Bertahun-tahun setelah Nabi Musa a.s wafat, Bani Israil mula melupakan ajaran baginda. Mereka pun menjadi bangsa yang lemah dan berpecah-belah. Mereka memerlukan seorang pemimpin yang dapat menyatukan mereka kembali.

Allah s.w.t mewahyukan kepada Samuel, pemimpin agama Bani Israil, agar melantik seorang pemuda bernama Talut. Talut memimpin Bani Israel untuk membebas dan mengembalikan harga diri mereka daripada tangan musuh mereka. Beliau menyiapkan pasukan untuk berperang melawan pasukan Filistin (kini Palestin) yang dipimpin oleh Jalut.

Meskipun menghadapi banyak dugaan, dengan semangat dan pertolongan Allah s.w.t, pasukan Talut berjaya menumpaskan pasukan Jalut. Meskipun berjumlah kecil, mereka setia bersama Talut bersedia menghadapi Jalut dan pasukannya. Mereka yakin bahawa Allah s.w.t akan menolong mereka mengalahkan pasukan Jalut.

Kisah Talut dan Jalut ini terdapat dalam al- Quran, surah al-Baqarah, ayat 246- 252.

JALUT

Ketika Talut diangkat menjadi pemimpin, Bani Israil dijajah oleh bangsa Filistin yang jauh lebih kuat. Pasukan Filistin dipimpin oleh seorang komander yang bertubuh sangat besar bernama Jalut. Jalut dibunuh oleh anak kecil yang kemudian menjadi seorang nabi, iaitu Daud (al-Baqarah: 51).

TALUT

Pelantikan Talut sebagai raja Bani Israel sangat mengejutkan kerana Talut yang bukan berasal daripada keluarga bangsawan. Bani Israil pun menolaknya. Namun, Samuel menjelaskan bahawa Talut adalah orang yang paling tepat. Allah s.w.t telah memilihnya, menganugerahkan kepadanya keluasan dan kematangan ilmu serta tubuh yang kuat.

PERANG ISRAEL- FILISTIN ( PALESTIN)

Talut menyeru Bani Israil memerangi musuh mereka yang kafir. Beliau dan pasukannya pergi ke medan perang. Apabila melihat pasukan Jalut yang lebih besar jumlahnya, beberapa orang daripada pasukan Talut berasa takut dan mengundurkan diri.

Jumlah pasukan Talut pun semakin sedikit. Maka Talut berdoa kepada Allah s.w.t, “Ya Tuhan kami, berikanlah kesabaran kepada kami dan kukuhkanlah pendirian kami dan tolonglah kami menghadapi orang kafir ini.” (al-Baqarah: 250).

Allah s.w.t memenuhi permohonan Talut. Pasukannya berjaya mengalahkan pasukan Jalut.

AIR SUNGAI

Ketika berangkat ke medan perang, Talut berkata kepada anggota pasukan tenteranya, “Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai. Maka sesiapa antara kamu meminum airnya, dia meminumnya, kecuali dengan seceduk tangan. Maka dia adalah pengikutku….” (al-Baqarah: 249).

Ketika sampai di sungai, sebahagian besar pasukannya membangkang. Hanya sebahagian kecil yang taat kepada Talut.

TABUT

Sesudah Nabi Musa a.s wafat, Bani Israil berpecah-belah dan sangat lemah. Tabut, peti daripada Allah s.w.t yang berisi kitab Taurat dan sepatutnya dijaga mereka, telah hilang. Tetapi, semasa pelantikan Talut, Tabut itu kembali ke tangan Bani Israil.

Ketika itu Samuel mengatakan bahawa pelantikan Talut oleh Allah s.w.t untuk memimpin Bani Israil ditandai dengan kembalinya Tabut (al-Baqarah: 248). Setelah mendapatkan Tabut kembali, barulah Bani Israil percaya akan perkataan Samuel dan bersetuju dengan pelantikan Talut.

 

Susunan ABD. RAZAK ABD. RAHMAN

Translate »