Tanda-tanda kiamat sama ada kecil ataupun besar akan diperlihatkan kepada kita sebelum terjadinya hari kiamat yang amat dahsyat.
Pada masa kini agama Islam akan menjadi asing atau amalannya dianggap tidak sesuai mengikut peredaran zaman. Asing itu bukanlah bermakna Islam tidak dikenali memandangkan Islam adalah agama yang mempunyai ramai penganut.
Dalam hadis daripada Ibnu Umar, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Islam bermula dalam keadaan asing dan kelak ia akan kembali asing sebagaimana dahulu ia bermula dalam keadaan asing. – [HR Muslim 208].
Kita dapat saksikan pada hari ini ada individu atau masyarakat yang mengamalkan ajaran mengikut syariat Islam, sunnah dan akhlak Rasulullah namun dipulau dan dipandang serong oleh orang lain.
Di sini Dr HD akan memberikan empat tanda mengenai manusia akhir zaman yang perlu kita tahu dan sedar serta perlu bermuhasabah dengan diri sendiri.
Islam tidak menghalang seseorang itu mencari harta ataupun untuk hidup dalam kemewahan tetapi Islam melarang seseorang itu mendapatkan harta dengan cara melanggar hukum Allah.
1. Tidak peduli soal halal, haram pada harta mereka
Baginda Rasulullah menyatakan bahawa manusia pada waktu itu mereka tidak mempedulikan lagi soal halal dan haram dalam urusan perniagaan mereka.
Sabda Rasulullah: Akan datang kepada manusia suatu zaman di mana seseorang tidak peduli dari mana ia mendapatkan harta, dari yang halal atau yang haram. – [HR Nasai’ 4378].
Jika kita perhatikan pada zaman ini, ramai dalam kalangan kita yang mahu cepat kaya tetapi dengan melanggar hukum hakam dan mereka sanggup melakukan apa sahaja demi kesenangan di dunia yang sementara.
Islam tidak menghalang seseorang itu mencari harta ataupun untuk hidup dalam kemewahan tetapi Islam melarang seseorang itu mendapatkan harta dengan cara melanggar hukum Allah.
2. Berperangai buruk
Islam mengambil berat soal akhlak, budi pekerti yang baik serta ihsan sesama manusia. Akan tetapi akan datang jenis-jenis manusia yang buruk perangai mereka sehingga digambarkan oleh Baginda Rasulullah mereka itu di pagi dan petang hari dalam keadaan kemurkaan Allah.
Sabda Rasulullah: Akan muncul beberapa orang dari umat ini di akhir zaman di pagi hari mereka berada di dalam kemurkaan Allah dan di petang hari mereka berada di dalam kemarahan Allah. – [HR Ahmad 21129].
Hadis ini menunjukkan bahawa mereka tidak ada langsung perasaan takut pada Allah bahkan mereka tidak ada perasaan malu di hadapan Allah sehingga sanggup melakukan maksiat dan dosa.
Sabda Rasulullah: Akan datang tahun-tahun penuh dengan pendustaan yang menimpa manusia, pendusta dipercayai, orang yang jujur didustakan, amanat diberikan kepada pengkhianat, orang yang jujur dikhianati, dan Ruwaibidho turut bicara. Lalu Baginda ditanya apakah Ruwaibidho itu? Baginda menjawab: Orang-orang bodoh yang mengurusi urusan perkara umum. – [HR Ibn Majah 4026].
3. Orang-Orang bodoh yang menguruskan urusan umum
Kata para alim ulama mengenai manusia akhir zaman nanti mereka tidak lagi jujur dalam berbicara sehinggakan seorang pendusta dipercayai dan seorang yang berkata benar dianggap berbohong. Ini semua disebabkan kerana kurangnya ilmu pengetahuan dan jauh daripada ajaran Islam.
Sabda Rasulullah: Akan datang tahun-tahun penuh dengan pendustaan yang menimpa manusia, pendusta dipercayai, orang yang jujur didustakan, amanat diberikan kepada pengkhianat, orang yang jujur dikhianati, dan Ruwaibidho turut bicara. Lalu Baginda ditanya apakah Ruwaibidho itu? Baginda menjawab: Orang-orang bodoh yang mengurusi urusan perkara umum. – [HR Ibn Majah 4026].
Umat Islam diminta supaya sentiasa berhati-hati dengan pendusta yang berada di sekeliling mereka.
Adalah menjadi kewajipan umat Islam pada waktu itu untuk tidak mengikut apa yang dikatakan oleh mereka serta perlu sentiasa mencari kebenaran dan jangan sesekali meninggalkan mereka tanpa nasihat-nasihat yang baik supaya mereka tidak melakukan pendustaan.
4. Ilmu akan diangkat
Ilmu dapat membezakan antara perkara yang hak dan yang batil. Dengan adanya ilmu maka seseorang itu akan sentiasa selamat daripada sebarang perkara yang memudaratkannya. Kerana itu pada akhir zaman nanti ilmu akan diangkat dengan kematian para alim ulama yang bersungguh-sungguh dalam menyampaikan ilmu.
Rasulullah telah bersabda tentang tanda-tanda kiamat: ilmu agama dicabut, banyaknya bencana, kebakhilan bermaharajalela dan banyaknya Al-Harj. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah, apakah itu Al Harj? Rasulullah menjawab: Pembunuhan. – HR Muslim 4827].
Oleh yang demikian kita diminta untuk sentiasa berpegang teguh dengan Al-Quran dan Sunnah yang mana manusia sudah mula jauh daripada kedua-duanya. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa mempersiapkan diri agar tidak terjerumus ke dalam fitnah yang boleh meruntuhkan tahap keimanan kita.
Jadikan doa sebagai senjata terbaik dalam memelihara iman.
Antara doa yang boleh kita amalkan ialah; Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada azab kubur, daripada azab neraka Jahannam, daripada fitnah kehidupan dan setelah mati serta daripada kejahatan fitnah al-masih al-Dajjal”. – [HR Muslim 588].
Doa ini disunatkan kepada kita untuk membacanya ketika selesai membaca tahiyyat akhir sebelum daripada salam seperti mana yang disebut di dalam hadis.
Akhir kalam, semoga Allah memelihara iman kita dan menyelamatkan kita daripada segala fitnah yang ada di akhir zaman.
Oleh Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook
Sumber : mstar.com.my
Recent Comments