ISLAM meletakkan asas perhubungan kepada dua: hubungan dengan Alllah SWT dan hubungan sesama manusia. Hubungan dengan Allah SWT bersifat horizontal, yakni manusia adalah hamba-Nya. Sebagai hamba, manusia wajib menyerahkan seluruh hidup dan matinya kepada Allah SWT, kerana Dia-lah penentu segala-galanya. Dia-lah yang berkuasa ke atas manusia dan seluruh makhluk yang terdapat di bumi dan juga di alam yang tidak kelihatan oleh kasat mata, tetapi tetap dirasai oleh manusia, misalnya, udara bersih yang amat diperlukan untuk bernafas.

Sebagai tanda ‘terima kasih atas anugerah-anugerah’ itu, walaupun kadangkala dipeoleh secara percuma, sebagai hamba kita perlu menzahirkannya menerusi tindakan. Tindakan kita yang pertama ialah ‘tidak menyekutukan Dia’, sentiasa merendah diri dan memohon keampunan serta berkat daripada-Nya. Kita sedar, jika Alllah SWT murka, kita akan diuji dengan pelbagai kesulitan, termasuk juga ditimpa bencana yang tidak dapat diramalkan berdasarkan ilmu dan pengetahuan yang kita ada.

Penularan COVID-19 yang ketika ini menjadi pandemik dan mengancam kehidupan manusia membuktikan betapa pengetahuan manusia masih belum cukup untuk mematikannya. Sejak ia mula dikesan pada pertengahan Disember 2019 di Wuhan, China. Ia merupakan virus yang boleh menyebabkan sindrom pernafasan akut teruk (seperti SARS CoV 2) dan diisytiharkan sebagai pandemic pada 11 Mac 2020 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Wabak tersebut telah merebak ke seluruh dunia, dan kini telah menjadi masalah global.

Sehingga 15 Oktober 2020 (waktu GMT 4.17), jumlah kes di seluruh dunia ialah 38,746,513 dengan 1,096,881 kematian manakala 29,126,752 pesakit dilaporkan telah pulih. USA menduduki tangga pertama (8.150,043 kes dengan kematian seramai 221,843 orang), diikuti India (7,307,097 kes dengan kematian 111, 311 orang), Brazil (5,141, 498 kes dan kematian 151,779 pesakit), Rusia (1,340,409 kes dan kematian 23,205 pesakit), Sepanyol (937,311 kes dan kematian 33,413 pesakit) manakala Filipina merekodkan kes sebanyak 346,536 (kematian 6,449 orang), Indonesia (344, 749 kes dengan kematian seramai 12,156 pesakit) dan Malaysia sebanyak 17,540 dengan kematian seramai 167 orang. Malaysia berada di tangga ke-90 daripada 216 buah negara yang dijangkiti.

Daripada jumlah kes, Singapura berada di tangga 61 (57,889 kes dengan 28 kematian), Thailand di tangga ke-141 (3,665 kes dan 59 kematian), Vietnam di tangga ke-165 (1,122 kes dan 35 kematian) dan Brunei di tangga 194 (147 kes dan 3 kematian). Berdasarkan rekod tersebut, boleh dikatakan tidak ada negara yang kebal daripada jangkitan COVID 19. Ada yang percaya, virus itu diturunkan oleh Allah SWT untuk menguji dan mengukur sejauhmanakah manusia mampu bekerjasama (bukan saling bermusuh) untuk menanganinya.

Namun apa yang berlaku, ada negara di mana pemimpinnya masih angkuh dengan kepakaran dan kedudukannya walaupun COVID 19 telah melumpuhkan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan memaksanya mengeluarkan biaya yang banyak bagi ‘menyelamatkan nyawa rakyat’. Seolah-olah kemunculan COVID 19 sedikitpun tidak menurunkan ‘tahap kesombongan’ walaupun negara tersebut terus muncul di kedudukan teratas jumlah jangkitan.

Amerika Syarikat masih belum mengaku kalah bahkan terus berusaha untuk menyekat kemunculan China sebagai kuasa ekonomi baharu dunia dan sekarang Amerika Syarikat sedang melobi untuk memiliki secara khusus vaksin COVID 19. Pernah Donald Trump menawarkan hak eksklusif itu kepada sebuah syarikat farmaseutikal (ditolak) dan mutakhir, beliau menegaskan vaksin itu akan dimiliki oleh Amerika Syarikat akhir 2020 manakala April 2021 ia sedia digunakan untuk rakyatnya.

Beberapa syarikat farmaseutikal dari seluruh dunia sedang giat mencari vaksin COVID 19 manakala China melaporkan vaksin yang dibangunkan itu sedang dalam peringkat percubaan terakhir sebelum selamat digunakan oleh manusia. Namun, gerakan anti-vaksin semakin lantang bersuara, penciptaannya akan menyebabkan negara pengeluar mempunyai ‘kuasa’ dan boleh memaksa negara-negara lain tunduk kepadanya. Inilah sikap rakus manusia dalam memenuhi ‘nafsu’ dan ‘kekayaan’ dengan mengepong ‘kegelisahan dan ketakutan’ kebanyakan orang.

Ia seumpama kegilaan pelbagai pihak untuk melabur wang yang banyak dan berbilion dolar hanya untuk menyelamatkan data ketika isu pepijat alaf (milinium bugs) pada setengah dekad terakhir abad ke-20. Ia hanya kerana ada pendapat bahawa sistem komputer hanya merekodkan dua angka terakhir bagi menandakan tahun, bermakna pada tahun 2000, ia akan berlaku ‘data clash’ dengan tahun 1900. Ia bakal mencelarukan data yang tersimpan dalam pelbagai ‘storage’ dan ‘pusat data’. Keadaan kelam-kabut sebenarnya tidak berlaku, namun firma-firma perisian dan keselamatan data mengaut keuntungan besar.

Ketika dunia resah dengan kemunculan virus selesema burung (H1N1), jutaan ekor unggas dimusnahkan, tetapi tidak ada dakwaan berlaku ‘kekejaman ke atas binatang’ kerana ingin membendung wabak itu. Namun, apabila umat Islam bersiap sedia untuk melaksanakan ibadat korban, pencinta haiwan berkempen atas slogan ‘kejam kepada binatang’ manakala segelintir penganut agama tertentu menyindir dan mendesak agar penyembelihan lembu diharamkan. Pernah juga ibadat korban dilaksanakan di sebuah sekolah dianggap sebagai satu bentuk penghinaan kerana sekolah berkenaan turut mempunyai pelajar bukan Islam, yang ‘haram’ makan daging lembu.

Bagaimanapun, tahun ini, isu penyembelihan atau korban tidak menjadi isu besar mungkin kerana ramai masih takut COVID 19 memasuki gelombang seterusnya. Namun, ketakutan itu semakin mengecil apabila kerajaan mula melepaskan ‘emosi terkurung’ selama enam bulan (PKP dari 18 Mac hingga 31 Ogos 2020) dengan pelaksanaan PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan), membenarkan hampir kesemua sektor ekonomi beroperasi (kecuali kelab malam dan pusat-pusat hiburan), kenduri dan majlis perkahwinan, rentas negeri kecuali pelancongan antarabangsa. Maka, sebaik sahaja ‘terlepas daripada kurungan’ itu, maka pusat-pusat pelancongan kembali mendapat perhatian, bahkan sesak walaupun bukan hujung minggu dan cuti umum.

Malangnya, ketika PKPP bermula, semakin sehari semakin ramai terlupa dengan SOP yang pernah diamalkan sepanjang PKP. Jika di sepanjang PKP, dilarang perhimpunan awam, perjumpaan kumpulan, bersalam-salaman atau menyentuh pipi, makan di restoran beramai-ramai. Kebiasaan baharu telah berubah; pelitup muka jarang digunakan, jarang menggunakan sintitizer,  tiada penjarakan sosial akhirnya dalam tempoh kurang dua bulan bilangan jangkitan COVID 19 terus meningkat.

Pada 6 Oktober 2020, jumlah kes positif melonjak kepada 691, dan merupakan yang tertinggi pernah dikesan sejak diisytiharkan sebagai pandemik. Setakat jam 12 tengahari 15 Oktober 2020, Malaysia mencatatkan 589 kes baharu menjadikan secara kumulatif 18,129 kes dengan 170 kematian.Sabah masih membuktikan jangkitan tertinggi (304 kes) diikuti Selangor (150 kes) dan Perak (50 kes).

Dua hari berturut-turut, iaitu pada 13 dan 14 Oktober 2020, kes baharu meningkat sebanyak 660 menjadikan jumlah keseluruhan (kumulatif)  kes berjumlah 17, 540.  Akhirnya, PKPB diperkenalkan mulai 14 Oktober 2020 di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 27 Oktober 2020 (kemungkinan disambung tetap ada sekiranya kes jangkitan tinggi). Kalau sebelumnya, beberapa daerah di Kedah, terutama Kubang Pasu dikenakan PKPD, kluster Sivagangga tidak lagi menjadi aktif, tetapi daerah Kota Star terus mencatatkan peningkatan akibat aktifnya Kluster Tembok.

Di daerah Klang, ia turut dikenakan PKPD sebelum seluruh Selangor dilaksanakan PKPB. Sabah merupakan negeri yang paling aktif kes jangkitan baharu, yang dikesan selepas PRN Sabah 26 September 2020. Sebahagian jangkitan di Semenanjung, ikut merebak apabila ada mereka yang pulang dari Sabah (pelancong mahupun petugas parti) kerana tidak dikenakan perintah kuarantin kendiri sebaik sahaja mereka kembali ke Semenanjung. Yang pastinya, virus CPVID 19 ketika ini mudah dan cepat merebak.

Itulah suatu gambaran tentang jalinan antara manusia yang bermasalah, walaupun sebelumnya kita menyanjungi tinggi sentuhan sebagai satu petunjuk keakraban. Begitu juga dengan apa yang berlaku di alam maya, walaupun timbul istilah masyarakat saling berhubung (interconnected society) atau hyperconnectivity, tidak semuanya perhubungan tersebut dilihat mulus. Ia ibarat roda, terus berputar dan bertukar kedudukan atau situasi. Kadangkala kita gembira dengan posting yang dibaca, dilihat dan dimuatnaik. Ada juga posting yang kita muatnaik mengjengkelkan orang lain, atau kita tersinggung dengan posting yang dipaparkan oleh rakan-rakan, termasuklah dalam kumpulan whatsapp yang begitu popular sebagai saluran sembang (chatting apps) terpopular.

Kita mungkin terlupa, dalam surah Ali Imran ayat 140, Allah SWT sudah pun memberikan gambaran bahawa: “ Dan hari-hari itu kami pergilirkan di antara manusia.”  Istilah dipergilirkan boleh sahaja kita andaikan sebagai ‘kalah dan menang’ dan tentunya ada ketika kita menang dalam ruang sembang maya, dan ada ketikanya kita kalah. Ketika ‘kalah’, kita alami ‘sakit hati’, kecewa dan rasa terkilan, maka ketika itu mungkin dibuat keputusan untuk keluar daripada kumpulan (left group).

Awalnya, penyertaan dalam kumpulan whatsapp betujuan untuk menyampaikan mesej atau berkongsi maklumat setempat (bagi komuniti), menghimpunkan rakan-rakan lama berdasarkan tempat bertugas, tahun persekolahan, rakan sekelas atau sekolah yang sama dan seangkatan, di samping berkongsi pengetahuan mengenai sesuatu hobi (masakan, gubahan, memancing, peminat kereta dan sebagainya). Tetapi disebabkan manusia itu tetaplah manusia, ada keragaman budaya dan pemikiran, sikap dan pendirian maka perbezaan tersebut menjadikan senda gurau dalam kumpulan whatsapp ‘hidup’.

Ada lucu. Ada sendu. Ada guraun dan sebagainya. Bahkan ada ahli kumpulan melihat pandangan, pendirian dan pendapatnya sahaja yang betul. Bila ada posting yang berbeza, maka komen dilihat tidak munasabah dan kadangkala mengejek. Akhirnya, ada ahli kumpulan menarik diri dan ada yang membungkam, tidak kurang dengan aksi bomba (padamkan apa sahaja mesej tanpa membacanya). Itulah dinamika hidup, dalam persekitaran maya masing-masing berusaha menjadi ‘hero’ walaupun percubaan itu tidak mempedulikan emosi orang lain.

Kendatipun, kerana itu hidup itu bersifat dinamik, maka kita perlu ingat pesan Rasullullah SAW bahawa ‘akan datang suatu masa di mana kehidupan semakin sehari semakin buruk. Kehidupan yang buruk dimaksud ialah minimumnya ‘menjaga hati orang lain’ sedangkan hubungan antara manusia terlalu bergantung kepada emosi.

Dari Abdullah bin Amru ra, Rasullullah SAW bersabda: Tidak akan terjadi hari kiamat hingga Allah mengambil orang-orang yang baik dari penduduk bumi hingga di dalamnya hanya tersisa orang-orang yang hina yang sama tidak mengenal kebaikan dan tidak mengingkari kemungkaran.” (HR. Ahmad).

Menurut Ibnu Hajar (852 H), dalam riwayat yang lain merebaknya kemungkaran adalah tanda-tanda akhir zaman itu ialah orang-orang akan kembali menyebah berhala. Ya! Berhala itu bukan hanya bermaksud Latta dan Uzza, juga boleh jadi memuja telefon pintar dari segala-galanya. Tidak boleh hidup tanpa internet dan telefon pintar, bahkan sanggup membelakangkan isteri/suami. Tidur malam lebih selesa memegang telefon daripada melayan suami/isteri. Boleh bangkit waktu malam untuk membaca mesej yang masuk walhal sepatutnya diperbanyakkan amalan ‘menyembah Allah SWT’ sebagai tanda terima kasih atas limpahan rezeki dan apa yang dimiliki.

Telefon pintar lebih penting daripada rutin hidup seharian yang lain. Sebelum membasuh muka dan bersiap sedia mengerjakan sholat Subuh, telefon pintar dilihat dahulu. Bahkan, sebelum tidur membacanya, atau menyertai ruang sembang dengan rakan-rakan sehingga larut malam. Akhirnya tertidur dalam kepenatan mata, bukan setelah sekian banyak berzikir dan berdoa agar Allah SWT mengampuni dosa-dosa serta menambahkan rezeki dan diberikan kesihatan yang baik.

Memang masyarakat semakin sehari semakin pening. Pening dengan tingkah laku manusia sekeliling. Pening dengan karenah rakan-rakan, sahabat, ahli keluarga ditambah pula dengan pesona alam maya yang semakin dilanda digital vertigo (pinjam istilah Andrew Keen, Digital Vertigo: How Today’s Online Social Revolution is Dividing, Diminishing, and Diorienting Us, 2012).  Dalam dunia maya, berkongsi sesuatu boleh berlaku secara sukarela mahupun tanpa diketahui oleh sumbernya yang asal, akhirnya perkongsian menjadi seperti ‘perangkap’. Manusia semakin dilanda ‘masalah psikologi’ dengan aksi selfie (dengan pelbagai gaya dan posisi) semata-mata untuk menaikkan ‘rating’ seperti likes, follower mahupun komen.

Dalam masa yang sama, ada percubaan lain untuk mengkarikaturkan wajah-wajah tersebut untuk tujuan yang lain. Kes sedemikian banyak kita perolehi, gambar yang ‘dicuri’ itu kemudian dimanipulasikan untuk pelbagai tujuan. Tidak kurang menggunakan wajah jelita dan seksi untuk tujuan komersial, dengan caption eksotik asalkan ramai yang terpengaruh.Ia boleh meningkatkan jualan ‘ubat kuat’ walaupun keberkesanannya diragui dari perspektif perubatan.

Inilah ‘zaman yang terburuk’ dalam sejarah. Manusia mudah terpedaya. Manusia semakin hilang pesanan moral dan pegangan hidupnya, dihanyutkan oleh dunia maya yang hanya bersepah sampah dan kepalsuan. Sanggupkah kita menjadikan dunia maya sebagai berhala moden?

Kamarun KH

.

Translate »