Abu al-Hassan Ali Muhammad bin al-Kurash al-Basri al-Qalasadi lahir di Baza, Sepanyol pada abad 9 Hijrah / 15 Masihi. Selain tersohor sebagai tokoh matematik yang inovatif, beliau dikenali juga sebagai ahli perundangan.

Pada mulanya al-Qalasadi hanya memberi perhatian kepada beberapa subjek pelajaran di kampung halamannya seperti mengikuti ilmu-ilmu yang berkaitan dengan faraid yang dibimbing oleh Ali bin Musa.

Selepas itu, beliau memutuskan untuk ke Granada bagi meneruskan pendidikan di sana.

Beliau telah diajar oleh Abu Ishak Ibrahim bin Futuh dan Imam Abdullah al-Sarakusti.

Daripada mereka ini, Al-Qalasadi menimba ilmu dan menerima pendidikan yang lebih khusus terutama bidang falsafah serta ilmu perundangan Islam.

Kemudiannya beliau telah berhijrah ke Mekah untuk menunaikan ibadat haji sambil memperkayakan ilmu dan mengembangkan wawasannya.

Dalam menguasai ilmunya, beliau telah merungkaikan persoalan-persoalan pecahan serta menggunakan simbol-simbol yang kini digunakan secara luas.

Beliau dikenali sebagai ilmuwan kelas pertama yang produktif dalam menghasilkan karya yang begitu tinggi nilai ilmunya dalam berbagai-bagai  bahasa.

Sebahagian daripada karyanya telah banyak dipelajari oleh golongan intelektual sama ada dari dunia Barat mahupun Timur.

Nama beliau menjadi tersohor sebagai pencantum pecahan berciri khas dengan penampilan yang berani dalam karya-karyanya yang berkaitan dengan ukuran-ukuran pada masa itu.

Beliau juga pernah melukiskan pembilang di atas penyebut dan memisahkan kedua-duanya dengan sebuah garis horizontal (garis mendatar) kerana kaedah ini dianggap  baru.

Di dalam karya matematik, al-Qalasadi dapat dicatat mengenai penggunaan pertama sebuah simbol yang digunakan olehnya secara meluas dalam membawakan dan menulis persamaan-persamaan.

Antara karya yang sempat ditulis oleh beliau termasuklah Arithmatik dan Aljabar, Ilmu Faraid, Tatabahasa, dan sebagainya.

Susunan SURIA MAHMUD

Translate »