Ibnu Majah atau nama sebenarnya Abu Abdillah Muhammad bin Yazid merupakan seorang ahli hadis, ahli tafsir dan ahli sejarah Islam yang terkenal dalam sejarah peradaban Islam (209 H/824 M – 20 Ramadan 273/18 Februari 887).

Karya utamanya dalam bidang hadis adalah Sunan Ibn Majah yang dikenal sebagai salah satu dari enam kitab kumpulan hadis yang terkenal dengan julukan al-Kutub as-Sittah (Kitab Yang Enam). Lima kitab hadis yang lain dari kumpulan tersebut adalah Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abi Dawud, Sunan at-Tirmizi , dan Sunan an-Nasa’i.

Ibnu Majah mula belajar sejak beliau masih muda lagi. Ada yang mengatakan bahawa beliau belajar hadis sejak usia 15 tahun pada seorang guru bernama Ali bin Muhammad at-Tanafasi.

Pada usia 21 tahun dia mula mengembara untuk menulis dan mengumpulkan hadis. Negeri-negeri yang pernah dikunjunginya untuk tujuan itu di antaranya adalah Teheran, Basra, Kufah, Baghdad, Khurasan, Syria, dan Mesir.

Dengan cara tersebut, dia telah mendapatkan hadis-hadis dari ulamak terkenal di kota-kota dan negeri-negeri tersebut seperti Abu Bakar bin Abi Syaibah, Hisyam bin Ammar, Basyar bin Adam dan lain-lain lagi.

Ibnu Majah telah menyusun kitab dalam berbagai cabang ilmu. Dalam bidang tafsir, ia menulis Tafsir al-Quran al-Karim. Ia juga menulis at-Tarikh, karya sejarah yang berisi biografi para periwayat hadis sejak awal hingga pada zamannya. Kerana tidak begitu popular, kedua-dua kitab tersebut ada kemungkinan tidak sampai ke tangan generasi sekarang. Karyanya yang paling masyhur adalah dalam bidang hadis, iaitu as-Sunan atau dikenal juga dengan Sunan Ibnu Majah.

Muhammad Fuad Abdul Baqi, penulis buku al-Mu’jam al-Mufahras li Alfaz al-Quran (Indeks al-Quran), telah memperinci hadis-hadis yang terdapat dalam kitab ini. Ada 4341 hadis di dalamnya. Sejumlah 3002 di antaranya juga termaktub dalam lima kitab kumpulan hadis yang lain.

Sebanyak 712 dari 1339 lainnya adalah lemah, yang dapat dikategorikan sebagai hadis dusta. Kerana banyaknya hadis yang lemah itu, sebelum abad ke-4 H para ulama belum memasukkannya sebagai kitab yang dijadikan standard yang layak menjadi panduan dan rujukan.

Orang yang pertama kali memasukkan Ibn Majah ke dalam kitab-kitab kumpulan hadis sahih sehingga termasuk dalam kitab yang enam adalah Abu al-Fadal Muhammad bin Tahir al-Maqdisi.

Pada pertengahan kedua abad ke-7 H, setelah hadis-hadis telah banyak terhimpun dalam kitab-kitab, usaha yang ditempuh ulama hadis adalah menerbitkan isi kitab-kitab kumpulan hadis itu, menyunting dan menyusun kitab-kitab takhrij (mengeluarkan) serta membuat kitab-kitab Jami’ (Penghimpun) yang umum.

Di antara kitab-kitab yang disusun pada peringkat ini adalah kitab-kitab zawa’id, yang terkenal di antaranya adalah kitab Zawa’id Ibnu Majah. Kitab ini disusun oleh Abu Ahmad bin Muhammad al-Busiri dalam kitab yang berjudul Misbah az-Zujajah fi Zawa’id Ibn Majah (Lampu Kaca dalam Tulisan Ibnu Majah). Hadis-hadis yang hanya diriwayatkan sendiri oleh Ibnu Majah seperti tersebut di atas kebanyakannya daif (lemah).

Hal ini dapat diketahui daripada keterangan-keterangan gurunya, Ibnu Mulaqqin, dalam kitabnya yang berjudul Ma Tamussu Ilaihi al-Hajah ala Sunan Ibn Majah (Apa Yang Diperlukan dalam Sunan Ibnu Majah).

Sebagaimana kitab-kitab kumpulan hadis lainnya, kitab-kitab syarah (penafsiran) Sunan Ibn Majah juga banyak muncul pada abad-abad sesudahnya. Di antara kitab-kitab syarah itu adalah Misbah az-Zujajah Syarh Sunan Ibn Majah susunan as-Sayuti dan Syarh Sunan Ibn Majah (Penjelasan tentang Kitab Sunan Ibnu Majah) susunan Muhammad Abdul Hadi as-Sindi.

 

Translate »