MALU merupakan satu sifat yang terpuji dan merupakan salah satu daripada cabang-cabang iman sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis sahih, antaranya: Daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi bersabda: Malu itu adalah sebahagian daripada keimanan – [Riwayat Bukhari].
Syeikh Mustafa al-Bugha ketika memberikan penerangan pada hadis ini, beliau mengatakan bahawa malu itu adalah satu sifat yang ada di dalam diri manusia dan sifat tersebut akan mendorong manusia untuk melakukan perkara-perkara terpuji serta meninggalkan apa yang dicela dan mengaibkan.
Sebagai seorang Muslim, segala tindak-tanduk dan tingkah laku kita juga haruslah mengambil kira pesanan Nabi: Jika kamu tidak mempunyai rasa malu, maka lakukanlah apa sahaja yang kamu mahu – [Riwayat Bukhari].
Sifat malu daripada melakukan sesuatu yang menyanggahi adab, tatasusila dan kerukunan masyarakat merupakan satu sifat yang amat terpuji. Sifat malu inilah yang akan menjadi benteng masyarakat daripada terjebak ke dalam krisis moral, keruntuhan akhlak dan kebejatan sosial.
Antara perkara yang kita terlepas pandang ialah kentut di hadapan orang lain dengan sengaja bagi tujuan bergurau. Ada dalam kalangan kita yang kentut di hadapan pasangan, kawan-kawan atau saudara mara tanpa ada perasaan malu dalam diri.
Ada satu kajian mengatakan perbuatan kentut di hadapan pasangan dapat menambahkan kepercayaan, ketulusan dan tanda penerimaan yang maksima. Ibaratnya sebelum kahwin kentut pun tidak berani dan sanggup ditahan tetapi selepas kahwin kita terbuka dalam melepaskan semua termasuk kentut.
Banyak lagi perbuatan yang boleh dilakukan untuk memupuk kepercayaan pasangan jadi kentut bukanlah solusi yang terbaik kerana ia tidaklah menunjukkan ketinggian akhlak.
Sesetengah mereka beranggapan tidak menjadi satu kesalahan untuk membuang angin di mana sahaja mereka berada. Tahukah kita semua antara perkara yang dilakukan oleh kaum Nabi Luth ialah membuang angin di hadapan orang lain.
Firman Allah di dalam Surah Al-Ankabut ayat 28 dan 29: (28) Dan (ingatkanlah peristiwa) Nabi Luth tatkala ia berkata kepada kaumnya: “Sesungguhnya kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu.”
(29)”Patutkah kamu mendatangi orang lelaki (untuk memuaskan nafsu syahwat kamu)? Dan kamu memotong jalan lalu-lalang (untuk tujuan jahat kamu)? Dan kamu pula melakukan perbuatan yang mungkar di tempat-tempat perhimpunan kamu?”
(30)Maka kaumnya tidak menjawab selain daripada berkata (secara mengejek-ejek): “Datangkanlah kepada kami azab dari Allah (yang engkau janjikan itu) jika betul engkau dari orang-orang yang benar”.
Imam Syaukani di dalam kitabnya Fathul Qadir (4/285) mengatakan bahawa kemungkaran yang disebutkan di dalam ayat 29 itu ialah mereka membuang angin di tempat-tempat perhimpunan dan mereka juga bergurau senda dengan membuang angin antara satu sama yang lain.
Perbuatan membuang angin merupakan satu perbuatan yang patut wujud rasa malu kepada si pelaku. Seperti di dalam sebuah hadis baginda Rasulullah ada menyebut:
Jika salah seorang daripada kamu terkentut sewaktu solatnya maka hendaklah dia memegang hidungnya lalu beredar (dari solat) – [HR Abu Daud 1114].
Kata al-Khattabi, perintah supaya memegang hidung itu supaya seolah-olah orang lain menyangka dia menghadapi hidung berdarah dan keluar bukan sebab kentut. Ini adalah bagi melindungi perkara yang memalukan dan tidak termasuk berbohong sebaliknya dari akhlak yang baik.
Manakala bagi orang yang lain pula adalah haram mengejek dan mentertawakan orang yang terkentut sebaliknya mereka harus meneruskan urusan seperti biasa seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Bahkan di dalam hal ini, menutup aib saudara kita adalah merupakan suatu sunnah dan kemuliaan.
Abdullah bin Zam’ah RA meriwayatkan bahawa Nabi menegur perbuatan mereka yang ketawa ketika terkentut dan buang angin dengan sabdanya: Kenapa salah seorang daripada kamu ketawa terhadap apa yang dia juga lakukannya? – [HR Bukhari 4942 dan Muslim 2855].
Hadis di atas bermaksud kentut itu dilakukan oleh semua orang maka tidak sepatutnya dia ketawa terhadap orang yang terkentut kerana dia juga mengalaminya.
Bahkan Imam An-Nawawi rahimahullah menyebutkan bahawa hal ini menjadi hujah bahawa dilarang mentertawakan orang yang kentut sebaliknya dia harus mengabaikan dan meneruskan urusan seperti biasa seolah-olah dia tidak mendengarnya. Hal ini termasuk dalam adab dan akhlak yang baik dengan manusia lain.
Pada masa kini ramai dalam kalangan kita yang mengambil ringan hal ini dan mereka mengatakan mengeluarkan angin hanyalah untuk bergurau senda dan ada juga yang membuat pertandingan kentut siapa yang paling kuat atau yang berbau busuk. Apabila ditegur maka mereka akan mengatakan apakah dalil yang mengharamkan perbuatan itu.
Bukankah itu termasuk daripada bab akhlak yang perlu dijaga oleh seseorang? Sabda Rasulullah: Kaum Mukminin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya di antara mereka – [HR Tarmizi 1162].
Akhlak yang mulia adalah bahagian daripada amal soleh yang dapat menambah keimanan dan memiliki timbangan yang berat, pemiliknya sangat dicintai oleh Rasulullah dan akhlak yang baik adalah salah satu penyebab seseorang untuk dapat masuk ke dalam syurga.
Oleh yang demikian tinggalkanlah perbuatan yang boleh menjatuhkan maruah dan air muka kita sendiri dan sentiasalah berusaha untuk menyemai perasaan malu di dalam diri.
oleh Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook
Sumber : mstar.com.my
Recent Comments