SELAIN penularan COVID-19 yang masih terus meningkat dan melebihi 43 juta kes, pilihan raya presiden Amerika Syarikat yang akan berlangsung 3 November ini menjadi dua tajuk berita yang hangat. Ia mungkin sedikit muram setelah dicemari oleh insiden di Perancis yang menyebabkan seorang guru dikelar hingga mati dan gempa bumi berskala 6.9 richter yang berlaku di kedalaman 10 kilometer Laut Aegen.

Insiden di Perancis membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia. Gempa bumi di Turki dan tsunami kecil yang turut melanda Greece menelurkan simpati. Tetapi, pertarungan antara Donald Trump dan Joe Biden boleh menyebabkan masyarakat melupakan sebentar ‘marah’ dan ‘simpati’ kerana ia bakal melakarkan geopolitik antarabangsa dalam tempoh empat tahun akan datang.

Trump berusaha dengan keras untuk menafikan peluang Joe Biden untuk dinobatkan sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-46. Trump berusaha untuk terus kekal sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-45 untuk penggal kedua. Biarpun Rumah Putih sudah menerima hakikat bahawa telah ‘gagal mengekang COVID-19’, ia tidak melemahkan pasukan kempen Donald Trump untuk bersaing dengan calon Parti Demokrat itu.

Setakat ini, dianggarkan 80.7 juta pengundi Amerika Syarikat sudah keluar mengundi sebagai pengundi awal, di mana 52 juta adalah pengundi pos. Penyokong Parti Demokrat dikatakan lebih besar melakukan undi awal sejak ia dibuka. Sehingga 29 Oktober, peratus penyokong Parti Demokrat didapati semakin mengecil iaitu turun daripada 48 peratus kepada lebih 46.8 peratus (Isnin, 25 Oktober) manakala penyokong Parti Republikan meningkat sehingga 29.7 peratus, diikuti oleh pengundi tidak bersekutu 22 peratus. (Rujuk: https://berita.mediacorp.sg/mobilem/dunia/lebih-80-juta-warga-as-undi-awal-dalam-pilihan-raya-presiden/4529794.html)

Dalam Pilihan Raya Presiden (PRP) 2016, Trump merupakan tokoh perniagaan yang tidak berpengalaman dalam hal ehwal diplomatik dan politik berjaya menumpaskan seorang yang berpengalaman dari Parti Demokrat. Kemenangan tersebut menyebabkan penyokong-penyokong Demokrat kesal kerana rakyat Amerika Syarikat telah memilih calon yang silap dan mula menunjukkan tindakan tunjuk perasaan. Ada beberapa ancaman telah dibuat, termasuk cadangan negeri California yang terkenal dengan gelaran Silikon Valley untuk keluar daripada gabungan Amerika Syarikat. Bagaimanapun, hingga kini, tiada tindakan dibuat.

Kali ini, Trump berhadapan dengan Joe Bidin, seorang ahli politik veteran dari Parti Demokrat. Semasa pentadbiran Barrack H Obama (2009-2017), Joe Biden adalah Naib Presiden Amerika Syarikat.  Kedua-duanya boleh dianggap hampir sebaya, Joe Biden, 78 (lahir 1942) dan Trump, 74 (lahir 1946). Mereka mengharapkan akan melepasi angka 270 undi daripada 538 undi perwakilan (electoral college votes) .

Berdasarkan tinjauan pendapat awam awal Oktober lalu, Joe Bidin mempunyai kedudukan yang siginifikan dan bakal meraih kemenangan dalam PRP kali ini. Bagaimanapun, hasil tinjauan pendapat awam yang lazimnya dipercayai ‘menyamai keputusan pengundian’ tidak dapat dipertahankan bila Trump menang besar ke atas calon Demokrat pada tahun 2016.

Ini menyebabkan kaedah tinjauan pendapat dipersoalkan, manakala pada kali ini, biarpun Joe Biden diramalkan boleh menang, ia belum dapat menghapuskan ‘defisit keyakinan’ terhadap tinjauan pendapat awam yang menjadi kebanggaan dunia akademik dan tradisi ramalan politik Amerika Syarikat.

Sistem pilihan raya di Amerika Syarikat menggunakan keadah perwakilan atau dipanggil electoral college votes. Ini bermakna, undi popular bukanlah penentu kemenangan, tetapi berapakah jumlah perwakilan yang berjaya diraih oleh seseorang calon. Misalnya, dalam PRP 2016, Donald Trump hanya memperoleh 46.1 peratus (62,984,828 undi) berbanding lawannya, Hillary Clinton dengan 48.2 peratus (65,953, 514 undi).

Trump diisytiharkan menang dengan 304 undi perwakilan berbanding Hillary Clinton 227.  Ia adalah satu perbezaan yang besar, iaitu 77 undi perwakilan, sesuatu yang menyebabkan kaedah memandang dan meramalkan kemenangan seseorang tokoh perlu dirombak semula, tidak lagi mempertahankan metodologi sebelumnya.

Disebabkan kedudukan Amerika Syarikat yang luas, tidak memungkinkan calon-calon yang bertanding menjelajah ke semua electoral college votes untuk meraih undian. Dalam sistem politik Amerika Syarikat, terdapat dua kategori electoral college votes, iaitu perwakilan yang diketahui dengan jelas kecondongan politiknya, dan yang dilihat sebagai berkecuali. Electoral college votes yang berkecuali inilah yang diharapkan sebagai penentu. Ia dikenali sebagai swing states.

Swing states tidak mempunyai pendirian yang tetap, sering berubah-ubah. Ia mungkin berubah berdasarkan isu yang timbul atau personaliti calon yang tidak disukai atau ada daya penarik tertentu. Sebab itu, dalam kempen PRP, swing states sangat diberikan perhatian oleh calon-calon yang bertanding. Dalam PRP kali ini, ekoran Amerika Syarikat adalah negara yang paling ramai dijangkiti COVID-19 (setakat 31 Oktober 2020) iaitu 8,852,730 kes dengan angka kematian seramai 227,178 orang, ada perubahan dalam gaya kempen.

Donald Trump dan isterinya Melania disahkan positif  COVID-19 pada 2 Oktober 2020 dan sepuluh hari kemudian (12 Oktober 2020), disahkan bebas. Kesannya. Trump terpaksa ‘menjilat semula’ kenyataannya. Trump pernah menyatakan virus COVID-19 adalah ‘palsu’ dan dirinya ‘kebal’ daripada jangkitan wabak yang sedang menggila itu.

Hari ini, ramai rakyat Amerika Syarikat turut mempersendakan Trump dengan COVID-19, bahawa dirinya ‘tidak kebal’ dan bukan ‘virus palsu’. Ia turut mempengaruhi sedikit sebanyak kenapa pengundi ‘tidak mempercayai’nya.

Jo Biden, sekiranya menang dalam PRP ini akan menjadi presiden Amerika Syarikat yang paling tua dalam sejarah, walaupun sebelum ini, rekod berkenaan dipegang oleh Donald Trump.

Ketika mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-45, Trump berumur 70 tahun. Jika Biden menang dan mengangkat sumpah sebagai Presiden ke-46, beliau berumur 78 tahun, iaitu beza lapan tahun daripada Trump ketika berjaya memasuki Rumah Putih, walaupun hakikatnya Trump dan Bidin hanya berbeza umur sebanyak empat tahun.

Bagi menyampaikan mesej di swing states, Joe Biden lebih memilih menggunakan kempen virtual, serta memperhebatkan iklan. Dalam sistem politik Amerika Syarikat, penggunaan media adalah sampai ke kemuncaknya ketika kempen PRP. Calon-calon yang bertanding akan menghabiskan sebahagian besar perbelanjaan kempen dengan membayar, menaja dan membeli ruangan dalam akhbar dan siaran dalam televisyen (termasuk televisyen kabel).

Keseluruhan Amerika Syarikat terdapat sekitar 50 negeri. Ini bukan bermakna Trump dan Biden akan hadir atau mendatangi semua negeri-negeri itu. Sebahagiannya sudah dapat dipastikan kecondongan pilihan, maka calon-calon yang bertanding tidak perlu hadir ke negeri yang dilihat condong kepadanya. Ia tidak bermakna, calon tidak boleh hadir. Kehadiran calon di negeri yang condong kepadanya, dilihat sebagai bonus dan berfungsi sebagai ‘reinforcement’.

Swing states atau battleground states inilah kadangkala menjadi faktor penentu (deciding factor), jika keadaannya hampir seimbang yang dimiliki oleh masing-masing parti. PRP 2016, Hillary Clinton tewas kerana pasukan kempennya gagal mempengaruhi pengundi di swing states.

Clinton berandaian, dirinya akan menerima sokongan atas pengalaman dan kekuatan imejnya sebagai bekas diplomat dan wanita pertama. Ia ternyata satu kesilapan besar, kerana Trump bijak menggunakan swing states dengan menaikkan semangat golongan hispanik, buruh dan golongan yang kurang diberikan perhatian menerusi mantra ‘American Great Againts” serta “America for American’.

Politik identiti telah menyebabkan kebencian semakin marak kepada Clinton yang didokong oleh pelabur dan kapitalis. Mereka sanggup menderma kepada Clinton untuk dana kempen, sedangkan Trump terpaksa menggunakan wang sendiri sebagai dana kempen. Trump dikatakan akan mengeluarkan wang poketnya secara ‘dolar to dolar’ atau jika ada penderma menyumbang seratus ribu dollar, Trump akan tambahkan dana itu sebanyak seratus dollar. Perspektif ini memberikan makna yang besar kepada Trump dalam menuju kemenangannya pada tahun 2016.

Kempen PRP 2016, Trump begitu lantang untuk memberikan ruang yang lebih baik kepada rakyat Amerika, termasuk menyekat kemasukan kaum imigran yang didakwa ‘mencuri peluang pekerjaan’ dan memaksa sebahagian menganggur, bila kaum imigran dibawa masuk dan diberikan pekerjaan.

Trump turut menempelak usahawan-usahawan Amerika yang dikenal pasti menjadi penyokong Clinton agar kembali melabur dalam negeri. Kecenderungan melabur di luar Amerika Syarikat menyebabkan peluang pekerjaan menjadi semakin kecil. Kempen ini berjaya menaikkan semangat pengundi, terutama dalam kalangan buruh di swing states.

Setiap electoral college votes,  ada nilai tertentu. Ia bergantung kepada jumlah penduduk dan faktor lain. Misalnya,  Texas, diberikan 38 electoral vote dan Arizona yang lebih kecil hanya memiliki 11. Untuk meraih kemenangan, ia memerlukan 270 electoral vote. Parti yang unggul di salah satu negeri, berhak memperoleh kesemua electoral vote di wilayah berkenaan.

Florida merupakan salah satu swing states yang menjadi rebutan. Florida mempunyai 29 electoral votes, dan merupakan negeri yang paling banyak electoral votes dalam kategori swing states.  Dalam PRP 2008 dan 2012, Florida dikuasai oleh Demokrat manakala PRP 2016, ia menyebelahi Republikan. Florida menjadi penyumbang kepada kemenangan Trump. Ketika ini, Florida memperlihatkan kecenderungan untuk memilih calon Demokrat. Namun ada juga ramalan mengatakan Trump ada peluang untuk menang di Florida dengan margin 4 peratus berbanding Biden. Trump 51 peratus manakala Biden 47 peratus sebagaimana dikeluarkan oleh The Washington Post-ABC pada 23 September 2020. Namun, kedudukan itu dikatakan sudah berubah, Biden kembali di depan. Ketika Trump disahkan positif COVID-19, kedudukannya di Florida dilihat sedikit goyah.

Selain Florida, Pensylvania juga menjadi rebutan dalam kalangan swing states.  Pensylvania mempunyai 20 electoral votes. Ketika ini, Pensylvania condong kepada Demokrat. Selain Pensylvania, Nevada (6 electoral votes) turut menampakkan sinar kemenangan kepada Joe Biden.

Di peringkat antarabangsa, dua pendirian berbeza mengenai Trump. Akibat petualangannya melancarkan ‘perang perdagangan dengan China’, Trump dilihat sebagai perosak amalan perdagangan antarabangsa. Namun, dari perspektif negara-negara yang merasai bimbang dengan penguasaan China, menyokong dan mengharapkan beliau menang.

Taiwan, walaupun merupakan sebahagian daripada wilayah China, mengharapkan Trump menang kerana dasar Trump itu telah mengajar China tentang ‘kebebasan’ dan ‘demokrasi’. Trump dilihat sebagai seorang yang berani untuk berhadapan dengan tindakan China, termasuk menggertak China agar menghentikan usahanya untuk mengawal Laut China Selatan.

Jepun turut melihat Trump sebagai orang yang layak diberikan peluang dalam memperlahankan kemaraan China untuk menjadi kuasa ekonomi terbesar menerusi ‘pembelian syarikat-syarikat Eropah’, memperluaskan pelaburan di hampir semua negara, menyediakan hutang untuk negara-negara tertentu membina infrastruktur mega, yang akhirnya memaksa negara penerima ‘menyerahkan infrastruktur’ itu sekiranya tidak mampu membayar balik hutang, yang akan mempercepatkan penguasaannya, selain pembinaan laluan sutera merentasi benua Asia.

Bagi membuktikan ‘tidak ada yang mustahil boleh China lakukan’, China telah memperhebatkan pembinaan bangunan pencakar langit bagi menandingi keupayaan Eropah dan Amerika Syarikat, melengkapkan lebuh raya di kawasan tidak berpenghuni, bangunan-bangunan tanpa penghuni dan sebagainya. Lakaran imej ‘kejayaan besar’ itu menyebabkan Eropah rasa tersinggung dan Amerika Syarikat menanggung pedih. Makan, orang yang boleh menyekat atau berlawan dengan China ialah Trump, bukan Joe Biden. Joe Biden dilihat kurang mampu dan mempunyai wawasan yang tegas.

Kalau 2016, Rusia dikatakan ada kaitannya dalam menentukan kemenangan Trump menerusi ‘penyadapan e-mel’, ‘mempengaruhi dan mengganggu data pengundi dalam sistem komputer’, membantu melancarkan propaganda (Firehorse of Falsehood), apakah kali ini Rusia akan dikaitkan ‘terlibat’ sekali lagi? Apakah Trump sangat memerlukan sokongan Rusia dalam menentukan kemenangannya buat penggal kedua? Inilah yang menjadi persoalan besar masa ini, selain kesan jangkaan selepas PRP yang bakal diterima oleh rakyat Amerika Syarikat akibat COVID-19.

Apa pun yang bakal berlaku pada 3 November 2020, sama ada Trump kalah atau Joe Biden menang, ia tetap tidak dapat menamatkan naratif duka rakyat Palestin, kerana siapa pun Presiden Amerika Syarikat, simpati dan sokongan ke atas Israel tetap di atas. Politik Amerika Syarikat sangat berkait dengan agenda zionisme.

Mahanor Saleha

Translate »