Rukun Islam yang ketiga adalah zakat. Dalam terminologi fikh, ia didefinisikan sebagai sebahagian daripada kekayaan yang wajib di keluarkan untuk orang-orang yang berhak menerimanya.

Mahmud Syaltut, ulama Mesir mentafsirkan zakat sebagai ibadah kebendaan yang di wajibkan oleh Allah s.w.t untuk menolong / membantu orang miskin dalam melangsungkan kehidupan.

Zakat memiliki dua dimensi, iaitu dimensi ibadah dan dimensi sosial. Dimensi ibadah di laksanakan dengan perantaraan harta dalam rangka mematuhi perintah Allah swt serta mengharapkan pahalanya. Sementara dimensi sosial pula dilaksanakan atas dasar kemanusiaan.

Hukum zakat adalah wajib, sedangkan hukum infak atau sedekah adalah sunnah. Al-Quran menyebut tentang ‘zakat’ sebanyak 32 kali, dan 26 di antaranya bersamaan dengan kata ‘solat’. Ini menunjukkan bahawa kedua-duanya sangat penting dalam Islam

Pada awal kelahiran Islam di Mekah, seruan berzakat disampaikan dengan ungkapan anfiqu fi sabilillah (berinfaklah di jalan Allah s.w.t). Pada masa itu, klasifikasi zakat belum di tentukan jenis harta yang wajib diinfakkan. Begitu juga nisab dan khaul (jumlah) yang perlu dikeluarkan.

Keadaan ini berterusan sehingga 1 Hijrah setelah Nabi Muhammad s.a.w hijrah ke Madinah. Pada saat itu mereka belum bersedia menerima kewajipan berzakat mengikut jenis nisab dan khaul. Mereka diberi kebebasan untuk menafkahkan apa sahaja menurut kadar yang mereka kehendaki.

Pada tahun ke-2 Hijrah, Allah s.w.t memerintahkan untuk menunaikan zakat dengan ungkapan atu az-zakah (al-Baqarah: 43). Seiring dengan perintah itu, Nabi Muhammad s.a.w menjelaskan ketentuan zakat, seperti jenis harta yang wajib dizakati, kadar nisab dan jumlahnya.

Di samping memiliki dimensi ibadah, zakat juga memiliki dimensi sosial. Zakat digunakan untuk kepentingan umum dalam mengurangi masalah-masalah sosial seperti membantu orang-orang yang kekurangan dan daif. Melalui amalan berzakat, jurang antara golongan ekonomi lemah dengan ekonomi kuat semakin mengecil. Golongan kaya akan membantu golongan miskin dan yang miskn pula selalu mendoakan yang kaya agar ekonominya bertambah baik.

Secara global, terdapat dua kategori zakat, iaitu zakat mal (harta) dan zakat fitrah. Zakat mal adalah kadar kekayaan yang wajib dikeluarkan untuk orang yang berhak menerimanya dengan kadar yang tertentu. Zakat fitrah adalah zakat peribadi yang di keluarkan setiap Hari Raya Aidil Fitri, berupa makanan asasi atau wang menurut kadar yang diwajibkan. Zakat fitrah boleh dikeluarkan pada awal Ramadan tetapi diutamakan pada akhir Ramadan, iaitu sebelum solat sunat Hari Raya Aidil Fitri.

Harta yang akan dikeluarkan sebagai zakat harus memenuhi beberapa syarat. Syarat-syarat itu ialah seperti harta yang perlu dizakat adalah milik penuh (sempurna), iaitu kekayaan yang berada di bawah kekuasaan pemilik dan tidak tersangkut hak orang lain; berkembang, iaitu kekayaan yang dapat di kembangkan atau mempunyai potensi untuk diproduksi dan memberikan keuntungan atau pendapatan; cukup satu nisab, iaitu jumlah minimum harta kekayaan yang harus dikeluarkan zakatnya berdasarkan ketentuan syariat; bebas daripada hutang (pemiliknya sempurna); berlaku / diperkirakan untuk satu tahun.

Susunan SHARIFAH HAYATI AHMAD

Translate »