahabat dunia akhirat sangatlah penting kerana mereka yang akan sentiasa mendorong kita ke arah kebaikan. Jika tersalah memilih sahabat maka binasalah seseorang itu. Antara tip untuk memilih sahabat yang baik ialah:
1. Memilih sahabat yang bertaqwa
Persahabatan memerlukan kepada kepercayaan. Kepercayaan pula tidak akan terhasil melainkan dengan rasa takut kepada Allah. Sifat inilah yang akan menjaga seseorang daripada melakukan pecah amanah, tidak menyuruh kita melainkan kepada ketaatan dan mencegah kita daripada melakukan maksiat. Sabda baginda Rasulullah:
Janganlah kalian berkawan kecuali dengan seorang mukmin. – [HR Abu Daud 4192].
2. Memilih sahabat dengan keperibadian yang lembut dan baik.
Keperibadian yang lembut ialah dari sudut pergaulan yang baik, cermat, mudah dan berkasih sayang sesama manusia, hati dan jiwa yang lembut dan baik akhlaknya. Ini kerana, seseorang yang memiliki hati dan jiwa yang lembut akan mudah menegur kita dengan cara berhikmah yang tidak menyakiti hati sesiapa.
Sabda baginda Rasulullah: Seorang mukmin adalah lembut, maka tidak ada kebaikan bagi seseorang yang tidak lembut atau tidak boleh di lembuti. – [HR Ahmad 8831].
3. Memilih sahabat yang dapat menjaga keaiban
Sedar tidak sedar kadang-kadang segala masalah dan keaiban kita diceritakan kepada sahabat karib kita. Ini kerana kepercayaan yang diberikan kepada mereka terlalu tinggi tetapi ada antara mereka yang sanggup membuka keaiban sahabatnya itu tanpa memikirkan hubungan mereka yang telah lama terjalin. Sabda Baginda Rasulullah: Barang siapa menutupi (aib) saudaranya sesama muslim di dunia, Allah menutupi (aib) nya pada hari kiamat. – [HR Ahmad 22101].
4. Memilih sahabat yang susah senang bersama
Kawan ketika senang mudah dijumpai tetapi kawan ketika kita berada di dalam kesusahan itulah yang susah dicari.Kebanyakan kawan-kawan yang ada hanya berada dengan kita semasa kita mempunyai sesuatu sama ada jawatan, pangkat, harta dan kedudukan dan mereka akan meninggalkan kita jika kita kehilangannya. Sabda
Baginda Rasulullah: Sebaik-baik manusia yang dicintai oleh Allah adalah mereka yang memberi manfaat kepada orang lain. – [HR Tobari 6026].
5. Memilih sahabat yang suka berterus terang
Seorang sahabat yang sejati akan sentiasa berterus terang kepada sahabatnya dan tidak bercakap di belakang supaya dapat mendatangkan kebaikan bukan sahaja kepada dirinya bahkan kepada sahabatnya itu. Bercakap belakang tidak mendatangkan sebarang faedah atau penyelesaian bahkan memufliskan kita di akhirat kelak.
Sabda Rasulullah: Licik dan penipu daya di dalam api neraka. – [HR Bahaiqi 4887].
Justeru itu jadilah sahabat yang baik yang menjadi cermin kepada yang lain agar mendapat naungan Allah pada hari kiamat nanti seperti mana di dalam hadis nabi: Dua orang laki-laki yang saling mencintai kerana Allah; mereka tidak bertemu kecuali kerana Allah dan berpisah kerana Allah. – [HR Bukhari 620].
Oleh Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan
Sumber : mstar.com.my
Recent Comments