At-Tifasyi merupakan seorang ilmuwan Arab yang sangat terkenal dalam bidang geologi. Beliau tergolong sebagai salah satu ilmuwan dan pengasas pertama ilmu geologi.

Nama sebenar beliau ialah Syihabuddin Abu Abbas Ahmad bin Yusuf bin Ahmad bin Abu Bakr bin Hamdun. Beliau dikenal dengan nama At-Tifasyi kerana dilahirkan di sebuah desa yang bernama Tifasy, iaitu sebuah desa yang terletak berhampiran kota Qafshah, sebelah barat Tunisia. Beliau juga dikenal dengan nama Al-Qafshi.

At-Tifasyi lahir pada tahun 580 H / 1184 M. Beliau berasal dari kalangan keluarga yang kaya raya dan berpengaruh. Datuknya adalah salah seorang kakitangan kerajaan Al-Muwahhidin yang pernah memerintah negara Maghribi. Manakala bapanya adalah seorang pegawai di pejabat kehakiman.

Syihabuddin At-Tifasyi telah menghabiskan masa kecilnya dan sebahagian daripada masa remajanya di Tunisia. Dia kemudian berkunjung ke Kaherah, dan dari kota tersebut beliau berangkat menuju kota Damsyik, dan kemudian kembali ke Tunisia. Ketika berada di tumpah darahnya, Tunisia, beliau memegang jawatan sebagai hakim di kota Qafshah hingga beliau digulingkan oleh pembesar yang berkuasa di kota itu kerana kebencian yang telah tertanam sebelumnya di hati penguasa tersebut terhadap At-Tifasyi.

Ketika di Mesir, At-Tifasyi telah menjalin hubungan baik dengan Sultan Al-Ayyubi dan Raja Al-Kamil. Perjalanannya berakhir di kota Kaherah hingga akhirnya beliau dipanggil kembali oleh Yang Maha Berkuasa, meninggalkan dunia yang fana ini pada tahun 651 H / 1253 M.

At-Tifasyi telah mencipta dasar ilmu geologi, terutama dalam pengajian dan penelitian yang berhubung dengan batu-batuan (mineralogy). Beliau juga banyak menguasai ilmu geografi, melakukan pemantauan terhadap udara dan menguasai ilmu kedoktoran, serta mengarang buku dalam bidang itu. Dan di antara penemuannya yang paling menonjol dalam ilmu mineralogi adalah seperti berikut:

  • Beliau adalah ilmuwan yang pertama mengarang buku dalam ilmu mineralogi. Metode penulisannya dianggap sebagai dasar penulisan ilmiah yang masih digunapakai pada zaman moden ini.
  • Beliau menjalankan penelitian tentang dasar-dasar ilmu mineralogi dan

mempelajarinya, lalu menulis buku-buku tentang batu-batuan dengan menjelaskan sebab-sebab adanya secara alami.

  • Beliau adalah orang yang pertama kali mengingatkan sebahagian fenomena penting dalam ilmu mineralogi, seperti pembelahan, kekembaran (terjadinya kristalisasi dari dua logam yang sama atau lebih), akan tetapi beliau mempelajarinya dengan istilah khusus yang berbeza dengan istilah-istilah yang berhubungan dengan masa kini.
  • Beliau telah berhasil mempelopori penggunaan percubaan pembakaran untuk menentukann keaslian sesuatu logam. Dalam hal itu beliau berkata, “Apabila anda meletakkan sepotong daripada logam murni (asli) itu di dalam bara api, ia tidak mengeluarkan asap. Kemudian hujung api itu keluar dari baranya yang berkilat seolah-olah lazuardi, dan warna lazuardi akan bertahan seperti aslinya. Dengan percubaan seperti ini dapat diketahui keasliannya:
  • Beliau mengetahui dan menyimpulkan perbezaan cahaya setelah melintasi

logam. Dalam hal itu dia mengatakan tentang intan atau berlian sebagai contoh, “Di antara berbagai-bagai jenis intan, terdapat satu jenis yang memiliki kilauan yang sangat tajam. Apabila terkena cahaya, ia akan memancarkan sinar kepada benda-benda yang ada berhampirannya, seperti pakaian, dinding, wajah orang dan sebagainya, dengan cahaya yang berbeza-beza warnanya, mirip seperti warna pelangi.”

Buku karangannya, kitab Azhar Al-Afkar Fi Jawahir Al-Ahjar merupakan ensiklopedia besar dalam ilmu geologi dan mineralogi. Buku ini dibahagi menjadi beberapa bab dan tiap-tiap bab membahas tentang salah satu jenis logam atau ‘batu mulia’. Penulisan buku ini selesai pada tahun 640 H (1242 M), dan pernah diterjemahkan beberapa kali ke dalam bahasa Latin, erancis, Inggeris, dan Jerman.

Demkian juga dalam bidang ilmu alam (geografi) di mana dalam kitab Saj’ Al-Hudail Fi Akhbar An-Nil, sebuah buku ensiklopedia menerangkan tentang sungai di Mesir dan keadaannya ketika surut dan banjir. Juga tentang keadaan tanah yang dialiri oleh oleh sungai itu serta hasil pertaniannya.

Susunan ZAKIAH ZAID

Translate »