“ Sedangkan petinju yang empat bulan sekali bertanding sekedar sepuluh ronde saja perlu tiga bulan berlatih. Apalagi kita yang harus bertanding melawan hawa nafsu seumur hidup. Maka alhamdulillah Tuhan memberi peluang kepada kita semua untuk berlatih agar kita sempat memperbarui kesadaran sikap dan kekuatan kita.”Emha Ainun Nadjib (Cak Nun), 17.6.2015, dalam https://www.caknun.com/cermin/bertanding-sepanjang-hidup/

Laporan Astro Awani, 17 ogos 2020: Seorang juruteknik dihukum penjara 32 tahun dan 20 sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana merogol anak sulungnya yang berusia 12 tahun sehingga mengandung, tahun lalu. Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu terhadap tertuduh yang berusia 42 tahun selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Laporan Berita Harian, 23 Mei 2019: Seorang bapa lapan anak dipenjara 20 tahun dan dikenakan 24 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, Air Keroh, Melaka kerana merogol anak kandungnya sebanyak tiga kali. Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh yang berusia 45 tahun selepas dia mengaku bersalah sebaik semua tiga pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa.

Laporan Sinar Harian, 13 November 2020: Seorang peniaga dijatuhi hukuman penjara 36 tahun dan 30 sebatan di Mahkamah Sesyen Besut, setelah didapati bersalah merogol anak kandungnya sendiri yang berumur 10 tahun, tiga tahun lalu. Tertuduh yang berusia 51 tahun itu disabitkan atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan, setelah pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Laporan Utusan Borneo, 13 Ogos 2020: Perbuatan seorang penganggur lelaki yang merogol kekasihnya, remaja perempuan berusia 13 tahun sehingga melahirkan seorang anak lelaki membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara sepuluh tahun oleh Mahkamah Sesyen Kucing. Hakim Jason Juga turut mengenakan tiga sebatan terhadap lelaki yang berasal dari Kampung Pulo Ulu tersebut.

Menurut statistik, antara Januari hingga Oktober 2018, sejumlah 480 kes rogol dalam kalangan remaja (termasuk pelajar) telah dilaporkan manakala bagi tempoh sama pada tahun 2019, ia meningkat kepada 491 kes di seluruh negara. Daripada keseluruhan kes rogol yang berlaku dalam kalangan remaja, sepuluh bulan 2018 membabitkan 168 pelajar dan meningkat kepada 194 kes pada tahun 2019.

Dalam laporan lain, di peringkat antarabangsa, pada tahun 2010, Afrika Selatan menduduki tangga teratas berkaitan jenayah rogol apabila 132.4 kes berlaku bagi setiap 100,000 penduduk. Negara-negara yang turut mencatatkan jumlah kes rogol tertinggi (bagi setiap 100,000 penduduk) ialah Bostwana 92.9 kes (2010), Lesotho 82.7 kes (2019), Swaziland 77.5 kes (2004), Bermuda 63.7 kes (2004)  dan Sweeden 63.5 kes (2010).

Bagi negara-negara Afrika, ia mungkin sesuatu yang tidak mengejutkan tetapi, bila Sweeden tercampak dengan jumlah kes bagi setiap 100,000 penduduk hampir menyamai Bermuda, sebuah negara pulau yang terletak di bahagian utara Lautan Atlantik, kita sedikit terkejut. Sweeden adalah salah sebuah negara terawal memasukkan pendidikan seks yang diintegrasikan dalam pelbagai mata pelajaran. Pendidikan seks mula diperkenalkan di Sweeden pada tahun 1955. Ertinya, pendidikan seks bukanlah jalan keluar terbaik untuk menangani jenayah rogol dalam kalangan masyarakat, termasuk mendidik kanak-kanak mengamalkan seks selamat.

Di negara kita, tahun lalu heboh diperkatakan mengenai keperluan pendidikan seks di sekolah, walhal pendidikan berkaitan mengenai reproduksi telah diperkenalkan merentas kurikulum. Berdasarkan jawapan di Dewan Rakyat pada 17 Oktober 2019, jenayah seksual terhadap kanak-kanak di Malaysia pada tahun 2017 ialah 810 kes meningkat lebih dua kali ganda pada tahun 2018 kepada 1,950 kes. Dalam tempoh lapan bulan 2019, berlaku 978 kes jenayah kanak-kanak telah dilaporkan.

Melihat kepada data tersebut, tahun 2017, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) menduduki tempat pertama, diikuti Johor, Sabah,  Sarawak dan Pahang melibatkan lebih 50 kes. Bagi tahun 2018, Selangor tertinggi dengan 786 kes, diikuti Sarawak (187 kes), Wilayah Persekutuan (164 kes), Pahang (123 kes) dan Kelantan (94 kes). Ini bermakna, jenayah seksual berlaku di mana-mana kerana kanak-kanak itu adalah golongan yang pasif, tidak mampu berlawan terutama jika kes tersebut melibatkan orang yang berusia daripadanya, termasuk dalam kalangan ahli keluarga terdekat.

Secara istilahnya, perkataan rogol atau dalam bahasa Inggeris rape berasal dari perkataan Latin, iaitu repere. Istilah itu digunakan merujuk kepada perbuatan mencuri atau merampas. Mencuri atau merampas, merujuk kepada tindakan mengambil sesuatu barangan tanpa kebenaran. Perbuatan itu dikategorikan sebagai jenayah.

Dari perspektif maksud perkataan rogol ia secara jelasnya merupakan satu bentuk jenayah. Ia dikategorikan jenayah kerana perbuatan rogol membabitkan hubungan seks antara seorang atau lebih lelaki dengan seorang atau lebih wanita. Ia berlaku tanpa kemahuan atau kerelaan bersama.Istilah itu memberikan kita interpretasi bahawa perlakuan seks antara lelaki dan wanita bukan satu tindakan jenayah sekiranya adalah kemahuan dan kerelaan bersama.

Namun, dari segi Islam perbuatan tersebut tetap dianggap jenayah kerana ia berlaku di luar peraturan agama, iaitu tanpa melalui pernikahan. Cuma tidak diistilahkan sebagai rogol. Ia dinamakan zina. Pesan Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)” Surah al-Isra’, 17:32

Kenapa zina itu dikatakan “perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)”? Rasullullah SAW menjelaskan  perbuatan zina itu dengan maksud: Sesungguhnya Allah telah menetapkan bahagian zina untuk setiap anak Adam, dia akan mendapatkannya dan tidak boleh dihindari, maka zina mata dengan melihat, zina lidah dengan ucapan, zina hati dengan membayangkan dan merasakan syahwat, sedangkan kemaluan membenarkan semua itu atau mendustakannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ini bermakna, pandangan mata, sentuhan dan berkhalwat (berdua-duan tanpa ikatan perkahwinan dan bukan muhrim) adalah haram walaupun dimasukkan sebagai dosa kecil. Tetapi, sekiranya ia membawa kepada hubungan seks atau perlakuan seks sama ada dengan paksaan atau sukarela, ia adalah dosa besar. Hukum orang yang berzina ialah sebat sebanyak 100 kali jika mereka belum berkahwin atau direjam sampai mati sekiranya berzina dengan suami atau isteri orang (sudah berkahwin).

Jika di dunia mereka terlepas daripada hukuman, di akhirat ia tidak terlepas sekiranya penzina itu mati sebelum sempat bertaubat. Digambarkan, penzina yang mati sebelum sempat bertaubat, kemaluannya bukan sahaja digantung bahkan akan dipukul dengan cemeti (diperbuat daripada besi) dan dikecam oleh Malaikat Zabaniah. Ia dianggap dosa yang kedua terbesar selepas syirik kerana perbuat zina akan merosakkan nilai kehidupan masyarakat dan kemanusiaan. Mereka yang berzina, bau kemaluannya adalah sangat busuk sehingga menyiksa para penghuni neraka.

Kita tahu zina itu berdosa. Kita tahu zina itu hukumannya sangat pedih dan dahsyat. Sayangnya, zina semakin banyak berlaku dalam setiap kehidupan manusia, termasuk dalam kalangan masyarakat Islam walaupun Allah SWT telah memberikan amaran keras. Kenapa? Sebab manusia tidak dapat menguruskan nafsunya. Nafsu tidak dapat dikawal jika persekitaran hidup tidak disusuli dengan resam budaya dan etika yang rigid, termasuk pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.

Perempuan lebih ghairah menampilkan kecantikan diluar muhrim dan berpakaian seksi, seolah-olah mencabar lelaki dengan gaya genit, gebu dan gedik. Maka, di situlah permulaan kepada masalah sosial yang dikaitkan dengan gangguang seksual, jenayah rogol dan perbuatan zina. Ia masing-masing atau salah seorangnya  ‘teransang’ oleh hasutan iblis. Fenomena, bertudung litup tetapi ‘telanjang’ banyak kita dengar.

Sayangnya, mereka akan berkata, itu adalah kebebasan. Saya berhak berpakaian demikian, kalau mati kubur masing-masing. Ya betul! Kubur masing-masing. Bagaimana sebelum mati, anda disiksa dan dirogol. Trauma anda akan berpanjangan dan mungkin menyebabkan kemurungan sepanjang hayat. Mengurung diri, tidak keluar rumah malu kerana diketahui sebagai mangsa rogol.

Emha Ainun Nadjib, seorang budayawan dan juga santri terkenal Indonesia pernah menulis empat bahagian mengenai Sosiologi Munyuk. Rencana itu terkandung dalam koleksi tulisan Secangkir Kopi Jon Pakir (1990). Sosiologi, adalah satu bidang kajian mengenai “perkembangan, organisasi, kehidupan dan sebagainya masyarakat manusia” (Kamus Dewan, 2007:1519). Ertinya, sosiologi itu adalah bidang ilmu pengetahuan mengenai masyarakat manusia, termasuk bagaimana masyarakat itu membina kehidupan, menyesuaikan diri dan bermasyarakat,

Munyuk, adalah istilah dalam bahasa Jawa, yakni satu daripada identiti Emha Ainun Nadjib yang turut dikenali dengan panggilan Cak Nun. Ia bermaksud ‘kera’ atau ‘monyet’. Jadi, sosiologi muyuk dapat difahami sebagai perihat resam kehidupan kera atau monyet. Bukan biologi monyet, yang termasuk dalam kajian atau ilmu pengetahuan primat yang dipanggil zoologi. Jauh sekali daripada lantunan teori evolusi Charles Darwin, manusia berevolusi daripada beruk-kera.

Teori itu sampai sekarang banyak dipertikaikan. Sebabnya, belum ditemui manusia beruk, kecuali manusia berperangai sama dengan beruk atau seumpama kera. Itupun tidak sepenuhnya berperangai beruk dan berkelakukan seperti kera, hanya dalam keadaan-keadaan tertentu. Mungkin ketika ‘ghairah berkeinginan’ atau meletakkan akal fikiran di lutut.

Kenapa ada ‘perangai beruk’ atau ‘tindakan kera’? Kera atau beruk hidup bebas, tanpa ikatan dengan apa-apa peraturan, termasuk keinginan seksualnya. Antara kera betina dan kera jantan, pasangan itu bebas berhubungan seks antaranya, dan bebas memilih pasangannya untuk melakukan seks seterusnya. Saya teringat tentang kisah beruk belanda. Sebuah cerita yang mungkin disensasikan ketika melawat pusat santuari beruk berhidung mancung dan berwarna kuning-merah itu di Sepilok, Sandakan, Sabah.

Mengikut cerita, mungkin ada kajian mengenainya. Seekor beruk jantan boleh bersenggama dengan empat puluh ekor beruk betina dalam masa yang singkat secara bergilir-gilir. Beruk betina tidak ada rasa cemburu walaupun beruk jantan berhubungan dengan beruk betina di sisinya sebelum didekati. Beruk-beruk betina yang menjadi pemuas nafsu seekor beruk jantan tidak akan mengamuk, itu adalah kelaziman kehidupan primat berhidung mancung.

Beza dengan manusia. Seorang perempuan (kawan baik atau kekasih) akan menunjukkan rasa cemburu dan kecewa bila mengetahui lelaki yang mendampinginya ‘berkawan dengan perempuan lain’. Jika sekadar berkawan, ia mungkin boleh ditahan kemarahan, tetapi, bayangkan jika pernah melakukan hubungan  asmara. Tentunya akan mengamuk, kecewa atau cuba menjauhkan diri kerana rasa ‘telah ditipu’ oleh lelaki ‘mata keranjang’ atau ‘mata ke ranjang’. Kenapa beruk kera tidak membantah, kecewa atau cemburu? Jawab Emha Ainun Nadjib kerana primat itu tidak ada atau mengenal hak kepemilikan, kecuali ketika melahirkan anak. Jangan cuba ganggu selagi anak itu masih menyusu. Akan diserang dan diterkam.

Kisah perkasihan memang diikat dengan hak kepemilikan, walaupun hak itu belum final. Ia berbeza dengan perihal pelacuran, atas kehendak tertentu ia melepaskan hak kepemilikan. Seorang lelaki, akan memberikan wang miliknya kepada seorang perempuan kerana membenarkan dirinya disetubuhi. Seorang perempuan akan merasa puas bila lelaki yang melakukan hubungan badan itu selesai dan memberikan wang sebagaimana dijanjikan. Jika dilayan berlebihan, ada harapan mendapat titipan wang yang lebih daripada jumlah yang dipersetujui.

Ia mengingatkan saya kepada kisah Dewi Ayu (Eka Kurniawan, Cantik Itu Luka, yang mula diterbitkan pada tahun 2002. Edisi yang saya rujuk adalah edisi bahasa Melayu yang dialihbahasakan oleh Huda Hadi dan diterbitkan Marshall Cavendish, Singapura: 2011, kecuali jika disebut edisi Indonesia, terbitan tahun 2015). Ada magis ada juga mistik dalam novel itu. Menariknya, kecantikan itu berawal dengan tragedi, dan juga tidak cantik pun turut berakhir dengan tragedi.

Kisahnya, mengenai Dewi Ayu, wanita cantik dari Halimunda (Negeri Jerebu). Dewi Ayu lahir dari sumbang mahram dua beradik berlainan ibu, sepasang anak Ted Stammeler, birokrat Belanda di zaman kolonial. Walaupun sudah berkahwin, gemar mengambil wanita pribumi sebagai gundik. Ma Iyang (nenek Dewi Ayu) adalah seorang gundik. Mungkin salah seorang anak Ted Stammeler –Henri dan Annue Stammeler anak hasil kegundikan itu, yang kemudiannya melahirkan Dewi Ayu.

Dewi Ayu dipaksa berkahwin dengan Ma Gedik, iaitu kekasih hati Ma Iyang sebelum dijadikan gundik oleh Ted Stammeler. Ma Iyang memaksa cucunya berkahwin sebagai penyataan maaf akibat ‘tidak setia dalam percintaan’, namun Dewi Ayu mengalami nasib malang apabila selepas pernikahan mereka, Ma Gedik yang telah berumur membunuh diri dengan terjun dari bukit. Roh Ma Gedik sentiasa mengganggu Dewi Ayu dan keluarganya. Dewi Ayu sudahpun mempunyai kekasih, iaitu Maman Gendheng.

Dewi Ayu yang cantik menjadi ‘korban lelaki’ apabila menjalani kehidupannya sebagai pelacur di Rumah Kelawar yang dijaga oleh Mama Kalong. Ia melayani sesiapa sahaja, termasuk tentera Jepun, birokrat Belanda ataupun lelaki tempatan, juga menantunya sendiri. Keayuannya menjadi rebutan lelaki ‘mata ke ranjang’ (maaf bukan ‘mata keranjang) dan sebagai seorang wanita, Dewi Ayu kadangkala memerlukan belaian seorang lelaki, walaupun bukan suaminya yang sah. Dewi Ayu, dalam kelembutan dan kepintarannya, berjaya ‘memerangkap lelaki’ sehingga ada yang sanggup mengangkat manja hingga ke ranjang.

Tetapi, bagi Dewi Ayu: “Pelacur paling tidak tak membuat orang harus punya gundik, sebab setiap kau mengambil gundik, kau mungkin menyakiti hati seseorang yang adalah kekasih gundik itu. Sebuah cinta dihancurkan dan sebuah kehidupan diporak-porandakan setiap kali seorang lelaki menyimpan seorang gundik. Tapi seorang pelacur paling banter menyakiti seorang istri yang jelas-jelas sudah dikawini, dan adalah kesalahannya membuat suaminya harus pergi ke tempat pelacuran.” (edisi Indonesia, cetakan 2015: 353)

Dewi mempunyai tiga orang anak gadis ‘tanpa sah’ selama ia menjadi pelacur. Tetapi, sebagai perempuan, Dewi Ayu tetap mendidik anak-anaknya menjadi seorang perempuan yang sempurna, termasuk menguruskan kehendak suami, berdandan, memasak dan menyediakan pakaian.Turut diberikan perhatian, ketiga-tiga puterinya dihantar ‘mengaji’ dengan kiyai.  Tiga puteri yang cantik itu ialah Alamanda, Adinda dan Maya Dewi. Alamanda (puteri sulong) berkahwin dengan Shadonko, bekas tentera Jepun. Perkahwinan itu berlaku setelah Shadonko yang benar-benar tertarik dan mencinta Alamanda atas kecantikan merogolnya, sedangkan Alamanda mencintai Komrad Keliwon.

Maya Dewi (puteri ketiga) dikahwinkan dengan Maman Gendeng (berumur 12 tahun), bekas kekasih ibunya tetapi Maman Gendeng tetap ingin berhubungan seks dengan Dewi Ayu atas alasan “Ia begitu muda untuk dinodai. Begitu tanpa dosa untuk disentuh. Aku ingin meniduri mertuaku sendiri”. Malam itu mereka bercinta sampai pagi datang. (2011: 359). Maman Gendeng tidak menyetubuhi isterinya selama setahun, tetapi kerap melepaskan berahinya bersama mertuanya sendiri, Dewi Ayu. Puteri keduanya, Adinda pula kahwin dengan Komrad Keliwon, bekas kekasih kakaknya.

Dewi Ayu juga bangga dengan buruan lelaki ‘mata ke ranjang’ dengan berkata: Orang memburu kemaluanku” dan “aku melahirkan gadis-gadis pemburu kemaluan lelaki” (2011:347). Dewi Ayu, sebelum kematiannya, turut disahkan hamil sekali lagi. Namun, di saat kehamilan yang keempat, Dewi Ayu setiap masa berdoa agar anak yang bakal lahir tidak cantik. Doa itu dimakbulkan, puteri keempatnya adalah bayi yang hodoh dan berkulit hitam. Lalu dinamakan Cantik. Sejak bersalin, Dewi Ayu tidak mahu menatap wajah anak bongsunya, sebaliknya, lebih bersedia menyelimuti diri dalam kain kafan. Dua belas hari kemudian, Dewi Ayu disahkan meninggal dunia. Dua puluh tahun kemudian, Dewi Ayu muncul semula, melihat anak bongsu dari ‘jauh’. Anak bongsunya kemudian berkahwin dengan Krisan (anak Adinda).

Awalnya, Krisan sangat mencintai sepupunya, Nurul Aini (anak Alamanda), juga anak saudara Cantik. Namun setelah terpesona dengan kecantikan Rengganis, anak Maya Dewi (sepupu Nurul Aini), Krisan berhasrat untuk menyetubuhinya. Nurul Aini sangat menyukai anjing. Krisan, tetap Krisan, akhirnya merogol Rengganis di dalam tandas di sekolah. Rengganis tidak menghebohkan tragedi itu, malah hanya mengakui bahawa dirinya diperkosai oleh seekor anjing. Setelah Rengganis hamil, ia kemudian berkahwin dengan Kinkin, anak seorang penggali kubur. Namun, Rengganis hilang menyelinap dalam hutan. Nurul Aini yang menanggung rasa kecewa ditinggalkan Krisan, akhirnya meninggal dunia. Krisan, atas dasar cinta dan sayangnya kepada Nurul Aini, menyembunyikan mayat Nurul Aini di bawah tempat tidur atau tilam (kasur).

Rengganis muncul semula setelah anaknya meninggal dunia dan mengajak Krisan menikahinya. Akhirnya, akibat terlalu percayakan Krisan, Rengganis dibunuh dan mayatnya dibuang ke laut. Selepas membuang mayat Rengganis, Krisan bertemu dengan seorang lelaki. Lelaki itu menasihati Krisan  agar mencari kekasih seorang perempuan yang hodoh. Ia menyetujuinya, mula meniduri Cantik hingga hamil. Pada suatu malam, Kinkin melakukan pengintipan dan menembak Krisan yang sedang bercanda dengan Cantik di dalam bilik.

Krisan tidak peduli, bahawa Cantik itu sebenarnya emak saudaranya sendiri. Bagi Krisan, cantik atau hodoh, semuanya ‘berjalan dengan baik…semuanya sama, semuanya membuat ia puas…” (2011:658). Dan kita boleh memberikan tambahan, akibat nafsu yang tidak terurus, semuanya boleh melakukan hubungan seks, sama ada dengan ibu mertua, emak saudara atau sepupu sepapat sendiri. Hanya kerana ‘nafsu’ manusia hilang harga diri dan hak kepemilikan, sebagaimana diistilahkan oleh Emha Ainun Nadjib sebagai sosiologi muyuk , yakni resam dan budaya hidup masyarakat beruk-kera.

Begitulah juga dengan kisah-kisah rogol yang dipetik daripada laporan akhbar. Tetapi, itu membuktikan peraturan yang dilanggar, ada padahnya. Biarpun dalam novel Cantik Itu Luka, tidak ada peraturan sebagaimana berlaku di negara kita, ia tetap memberikan kita pengajaran, ikutkan nafsu hidup bakal berakhir dengan tragedi. Keluarga Dewi Ayu porak peranda, dan mangsa rogol terus trauma biarpun perogolnya sudah dikenakan tindakan setimpal. Itulah sebenarnya keindahan Islam, tidak mendekati dan sentiasa melarang aktiviti yang cenderung kepada zina. Tepatnya, bijak menguruskan nafsu dan bukan menjadikan nafsu penentu halatuju.

 

Kamarun KH

Translate »