Sejak pentadbiran politik berubah, Muhyiddin yang dikatakan membentuk ‘kerajaan pintu belakang’ atau ‘kerajaan tebuk atap’ mendapat tentangan hebat daripada suku-sakat gabungan yang ‘melucutkan kuasa’. Setiap hari ada kritikan yang dilakukan dan percubaan untuk menjatuhkan beliau termasuk penafian mempunyai ‘kepercayaan majoriti’ daripada wakil rakyat.
Selain menggunakan isu ‘kepercayaan majoriti’, Muhyiddin diserang kerana lambat membentuk kabinetnya. Muhyiddin menyenaraikan anggota kabinetnya pada 9 Mac 2020. Biarpun masa yang diambil oleh Muhyiddin. Dr Mahathir yang mengangkat sumpah sebagai PM ke-7, mula bermesyuarat untuk pembentukan kabinetnya pada 12 Mei 2018 dan mengumumkan, barisan kabinet awalnya akan mengandungi 10 kementerian.
Bagaimanapun, Mahathir diserang dalam kalangan pemimpin PH sendiri apabila beliau mencadangkan dirinya akan turut memegang jawatan Menteri Kewangan sedangkan persetujuan dalam PH, PM tidak dibenarkan memegang dua portfolio bagi mengelakkan salah guna kuasa. Akhirnya, Dr Mahathir akur dengan keputusan itu dan menyerahkan jawatan Menteri Kewangan kepada Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng.
Kabinet penuh Dr Mahathir dibentuk pada 20 Mei 2018. Upacara mengangkat sumpah jawatan ialah pada 21 Mei 2018 dan 2 Julai 2018. Kabinet ini mengandungi tambahan 18 jawatan menjadikanya kesemua 28 kementerian. Menteri yang beragama Islam seramai 17 dan bukan Islam 11 orang. Barisan kabinet Dr Mahathir turut dikritik kerana menyerahkan jawatan Menteri Kewangan kepada bukan Melayu, walaupun dalam sejarah politik negara ia sudahpun berlaku di awal pentadbiran kerajaan (Perikatan).
Kabinet Dr Mahathir terus diserang apabila seorang menteri yang dilantik ‘melalui pintu belakang’ –pernah menimbulkan masalah hubungan kaum—memegang portfolio Perpaduan Nasional dan Kesejahteran Nasional. Waythaya Moorthy, yang turut mengasaskan HINDRAF dilihat tidak sepatutnya dilantik kerana pegangan politik perkaumannya dan pernah menuntut kerajaan Bitish ‘membayar pampasan’ kepada buruh-buruh India yang dipaksa dibawa masuk dan bekerja di ladang-ladang dalam keadaan tidak selesa di ladang-ladang.
Waythaya menjadi lebih kontroversi apabila beliau berusaha meneruskan keputusan bersetuuju dengan i-CERD dan mendahului keputusan kabinet berhubung hal tersebut. Akahirnya, Waytahaya didesak agar dipecat atau meletakkan jawatan. Ini menyebabkan Dr Mahathir terpaksa mengeluarkan kenyataan media bahawa keputusan untuk bersetuju dalam perkara tersebut ditangguhkan (bukan dibatalkan). Waythaya menjadi menteri kabinet Malaysia Baru yang pertama didesak meletakkan jawatan, namun, Dr Mahathir dalam kenyataan kemudiannya menjelaskan ‘tidak ada keperluan’ untuk merombak kabinet.
Akhirnya seluruh kabinet Malaysia Baru mendapat kritikan –Mazlee Malik hilang pedoman kerana memerihalkan warna kasut dan stoking, kurikulum berenang, sarapan pagi (dijenamakan daripada Rancangan Makanan Tambahan), cuba memasukkan IMDB dalam kurikulum sejarah, kontroversi tulisan jawi, menerima pelantikan sebagai Presiden UIAM, kontrak internet dan jalur lebar di sekolah (bukan kepada YTL Communications), meletakkan anggota IKRAM dalam penngurusan universiti awam, cerita kontot (certot), tekanan terhadap pengiktirafan UEC dan paling diingati ialah ‘bayaran balik tol Simpang Renggam-Johor Bahru—akhirnya dinasihatkan meletakkan jawatan. Mazlee berbuat demikian dengan ‘semangat Hang Tuah’ dan ‘mengembalikan jawatan Menteri Pendidikan’ kepada Perdana Menteri.
Kabinet Malaysia Baru terus dilihat gagal –enam bulan pertama dilihat mencukupi oleh Tun Daim Zainudin untuk belajar dan memahami—yang kemudiannya dinilai hanya mampu skor 55 peratus dalam tempoh setahun. Ia menjadi semakin ‘menggila’ bila tinjauan pendapat awam oleh Malaysiakini, dan dilaporkan pada 31 Disember 2019, hanya 10 peratus daripada 28 orang menteri capai prestasi melebihi 50 peratus. Dr Mahathir sendiri hanya mampu memperoleh skor 26 peratus lebih rendah daripada Muhyiddin (36 peratus). Tidak ada menteri daripada Bersatu yang berada di tangga 10 peratus tertinggi. Ia membayangkan bahawa keefissienan lebih terserlah dalam kalangan menteri-menteri DAP, PAN dan PKR.
Selepas itu, awal Januari 2020, dua hari sebelum sesi persekolahan 2020 bermula Mazlee meletakkan jawatan. Perdebatan tentang ‘proses peralihan kuasa’ sampai ke kemuncaknya apabila Otai Reformasi menegaskan, tarikh terakhir ialah 10 Mei 2020, iaitu genap dua tahun Dr Mahathir sebagai PM ke-7. Dalam PKR, telah muncul dua kelompok –mahukan Anwar dipercepatkan dan kekalkan Dr Mahathir sehingga akhir penggal-manakala dalam Bersatu, umpama arus bawah, kumpulan ‘katak yang melompat dari UMNO’ tidak sabar lagi menunggu peluang setelah keahlian mereka diterima. Gabungan dua kumpulan ini, akhirnya membentuk peancangan baharu dengan menyeret sama Dr Mahathir.
Setelah Dr Mahathir ‘tidak bersetuju’ kembali bekerjasama dengan UMNO dan PAS untuk membentuk kabinet baharu, beliau membuat keputusan meletakkan jawatan pada 24 Februari dengan mengetepikan Majlis Presiden PH. Ribut memanjang selama seminggu akhirnya diselesaikan oleh YDPA apabila melantik Muhyiddin sebagai PM ke-8. Jika pembentukan kabinet Dr Mahathir dipertikaikan atas alasan hampir seimbang antara Melayu dan bukan Melayu, kabinet Muhyiddin dipuji ramai sebagai percubaan mengembalikan ‘ketuanan Melayu-Islam’.
Meskipun jumlah kabinet Muhyiddin lebih besar daripada kabinet Dr Mahathir, Muhyiddin seterusnya telah menyebabkan UMNO begitu tertekan. Ketika itu, UMNO secara ‘enblock’ menyokong pembentukan kerajaan campuran mempunyai 39 wakil rakyat, sepatutnya dipertimbangkan jawatan menteri paling kanan. Ini tidak dilakukan oleh Muhyiddin, sebaliknya memperkenalkan empat kluster menteri kanan, dan menghapuskan jawatan Timbalan Perdana Menteri. Menteri paling kanan ialah Azmin Ali, diikuti Dr Radhi (kluster pendidikan). Seperti kata Muhyiddin, sekiranya beliau ‘tidak ada’, Azmin boleh mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri dan jika Azmin tidak ada, Dr Radhi boleh melakukannya. Biarpun Datuk Ismail Sabri adalah dalam kluster pertahanan (menteri kanan), secara pentadbiran tidak layak mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri setelah ketiadaan PM, Azmin dan Dr Radhi.
Dari segi agihan kerusi juga UMNO ‘berkecil hati’ kerana menteri-menteri ‘lompat katak’ diberikan jawatan lebih baik berbanding pemimpin UMNO sendiri. Lebih menarik lagi, kumpulan penyokong Azmin mendapat pembahagian kerusi kabinet yang lebih baik. Akhirnya, UMNO dilihat semakin kuat ‘menghimpit Muhyiddin’ untuk merombak susunan kabinet dan seterusnya, menekan Muhyiddin untuk tidak bersetuju mendaftarkan Perikatan Nasional.
UMNO mempertahankan Pemuafakatan Nasional, yang membentuk kerjasama dengan PAS bagi menghadapi PRU ke-15 agar antara mereka tidak akan bertembung sesama sendiri. Muafakat Nasional ditubuhkan dua hari sebelum ulang tahun pembentukan Malaysia, iaitu 14 September 2019. PAS pula dilaporkan lebih bersedia bekerjasama dengan Muhyiddin untuk mendaftarkan Perikatan Nasional. Akhirnya, muncul pula spekulasi baharu, sokongan pemimpin UMNO dikatakan berpecah, menyokong Muhyiddin, menyokong Anwar dan ambil jalan tengah.
Zahid dan Najib dilaporkan mula menyokong Anwar bagi menjatuhkan Muhyiddin. Surat sokongan itu kemudian tular di media sosial, walaupun sebelumnya beberapa orang wakil rakyat UMNO menafikan menyokong Anwar bagi melengkapkan dokumen ‘peralihan kuasa’ atau ‘menafikan kedudukan Muhyiddin’. Ia tercetus setelah Anwar pertama kali mengumumkan “kerajaan Muhyiddin jatuh’ pada 23 September 2020 dan dirinya menunggu tarikh untuk mempersembahkannya kepada YDPA. Ketika itu, YDPA menerima rawatan di IJN. Akhirnya, Anwar berjaya mengadap YDPA pada 13 Oktober 2020, namun kenyataan media Istana, tidak mengesahkan kedudukan Anwar sebagai PM baharu. Sebaliknya, kenyataan media tersebut menjelaskan ‘Anwar tidak mengemukakan senarai wakil rakyat’ yang membolehkan kedudukannya mempunyai ‘majoriti’ dan ‘kerajaan Muhyiddin tumbang’.
Dalam masa yang sama, tersebar berita bahawa Anwar mempunyai sokongan lebih 120 wakil rakyat—ada berita menyatakan ikut sama bersetujua ialah DAP; ada juga berita, ia tidak disertai oleh DAP dan Anwar akan membentuk kerajaan tanpa DAP—namun, sehingga kini, belum ada senarai rasmi dikeluarkan oleh Anwar untuk mempertahankan dakwaannya.
Pada 23 Oktober 2020, Muhyidin mengadakan mesyuarat khas Jemaah Menteri. Mesyuarat itu kemudian dilaporkan bahawa kabinet bersetuju agar darurat diisytiharkan bagi membendung peningkatan COVID 19. Pada tarikh 23 Oktober 2020, jumlah kes baharu ialah 710, dan pada keesokannya (24 Oktober 2020) jumlah kes baharu telah meningkat 1,228 kes. Ia merupakan jumlah kes harian tertinggi yang pernah dicatatkan di Malaysia sejak ia mula dikesan pada bulan Februari lalu. Bagaimanapun, jumlah kes pada 25 Oktober 2020 telah menurun kepada 823 kes, tetapi masih dianggap ‘cemas’ dan ‘menakutkan’. PKPB dilanjutkan di Sabah manakala di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor, ada potensi akan dilanjutkan selepas ia dijangka berakhir pada 27 Oktober 2020. Selasa ini.
Reaksi awam, ahli akademik dan juga pemimpin politik secara keseluruhannya menolak keputusan Muhyiddin untuk diisytiharkan ‘darurat’. Keputusan Muhyiddin itu dilihat sebagai ‘tindakan politik’ kerana beliau bimbang, Bajet 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat tidak akan mendapat persetujuan pembuat dasar. Ia bersandarkan kepada kecondongan ‘pembangkang’ dan juga ‘beberapa orang wakil rakyat’ daripada gabungan Perikatan Nasional. Jika Bajet 2021 gagal dimuktamadkan, ia akan menjadikan kerajaan pada tahun hadapan tidak dapat diuruskan dengan baik dan program ‘mematikan rantaian COVID 19’ terbantut. Dari segi maruah, Muhyiddin bakal mencipta sejarah sebagai perdana menteri pertama ‘tewas di Dewan Rakyat’.
Sebelumnya, Muhyiddin dilihat ‘berjaya’ mengetepikan usul tidak percaya yang dilaporkan akan berlaku di Dewan Rakyat. Usul tidak percaya pertama, ialah mengundi untuk mengesahkan majoriti di Dewan Rakyat, yang dicadangkan melalui Sidang Khas. Kali kedua ialah usul yang dibawa oleh Dr Mahathir untuk dibahaskan di Dewan Rakyat selepas Sidang Dewan menyelesaikan Majlis Pembukaannya pada 18 Mei 2020. Meskipun usul itu telah diterima, tetapi Sidang Dewan hanya berlangsung setengah hari, menyebabkan Dr Mahathir mengadakan Sidang Medianya di sebelah petang. Malangnya, Sidang Media tersebut tidak disertai oleh Anwar, dengan alasan tertentu dan ‘diterima’, namun rakyat tetap memberikan interpretasi PH semakin bermasalah. Anwar mungkin tidak bersetuju dengan Dr Mahathir, kerana sebelumnya, Dr Mahathir mempromosikan Shafie Afdal sebagai calon PM bagi PH Plus, yang kemudiannya ditolak oleh Anwar dan penyokong-penyokongnya.
Usul ‘undi tidak percaya’ ketiga ialah daripada Tengku Razaleigh Hamzah. Beliau mengutus surat kepada Speaker pada 25 September 2020 menyatakan keperluan tersebut dan dijawab oleh Speaker pada 29 September 2020. Surat itu menjadi tular selepas Tengku Razaleigh dipanggil mengadap YDPA pada 13 Oktobe 2020, iaitu di sebelah petang selepas Anwar mengadap. Namun, dalam kenyataan Tengku Razaleigh, beliau mengadap kerana ‘dipanggil’ dan berbincang mengenai situasi politik sekarang atas kapasiti kedudukannya sebagai wakil rakyat yang paling lama.
Spekulasi bertiup, kononnya, YDPA bakal melantik PM interim, bagi membolehkan kerajaan berfungsi akibat kedudukan Muhyiddin yang disifatkan ‘di hujung tanduk’ atau ‘tumbang’. MUhyiddin dilaporkan telah membentangkan keputusan Jemaah Menteri kepada YDPA pada 24 Oktober 2020 di Istana Sultan Abdul Aziz, Kuantan. Namun YDAP memberikan jaminan akan berbincang dengan Majlis Raja-raja cadangan kabinet tesebut. Semalam, 25 Oktober 202o, Majlis Raja-Raja bersidang dan satua kenyataan dikeluarkan bahawa ‘tidak ada daurat’ dan ‘kerajaan sekarang masih diterima oleh rakyat’. Pengisytiharan itu menjadikan ramai merasa lega, dan mengharapkan ‘semua ahli politik’ tidak lagi bermain politik dan merebut kuasa, sebaliknya, bekerjasama membendung COVID 19.
Biarpun titah sudah dikeluarkan, politik akan tetap ada peraturan baharu dalam permainannya. Permainan politik tidak akan berhenti, sebagaimana budaya lazim masyarakat Malaysia, 24 jam berpolitik dari parlimen kedai kopi sebelumnya, kepada parlimen café hinggalah ‘parlimen lebuh raya media sosial.’ Ada-ada saja perkara yang dibangkitkan, bahkan cerita membingungkan orang awam. Muhyiddin akan terus dalam dilemma, kerana dilemma terbesarnya ialah bagaimana ‘mententeramkan UMNO’ agar tidak bertembung sesama sendiri dalam PRU ke-15.
Apakah UMNO bersedia mengorbankan kerusi tadisinya kepada ‘katak-katak’ yang melompat kepada Bersatu? Apakah PKR bersedia melepaskan ‘pengkhianat-pengkhinat’nya mempertahankan kerusi yang dimenangi oleh parti itu? Apakah PAS bersedia ‘membunuh PAN’ dalam pertarungan ‘hidup-mati’nya kali ini? Semakin lama spekulasi bila PRU ke-15 akan diadakan, semakin banyak isu dan perkara yang bakal muncul, dan kesemuanya akan dipolitikkan walaupun ia adalah pertimbangan ‘darurat kesihatan’ bukan ‘darurat politik’.
(Bahagian Akhir akan menyusul)
MONOSIN SOBRI
Recent Comments