Dua kesimpulan yang saya peroleh ketika selesai membaca Fiqih Peradaban: Upaya  Membangun Kembali Peradaban Islam tulisan Qosim Nursheha Dzulhadi. Kesimpulan pertama ialah erti peradaban menurut Islam, iaitu peradaban yang tidak terpisah dengan pengisian dan kemantapan spiritual. Atas sifat itulah makna peradaban antara Islam dan Barat amat berbeza. Peradaban Barat kosong nilai kemanusiaan dan spiritual manakala peradaban Islam menuju kepada memanusiakan ‘kemuliaan’ manusia.

Peradaban barat tumbuh dan berkembang tanpa mengalir didalamnya arus spiritual, dan ia terlalu kuat diukur dengan kemajuan material. Hal ini menjadikan peradaban barat kembali mencari akar masalah, yang akhirnya mereka ketemukan perihal kekosongan spiritual sehingga dikatakan ‘ia sedang sakit’ kalau pun belum koma sepenuhnya.

Misalnya, kajian kepimpinan yang sering dibanggakan dalam tamadun barat. Ia telah menemukan betapa pentingnya pemimpin itu mempunyai nilai-nilai spiritual sehingga proses ke arah itu menjadi sebuah gerakan yang berpengaruh dengan apa yang kita kenali ‘kecerdasan spiritual’ (SQ) dan juga ‘kecerdasan emosi’ (EQ). Pemikir-pemikir Islam tidak mahu kalah, maka dimunculkan konsep ‘prophetic leadership’ atau ‘meneladani kepimpinan Rasullullah SAW’.

Kesimpulan kedua, kerangka peradaban Islam boleh dibangunkan kembali, tetapi sayangnya dalam buku ini saya tidak menemukan mekanisme yang dapat dilaksanakan sekarang. Ia masih berkisar pada tahap konseptual dan bergelut dengan nostalgia peradaban Islam lama yang sudah menjadi sejarah. Sebab itulah saya bersetuju kalau ada yang mengatakan ‘kita belum bermula sebenarnya’ kita masih berbahas mengenai konsep dan bentuknya.

Konteks dan bentuk peradaban Islam sangat menarik dibahas dalam buku ini, yang kadangkala saya menemukan ‘semangat dan motivasi’ pengarangnya cukup kuat ketika mencerakinkan sumbangan tokoh-tokoh keilmuan Islam dan hutang peradaban barat sehingga Eropah berjaya membangun menerusi ‘transmigrasi ilmu’. Barat  berjaya keluar daripada kongkongan gereja, yang dilabelkan sebagai zaman pencerahan (enlightment) selepas sekian lama berada dalam kegelapan (dark ages) di mana kaum intelektual mereka begitu gigih menterjemah dan mengembangkan warisan ilmu-ilmu yang diperbaharui oleh ilmuan Islam. Kisahnya cukup menarik bila kita meneliti kajian-kajian ilmiah sama ada yang dilakukan oleh orientalis mahupun profesional Islam sendiri. Misalnya, naskhah Ragib as-Sirjani, Sumbangan Peradaban Islam Pada Dunia, Al-Kautsar, 2012).

Biarpun, sebahagian berpendapat originalitinya berasal daripada peradaban-peradaban sebelumnya –Yunani, China dan India—adunan yang diproses menerusi kehebatan berfikir ilmuan Islam, ia bukan sahaja menjadikan ilmu itu berkembang bahkan membentuk suatu pembaharuan yang lebih segar dan menepati kehendak peradaban Islam. Ilmuan-ilmuan Islam berjaya membangun korpus pengetahuan baharu yang lebih segar dan terpadu dengan kehendak spiritual, bukan korpus ilmu hanya untuk ilmu. Tradisi Islam, ilmu tanpa amal tidak ada makna dan faedahnya. Ilmu mesti berpaksikan kepada memperbaiki hablum minnallah dan hablum minnas. bagi meningkatkan amar makruf dan melenyapkan nahi mungkar. (Al-Ghazali, Penyelamat Daripada Kesesatan, terjemahan, Selangor:IBDE, 2017).

Peradaban Islam telah mencapai ‘zaman keemasan’nya pada Abad ke-VIII hingga ke-IX, dan selepas itu ia mula menyusut akibat pertelagahan dan keupayaan kepemimpinan semakin luntur, hilang arah akibat perebutan kuasa dan lahirnya sikap jumud terhadap sesuatu aliran pemikiran telah tidak mencambahkan intelektualiti.

Fenomena itu berlanjutan hingga kini sehingga umat Islam berada dalam ‘kegelapan’ dan perlu dibedah agar kembali memajukan dirinya sendiri bersandarkan wahyu Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum, sebelum kaum itu sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka” (Surah Ar-Ra’d: 11).

Qosim Nursheha Dzulhadi berusaha mengungkapkan kembali bagaimana peradaban Islam masa lalu dibangunkan menerusi budaya ilmu. Saya menemukan pandangannya cukup jelas bahawa “Dengan ilmu pengetahuan, umat Islam akan mampu membangun peradabannya yang sampai hari ini masih terus dipelajari, digali dan diperjuangkan’ (hal.26). Ini kerana “Jalan ke arah sana sudah semakin jelas. Manusia dan kemanusiaan sedang menanti peradaban Islam yang memuliakan kemanusiaan manusia (al-insaniyyat al-insan)” (hal.260)

Dalam satu persepktif, ia boleh dianggap satu ikrar panjang penulis keyakinan bahawa peradaban Islam dapat dibangunkan dengan menjadikan ilmu sebagai landasan utama manakala ‘memuliakan kemanusiaan’ sebagai roh dalam kehidupan agar tidak akan berhenti dipertengahan jalan. Ini kerana, peradaban barat sangat tidak memberi ruang kepada “memuliakan kemanusiaan’, akhirnya maju dan berkembang dalam ukuran material tetapi manusia dilanda resah dan gelisah. Semakin sehari semakin ramai jiwa yang kehilangan arah, masalah kesihatan mental menjadi suatu beban yang semakin membesar.

Misalnya, dalam Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan III (2006) ada penemuan sebegini: (1) 11.2% daripada rakyat Malaysia dewasa mempunyai morbiditi psikiatri /mental dimana kadar tertinggi adalah di kalangan yang berbangsa cina dengan 31.1%; (2) Lebih ramai wanita mengalami masalah mental (55%) berbanding lelaki (45%); (3) Masalah mental adalah lebih tinggi dalam kalangan masyarakat bandar (12.6%)  berbanding luar bandar (8.5 %); (4) Masalah mental adalah lebih tinggi dalam kalangan yang tidak berpendidikan atau berpendidikan  rendah (15-16%); (5) Pasangan yang bercerai berhadapan dengan masalah mental lebih tinggi (13.6%) berbanding orang bujang (13.1%), balu (12.2%) dan mereka yang berkahwin. (10.5%); (6) Hasrat membunuh diri yang akut, dalam kalangan remaja (6.4 %) manakala di peringkat awal dewasa (16-24 tahun) sekitar 11%;  dan, (7) 14 % berhadapan dengan gangguan tidur (insomnia) di mana kumpulan umur 70-74 tahun mempunyai  prevalens tertinggi sebanyak  20%.

Ada pelbagai sebab. Antaranya tekanan dan juga kehidupan yang semakin bersifat materialistik. Ia menjadi semakin resah dan gelisah apabila ‘kehilangan  sumber pendapatan’ akibat masalah kesihatan atau wabak yang melanda seperti COVID-19. Sejak ia diisytiharkan sebagai pandemik (Mac 2020), kadar pengangguran diunjurkan antara 3.5 hingga 5.5. % .

Berdasarkan Laporan Statistik Utama Tenaga Buruh di Malaysia Mac 2020,  jumlah penganggur meningkat 17.1 % kepada 610,500 dengan kadar 3.9 %, daripada angka pada bulan sama tahun 2019. Ia akan terus bertambah dengan tamatnya pelajar di pusat pengajian tinggi antara 300,000 hingga 350,000 graduan setahun.

Ertinya, akibat pergeseran keperluan ekonomi, konsep pendidikan semakin hilang tujuannya, iaitu membentuk budi luhur dan membina peribadi. Hari ini, pendidikan dilihat sebagai komoditi, maka bila pelaburan telah dilakukan, maka pada akhirnya, pasti ada hasilnya, iaitu keuntungan yang dinilai daripada perspektif material.

Inilah yang saya cari dan bandingkan apa yang menjadi fokus utama perbincangan bersemangat Qosim Nursheha Dzulhadi dalam buku setebal setebal 306 halaman termasuk daftar bacaan (20 halaman). Buku ini disusun dalam lima bahagian dengan latar belakang akademik yang cemerlang sehingga mampu membuka semula ‘kotak sejarah’ yang kadangkala kita terlupa di mana ianya tersimpan dan dari mana untuk dimulakan sebagai ‘starting points’ setelah sekian lama ‘mengeluh lesu’ atau sebelum ‘daun-daun dimakan ulat’.

Ini kerana ia adalah tanggungjawab kita untuk menyemai ‘biji benih terbaik’ agar dapat menumbuhkan pohon yang subur walaupun dalam persekitaran tanah gersang dengan kecukupan udara, air dan baja. Inilah yang diharapkan oleh hampir kesemua mereka yang bercakap mengenai ‘membina peradaban Islam’ yang didalamnya sangat ‘memuliakan manusia’ agar tidak terus meracau seperti seorang pengigau.

Sebagai sebuah buku ilmiah, bahagian pertama tentunya bahagian yang membincangkan tentang takrif peradaban Islam, yang ditelusuri ‘literature review’ dan hakikat sebuah makna peradaban. Dua ilmuan Islam dikemukakan sebagai permulaan konseptual, iaitu Syeikh Muhammad Abduh (1849-1905) dan tokoh tempatan, Syed Muhammad Najib al-Attas. Namun dalam keseluruhan kerangka ‘berfikir’ itu, Qasim sangat memahami hakikat dan dasar ilmu yang dimulakan oleh Al-Ghazali, yang berjaya meletakkannya sebagai ‘fondasi peradaban Islam yang begitu agung’.

Cuma mungkin ada kekurangan  apabila Qasim tidak menekuni ‘pergolakan pemikiran’ yang lahir daripada kaedah rasional yang menolak Al-Ghazali sebagai punca ‘tertutupnya pemikiran umat Islam’ sedangkan inti dan wawasan ilmunya amat berjaya menangkis akidah umat Islam, dan menjadi ‘benteng’ rempuhan aliran pemikiran yang dibawa masuk menerusi kolonialisme dan imperialisme.

Hingga saat ini, idea dan asas agama yang ditinggalkan oleh al-Ghazali walaupun lebih 900 tahun masih ‘kuat membentengi umat Islam’ di nusantara, kalaupun sudah goyah di belahan dunia Islam yang lain akibat sekterian dan isme-isme yang tumbuh bercambah sekarang. Kritik mereka terhadap al-Ghazali bukan sahaja atas penolakan bidang falsafah bahkan tutu dikecam sebagai punca ‘kelemahan berfikir’ dan bersikap ‘jumud’. Bagi al-Ghazali,  ‘pandangan falsafah’ ditolak kerana rasional itu kadangkala boleh membawa kepada ‘keraguan’ dan ‘salah kiprah’, termasuk asas keyakinan kepada Allah SWT sehingga mempersoalkan ‘kekhadiman-Nya” (lihat, Abdul Salam Yusof, Pujian dan Kritikan Terhadap al-Ghazali, http://www.ukm.my/jmalim/images/vol_06_2005/abdul_salam_2005.pdf. )

Contohnya, Hamka menulis:

dalam kalangan kaum Muslimin sendiri timbul golongan yang tidak menyetujui pemakaian filsafat untuk tuntutan berfikir. Memang ada juga bahayanya kalau hanya filsafat yang dipentingkan, dengan tidak memperkuat dasar lebih dahulu, orang tidak terlebih dahulu mempunyai dasar hidup dan kepercayaan, bisa kesasar di jalan-jalan yang berbelit-belit bersimpang siur itu…Malahan dalam kalangan kaum Muslimin sendiri, lebih kurang 700 tahun, terbenam dalam taklid buta, kerana hanya berpedoman kepada pendirian Al-Ghazali tentang filsafat.” (Hamka, Falsafah Hidup, Singapura: Pustaka Nasional, 1995:12).

Pun begitu, dalam kajian Robert R Reilly kita temukan petikan berikut: Kalaulah bukan kerana al-Ghazali, Ibnu Rusyd dan rasionalisme mungkin dapat memenangi pertempuran bagi pihak mindan Muslim. Tetapi ia tidak berlaku, dan hasilnya, minda Muslim Sunni telah menanggung penderitaan darinya. Ia telah tertutup” (Robert R Reilly, Tertutupnya Pemikiran Kaum Muslimin, (terjemahan dari The Closing of the Muslim Mind: How Intelectual Suicide Created the Modern Islamist Crisis, 2010), K.Lumpur: Islamic Renaissance Front, 2017: 176).

Ia perlu disoroti, kerana pertembungan Sunni-Syiah menghasilkan ‘penderitaan’ yang panjang dan kesedihan ‘tanpa nokhtah’ sedangkan peradaban itu pernah hadir dengan jayanya di Baghdad, Andalusia atas ketekunan belajar, berbahas dan menuntut ilmu. Sayangnya, akibat Syiah-Sunni, kita sering terlupa, dalam keadaan sekarang kemajuan lebih jelas kelihatan di negera-negara yang dikaitkan dengan Syiah, sedangkan di negara-negara yang dikategorikan sebagai Sunni masih ‘belum boleh berlari’ hanya sekadar ‘belajar berjalan’. Misalnya, Turki dan Iran. Dua negara Islam yang dilihat sudah berjaya dan membina model pembangunan moden dengan menyongsong peradaban lama tanpa heboh mengklaim ia adalah ‘peradaban Islam’. Saya teringat dengan apa ditulis oleh Ali A Alawi dalam bukunya, Krisis Peradaban Islam: Antara Kebangkitan dan Keruntuhan Total (Mizan, 2015)

Apakah masalahnya dengan Al-Ghazali yang membawa kepada ‘kemenangan as-Sya’ariyyah’ dalam menghadapi rempuhan pemikiran rasional sehingga ada ketikanya seperti ‘mengkerdilkan Tuhan’ yang dimulakan oleh falsafah Yunani? Penolakan al-Ghazali terhadap falsafah kerana ia amat meletakkan rasionaliti berfikir di tahap teratas, sedangkan ada sebahagian tidak dapat difikirkan oleh manusia. Terutama perkara-perkara yang hanya ‘dirasai’ dan juga apa yang terlihat oleh kasat mata.

Asas yang ingin diletakkan oleh al-Ghazali ialah agar umat Islam ‘tidak terlena’ dengan ‘kehebatan akal’ semata-mata, kerana akal tidak membawa manusia kepada ‘kebahagiaan sejati’. Inilah yang sedang berlaku dalam peradaban barat, yang sepatutnya perlu dilihat kembali oleh Qasim dalam mencanangkan ‘keupayaan baharu’, agar ia tidak hanya berkisar pada tahap epistimologi dan pembinaan aksiom, ia wajib mencakupi bagaimana kekuatan dalam diri seorang Muslim dibina sebagai pembuka jalan peradaban “memuliakan kemanusian manusia”.

Ya betul, dengan ilmu. Ayuh kita mulakan. Tetapi, dalam keadaan dualisme pendidikan masa kini kita boleh menjadikan ia sebagai jalang tunggal atau jalan seiring bagi membina peradaban Islam. Jika mahu berjalan seiring, maka dimanakah kita perlu ‘masuk’ sama ada di lebuh raya bertol atau mengikuti jalan lama yang perjalanannya mengambil masa yang panjang dan meletihkan meskipun dari segi jaraknya hampir sama.

Itulah yang saya fikirkan ketika menamatkan pembacaan keseluruh buku Fiqh Peradaban, yang anggap tulisan (penerbitan) terbaharu, dicetak Jun 2020 yang ada dalam ‘lemar buku’ saya. Biarpun Qasim berjaya memahami dan menterjemahkan asas pembinaan peradaban dalam konteks ‘pemikiran tokoh-tokoh besar Islam’ seperti Muhamad Abduh, Syed Muhamad Najib Al-Attas, Syeikh Yusuf Qardhawi, dan Syed Qutub tidak saya temukan ‘how’nya di mana. Apa yang saya temukan ialah sekadar menjawab “apa itu peradaban Islam’ dan aturan-aturan yang perlu ada (fiqh peradaban) dengan sedikit konsep pendidikan yang gagaskan oleh pemikir idolanya,

Syed Muhamad Najib Al-Attas, yang memang diketahui ‘sangat menarik dan tinggi falsafah’nya. Mungkin kerana penulis ‘berguru’ dengan a-Attas sama ada secara langsung atau tidak langsung. Di halaman awalnya dicatatkan “SMN Al-Attas… adalah guru dari gurunya’ ketika menempuh pendidikan di Universitas Darussalam Gontor, iaitu Dr Hamid Fahmy Zarkasyi. Hamid pula meraih ijazah doktor falsafah dari Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) yang ketika itu diketuai oleh al-Attas.  Hamid kini adalah pengarah INSISTS (Institute for Study of Islamic Thought and Civilization) di mana Qasim mendapat bimbingan belajar di peringkat magister.

Memang ilmu telah membangun peradaban dan telah dibuktikan sejak turunnya wahyu pertama (Surah al-Falaq). Jelas Qasim “ Fokus wahyu pertama itu adalah ilmu pengetahuan. Di dalamnya perintah membaca disebutkan dua kali: membaca buku yang ditulis (al-kitāb al-masthūr) yaitu Alquran dan kitab yang terbuka alias terbentang (alkitāb al-maftūh) yaitu alam yang luas ini. Tujuan dari membaca alam adalah untuk menyingkap berbagai tanda keagungan Allah dalam penciptaan manusia dan penciptaan alam itu sendiri.” (h.274)

Ada juga gagasan “Islamisasi ilmu’ yang terlintas dalam fikiran ketika penulis cuba mengupayakan kembali peradaban Islam berkat ‘kebangkitan semula Islam’ namun perjuangannya dan liku-liku yang harus dilaluinya tersangat besar dan menyulitkan. Sejak ia mula bergema, ketakjuban seolah-olah sudah ditarik ‘brek tangan’ketika ini. Ia berhenti pada lampu kuning, dengan kritikan-kritikan tajam terhadap peradaban barat yang tidak memiliki al-hakimiyah (menurut kerangka pemikiran Syed Qutb yang merujuk kepada ‘yang “dipersmbahkan’ hanya untuk Allah).

Qasim mengutip apa yang dikutip oleh Syed Qutb berdasarkan pendapat Hadza al-Din di mana “Ketika al-hākimiyyah murni menjadi milik Allah, yang mewujud dalam tegaknya syariat Allah, maka inilah bentuk tunggal yang di dalamnya manusia benar-benar “bebas” dari “penghambaan” kepada manusia. Dan inilah yang disebut dengan “peradaban manusia” (al-hadhārah al-insāniyyah).” (h.244)

Dengan demikian, tegas Qasim “ ruh dari peradaban Islam itu adalah ‘aqidah  bukan yang lainnya. Masyarakat Islami adalah satu-satunya masyarakat di dalamnya ‘aqidah  itu menjadi pengikat afiliasi asasi. Di dalamnya ‘aqidah menjadi kesabangsaan (jinsiyyah):yang menyatukan antara kulit hitam, kulit putih, kulit merah, kulit kuning, orang Arab, orang Romawi, orang Persia, orang Ethiopia, dan seluruh jenis manusia yang ada di muka bumi dalam “satu umat”. (hal. 245).

Hakikatnya, penyatuan umat masih belum berlaku, biarpun mempunyai hasrat dan cita-cita yang sama, membaca kitab yang sama dan menuju arah kiblat yang sama. Sebabnya, memang banyak dan boleh disenaraikan namun, kaedahnya belum cukup tuntas dan mampu memecut  seumpama ‘kereta tanpa kecacatan’ dan atasi suasana jalan yang terjal walaupun kita faham bahawa membina peradaban bukan semudah membina sebuah bangunan mahupun memasang sebuah kereta. Peradaban itu adalah memanusiakan ‘kemuliaan manusia’ dan itulah yang saya dapat simpulkan daripada bahasan Qasim mengenai fiqh peradaban walaupun  di dalamnya masih belum diketemukan jawapan ‘bagaimana’ pengupayaan itu dapat dikerangkakan dan dimulai dengan praktisnya.

Qasim tetap berusaha dan usahanya itu boleh dianggap sebagai pencetus, yang kemudian perlu diterjemahkan dengan tindakan yang tentunya berasas bagi memulakan ‘kemuliaan manusia’ dalam sebuah peradaban tidak tersungkur dengan kemelut moral dan kegersangan spiritual.

Kamarun KH

Translate »