Al-Baqillani atau nama sebenar Muhammad bin Al-Tayyib bin Muhammad bin Jaafar bin Al-Qasim. Beliau lahir di Basrah dan tinggal di Baghdad. Beliau merupakan seorang pemikir, ahli fiqh dalam mazhab Maliki, bahkan menjadi imam mazhab tersebut pada zamannya.

Bagaimanapun, namanya lebih sering dihubungkan dengan Kalam Asy’ari.

Kelebihan dan keilmuan yang dimiliki al-Baqillani menjadi ‘rebutan’ para pengikut Shafie dan Ahmad bin Hambal. Beliau pernah menjadi komandan pasukan tentera dalam pertempuran yang berlaku antara Dinasti Abbasiah dengan Dinasti Fatimiyah.

Tulisan-tulisan yang tajam menpunyai pengaruh yang amat besar, khususnya dalam membongkar kekeliruan kaum Fatimid dan menghancurkan kekuatan mereka.

Al-Baqillani memperdalami ilmu daripada Abu Mujahid, Abu Bakar al-Abhari, Ibnu Abi Zaid dan lain-lain. Manakala murid-muridnya antara lain ialah Abu Zar al Harawi, Abu Imran al-Fasi, dan Qadi Muhammad Ibnu Nasr.

Ibnu Katsir menyebut tentang beliau, antara lain katanya:

“Al- Baqillani tidak akan tidur sebelum dapat menulis 20 lembar (helaian kertas). Ini dilakukannya setiap malam sepanjang hidupnya”.

Tidak menghairankan jika karangnnya cukup banyak. Di antara karya yang dihasilkannya ialah Syarh Ibanah, Syarh al-Luma, Al-Imamah al-Kabirah, Al-Imamah al-Saghirah, Al-Tabsirah bi Daqa’iq al-Haqa’iq, dan Amali.

Qadi Abu Jaafar al-Samnani mengatakan bahawa al-Baqillani merupakan orang amat dipercayai dalam bidang hadis. Dalam ilmu Kalam, beliau merupakan pakar yang terkemuka pada masanya. Ini dapat dilihat daripada buku-bukunya yang mengulas tentang perdebatannya dengan aliran-aliran teologi kaum Rafidah, Muktazilah, Jahmiyah, Khawarij dan lain-lain.

Al-Baqillani pernah diutus oleh pemerintah untuk membawa surat kepada Raja Romawi. Dalam tugas ini beliau digambarkan menerusi sebuah ‘kata hikmah’: “Jika anda mengutus orang, utuslah orang bijak, dan anda tak perlu berpesan apapun.” Dan Al-Baqillani adalah orang yang dimaksudkan itu.

Al-Baqillani dikenali amat cerdas orangnya. Sikap ilmiahnya amat jelas kelihatan ketika berdiskusi dan berdebat.

Ucapan-ucapanya tidak disampaikan dengan emosional. Apa yang dicari Baqillani adalah kebenaran ilmiah.

Suatu ketika beliau ditanya seorang Romawi: “Bagaimana tanggapan anda tentang Aisyah, isteri Nabimu? Baqillani mengatakan: “Begini, anda tahu ada dua orang perempuan: Aisyah, isteri Nabi kami dan Maryam binti Imran. Aisyah tidak melahirkan anak, meski pun dia mempunyai suami. Manakala Maryam melahirkan anak walhal dia tidak bersuami. Allah membebaskan daripada tuduhan seperti yang anda lakukan.”

Si Romawi diam saja. Meskipun begitu, Al Baqillani tetap menghormatinya.

Abu Bakar al-Khawarizmi ketika mengulas kepakaran al-Baqillani, mengatakan: “Semua karangan masyarakat Baghdad dikutip daripada buku-buku orang lain. Berbeza dengan Al-Baqallani, di dadanya terhimpun ilmunya dan ilmu semua orang.”

Abu Hatim Mahmud bin al-Husein al-Qazmaini mengatakan: “Apapun yang ada dalam keperibadian dan fikiran Abu Bakar al-Baqillani jauh lebih besar daripada apa yang kita lihat.”

Al-Baqillani meninggal dunia tahun 403 Hijrah dan dikebumikan di dalam rumahnya. Beberapa waktu kemudian, dipindahkan ke pemakaman Bab al-Harb di Baghdad.

Susunan NORA IZIYANI SAYUTI

Translate »