Kumpulan nama-nama yang menunjukkan kesempurnaan Allah s.w.t disebut al-Asma al-Husna, yang secara harfiah bererti “nama-nama yang baik”.

Kata al-Asma al-Husna disebutkan dalam firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Serulah nama ” Allah” atau nama “Ar-Rahman”, yang mana sahaja kamu serukan (daripada kedua-dua nama itu adalah baik belaka); kerana Allah mempunyai banyak nama-nama yang baik serta mulia..” (al-Israa’: 110)

Apa yang dimaksud dengan ‘seru’ dalam kalimat itu adalah berdoa. Dalam surah lain disebutkan juga al-Asma al-Husna, sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-nama-Nya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan.” (al-‘Araaf: 180)

Kedua-dua ayat di atas merupakan anjuran bagi manusia untuk berdoa kepada Allah s.w.t dengan al-Asma al-Husna.

Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, al-Asma al-Husna itu berjumlah 99, yakni 76 disebutkan di dalam al-Quran dan 23 di dalam hadis. Al-Asma al-Husna yang kita kenal sekarang ini berasal daripada keterangan Imam at-Tirmizi.

Dengan menghafalkan al-Asma al-Husna, hubungan yang mantap antara Allah s.w.t dan hamba-Nya terbina. Selain itu, melafazkan al-Asma al-Husna dengan khusyuk juga akan menimbulkan perasaan tenteram dan tenang. Dengan mengingat nama Allah s.w.t, hati selalu dekat kepada-Nya.

Ar-Rahman

Salah satu nama Allah s.w.t yang paling banyak disebutkan di dalam al-Quran adalah ar-Rahman (Maha Pemurah). Nama itu sering digunakan di dalam al-Quran sebagai pengganti kata “Allah”. Ketika Perjanjian Hudaibiyah, suku Quraisy tidak menerima nama ini. Oleh hal yang demikian, nama ini diyakin belum pernah dikenal di kalangan bangsa Arab ketika itu.

Ar-Rahim

Ar-Rahim berasal daripada kata Arab “rahima” yang bererti menyantuni, Maha Penyantun. Nama itu sering diterjemahkan sebagai Yang Maha Pengasih. Ar-Rahim menunjukkan sikap santun Allah s.w.t dalam setiap kejadian di muka bumi ini. Kata itu sering digabungkan dengan kata ar-Rahman.

Masuk syurga

Dalam hadis Rasulullah s.a.w, daripada Abu Hurairah, terungkap: “Allah itu mempunyai sembilan puluh sembilan nama, kurang satu daripada seratus. Siapa saja yang dapat menghafal nama-nama itu, akan masuk syurga. Dia adalah tunggal (Esa), senang kepada yang tunggal/ganjil.”

Imam Bukhari mengatakan: “Barangsiapa yang menghitungnya, tentu masuk syurga.”

Kasih Allah s.w.t

Daripada 99 nama Allah s.w.t yang baik (al-Asma al-Husna), yang paling banyak disebutkan di dalam sl-Quran adalah ar-Rahman dan ar-Rahim, selain kata Allah itu sendiri. Oleh hal demikian itu, ada pendapat yang mengatakan bahawa jika 99 nama Allah s.w.t itu disusun berbentuk seperti piramid, maka puncaknya ialah ar-Rahman dan ar-Rahim. Inti ar-Rahman dan ar-Rahim itu adalah “kasih”. Di dalam al-Quran digambarkan bahawa Allah s.w.t mewajibkan kepada diri-Nya sifat kasih (al-An’aam: 12).

Selain itu, digambarkan pula bahawa sifat Allah s.w.t yang meliputi segala sesuatu ialah kasih, iaitu firman Allah s.w.t yang bermaksud: “…Rahmat-Ku meliputi segala sesuatu…” (al-‘Araaf: 156)

Keajaiban

Ada di kalangan orang yang percaya bahawa sebhaagian nama al-Asma al-Husna mempunyai keistimewaan. Apabila nama itu dilafazkan dengan hitungan dan cara tertentu, maka akan mendatangkan keajaiban, seperti kekuatan, kesaktian dan rezeki melimpah.

Bagaimanapun, hal itu merupakan rekaan belaka kerana tidak ada dalilnya. Adapun yang memiliki dalil adalah melafazkan dan menghayati al-Asma al-Husna dengan hati yang penuh khusyuk. Penghafalan, pelafazan, dan penghayatan itu akan menyucikan serta mententeramkan batin pembacanya / pelafaznya.

Hal itu terdapat dalam firman Allah s.w.t dalam surah ar-Raa’d ayat 28 yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenteram.” 

 

Susunan ANIS ISMAIL

 

Translate »