Suku Arab yang sangat berpengaruh pada zaman sebelum dan sesudah kedatangan Islam ialah Quraisy. Lama sebelum kedatangan Islam, suku Quraisy dihormati oleh suku lain di Semenanjung Tanah Arab kerana terkenal secara turun-temurun sebagai pengurus Baitullah (Kaabah) dan pemerintah Kota Mekah.
Peranan mereka semakin penting selepas lahirnya Nabi Muhammad s.a.w. Tambahan pula, dialek Quraisy digunakan di dalam al-Quran. Daripada makna istilah Arabnya (quraisy), suku Quraisy dianggap sebagai suku yang kuat dan besar seperti anjing laut, pedagang yang sering mengembara jauh, dan kaum yang membuat penyelidikan atas kekurangan dan kekuatan suku kaum lain.
BERDAGANG
Suku Quraisy biasanya menjadi orang tengah bagi pemasaran barang dagangan antara kawasan Laut Mediterranean bahagian utara (Syria, Palestin dan sekitar Asia Kecil) dengan bahagian selatan (Yaman, Mesir dan Ethiopia). Pergaulan mereka dengan bangsa Rom dan Parsi merupakan pengalaman berharga. Banyak di kalangan mereka yang akhirnya pandai membaca, menulis, mengira dan tahu tentang bangsa lainnya. Keadaan ini semakin berkembang setelah Islam tersebar. Mereka meningkatkan urusan penjagaan Kaabah, memudahkan kerja haji dan memberi jaminan keamanan selama berada di Tanah Haram.
KAUM MUSYRIKIN
Kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. mengakibatkan suku Quraisy berpecah menjadi dua, iaitu kumpulan pembela dan penentang Nabi Muhammad s.a.w. Al-Quran menyebut kumpulan kedua sebagai kaum musyrikin. Ada beberapa hal yang menyebabkan mereka menentang ajaran Islam, antara lain perebutan kuasa di kalangan ketua keluarga suku ini sendiri, penyamaan hak antara kaum bangsawan dengan hamba, ketakutan akan hari “kebangkitan” kerana umumnya pemimpin mereka gemar berbuat dosa, bertaklid kepada adat istiadat nenek moyang dan tidak mahu kehilangan pekerjaan mereka (berdagang patung).
FATH AL-MAKKAH
Peristiwa Fath al-Makkah (penaklukan Mekah) yang dipimpin Nabi Muhammad s.a.w mengakhiri perpecahan antara suku Quraisy. Keadaan ini berlansung hingga zaman Khulafa ar-Rasyidin (empat khalifah besar). Kepimpinan daulat Islam sesudahnya selalu dirujuk kepada keturunan suku Quraisy seperti Muawiyah bin Abu Sufian (Umaiyah) dan Abu Abbas al-Saffah (Abbasiyah). Ada hadis yang menunjukkan kemulian suku ini, antaranya:
“Pemimpin umat ini mesti diangkat daripada suku Quraisy.” (Riwayat Ahmad bin Hanbal). Hadis ini ditolak oleh mazhab Khawarij. Setelah kekhalifahan Uthmaniyah berakhir (awal abad ke-20), kedudukan hadis ini semakin lemah.
DAR AL-NADWAH
Suku Quraisy berketurunan Fihr, salah seorang nenek moyang Rasulullah s.a.w. Keturunan Fihr terdiri daripada 10 bani atau keluarga: Bani Hasyim, Bani Umaiyah, Bani Nawfal, Bani Abdul Dar, Bani Asad, Bani Taym, Bani Zuhrah, Bani Adiyy, Bani Jumah dan Bani Sahm. Berdasarkan musyawarah dalam pusat Dar al-Nadwah, setiap keluarga memegang jawatan dalam majlis tertentu, misalnya Bani Hasyim: pengurus air minum/zamzam, penginapan jemaah haji dan kemuliaan Kaabah; Bani Umaiyah: pengurus bendera perang, perbendaharaan negara dan pemimpin perang; dan Bani Abdul Dar: pemegang kunci Kaabah serta pengurus ketatanegaraan.
Susunan SITI HASNAH YAAKUB
Recent Comments