Kamus Dewan mendefinisikan ‘gila’ sebagai : (1) tidak sihat atau tidak waras fikirannya (otaknya, ingatannya); (2) otak (fikiran, penyakit tidak sihat ingatan); (3) (bahasa percakapan) tidak seperti yang seharusnya (semestinya, selalunya), tidak normal, luar biasa; dan (4) (kiasan) terlalu gemar (asyik, sayang, cinta dan lain-lain) akan sesuatu. (2007:473).
Perkataan ‘kuasa’ ditakrifkan sebagai : (1) daya atau kemampuan (untuk melakukan atau mengerjakan sesuatu), keupayaan, kekuatan, tenaga; (2) berupaya, mampu, berdaya (melakukan sesuatu); (3) sanggup serta berminat (membuat atau melakukan sesuatu); (4) hak, atau kewibawaan atas sesuatu atau untuk melakukan (mengurus, memerintah, dan lain-lain) sesuatu (ditentukan oleh undang-undang, peraturan, dan lain-lain); (5) orang yang diberi hak untuk melakukan atau menentukan sesuatu; (6) pengaruh atau kewibawaan yang ada pada seseorang dan lain-lain kerana kedudukannya (darjat dan sebagainya); (7) negara yang mempunyai pengaruh atas negara-negara lain; dan (8) (matematik) nombor yang menunjukkan sesuatu nombor itu didarabkan banyak kali dengan nombor yang sama, (misalnya enam kuasa tiga), iaitu enam didarabkan tiga kali (6 x 6 x 6) dengan hasilnya 216. (2007: 843-835).
Dari segi kesihatan, gila adalah satu bentuk penyakit yang berkaitan dengan ‘gangguan mental’. Ia dirujuk sebagai ‘satu gejala’ atau ‘tanda kurang siuman’ kerana tidak mampu membuat pertimbangan seperti biasa (orang yang waras berfikir). Kegilaan juga merujuk kepada tindakan yang terlalu obses, iaitu terlalu meminati sesuatu objek atau perbuatan. Sebab itu ada orang memanggil “gila motor’ bila terlalu minat motosikal sehingga sebahagian besar ‘kehidupan’nya ditumpukan kepada motosikal. Dipanggil ‘gila gajet’ kerana seluruh kehidupan harian menjadi rimas, resah dan ketidaktentuan tanpa berinteraksi denga gajet atau kesambungan internet (jalur lebar, wi-fi mahupun jaringan optik) tiada atau tergendala.
Begitu juga seseorang yang terlalu memfokuskan perjalanan hidup hariannya dengan politik. Ia dipanggil gila politik, tetapi sekiranya ia mempunyai kedudukan dalam politik dan bekerja dalam pertubuhan politik, tidak dianggap sebagai ‘gila politik’. Ia dipanggil mendapat habuan daripada ‘penyertaan politik’ atau ‘menyokong sesebuah parti politik’. Ia akan dianggap ‘gila berpolitik’ apabila hidup matinya bergantung kepada politik dan membicarakan persoalan politik sepanjang masa. Kadangkala ketika tidur pun boleh mengigau politik dan bermimpi politik. Bangun tidur pun akan bercakap perihal politik dan tidak boleh hidup tanpa berengang dengan politik.
Terma ‘gila kuasa’ boleh sahaja kita fahami. Jika seseorang itu ‘kuat melobi’, dalam keadaan sekalipun ia tetap dilihat ‘gila kuasa’ kerana memang seseorang itu mahukan kuasa. Seorang ahli politik yang saban hari menyusun program agar dirinya dilihat layak dan berkemampuan, juga dilihat mempunyai kaitan dengan ‘gila kuasa’, sehingga sanggup mengeluarkan perbelanjaan besar untuk menaja jamuan, lawatan sambil belajar, dilihat dermawan dengan pelbagai derma dan publisiti media, sentiasa membuat komen dan ulasan terhadap apa sahaja walaupun ‘kekurangan maklumat’ (kata Plato, Sibijak bercakap apabila mereka ada sesuatu untuk diperkatakan, didungu pula bercakap apabila mereka perlu memperkatakan sesuatu) dan lebih menakjubkan ialah boleh bersama kerumunan atau hadir dalam majlis keramaian walaupun tidak berkaitan. Ia sekadar menunjukkan sikap prihatin dan ambil tahu (kata Julius Ceazer, jika anda mesti melanggar undang-undang, lakukannya untuk merebut kuasa:dalam hal lain, patuhilah ia), walaupun sebelumnya, tidak peduli. Semuanya kerana kuasa, dan kuasa itu boleh digunakan untuk apa sahaja tujuan dan kepentingan (Michael Korda, Power: How to Get It, How to Use It, 1975).
Kenapa politik dikaitkan dengan kuasa? Istilah politik merujuk kepada cara pemerintahan yang sasarannya adalah rakyat, cara sesebuah komuniti atau negara menjalinkan perhubungan atau berkongsi atau menyelesaikan masalah ‘kepentingan bersama’ dan bagaimana proses pemilihan kepimpinan sesebuah komuniti, masyarakat atau negara. Maknanya, politik dalam pemahaman umum ialah soal kepimpinan negara dan pengurusan hal ehwal rakyat di sesebuah negeri, negara atau pertubuhan komuniti seminat.
Dalam membentuk sistem pemerintahan sesebuah negara, ada pelbagai cara atau kaedah yang dilakukan untuk menentukan seseorang pemimpin atau ketua negara. Ia bergantung kepada sistem politik yang dipilih, sama ada berbentuk bebas dan semuanya diatasnamakan ‘rakyat’ dengan istilah demokrasi, sistem pemilihan pemimpin berteraskan keturunan atau warisan dipanggil monarki, atau sistem yang hanya memilih berdasarkan siapa yang memimpin sesebuah parti yang dominan dan memerintah dipanggil komunis dan gabungan antara demokrasi dengan komunis sebagai sosialis. Biar apapun istilah yang digunakan, bentuk sistem yang dipilih, kepimpinan itu sangat berkait rapat kuasa (atau disebut autoriti atau wewenang).
Fadzilah Kamsah dan Md Yadi Said, Anda Berkuasa Apabila….? (PTS, 2005) melihat kuasa dalam dua perspektif, (1) kuasa dilegitimasikan dalam bentuk struktur organisasi dan (2) sebagai tindakan-tindakan yang terkeluar daripada struktur legitimasi. Perspektif kedua dikatakan “penggunaan kuasa bagi ‘mengalahkan konflik’ dan bagi menyelesaikan ‘konflik’ pengurus (pemimpin atau ketua) akan menggunakan ‘kuasa ‘. Kita lupakan kaedah atau teori bagaimana kuasa itu diperoleh sehingga berjaya menukarkan seseorang yang ‘tidak apa-apa’ menjadi seseorang ‘yang dapat segalanya’ atau ‘seseorang yang ada segala’ berubah menjadi ‘seseorang yang tidak ada apa-apa lagi”. Ini kerana kuasa begitu besar kesannya, sama ada positif atau negatif, bahkan kerana kuasa, seseorang yang hebat bertukar menjadi ‘anjing kurap’.
Kita mungkin terkenangkan kisah kehebatan Muammar Gadafi (1942-2011) yang berjaya menukarkan padang pasir menjadi kawasan hijau dan rakyatnya tidak lagi bergantung kepada import makanan. Kita mungkin teringat bagaimana Irak membentuk kekuatannya menerusi perancangan Saddam Hussein (1937-2006) sehingga dikatakan mempunyai kekuatan tentera dasar terbesar di Timur Tengah akhirnya, nama Saddam menjadi manusia yang dibenci oleh rakyatnya sendiri. Begitu juga kehebatan kepimpinan politik Suharto (1921-2008) yang berjaya memerintah selama tiga dekad, akhirnya tercemar dengan tindakan untuk mengekalkan kuasa dan nepotisme.
Pada awalnya, Suharto bukanlah seorang yang berpengaruh dan dikenali umum, namanya menjadi tersohor apabila beliau berjaya menumpaskan Sukarno meletakkan jawatan pada 22 Februari 1967 dan pada 12 Mac 1967, beliau dipilih untuk memangku jawatan Presiden Indonesia. (Kisah kehidupan Suharto dan pembabitannya sebagai pemimpin politik berjaya ditelusuri dengan baik dan menarik oleh R.E Elson dalam bukunya, Riwayat Politik Suharto, (edisi terjemahan bahasa Melayu), Selangor: IBDE, 2017; manakala liku-liku politik untuk mengekalkan kuasa dikupas dengan menarik oleh Robert W Hefner, Islam Dalam Politik dan Pendemokrasian di Indonesia, (terjemahan edisi bahasa Melayu), Selangor: IBDE, 2017).
Bagaimana kuasa dalam persekitaran politik Malaysia sekarang dilihat? Sebelum kehadiran kolonial, kuasa tertumpu dalam kalangan raja-raja yang memerintah sehingga memunculkan ungkapan “kerja raja” di mana rakyat tidak mampu membantah. Lahir budaya ‘kerja raja dijunjung, kerja sendiri dikelek’ dan daripada tradisi tersebut ada obses yang ‘melampaui batas’ sehingga rakyat wajib berkorban, termasuk kisah-kisah keinginan beristerikan wanita cantik. Setelah kedatangan penjajah, kesannya tidak begitu terasa semasa Portugis dan Belanda, berbanding British. British bukan sahaja hadir sebagai ‘menguasai sumber alam’ bahkan berusaha secara tidak langsung mengetepikan peraturan yang bertentangan dengan keinginan mengekalkan kedudukan di Tanah Melayu.
British menggunakan kuasa untuk ‘menipu Raja-raja Melayu’ dengan meletakkan Residen dan Penasihat British di Tanah Melayu, kecuali tidak mengganggu perihal agama dan adat resam orang Melayu. Raja-raja Melayu dicengkam dengan peraturan dan nasihat, dan jika nasihat itu tidak diperkenan oleh Raja-Raja Melayu, British akan melakukan tindakan dengan menyokong pihak yang berusaha untuk merampas kuasa, terutama dalam kalangan keluarga Raja-Raja Melayu sendiri. Tanpa mengambil kira kebolehan calon yang disokongnya, British memberikan bantuan dan kerjasama, bahkan bersedia merencana kaedah merampas kuasa atau menggantikannya.
Selepas sistem politik Melayu dirosakkan oleh British dengan menekan pemimpin-pemimpin Melayu agar menerima ‘kaum imigran yang dibawa masuk untuk eksploitasi sumber alam dan ekonomi’, lanskap politik mula bertukar daripada hanya berorientasikan Melayu-Islam kepada politik muafakat antara kaum. Politik muafakat antara kaum ini akhirnya tergugat apabila formula perkongsian kuasa yang diamalkan oleh gabungan UMNO-MIC-MCA dipertikaikan atas beberapa persoalan dan kepentingan. Ia menjadi semakin menimbulkan perselisihan apabila MCA berpecah atas dakwaan ‘terlalu tunduk kepada kehendak UMNO’. Serpihan MCA membentuk Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dengan Lim Chong Eu sebagai pengasasnya. Gerakan berusaha memperoleh sokongan lebih besar dengan menjadikan ia sebagai parti politik pelbagai kaum.
DAP muncul selepas Singapura tidak lagi menjadi sebahagian daripada Malaysia. Singapura, yang berhadapan masalah politik pada tahun 1964, terus merasakan ia perlu kembali kepada perjuangan yang lebih keras, menyingkap kepimpinan Tunku Abdul Rahman sebagai ‘berat sebelah’ untuk ‘mengawal kerosakan akibat kekalahan PAP di beberapa pilihan raya kecil di Singapura, akhinya menjadi ‘duri dalam daging’. Tunku membuat keputusan tepat, menyingkirkan Singapura yang dianggap sebagai ‘biadap’ dan bagi melanjutkan perjuangan ‘menyamaratakan peluang dan persaingan antara kaum’ (Malaysian Malaysia), DAP ditubuhkan sebagai penyambung PAP. Sejarah tersebut seterusnya melakarkan banyak kisah-kisah politik yang bukan sahaja menyakitkan hati orang Melayu, bahkan merintis kepada konflik perkauman dan kegelisahan agama.
DAP menjadi semakin dominan selepas tertubuhnya gabungan parti-parti pembangkang untuk pertama kalinya pada tahun 2007. PAS menganggotai pakatan pembangkang dan ia telah melonjakkan prestasi pencapaian parti-parti pembangkang sehingga berjaya menafikan majoriti dua pertiga yang diperoleh oleh gabungan parti pemerintah (BN). PRU ke-12 (2008) menjanjikan “harapan baharu’ kepada parti-parti pembangkang sehingga ada yang meramalkan BN akan ‘jatuh’ dalam PRU ke-13 (2013). PRU ke-13, BN masih berkuasa walaupun pemilikan kuasanya semakin mengecil dan hanya tinggal 133 kerusi di Dewan Rakyat. Namun, perjuangan merebut kuasa menjadi semakin berlarutan sehingga di luar musim PRU dan pada tahun 2008 sehingga tempoh penggal Dewan Rakyat ke-12 belum sampai setengah, diusahakan beberapa PRK untuk memperlihatkan suasana politik di Malaysia ‘tidak stabil’.
Keadaan menjadi sedikit reda apabila Anwar Ibrahim gagal dalam misi besarnya untuk menukarkan kerajaan (selepas PRK Permatang Pauh 26 Ogos 2008) atau Road to Putrajaya gagal. Tindakan dalam pelbagai bentuk, ‘membeli wakil rakyat BN’ dan melancarkan persepsi buruk terhadap kerajaan yang dipilih oleh rakyat akhirnya menemui kegagalan dan Anwar tetap beranggapan, agendanya belum selesai. Rakyat terus melihat tarikh 16 September 2008 sebagai ‘titik kegagalan kedua Anwar’ selepas gagal ‘merampas kuasa’ daripada Dr Mahathir pada tahun 1998.
Senario itu menunjukkan bahawa yang paling ‘gila kuasa’ ialah mereka yang berada dalam kelompok pembangkang. Selepas PRU ke-14, apabila BN tewas, berlaku lompat melompat, UMNO pula dilihat sebagai mengetuai gerakan ‘merampas kuasa’. UMNO dilihat menggunakan peluang daripada kedudukannya sebagai ‘jentera politik yang terbesar dan tersusun’, namun ia digagalkan oleh tekanan-tekanan yang dilaksanakan oleh PH. Kepimpinan Najib mula tercabar dan akhisrnya terpaksa meletakkan jawatan sebagai presiden UMNO. Zahid Hamidi kemudiannya berjaya dalam pemilihan kemudian, namun, Zahid juga menerima tekanan daripada PH apabila dikaitkan dengan salah guna kuasa dalam Yayasan Akal Budi. UMNO menjadi sedikit bersemangat apabila Zahid bercuti dan tugas-tugas tersebut dipangku oleh Mohamad Hassan, seorang yang tidak dianggap ada liability besar dan pemimpin yang boleh memulihkan imej UMNO.
Bagaimanapun, selepas Zahid kembali daripada ‘bercuti’, Mohamad Hassan mengambil langkah “berhati-hati” kerana beliau faham dalam UMNO, Zahid masih berpengaruh besar. Mohamad juga berhati-hati dengan kemunculan semula Najib menerusi “ApaMaluBossku”, tetapi dalam beberapa pandangannya, Mohamad dilihat lebih tegas dan berwibawa daripada kenyataan-kenyataan pemimpin UMNO yang lain. Mohamad tetap dengan sikapnya, tidak mahu meributkan lagi ‘politik UMNO’, hanya membuat kenyataan berkias dan hati-hati. Namun, dalam pandangan umum, kepimpinan Mohamad dianggap mampu memulihkan semangat UMNO yang ‘hilang’ dan ‘terperosok dengan sindrom penafian’.
Ketika Muhyiddin diserang membentuk kerajaan ‘pintu belakang’, Mohamad mempertahankannya dengan melihat bahawa kuasa Muhyiddin adalah diperoleh secara sah menerusi peruntukan undang-undang. Muhyiddin bukan ‘merampas kuasa’ kerana Muhyiddin dilantik berdasarkan ‘sokongan majoriti’ yang diputuskan oleh YDPA menerusi perundingan langsung dengan semua wakil rakyat. Ertinya, dakwaan pemimpin-pemimpin yang ‘hilang kuasa’ akibat perpecahan dalam PH dan peletakan jawatan Dr Mahathir, itulah sebenarnya boleh dikatakan ‘gila kuasa’. Seperti dianalogikan oleh seorang bekas menteri semasa pemerintahan BN, ‘macam Raja Bersiong’. DAP merasakan ‘enak gulai bayam bersama titisan darah tukang masak” akan tetap mahukan masakan yang sama. Titisan darah itu ibarat ‘kuasa’ dalam analogi Ahmad Sabery Chek. Ramai juga yang melihat, bukan sahaja terhad kepada DAP, bahkan turut diinginkan oleh pemimpin PAN ‘titisan darah dalam gulai bayam”.
Selepas isu ‘peralihan kuasa’ suam-suam kuku, ia timbul kembali apabila Warisan Plus tewas dalam PRN yang diadakan pada 26 September 2020. Shafie yang turut diajukan sebagai ‘calon PM’, akhirnya terpaksa menerima kekalahan dan bersuara ‘berdosa’ kepada rakyat Sabah kerana mengajukan cadangan pembubaran DUN. Shafie umpama ‘yang dikendung berciciran dan yang dikelek bergelimpangan’ apabila tindakan itu menyebabkan Sabah dilanda COVID 19 begitu mendadak dan mencanak setiap hari. Suara-suara akar umbi terus kedengaran, sekiranya Shafie tidak menyediakan bakul untuk wakil rakyat BN ‘melompat’, Musa Aman tidak akan melakukan tindakan yang sama setelah berjaya ‘menyediakan bakul’ bagi mereka yang pernah menyokong Shafie untuk melompat. Shafie dikatakan sedang dibalas oleh karma politiknya sendiri.
Begitu juga dengan Mahathir. Anwar pada suatu ketika pernah dianalogikan seumpama Sisyphus, iaitu satu watak dalam mitos Greek kuno. Ketika memperjuangkan Road to Putrajaya, Prof Rahman Shaari mengumpamakan Anwar sedemikian kerana terpaksa ‘menarik batu untuk ke puncak gunung’ sekali lagi walaupun pada suatu ketika sudah hampir berada dipuncak. (Rahman Shaari, Tingkah Politik, Shah Alam: Karya Bistari, 2009). Kerana Anwar tidak sabar, akhirnya beliau ‘dijatuhkan’ dengan masalah moral.
Bagi Dr Mahathir, orang yang mempunyai ‘masalah moral’ tidak wajar diberikan peluang memimpin, kerana pemimpin bukan sahaja perlu dilihat bersih, juga bersih daripada ‘kekotoran’. Mungkin itu juga menjadi perspektif pertimbangan Dr Mahathir tidak menyerahkan kuasa kepada Anwar sebelum membuat keputusan meletakkan jawatan pada 24 Februari 2020? Rasa curiga masih ‘besar’ dalam jiwa Dr Mahathir, kerana Dr Mahathir masih ada ‘agenda’ yang belum selesai.
Semalam (25 Oktober 2020), YDPA telah mengeluarkan kenyataan bahawa Raja-Raja Melayu telah menolak cadangan dan permohonaan untuk mengisytiharkan ‘darurat’ dan seterusnya, mengharapkan agar semua ahli politik melupakan politicking dan bersatu melawan COVID 19. YPDPA turut melahirkan rasa senang dengan kepimpinan sekarang dan mampu memerintah dengan baik dan berkesan. Titah tersebut (yang ditafsirkan sebagai pendapat) menyebabkan Muhyiddin dikritik, kerana ia bukan dikeluarkan atas kapasiti ‘pandang peribadi’, ia adalah kenyataan rasmi yang dirumuskan daripada keputusan Mesyuarat Raja-Raja Melayu.
Titah yang disampaikan itu menerusi Kenyataan Media Istana Negara menggambarkan kebijksanaan Raja-Raja dalam membuat sesuatu keputusan dan menurut Ramlah Adam, Raja-Raja Melayu telah melaksanakan tanggungjawab dan peranannya dengan baik. Ini bermakna, setiap rakyat Malaysia, termasuk ahli politik ‘wajib’ melakukan ‘gencatan politik’ sementara waktu, bukan sahaja terhad kepada Zahid Hamidi selepas tertular surat yang dikatakan ditulis oleh beliau menyokong Anwar Ibrahim, alias menolak sokongan kepada Muhyiddin Yassin. Dengan keputusan Raja-Raja Melayu itu rakyat mengharapkan ‘kisah gila kuasa dalam kalangan politikus akan reda’ sementara COVID 19 ‘tumpas’ dan kembali dihidupkan bila tiba masanya, PRU ke-15 ditetapkan.
Tulis MH Zuan, apakah “kita akan membiarkan Sang Singa (Singa Tua) terus bermaharaja lela dan kita sebagai binatang yang lain akan terus dibodohkan oleh Sang Musang”. (Hikayat Singa Tua dalam Faisal Mustaffa (penyunting), Kerajaan Dewa Telanjang, Petaling Jaya: Merpati Jingga, 2016:60-70).
MONOSIN SOBRI
Recent Comments