Semalam (26 Oktober 2020) telah diputuskan kuatkuasa PKPB diteruskan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor manakala satu kawasan di Seremban menyusul sehingga 10 November 2020. Saya tidak menolak PKPB dilanjutkan kerana kenaikan mendadak kes baharu COVID-19 begitu drastik sejak selesainya PRN Sabah. Biarpun jangkitan daripada mereka yang pulang dari Sabah, sama ada melancong, berkempen untuk PRN Sabah atau mengunjungi ahli keluarga setelah ‘berkurung’ hampir enam bulan (18 Mac hingga 31 Ogos 2020) hanya sekitar 30 peratus, tidak bermakna kecil berbanding mereka yang dijangkiti dari dalam penjara.
Sama ada penjara di Sabah, Pulau Pinang atau Kedah, selepas kita digemparkan dengan Kluster Sivagangga, kes-kes yang melibatkan banduan dan kakitangan penjara tetap besar dan mengundang pelbagai spekulasi. Ini kerana mereka yang melanggar SOP, boleh dipenjarakan sekiranya disabitkan oleh mahkamah dan tidak mampu membayar denda.
Bagaimanapun, timbul pula ‘kisah dua darjat’ bila seorang menteri tidak dibicarakan di mahkamah setelah tidak mematuhi SOP, kuarantin kendiri. Isu itu hampir selesai, tetapi ekornya tetap berbau busuk dan kini sedang dihadapi pula oleh Menteri Besar Selangor. Apakah kisah ‘antaa dua darjat’ ini akan memasuki episod seterusnya dan bakal menjadi telenovela pecah panggung? Maaf, pawagam belum beroperasi, kita alihkan kepada rating penonton sebagaimana selalu digunakan untuk menunjukkan rancangan tv paling popular.
Awalnya, kita diperkenalkan dengan istilah PKP –Perintah Kawalan Pergerakan. Kemudian, bila PKP tamat, muncul pula istilah PKPP dengan ditambahkan istilah pemulihan. Dalam masa yang sama, muncul pula istilah PKPD, PKP diperketatkan secara pentadbiran. Belum dapat kita fahami dengan jelas, muncul pula PKPB, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat. Ketika ini, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya masih belum tamat PKPB pertama, dan sudah disambung selama dua minggu lagi. Ia dibuat kerana Selangor masih mencatatkan kes baharu tertinggi bagi tiga kawasan PKPB tersebut. Selain Klang, Petaling Jaya adalah kawasan yang masih menunjukkan peningkatan, kerana mobilisasi dan kepadatan penduduk.
Selepas disogokkan dengan istilah tesebut, kita kadangkala keliru dengan pengumuman-pengumuman SOP. Bila SOP tidak dijelaskan dengan baik, bukan sahaja rakyat keliru, bahkan pelaksana dasar di peringkat pusat juga keliru. Itulah yang berlaku pada malam 17 Mac 2020, kebanjiran orang ramai di Terminal Bersepadu Bandar Tasik Selatan (TBS).
Pengurusan universiti bagaikan ‘menghalau para pelajar’ untuk pulang ke kampong kerana khuatir, kampus akan dijangkiti COVID-19. Suasana kelam-kabut itu menyebabkan Menteri Pengajian Tinggi mengeluarkan arahan baharu, pelajar-pelajar dibenarkan terus tinggal di asrama. Namun, menteri juga dilihat ‘kurang cerdik’ apabila membuka pertandingan tik tok sebagai mengusir kebosanan ketika ‘emosi terpuruk’ manakala seorang lagi menteri, menggalakkan komunikasi ala Doreamon. Dua peristiwa ini memberikan tafsiran bahawa menteri tiada kerja, dan lebih selesa atau menghabiskan masa dengan tik-tok.
Kalau tiada COVID-19, tentunya menteri-menteri ‘sangat sibuk’ dengan pelbagai aktibiti politik mahupun kementerian masing-masing. Wartawan dan media berkejar untuk membuat liputan. Pegawai perhubungan awam dan setiausaha akhbar ‘boleh kena marah’ kalau media tidak hadir buat liputan atau tiada berita disiarkan. Macam-macam sebab nak disalahkan, PRO ‘tidak buat kerja’ dan sebagainya.
Lebih menyedihkan bila ucapan menteri tidak dijadikan bahan berita, sebaliknya cerita lain yang lebih sensasi dilaporkan. Teringat kemarahan Mazlee Malik kepada Utusan Malaysia dan Kosmo bila berita ‘kasut dan stoking hitam’ dilaporkan. Lantas membuat keputusan, mengharamkan langganan dua akhbar tersebut oleh KPM. Larangan itu melibatkan semua jabatan dan agensi di bawahnya, termasuk IPTA, IPG dan sebagainya. Ibarat, marahkan nyamuk kelambu dibakar.
Patutlah politik Malaysia semakin celaru. Muhyiddin dengan gelaran baharu “abah” juga kurang bernafsu untuk membincangkan langkah mencergaskan ekonomi dalam kemurungan rakyat dan keresahan awam kesan COVID-19. Sekolah ditutup, digalakkan pembelajaran secara dalam talian, tetapi, rakyat mula bertanya apakah langkah kerajaan untuk meminta pengendali internet (telco) boleh bersama meringankan beban pengguna.
Setakat ini belum kedengaran, maka telco membuat untung besar ketika semuanya perlu berhubung secara maya. Lain bezanya dengan arahan kerajaan agar TNB mempertimbangkan diskaun, tiada pemotongan bekalan elektrik, kelonggaran membayar ansuran bil elektrik, dan menyemak semula kaedah pengebilan yang dianggap membebankan kerana dikira untuk tempoh tiga bulan. Itupun setelah pengguna ‘marah-marah’ dan menghentam TNB di media sosial.
Kesan daripada PKP, menjadikan ‘pembelian panik’ berlaku di peringkat awal. Pembelian secara online berkembang manakala perkhidmatan penghantaran makanan –Grabfood, FoodPanda, LalaMove dan orang perseorangan– memperoleh sumber rezeki baharu, boleh juga menampung kehilangan pendapatan akibat penutupan premis, kilang dan sebagainya. Walaupun bukan semua mereka yang kehilangan pekerjaan atau pendapatan telibat dalam pekhidmatan penghantaran makanan, ia tetap menjadi sumber rezeki baharu. Kita dapat saksikan, pemandu-pemandunya berhimpun di sekitar restaurant yang bersedia meneima tempahan online, menerusi aplikasi yang disediakan.
Tetapi, tidak kurang juga pengguna ‘kehampaan’ bila barangan yang dibeli secara online tidak sama dengan barang yang sampai, dan penipuan dalam talian semakin membiak (termasuk kes pembelian pelitup muka) di samping ‘perebutan roti Gardenia”. Bukan sahaja harga menjadi sedikit mahal, malah bertambah mahal jika dikirakan kos penghantaran. Akhirnya, bila PKP membenarkan perniagaan dibuka, pengguna boleh keluar rumah mendapatkan bekalan dan pergerakan menjadi lebih jauh, perkhidmatan penghantaran tidak lagi menjadi pilihan utama.
Semasa ‘kawalan keluar-masuk’ ditamatkan, kecuali perlu scanning suhu dan merekodkan kehadiran, keadaan kembali normal. Makan di restoran mula menjadi tumpuan, namun ramai juga berwaspada dengan restoran mamak setelah muncul kluster baharu COVID-19 – misalnya Kluster Sivagangga dan Kluster Maju. Restoran Mamak bukan lagi jadi pilihan, ada yang mula menjarakkan diri dengan ‘nasi kandar’ ataupun roti canai. Mudah-mudahan selepas wabak COVID-19, kerajaan mengharamkan restoran 24 jam, kerana cadangan ini sudah lama dibuat dan belum diterima sebagai satu keputusan biarpun dikatakan ada kaitan dengan masalah obesiti.
Kalau COVID-19 berjaya mendidik rakyat Malaysia untuk mempraktikkan ‘normal baru’ #kitajagakita, #dudukrumah, #penjarakan sosial, #keluar rumah jika perlu dan sebagainya, maka tidak ada sebab kita merubah ‘gaya hidup’, amalkan diet yang sihat, (berbasikal semakin menjadi pilihan), tidak makan lewat malam, tiada teh tarik (waktu malam), banyakkan aktiviti bersama keluarga di rumah dan paling menarik ialah ramai ketua keluarga mula belajar menjadi imam berjemaah. Meskipun awalnya terasa kekok dan kurang selesa (berpeluh) akhirnya ia sudah menjadi rutin yang menarik.
Kesannya, berlaku peningkatan untuk belajar membaca al-Qur’an dan mempelajari perihal beribadat, menerusi pembacaan mahupun mendengar kuliah secara online. Perkongsian video pendek, mengenai kaedah pembacaan al-Qur’an dengan betul, beribadat menurut syariat, amalan-amalan doa harian dan peringatan tentang dosa-pahala menarik perhatian.
Suatu perubahan sikap dan amalan harian sudah mula berlaku. Dan, perubahan dan kecenderungan baharu itu perlu diteruskan, jangan berhenti kerana ia adalah kewajipan yang tidak boleh kita elakkan, ia adalah kaedah kita membina saham untuk menempuh kehidupan yang lebih kekal dan abadi. Seperti kata Imam al-Ghazali, dunia adalah tempat kita melabur saham untuk akhirat. Jangan kita ‘miskin di dunia’, juga miskin pahala di akhirat.
Semasa PKPB, keadaan kelam-kabut, pembelian panik kurang berlaku kerana dua orang dibenarkan untuk ke pasar dan perniagaan beroperasi sehingga jam 2 petang atau 10 malam. Tidak berlaku kekurangan bekalan. Semasa PKPB, rakyat mula berfikir panjang untuk berbelanja. Ini disebabkan, bidang pekerjaan semakin berkurangan dan orang ramai mula kekurangan tunai. Bekalan makanan tidak berkurangan, kerana kerajaan memastikan bahawa tidak berlaku pencatutan, menasihati orang ramai tidak melakukan ‘pembelian panik’ dan premis sudah banyak dibuka.
Selepas PKP digantikan dengan PKPP, bagaikan ‘kelkatu selepas hujan’ bertebaran di jalan-jalan raya untuk pulang kampong ataupun melancong dalam negeri. Jalan-jalan di tempat peranginan menjadi sedikit sesak, walaupun bukan pada hari minggu ataupun kelepasan am. Hotel-hotel dan homestay kembali mendapat tempahan. Ia tidak lama (sekitar sebulan) kerana akhir September kita dikejutkan dengan peningkatan semula kes COVID-19 di Kedah, biarpun Kluster Sivagangga tidak lagi aktif.
Kita semakin resah dengan situasi itu, dan ia bertambah bila mencecah lebih 600 kes pada 6 Oktober 2020 dan seterusnya terus meningkat kepada lebih 800 kes. Kita cemas lagi, bila kes sekali lagi mencecah lebih seribu: 24 Oktober 2020, 1,228 kes; dan 26 Oktober 2020, 1,240 kes. Akhirnya, PKPB yang sepatutnya ditamatkan pada 27 Oktober 2020 di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya dilanjutkan dua minggu lagi (sehingga 9 November 2020).
Ditengah keresahan itu, lanskap politik turut menjadi kalut. Kalau isu calon PM, pelecehan terhadap kerajaan Perikatan Nasional, tidak puas hati dengan pembahagian jawatan kabinet dan membahagi-bahagikan kroni dalam pengurusan GLC dan GLiC sedikit reda, timbul pula isu ‘politik nombor’. Politik nombor muncul pertama kali pada 23 September 2020, bila Anwar mengatakan dirinya mempunyai sokongan yang kuat dan ‘kerajaan Muhyiddin tumbang’. Namun, beliau masih belum boleh mengadap YDPA kerana baginda sedang menerima rawatan di IJN. Beliau sedia bersabar dan boleh menunggu masa yang sesuai.
Ia menjadi lebih kalut apabila sekali lagi Anwar mengulangi kenyataan yang sama pada 13 Oktober 2020, selepas ‘menyampaikan dokumen kepada YDPA’. Bagaimanapun, Anwar tidak menyertai senarai nama wakil rakyat yang menyokongnya secara terperinci, tetapi nyatakan ‘ia lebih daripada majoriti mudah’ dan ‘kerajaan Muhyiddin tumbang’. Hari yang sama, di sebelah petang, Tengku Razaleigh dipanggil mengadap YDPA. Timbul spekulasi, Malaysia bakal ada PM interim, di mana Tengku Razaleigh adalah calon yang paling layak.
Ia menjadi semakin menarik apabila ramai pakar undang-undang, penganalisis politik, ahli akademik, ahli politik dan ‘cults of amaetur’ (istilah Andrew Ken, yang hampir sama ertinya dengan istilah ‘keyboard wariors’) mula berbahas di ruang maya. Macam-macam ada, macam ulasan sehingga sebahagian daripada pembaca mula ‘confius’. Ulasan bukan berdasarkan fakta, ia hanya sekadar berpendapat dan memuji atau mengecam. Menariknya ialah tulisan mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, yang menjelaskan tiada istilah Perdana Menteri interim dalam Perlembagaan Persekutuan (Sinar Harian, 23 Oktober 2020).
Selepas dihebohkan dengan PM interim, muncul pula kaedah pentadbiran yang bakal berlaku dalam negara di mana Jemaah Menteri (mesyuarat pada 23 Oktober 2020) besetuju untuk mencadangkan pelaksanaan darurat bagi mengekang COVID-19. Bagaimanapun, keputusan mutlak adalah perkenaan YDPA. Sehari kemudian, Muhyiddin mengadap YDPA di Istana Sultan Abdul Aziz, Kuantan, Pahang untuk menerangkan keputusan Jemaah Menteri itu. Baginda berjanji akan meneliti cadangan-cadangan tersebut dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu. Satu mesyuarat khas diadakan pada 25 Oktober 2020. Raja-raja Melayu tidak bersetuju ‘darurat diisytiharkan’ dan sebelah petangnya, kenyataan media Istana Negara memberitahu keputusan-keputusannya, iaitu:
- Tiada keperluan buat masa ini untuk diisytiharkan darurat;
- Kerajaan berjaya menangani COVID-19 dengan baik dan berkesan;
- Mempercayai keupayaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan membendung COVID-19 dari terus merebak;
- Mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politicking yang boleh mengganggu kestabilan dan pemerintahan negara;
- Belanjawan Negara 2021 adalah amat penting kepada rakyat di dalam menangangi wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara; dan
- Seluruh rakyat, tanpa mengira latar belakang dan khususnya fahaman politik, mengenepikan segala perbezaan dan perbalahan untuk bersatu padu dan bersatu hati memainkan peranan dalam membantu Kerajaan dan pihak-pihak berkuasa membendung COVID-19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara.
Sebaik mendengar cadangan darurat bakal dilaksanakan, Malaysiakini terkedepan dalam memberikan kefahaman mengenai situasi itu dengan menyiarkan artikel ‘Sejarah pengisytiharan darurat di negara kita’ (Malaysiakini, 23 Oktober 2020). Sayangnya, MAlaysiakini tidak memberikan makna yang boleh diterima dengan baik tentang darurat, hanya sekadar menambahkan resah pembaca dengan enam peristiwa daurat yang pernah dilaksanakan di Malaysia (Pemberontakan Komunis 1948-1960), Konfrontasi 1964, Sarawak 1966, Rusuhan 13 Mei 1969, Kelantan 1977 dan Darurat Jerebu (1997, 2005 dan 2013). Lima darurat adalah bersifat politik, manakala Darurat Jerebu (tiga kali) adalah darurat kesihatan (alam sekitar). Sepatutnya, dibezakan antara darurat politik dan darurat kesihatan, kerana ia mempunyai SOP dan kaedah pentadbirannya adalah berbeza. Saya ingat, ketika darurat Jerebu (1997), saya bertugas di Bilik Gerakan MKN sepanjang malam. Tidak ada pun ‘kekalutan’ dan tafsiran makna bahawa rakyat hilang kepercayaan kepada PM, kecuali atas sebab pemecatan Anwar hampir setahun kemudian.
Memang darurat meninggalkan kesan pedih, tetapi itu adalah ketika darurat yang melibatkan perjuangan komunis. Saya terkesan apabila membaca yang ditulis oleh Noel Barber dengan menarik dalam bukunya, Perang Anjing Suruhan: Darurat dan Kekalahan Komunis di Malaya 1948-1960. Buku itu adalah terjemahan terbaharu yang diusahakan oleh IBDE (Inisiatif Buku Darul Ehsan) daripada karya yang dianggap klasik berbahasa Inggeris, The War of Running Dogs: How Malaya Defeated the Communist Guerillas, 1948-1960. Buku itu pertama kali diterbitkan pada tahun 1971, dan edisi bahasa Inggeris saya baca kali pertama pada tahun 1980 ketika belajar memahami teori dan aplikasi propaganda.
Jika darurat COVID-19 dilaksanakan, ia bagi memutuskan rantaian virus COVID-19 yang sukar dilihat atau diketahui puncanya. Ia berbeza dengan kuman taun, ia boleh dikesan menerusi ‘air kotor’ mahupun persekitaran panas dan berdebu. Jadi, untuk mengawal jangkitan ialah mengawal pergerakan dan mobiliti orang ramai. Jika darurat diisytiharkan, ia tidak melibatkan ‘perubahan kerajaan’, ia membabitkan kaedah pengawalan yang lebih tegas dan ketat. Dari segi peruntukan, kerajaan boleh menggunakan sumber yang ada untuk berbelanja bagi menangani wabak COVID-19 tanpa terlebih dahulu mendapat kelulusan Dewan Rakyat. Mungkin itu tujuan Jemaah Kabinet bersetuju terhadap langkah tersebut.
Sebaliknya, bila mendengar istilah ‘darurat’ ramai yang berfikir melampaui kotak dan mengemukakan rasional penolakannya dengan bersandarkan rakaman sejarah darurat yang menyusahkan kehidupan rakyat, termasuk kawalan keselamatan untuk membendung pemberontakan komunis. Bukan begitu maksudnya, maka keluarlah kenyataan bersifat konotatif, darurat untuk menyelamatkan kedudukan Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, lalu dihubungkaitkan dengan sokongan UMNO kepada Anwar, kemungkinan Belanjawan 2021 gagal diluluskan dan akan tertubuhnya ‘PM interim’, ‘caretaker government’ dan sebagainya.
Konotasi itu diperkuatkan dengan pandangan politikus yang tidak berpuashati dengan kaedah yang menyebabkan mereka ‘terlucut kuasa’. Mohamad Sabu dengan tegas menyeru agar Muhyiddin meletakkan jawatan manakala Khalid Samad menulis “ketidakstabilan politik dewasa ini adalah kerana Perdana Menteri telah hilang majoriti dan ingin terus kekal memerintah. Golongan yang menyokongnya adalah golongan yang gila kuasa. Daruat demi ‘abah’ mendera rakyat, memusnahkan negara.” Manakala Dr Mahathir pula berkata: Darurat akan memberi kuasa tambahan kepada Perdana Menteri. Dia (Muhyiddin) mempunyai kabinet besar yang tidak menyumbang apa-apa untuk kesejahteraan rakyat dan negara”. Kenyataan-kenyataan tersebut jelas membuktikan politikus sanggup memperlekehkan apa sahaja yang dicadangkan oleh ‘musuh-musuh’ politiknya, kerana yang mengkritik itu juga termasuk dalam kategori ‘gila kuasa’.
Jika mereka tidak ‘gila kuasa’, tentunya Dr Mahathir tidak lagi mengecam, memperlekeh Muhyiddin dan kabinet yang dibentuk ekoran keputusan YDPA, kerana beliau sebenarnya sudah gagal dalam ‘membaiki Malaysia’ selepas diberikan peluang memerintah. Inilah tabiat Dr Mahathir yang lazim, tidak sanggup mengakui kesilapan sendiri, dan sentiasa menyalahkan orang lain walaupun beliau membuat keputusan sendiri meletakkan jawatan. Tidak ada sesiapa pun yang berusaha menjatuhkan kedudukannya sebagai PM ke-7, tetapi beliau merasakan itu cara terbaik menguji pengaruh.
Mungkin beliau ‘rasa terhina’ bila pendapat awam (Malaysiakini, 31 Disembe 2020) memberikan skor 26 peratus, sedangkan Muhyiddin mengukuh dengan 36 peratus walaupun kededuanya tewas kepada pemimpin-pemimpin DAP, PAN dan PKR (yakni TPM). Daripada 10 peratus menteri yang dapat skor 50 peratus ke atas: 4 menteri DAP, 2 PAN dan 3 PKR. Menteri dari Bersatu gagal total, termasuk Muhyiddin, Mahathir, Rina Harun, Syed Saddiq, Mazlee Malik dan Redzuan Yusof. Mazlee dan Mohammadin Ketapi berkongsi skor kedua terendah (16 peratus) dan Redzuan yang terendah (10 peratus)
Kita boleh lihat keputusannya selepas melepaskan jawatan, beliau masih mengharapkan sokongan untuk dilantik sebagai PM sekali lagi. Jejak itu sudah boleh dibaca, bahkan oleh rakyat biasa yang pernah berada pada zamannya sebagai PM ke-4 selama 22 tahun. Itu adalah salah satu cara Dr Mahathir mentcri sokongan dan berusaha memperbaiki kedudukannya. Kali ini, tidak ada yang menyokongnya, kecuali ‘kumpulan ‘galak tidak cukup panjang’. Bila terus ‘berperang dengan Anwar’, Dr Mahathir mengemukakan nama Shafie Afdal. Semuanya telah ditolak, maka Mahathir yang sudah kehilangan tapak, menubuhkan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang). Kini, memerlikan Muhyiddin agar kelulusan pendaftaran Pejuang ditahan. Beliau berbuat demikian kerana tidak dapat menggunakan darurat untuk mengecam Muhyiddin seterusnya, sebab YDPA tidak ada ‘keperluan untuk mengisytiharkan’ buat masa ini dan mahukan semua ahli politik berganding bahu mengekang COVID-19 serta melupakan politicking.
Dalam lanskap politik Malaysia, sejak tahun 1980-an lagi orang yang paling banyak sekali menimbulkan kontroversi politik ialah Dr Mahathir, kemudian Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, dan Daim Zainudin. Daim ‘hampir diam’ selepas Dr Mahathir meletakkan jawatan. Kini, yang berperang sebenar ialah antara Anwar dan Dr Mahathir, walaupun kedua-duanya semakin hilang ‘sentuhan berbisa’ dan ‘cacat perjuangannya’. Itulah sebabnya, rakyat Malaysia kebanyakannya berpendapat, Anwar dan Dr Mahathir berhentilah secara ‘gentlement’ untuk terus berpolitik, kerana semakin lama semakin dibenci, meluat dan meloyakan. Tak usahlah berkata lagi : Saya sudah berhenti, tapi ada orang mahukan saya jadi PM. Atuk perlu menetapkan pendirian sendiri, bukan menurut rasmi lalang.
Jika loya semasa PKP, tentunya ramai yang berbangga sebab ada petunjuk isteri bakal melahirkan zuriat ketika #kitajagakita dan #stayathome. Tetapi, loya yang berlaku ialah loya politik akibat onah dan percaturan Mahathir dan Anwar dengan skrip propaganda mengalahkan teknik FoF (Firehose of Falsehood) atau dalam bahasa Melayu boleh diterjemahkan sebagai “semburan fitnah”. Ia menjadi popular dan diamalkan dengan jayanya oleh Rusia menerusi pembohongan berterusan (disinformation) ketika krisis di Krimenia, Ukraine dan perang saudara di Syria.
Mahanor Saleha
Recent Comments