Aga Khan ialah gelaran bagi Imam Syiah Ismailiyah sejak zaman Hassan Ali Syah, keturunan Ali bin Abu Talib dan Fatimah al-Zahra (puteri Nabi Muhammad s.a.w). Hassan Ali Syah mendapat gelaran Aga Khan Mahallati (Aga Khan 1) daripada Fath Ali Syah (Pemerintah Kerajaan Qajariyah, 1797-1834) ketika menjadi hakim di Qum dan Mahallat (Parsi / Iran).
Aga Khan adalah Sir Sultan Muhammad, cucu Hasan Ali Syah. Beliau disebut juga Aga Khan Muhammad Syah al-Hali (Aga Khan 111). Mazhab Syiah Ismailiyah berkembang pesat di bawah kepimpinannya. Aga Khan yang sekarang adalah Karim Hussain (Aga Khan 1V), cucu Aga Khan 111. Ia berperanan dalam mengimbangkan keperluan spiritual dan material umat Islam melalui institusi yang dipimpinnya, Aga Khan Development Network.
AGA KHAN 1 DAN 11
Aga Khan 1 (m. 1881) ialah Gabenor wilayah Kerman (Parsi). Beliau memberontak, namun kalah. Pada tahun 1841, beliau diusir dari wilayah itu, lalu ke India dan menetap di Bombay. Anak sulungnya, Aga Ali Syah (Aga Khan 11; m. 1885), menggantikannya. Di bawah kepimpinannya, mazhab Syiah Ismailiyah memperlihatkan kemajuan.
AGA KHAN 111
Aga Khan 111 (m. 1957) menerima pendidikan Barat daripada ibunya. Di bawah kepimpinannya (selama 72 tahun), mazhab Syiah Ismailiyah mencapai era kegemilangan. Beliau mempunyai kedudukan penting di kalangan umat Islam India. Beliaumemimpin delegasi yang memperjuangkan kepentingan monoriti Islam (1906) dan menjawat jawatan Ketua Liga Muslimin Seluruh India pada tahun-tahun pertama berdirinya lembaga ini.
Beliau memainkan peranan penting pada Persidangan Meja Bulat di London untuk mengubah / menggubal Perlembagaan India (1930-1932). Pada tahun 1937, beliau dipilih sebagai Presiden Liga Bangsa-Bangsa. Pada zamannya, kalangan Syiah Ismailiyah mulai membangunkan institusi baru yang memperluaskan hubungan mereka dengan umat Islam dunia. Beliau juga gigih memperjuangkan kepentingan umat Islam dunia, mendukung pendidikan bagi kaum wanita dan aktif dalam perdamaian global.
AGA KHAN 1V
Pada 1957 Aga Khan 1V menamatkan pengajian (bidang Sejarah Islam) di Universiti Harvard, Amerika Syarikat. Ketika menjadi imam, beliau mengunjungi pengikut mazhab Syiah Ismailiyah di seluruh dunia dan berpesan agar mereka menjadi warganegara yang baik.
Beliau berusaha keras untuk melibatkan kumpulan ini dalam masalah umat Islam dunia. Ajaran Aga Khan 1V menekankan penelahan intelektual dan tanggungjawab sosial dalam memecahkan masalah keimanan dan kemodenan. Beliau menubuhkan pelbagai lembaga kesihatan, pendidikan, kesejahteraan sosial dan ekonomi, antaranya Universiti Aga Khan di Pakistan dan bank pusat di Damsyik. Semua lembaga ini adalah bertujuan memenuhi keperluan kaum Syiah Ismailiyah dan umat Islam lainnya.
AGA KHAN DEVELOPMENT NETWORK
Pada tahun 1967, Aga Khan 1V menubuhkan Aga Khan Foundation (Yayasan Aga Khan), yang kini amat dihormati di seluruh dunia sebagai badan pembangunan nasional. Institusi ini kemudian berkembang menjadi Aga Khan Development Network.
Pada tahun 1977, institusi ini memperkenalkan Aga Khan Award for Architecture, yang bertujuan untuk membangkitkan kesedaran persekitaran yang dibangunkan secara kontemporari menurut sumber kebudayaan Islam yang beragam. Indonesia, Malaysia dan Turki pernah menerima penghargaan ini kerana memiliki karya seni bina yang dimaksudkan. Kawasan Miskin di Kali Code (Yogyakarta), karya Romo Mangunwijaya, mendapat penghargaan Aha Khan pada tahun 1992.
UNIVERSITI AGA KHAN
Pada tahun 1985, Aga Khan 1V menubuhkan Universiti Aga Khan di Pakistan. Universiti ini dibangunkan sebagai pusat pendidikan tinggi dan penelitian mengenai pelbagai keperluan masyarakat di Pakistan dan negara-negara membangun lainnya.
Susunan MASNIA YAAKUB
Recent Comments