Siapakah ‘pelindung’? Dia yang membebaskanmu dan  membuka belenggu-belenggu keabadian daripada kakimu.

Oleh sebab kenabian ialah petunjuk jalan kepada kebebasan, kebebasan dikurniakan ke atas mukmin oleh rasul-rasul.

….

Jangan pergi sangat ke dalam bekas roh nafsumu: jangan menjadi lupa akan pembeli-pembelimu.

Jalaludin Rumi, Mathnawi Jilid 6: 4540-4542 dan 4552)

Saya menemukan lebih 52 juta entri dalam enjin carian Google hanya dengan menaipkan nama Nabi Muhammad SAW, jam 3 petang, 26 Oktober 2020. Jika saya menaip perkataan Prophet Muhammad, saya menemukan 76.5 juta entri. Jika saya taipkan nama Muhammad, yang dirujuk sebagai ‘pemimpin agama’, saya temukan 327 juta entri, sama berupa artikel yang ditulis mahupun klip video yang dikaitkan dengan Nabi Muhammad SAW, yang diulas, diucap dan diperkatakan oleh manusia seluruh dunia, setakat yang mampu dikesan oleh Google.

Menurut pandangan saya, buku-buku mengenai Nabi Muhammad SAW adalah buku yang paling banyak sekali ditulis bahkan boleh jadi melangkaui buku-buku yang ditulis mengenai Nabi Isa AS, yang dipuja sebagai ‘penyelamat’ oleh pemeluk agama Kristian yang lebih besar daripada pemeluk Islam. Pemeluk Kristian di seluruh dunia dianggarkan berjumlah 2.3 bilion manakala seluuh umat Islam ialah 1.6 bilion. Turut diandaikan, dalam tempoh 20 tahun akan datang, umat Islam akan dapat mengatasi pemeluk Kristian berdasarkan jumlah. Sebab itulah Islam dikhuatiri di banyak negara yang didominasi oleh pemeluk Kristian, terutama di Eropah, Amerika Syarikat dan juga negara-negara majoriti penduduk bukan Kristian.

Kenapa umat Islam bertambah dengan cepat sedangkan Islam merupakan agama yang hadir paling lewat berbanding Kristian dan Yahudi. (Maaf, saya mengehadkannya kepada tiga agama wahyu dan tidak menyentuh agama Hindu, Buddha, Zen, Bahai dan fahaman-fahaman yang kemudiannya digelar agama, kerana ia bukan bersumberkan wahyu). Umat Islam bertambah kerana kedudukan dan perspektif umat Islam itu sendiri, tidak melihat kelahiran tinggi sebagai ‘beban ekonomi dan sosial’ sebagaimana diyakini oleh pemeluk agama lain. Sebab itu kadar kelahiran semula jadi umat Islam lebih tinggi berbanding pemeluk Kristian dan Yahudi.

Kedua, semakin banyak Islam diperlekehkan, ia menjadikan minat terhadap Islam bertambah dan apa yang berlaku di Eropah turut membenarkan kenyataan tersebut. Ketiga, akibat pandemic COVID 19, ramai manusia mencari solusi untuk mendekatkan diri dengan “kuasa yang lebih besar’ setelah sedar, keupayaan manusia terhad dan keangkuhan ilmu belum mampu mengatasi pandemik tersebut. Oleh itu, manusia mengharapkan ada sesuatu yang mampu membendungnya, iaitu ‘Kuasa Yang Lebih Besar’. Lojiknya, sebahagian memperoleh kefahaman yang lebih jelas mengenai “Kuasa Yang Lebih Besar’ setelah membaca al-Qur’an dan mengenali keperibadian Muhammad SAW.”)

Kenapa Muhammad SAW? Muhammad SAW adalah insan paling sempurna pernah dilahirkan, sepanjang sejarah manusia. Saya cuba mencari-cari apakah ‘peribadi paling sempurna’ itu sekurang-kurangnya setelah mengetahui buku Muhammad SAW: Insan Paling Sempurna Pernah Dilahirkan, yang khabarnya, sudah terjual 9,000 naskhah dalam tempoh 20 hari. Saya membeli cetakan keempat (Ogos 2020). Bermakna, setelah tiga kali cetak (Mei 2020, Mei 2020 (2) dan Julai 2020), ia benar-benar menjadi buku paling laris di pasaran tempatan. Tahniah Dr Kamilin Jamilin, seorang pensyarah di USIM dan Ahli Majlis Fatwa termuda di Wilayah Persekutuan dan Perlis.

Memang, cara penulisan dan pemaparan maklumat mengenai Nabi Muhammad SAW begitu mudah difahami walaupun ada beberapa perenggan masih terasa ada ‘nalar bahasa Arab’ dan kadangkala membuatkan nafas saya tercungap-cungap untuk mentelaah. Misalnya, di halaman 90, satu ayat mengandungi 75 patah perkataan (setelah saya ketepikan huruf jawi SAW), dengan hanya dua tanda bacaan (,) sebelum tiba dinokhtah. Sekali lagi saya rasa semput di halaman 170  (dengan lebih 60 perkataan, dua koma dan satu kurungan). Saya kira, ia perlu diserasikan semula untuk memudahkan ‘speed reading’ dan saya memerlukan tempoh empat jam untuk khatam sepintas lalu.

Pencarian saya tidak menghampakan, kerana inilah buku pertama mengenai Nabi Muhammad SAW yang say abaca secara beterusan dan berupaya dihabiskan dalam tempoh empat jam dengan ketebalan lebih 200 halaman. Tidak bermakna, saya tidak ‘mengenali Muhammad SAW’ menerusi pembacaan, bahkan secara peribadi, saya memiliki lebih 20 naskhah buku yang menceritakan baginda secara khusus, sama ada edisi terjemahan bahasa Melayu (Melayu dan Indonesia) dan berbahasa Inggeris. Saya tidak mempunyai biografi Nabi Muhammad SAW berbahasa Arab, sebab saya tidak memahami bahasa Arab walaupun boleh menyebutnya. Buku ini dibahagikan kepada 30 bab, termasuk kata pengantar (bab pertama) dan bibliografi (bab 30).

Berdasarkan tarikh di bab 1, saya merumuskan buku ini selesai ditulis (dengan penyuntingan sendiri) pada 20 Februari 2020, sebelum diserahkan untuk dicetak atau disunting lagi. Asalnya adalah rakaman kuliah, yang kemudiannya disunting dan adakalanya kelihatan sepeti perbualan. Memang menarik cara Dr Kamilin mempersembahkan buku ini, bahasa yang digunakan mudah dan dibuktikan dengan pendapat, makna perkataan, kedudukan hadis dan petikan al-Qur’an. Ianya cukup untuk sesiapa yang mula ingin berkenalan dengan Nabi Muhammad SAW sebagai ‘insan mulia’ dan manusia biasa yang paling banyak diperkatakan (disebut) dan dirindui.

Seperti jelas Dr Kamilin, tujuan penulisan dan menerbitkan buku ini ialah “sebuah ‘pintu’ yang membuka ruang untuk mengenali insan teragung ini’ sudah tercapai. Tidak adil untuk membandingkannya dengan sirah-sirah yang lain, kerana masing-masing ada kelebihan dan tujuan biografi Nabi Muhammad SAW ditulis, tanpa ada penamatnya, setiap tahun ada diterbitkan buku baharu mengenai baginda.

Tulis Dr Jamilin lagi, Nabi Muhammad SAW (hal.7) ‘bukanlah seorang ahli politik idealis yang cuba menyuntik ideologi politiknya kepada orang ramai demi mendapatkan pengaruh atau kuasa. Tetapi insan ini merupakan seorang manusia yang begitu dikasihi oleh mereka yang memandang serta mengenalinya. Seorang insan yang sentiasa dicintai serta dirindui walaupun setelah lebih 1,400 tahun lamanya insan ini pergi meninggalkan kita.”

Nabi Muhammad SAW dilahirkan 22April 571 dan wafat pada 8 Jun 632. Menurut kalendar Hijrah, Nabi Muhammad SAW dilahirkan pada 12 Rabiul Awal (Tahun Gajah, kerana permulaan tahun hijrah belum berlaku) dan meninggal ketika berusia 63 tahun atau bersamaan 1 Rabiul Awal 11H (25 Mei 632). Perbezaan tidak menghalang kita untuk hari kelahiran Nabi Muhammad SAW sebagai satu peristiwa penting dalam Islam, walaupun ada yang mempertikaikannya. (semak https://shafiqolbu.wordpress.com/2012/01/31/tarikh-sebenar-kelahiran-kewafatan-nabi-muhammad-saw/)

Kita lupakan pertikaian dan kewajaran mengenai sambutan Maulidir Rasul, tetapi mengingat Nabi Muhammad SAW adalah suatu kewajipan setiap orang mukmin. Kita bukan sahaja disyaratkan untuk ‘mengenang’, belajar teladan yang ditinggalkan bahkan mempercayai apa yang diucapkan dalam bentuk ‘hadis’ dan mengamalkan apa yang diajari. Ini kerana Nabi Muhammad SAW adalah ‘model hidup’ yang dipilih oleh Allah SWT untuk membebaskan manusia daripada kebodohan, budaya jahiliyah.

Nabi Muhammad SAW mengajar kita (umat manusia) bagaimana hidup bahagia, bukan hidup mewah seperti cerita drama Melayu dan kerakusan kuasa yang saban hari kita tonton, dengar dan membaca ceritanya. Nabi Muhammad SAW mengajar kita untuk menjadi ‘insan yang sempurna’ dan mengenali diri sebaik-baiknya agar ‘hidup dan mati’ tidak menjadi beban kepada orang lain, dan dalam kehinaan.

Manusia dihina kerana perilaku dan kata-katanya, dan akan disayangi kerana kata-kata dan perbuatannya. Bezanya ialah disayangi kerana kata-kata tidak menyakitkan hati orang lain, dan juga dianggap menghina, sombong dan berbohong. Perbuatan yang terpuji ialah dilakukan dengan penuh keinsafan, jujur dan ‘telunjuk lurus kelingking berkait.” Sentiasa berusaha tidak menyusah dan menyakitkan orang lain, dan ringan tulang membantu mereka yang memerlukan pertolongan tanpa mengharapkan balasan.

Peribadi sedemikian cuba disampaikan oleh Dr Kamilin dengan cukup mudah dan menarik sehingga saya benar-benar memahami ‘jiwa pemaaf’ dan ‘keluhuran budi’ Nabi Muhammad SAW ketika berinteraksi dengan sahabat, ahli keluarga, bermain dan melayan cucu-cucu, empati dengan kesusahan orang lain dan memberikan layanan kepada mereka yang memusuhinya. Sesuatu yang dalam kebanyakannya adalah sukar untuk kita lakukan, kerana kita sentiasa memikirkan diri kita sendiri. Nabi Muhammad SAW bahkan sanggup melakukannya demi ‘orang lain’ walaupun dalam situasi baginda juga ‘serba kekurangan’.

Saya menemui sesuatu yang sangat menarik dalam buku ini, iaitu pandangan Nabi Muhammad SAW tentang kategori manusia. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan Iman Muslim (2282) dan juga Imam Bukhary (79) manusia diumpamakan ‘tanah yang subur’, ‘tanah yang tidak subur tapi boleh menakung air’ dan ‘tanah kering kontang’. Tanah yang subur, mampu menyerap air dan menjadi lahan subur bagi tumbuh-tumbuhan, yang turut memberikan rezeki kepada makhluk atau hidupan yang lain. Tanah yang subur membolehkan pokoh hidup dan berbuah, bukan sahaja memberikan perlindungan kepada manusia daripada panas matahari dan sumber rezeki (makanan). Pokok yang berbuah itu menjadi tempat binatang-binatang lain berkongsi makanan dan meneruskan kehidupan.

Bagi tanah yang tidak subur tetapi boleh menakung air, ia tetap memberikan faedah kepada makhluk kerana air itu dapat digunakan untuk menghilangkan dahaga, menyiram pokok dan untuk kegunaan lainnya. Makhluk tidak boleh hidup tanpa air, bahkan kisah perebutan sumber air menjadikan permusuhan yang besar sebagaimana berlaku antara Isreal, Jordan dan negara-negara jirannya. Sampai kini, isu itu belum selesai dan Israel menggunakan sumber air sebagai ancaman, tekanan untuk negara-negara tetangganya ‘menghormatinya’ walaupun punca air itu sebenarnya ‘dicuri’ atau dialihkan ke ruang miliknya.

Ketiga, jenis tanah yang kering kontang. Pokok sukar hidup dan bila hujan, air tidak dapat bertakung, terus menyerap masuk ke dalam tanah. Manusia jenis ini, adalah ‘mereka yang pernah atau berpeluang menimba ilmu agama sama ada sedikit atau banyak, namun ilmu ini tidak menyerap ke dalam diri dan sanubari mereka untuk diingati, difahami serta diamalkan, apatah lagi menyampaikan. Justeru ilmu tersebut tidak memberi manfaat buat orang lain.” (hal.53).

Maknanya bukan sahaja ibarat “mencurah air di daun keladi’, orang dalam kategori ini berlagak ‘pandai tapi sebenarnya bodoh’. Inilah watak yang paling banyak kita temui dalam masyarakat, tidak menjadikan ilmu sebagai ‘jalan pencerahan’ dan ilmu digunakan untuk ‘menyombong diri’ atau angkuh. Mereka angkuh dan sanggup menipu dengan sesiapa sahaja, asalkan matlamat tercapai dan dilihat berilmu.

Ketika menceritakan ‘Makan Bersama Nabi Muhammad SAW’ di bab 19, Dr Kamilin memberikan kupasan yang baik mengenai nasihat itu –mengisi perut dengan kadar yang cukup, yakni 1 pertiga daripada isi perut adalah makanan, satu pertiga lagi untuk minuman dan baki satu pertiga adalah untuk bernafas (udara). Kenapa ketika kita makan dengan kenyang kita alami banyak masalah, termasuklah ‘sebu’ dan sukar bernafas. Kita mungkin terlupa, bagi membolehkan makanan diproses oleh perut kita, ia memerlukan cecair yang boleh melembutkan makanan dan juga ruang untuk ‘mengisarnya’. Ia peraturan yang patut diamalkan dan kita sepatutnya ‘tidak menjadi pelahap’ walaupun makanan itu sedap, menyelerakan dan dalam keadaan kemaruk.

Sesuatu yang sengaja ‘dilupakan’ oleh ramai orang, dan barangkali ada juga keburukannya apabila ada yang ‘memaksa’ atau ‘menyuruh kita tambah’ bila melihat kita ‘begitu berselera’ dan ‘masih banyak hidangan yang dibuat’. Kalau tidak dihabiskan ‘ia membazir’ maka, si tukang masak perlulah bijaksana ketika menyediakan makanan itu, kerana dirinya turut melakukan pembaziran. Akibat makan ‘terlalu enak’ dan ‘sehingga sukar bernafas’ ia akan memudaratkan kesihatan. Dalam jangkapanjang, sudah dikesan bahawa makanan adalah salah daripada punca penyakit, sebabnya, makan terlalu kenyang dan terlalu mengikut selera, sehingga ‘berlebihan’.

Masalah obesiti, tiga serangkai (kencing manis, darah tinggi dan berkaitan kardiovaskular) dikaitkan dengan pola pemakanan dan gaya hidup kurang sihat. Kita mendapat gambaran, Nabi Muhammad SAW ‘tidak pernah sakit’ kerana baginda makan secara sederhana, bersenam (gaya hidup) dan tidak menyimpan dendam. Baginda sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar ‘mereka yang memusuhinya terbuka hati untuk menerima Islam’ dan sentiasa memaafkan sesiapa sahaja tanpa pilih bulu, Islam atau bukan Islam. Bahkan, dalam masa yang sama Nabi Muhammad SAW memberikan nasihat secara berhemah, termasuk dalam kalangan kanak-kanak (serta cucu sendiri) untuk menjadi lebih baik secara berhemah, bukan dengan gelagar ‘orang panas baran’.

Sebagai bapa idaman, Nabi Muhammad SAW tidak mengamalkan keputusan ‘diktator…Sebaliknya baginda akan membimbing mereka dengan penuh kebijaksanaan dan kasih sayang yang memberi kesan terhadap keperibadian mereka sama ada ketika mereka kecil atau telah meningkat dewasa.” (hal.206).

Sekali lagi saya teringat kepada suatu pesanan yang baik, sebuah catatan yang pernah ditujukan kepada ibu bapa dalam mendidik anak-anak. Jika kita didik dengan keluhan, kita akan menghasilkan generasi penuh resah. Jika mendidik mereka dengan perbalahan dan pertengkaran, mereka akan membesar dan menjadi manusia yang kasar (kalaupun bukan biadab). Jika kita mendidik mereka dengan kasih sayang, mereka akan membesar dengan jiwa yang luhur dan penuh empati. Sudah lama Islam mengajar ibu bapa untuk mendidik anak-anak dengan lemah lembut dan kasih sayang, lebih kedepan daripada penemuan ahli psikologi perkembangan atau kanak-kanak.

Itulah sebabnya Islam dikatakan ‘agama paling lengkap’ kerana ia bukan sekadar agama sebagaimana difahami oleh manusia moden. Islam adalah satu cara hidup, yang serba lengkap dan dilitupi keseluruhannya dengan asas akhlak, kerana manusia bukan sahaja hidup di dunia. Manusia, dalam keyakinan Islam akan dihitungkan apa sahaja sepanjang hidupnya di dunia, termasuk ketika menjaga ‘amanah’ dan melaksanakan fungsinya secara peribadi dan dengan orang lain. Sebab itulah Islam mengingatkan ‘kita akan dipertanggungjawabkan di sisi Allah SWT ketika kita diadili di alam barzah nanti’ dan kerana itu hubungan dengan Tuhan menjadi saksi dan hubungan dengan manusia menjadi bukti. Bukti manusia yang dapat kita teladani kehidupannya, kita temui dalam setiap tindakan dan kata-kata Nabi Muhammad SAW, dan kerana itulah Nabi Muhammad SAW adalah model manusia paling sempurna yang pernah dilahirkan dalam sejarah.

Terima kasih Dr Kamilin, meskipun buku ini ringkas, wawasan besarnya cukup menarik, dan ia telah membuka ‘pintu’ saya untuk meneruskan bacaan Sirah Nabiwiyah tulisan ilmuan lainnya, kerana semakin banyak saya “cuba berkenalan” saya menjadi semakin ‘rindu kehadiran’ dan ingin bertemu dengan baginda, walaupun sekadar ‘dalam mimpi’. Maka itulah saya kutip bait-bait syair yang ditulis oleh Jalaludin Rumi berkenaan insan teladan yang kita rindui itu sebagai ‘pembuka rencana’, Nabi Muhammad SAW.

Semoga, saya mampu menyumbang kepada kehadiran Maulidir Rasul dengan mengupas ringkas buku yang cukup laris ini. Selawat dan salam untuk Rasullullah SAW. Maka tidak ada salahnya jika kita mengingatinya, kerana Rasullullah SAW adalah manusia teladan dan pembawa obor ‘rahmat seluruh alam’, kita begitu rindu (bukan memuja) untuk bertemu dan merakamkan terima kasih kerana menunjukkan kita jalan ‘menjadi manusia’ yang sedar diri hanya Allah SWT adalah penjaga dan pelindung, memberikan kita rezeki dan peluang untuk menikmati hidup yang indah ini.

 

 

Nama Buku : Muhammad SAW: Insan Paling Sempurna Pernah Dilahirkan

Nama Pengarang : Dr Kamilin Jamilin

Nama Penerbit : Karya PiS Sdn Bhd, 2020.

 

Kamarun KH

Translate »