Ketika saya cuba melupakan perihal politik, saya sebenarnya tidak mampu untuk tidak mendengar ataupun membaca coretan warganet yang ikut masuk ke wall facebook selagi telefon pintar terus bernyawa.
Ketika saya terkejut dengan jumlah mereka yang positif COVID-19 mencecah lebih enam ratus orang di seluruh negara, ada warganet menyalahkan Shafie Afdal dan TYT Sabah kerana membubarkan DUN setelah Musa Aman berusaha untuk membuktikan dirinya mempunyai majoriti lebih besar. Sabah melaksanakan Pilihan Raya Negeri pada 26 September 2020. Selepas PRN, Warisan Plus gagal mempertahankan kuasa, hanya menang 32 kerusi. Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dibentuk menerusi kerjasama BN, PN dan PBS menang 38 kerusi manakala Bebas mendapat 3 kerusi.
Akibat PRN diadakan ketika COVID-19 masih belum berakhir, kebolehjangkitannya tersebar dengan cepat malah lebih hebat daripada kluster Sivagangga (di daerah Kubang Pasu Kedah) dan kluster Tabligh (Masjid Petaling, Selangor). Empat buah daerah di Sabah (Lahad Datu, Kunak, Tawau dan Semporna) dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara pentadbiran mulai 12.01 tengah malam 29 September sehingga 12 Oktober 2020. Daerah Klang (Selangor) turut dilaksanakan PKPDB mulai 9 Oktober 2020 akibat penularan COVID-19.
Bagaimanapun, PKPDB yang sepatutnya berakhir 22 Oktober 2020 di Klang terpaksa dilanjutkan sehingga 27 Oktober 2020 apabila Selangor, Kuala Lumpur dan Putraya dikenakan perintah tersebut selama dua minggu mulai 14 Oktober 2020, sehari selepas Anwar dikatakan bakal mengadap Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong, tindakan terbaharu bakal Perdana Menteri paling lama menunggu atas ‘gila-gila nak jadi Perdana Menteri’.
Ketika saya sedang menikmati keenakan nasi dagang Mak Ngoh (12 Oktober 2020) di Cendering, saya ikut rasa takut apabila mendapat khabar sekolah-sekolah di kawasan zon merah di Selangor (daerah Petaling dan Klang) ditutup selama dua minggu (mulai 9 Oktober 2020) akibat peningkatan kes COVID-19, yang sebahagiannya berpunca daripada mereka yang pulang dari Sabah.
Antara sekolah-sekolah yang ditutup itu hanya berada di seberang Lebuh Raya Damansara-Puchong, yakni kurang satu kilometer daripada rumah saya. Potensi kejangkitan adalah besar, apatah lagi menurut kenyataan KKM virus kali ini (D614G dikenali sebagai ‘super spreader’), adalah lebih cepat merebak (10 kali) berbanding virus sebelumnya. Petang itu juga kami segera pulang ke Kuala Lumpur kerana tidak mahu ‘tersekat’ apabila PKPDB dilaksanakan, ketika tarikh 14 Oktober 2020 memasuki minit pertamanya.
Keenakan nasi dagang Mak Ngoh tidak dapat kami habiskan. Agak lama juga tidak saya rasakan ‘keenakan gulai ikan tongkol’ resipi Mak Ngoh, iaitu hampir lima tahun. Meskipun pada bulan September lalu kami sampai ke Kuala Terengganu kali pertama selepas PKP, Nasi Dagang Mak Ngoh bukanlah pilihan. Teman-teman saya lebih berminat untuk menikmati Nasi Dagang Atas Tol kerana hebat sambutannya berdasarkan imej yang tertular dalam media sosial.
Kami sebenarnya merancang untuk ‘kembara ke Pantai Timur’ pada akhir Mac 2020. Saya ikut sebagai ‘pemandu pelancong’ memandangkan ada sahabat yang mengesyorkannya kerana sebahagian daripadanya tidak pernah ke sana. Pada awalnya, kami berhasrat untuk melihat mercutanda terbaharu di Terengganu dan menikmati keenakan ICT (Ikan Celup Tepong di Telok Ketapang dan Pantai Penarik), hasrat itu akhirnya terlaksana selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan. PKP mula dilaksanakan pada 18 Mac, Perintah Kawalan Pergerkaan Bersyarat (PKPB) 4 Mei 2020 dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai 1 Jun hingga 31 Ogos 2020.
Sebaik sahaja PKPP berakhir, sektor pelancongan domestik mula cergas semula sehingga jalan-jalan ke Cameron Highlands menjadi begitu perlahan dan bertambah sesak pada hujung minggu. Fenomena ‘kemaruk’ — seumpama orang yang beberapa hari pulih dari demam —melanda masyarakat hanya kerana ‘terkurung’ selama hampir enam bulan lamanya. Sangkaan saya juga meleset, bukan hari minggu pun jalan-jalan sekitar Cameron Highlands tetap sesak. Begitu juga di Frazer Hill, walaupun jalannya berliku-liku, kadar penginapan mula meningkat dan pada hujung minggu hampir ketiadaan homestay tanpa berpenghuni (kecuali yang belum beroperasi selepas PKP).
Jika di musim PKP, roti Gardenia adalah ‘hot items’ sehingga ada yang sanggup menanti ketibaannya di hadapan kedai runcit (juga stesen petrol), dan paling kejam ialah ‘membawa lori’ yang menghantar roti Gardenia, yang kemudiannya dilaporkan ditemui di Kemaman, Terengganu, selepas PKPP tamat, hotel-hotel dan homestay sentiasa penuh, termasuklah di Cameron Highlands, Langkawi, Kuala Terengganu dan Kota Bahru. Sejak petang 12 Oktober 2020 (selepas pengumuman Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya akan mula dilaksanakan PKPB, roti Gardenia boleh dikatakan kehabisan stok di hampir semua premis yang menjualnya. Maka, muncullah istilah #PKB: The War Begins –KL-Selangor-Putrajaya.)
Saya tidak pasti, sama ada hotel-hotel di Pulau Pinang turut menerima tempiasnya, tetapi apa yang kita baca menerusi catatan warganet, ada hotel yang terpaksa ditutup kerana tidak mampu meneruskan operasinya (misalnya, Hotel Four Point by Sheraton di Sandakan (31 Mei 2020), sebuah hotel yang dikaitkan dengan aksi luar tabie seorang ahli politik, dan ahli politik itu akhirnya berjaya ‘menghantuk kepala’ Perdana Menteri ke-7 dan bakal Perdana Menteri paling lama menunggu giliran).
Namun, bila PKPB dilaksanakan, sektor pelancongan domestik bakal kembali suram, termasuklah hotel-hotel dan homestay di pinggir pantai, kawasan peranginan berbukit dan kunjungan ke premis-premis perniagaan. Apa yang kita dapat pastikan, sektor penghantaran makanan kembali sibuk (Grabfood, FoodPanda, LalaMove dan orang perseorangan) di samping khidmat courier.
Kali ini, ia mungkin tidak serancak ketika PKP dilaksanakan di seluruh negara: ada pengalaman sedih daripada pembekal yang sebahagiannya “indah khbar dari rupa”, barangan yang dibekalkan adalah berbeza dengan iklan, sedangkan harga turut bertambah bila dimasukkan bayaran ‘caj penghantaran’.
Mujurlah kali ini, setiap rumah dibenarkan ‘dua orang’ untuk mendapatkan bekalan makanan, namun sejak pengumuman dibuat, budaya pembelian panik sudah menunjukkan kemungkinan berlaku, khususnya pada 13 Oktober 2020 ketika Anwar bersiap sedia untuk ke Istana Negara mengadap Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong. Apa yang jelas, spekulasi Anwar ‘mengangkat sumpah’ sebagai Perdana Menteri ke-9 tidak berlaku. SPBYDA menasihkatkan Anwar agar akur dengan undang-undang termasuk apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sebaliknya, kenyataan media rasmi Istana Negara, Anwar yang hadir mengadap menyerahkan ‘dokumen sokongan’ tetapi tidak menyebut nama penyokongnya secara jelas. Alamak! Netizen kembali menghamburkan kata-kata sinis: Kelentong lagi dan menariknya, Azmin Ali dalam komen twitternya menulis “formula matematik yang silap”. Sebelumnya Azmin pernah memerli formula matematik Anwar: 129-1=107. Ia merujuk kepada dakwaan Anwar ada 129 wakil rakyat yang menyokongnya, tetapi setakat hari itu (11 Jun 2020) baru ada 107. Anwar bertegas, usaha ke arah itu sedang giat dilaksanakan.
Ia turut mengingatkan jalur pemikiran yang sama. Anwar ketika merasakan ada kegagalan bakal menyelubunginya menjelang 16 September 2008, memberikan alasan memerlukan sedikit masa (maksudnya untuk memujuk wakil rakyat BN selepas misi ke Taiwan gagal) disebabkan ada ‘sedikit masalah teknikal’. Kata Anwar, peralihan kerajaan akan berlaku ‘dalam sedikit masa lagi’. Maka tersebarlah karikatur: Anwar mengangkat sumpah di atas katil di hadapan potret SPBYDA. Lagi menarik, sebelah tangannya diikat di katil dan digambarkan mirip ‘orang gila’ . Kali ini, Anwar digambarkan bersandar di salah satu tiang pintu masuk ke Istana Negara.
Saya memang sedar, hidup adalah sentiasa bergerak, berubah da nada-ada sahaja hal yang berbeza – positif dan negative- dan kerana itulah ‘memang dinamik’. Semalam adalah berbeza dengan hari ini. Bahkan, semalam kadangkala menjadi petunjuk bahawa hari esok adalah sesuatu yang lebih sukar dan perlukan ‘banyak waspada’. Saya kira, hari ini akan menjadi saksi terakhir bagaimana secara lazimnya ‘orang masih bebas’ dan ‘terlupa SOP’, kerana besok seolah-olah ‘gelap dan terkurung’.
Masing-masing sibuk untuk memenuhi keperluan (seolah-olah bila terkurung, semuanya akan jadi sibuk di dapur dan perlukan bekalan yang mencukupi) _kerana ‘emosi terkurung’ akan mula membungkam diri meskipun sektor pekerjaan belum ditutup sepenuhnya, kecuali premis perniagaan yang perlu disanitasi dan kakitangan wajib menjalani ujian COVID-19, termasuk swarb yang sedikit ‘sakit dan berair mata’.
Kita juga sedar, akibat PKP pada awal tahun depan akan meningkatkan kadar kelahiran bayi. Bahkan, ada lelucon dalam media sosial, sejak PKP dilaksanakan, akibat sentiasa berada di rumah dan tiada masa ‘merewang’, sudah ada tanda-tanda isteri hamil lagi. Ia berkat PKP dan tentunya PKPB selama dua minggu di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor akan menambahkan lagi bilangan kehamilan, kerana selepas PKP selama enam bulan, berlangsung majlis kenduri, walimatul urus dan ijab kabul meskipun tidak semeriah sebelumnya.
Akibat hidup itu ‘memang dinamis’, maka kita sentiasa perlu belajar. Umpama ‘alam terbentang’ atau tulis Buya Hamka, “layar terkembang jadi guru’ yang setiap hari ada perbezaan yang jelas, tidak sama dengan kelmarin ataupun setahun lalu walaupun ada sedikit fenomena yang hampir serupa. Sekurang-kurangnya, ada rasa emosi dan persekitaran yang membezakan. Beruntunglah bagi mereka yang ‘sentiasa belajar’ dan tidak melihat ‘fenomena seumpama angin lalu’ dibiarkan tanpa ‘belajar’ daripadanya. Kita mesti tahu, ada aksiom yang mesti kita laksanakan, belajar dari buaian hingga ke liang lahad, maknanya belajar sepanjang hayat.
Saya terus belajar daripada beberapa episod politik pada era COVID-19 ini. Ada cerita romantis seorang manusia sanggup melakukankan apa sahaja demi ‘gila-gila mahu jadi Perdana Menteri’. Saya juga belajar memahami bagaimana semakin berusia seseorang itu maka semakin ‘tinggi keinginan’ dan sanggup berbuat apa sahaja walaupun bercanggah atau melanggar prinsip yang pernah dipeganginya, alias penuh hipokrasi. Paling mendebarkan ialah sikap sebahagian daripada rakyat Malaysia, mudah percaya cula-culaan tertentu (diselitkan dengan unsur ketakutan atau rasa cemas) hingga terlupa bahawa ‘berfikir adalah aktiviti yang dapat membantu terhindarnya daripada kesesatan’.
Akibat ‘rasa cemas’, maka berlakulah ‘pembelian panik’ dan kesesakan jalan raya menjelang kuatkuasa PKP, sama ada berduyun-duyun hantar anak dan isteri ‘balik kampong’ atau ‘lari daripada wabak’ sedangkan maksudnya sebenar PKP diadakan ialah ‘memutuskan rantaian’ bukan berpotensi menyebarkan virus itu ke kawasan lain, termasuk ‘orang kampung’ dan sanak saudara yang berada di zon hijau.
Gelombang ketiga COVID-19 benar menyaksikan, disebabkan oleh kegilaan ahli politik untuk berkuasa atau mempertahankan kuasa benar-benar menyebabkan rakyat ‘menanggung derita’: PKPB dilaksanakan di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor selepas empat daerah di Sabah (Tawau, Semporna, Lahad Datu dan Kunak) di mana makna istilah kluster menjadi semakin negatif. Kalau sebelumnya, perkataan kluster dirujuk sebagai kaedah ‘pengelompokan kepakaran’ atau ‘penelitian khusus dan kelompok fenomena’ maka kali ini, perkataan kluster dikaitkan dengan ‘punca penularan virus’.
Setakat ini, hampir 200 kluster COVID-19 dikenalpasti: 103 dikatakan tidak lagi aktif dan berjaya ditamatkan (termasuk Sivagangga dan Tabligh) dan 70 lagi masih aktif, kebanyakannya ada kaitan dengan Sabah selain dari dalam penjara (Kluster Tembok dan Penjara Reman). Pada hari Anwar mengadap SPYDPA dan gagal diikuti dengan majlis angkat sumpah PM ke-9, ada 660 kes positif, iaitu kedua tertinggi selepas 691 kes yang dikesan pada 6 Oktober 2020, yakni selepas PRN Sabah.
Sejak COVID-19 diisytiharkan sebagai pandemik (Mac 2020), Malaysia melaksanakan PKP di seluruh negara mulai 18 Mac dan kemudiannya disambung sehingga 31 Ogos 2020. Dalam tempoh tersebut, sebelum dilonggarkan menjadi PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan), jumlah mereka yang positif pernah menurun kepada 1 kes (1 Julai 2020) dan pada hari terakhir PKP (31 Ogos 2020) jumlah kes positif baharu ialah 12. Kejayaan mengawal penularan virus COVID-19 menunjukkan kejayaan dan Malaysia mendapat pujian masyarakat antarabangsa.
Namun selepas PRN Sabah, jumlah kes positif semakin meningkat sehingga melampaui tahap kemuncak ketika PKP (26 Mac 2020) dengan 235 kes. Ia telah meningkat semula melebihi kes ketika PKP pada 1 Oktober 2020 (260 kes), 2 Oktober (287 kes), 3 Oktober 2020 (317 kes), 4 Oktober (293 kes), 5 Oktober (432 kes) dan menggerunkan pada 6 Oktober (691 kes).
Sedihnya, pada 6 Oktober ada infografik yang tular di media sosial kononnya kes positif baharu telah meningkat ke 841. Berita itu kemudiannya jelas hoaks, dan berita palsu sejak COVID-19 terus meningkat dan sehingga 8 Oktober 2020, 270 kertas siasatan telah dibuka oleh PDRM dan SKMM. Seorang wakil rakyat disoalsiasat kerana memuatnaik video ‘kesesakan di Tambak Johor’ kononnya ribuan rakyat Malaysia bersesak-sesak untuk pulang akibat wabak itu dari Singapura. Akhirnya, Fuziah Salleh mengakui tersilap menyebarkan video lama yang tiada kaitan dengan COVID-19.
Kalau sebelumnya, kerajaan PH dipersalahkan kerana tidak mengambil langkah tegas sebaik sahaja wabak tersebut dikesan –kemasukan pelancong China ke Johor menerusi Singapura—COVID 19 turut menjadi isu politik yang menjengkelkan bila pemimpin terlucut kuasa cuba mempersendakan langkah kawalan yang dilaksanakan kerajaan PN.
Kali ini, Shafie Afdal dipersalahkan mengesyorkan pembubaran DUN Sabah untuk memberi laluan PRN Sabah pada 26 September 2020. Shafie sudah memohon maaf, ia bermakna Shafie ‘rasa bersalah’ kerana turut mendera rakyat Sabah dengan derita COVID-19 dan memanjangkan rantaiannya ke Semenanjung apabila mereka pulang daripada berkempen atau memasuki Sabah sepanjang tempoh ‘hevoc politik’ itu.
Kamarun KH
Recent Comments