Ketika berdakwah di hadapan kaumnya, Nabi Musa menyatakan bahawa dirinya yang paling pandai dan luar biasa pengetahuannya. Oleh itu, Allah s.w.t. menegur Musa dan memerintahkannya untuk pergi menemui salah seorang hamba-Nya yang soleh.

Hamba Allah s.w.t itu ialah Nabi Khidir a.s. Kisah Nabi Khidir dan pertemuannya dengan Musa diceritakan dalam surah al-Kahfi ayat 60-82. Namanya memang tidak terdapat dalam ayat itu.

Baginda hanya disebut ‘Abd, yang bererti hamba (Q.18:65). Meskipun demikian, para ahli tafsir berpendapat bahawa ‘hamba’ yang dimaksudkan dalam ayat itu ialah Nabi Khidir yang menerima wahyu kenabian daripada Allah s.w.t dan mempunyai ilmu ghaib.

MUSA BERTEMU KHIDIR

Selepas mendapat perintah daripada Allah s.w.t, Nabi Musa pergi bersama-sama muridnya, Yusya bin Nun. Di tempat yang telah dinyatakan Allah s.w.t, Nabi Musa bertemu dengan dengan Nabi Khidir. Baginda ingin belajar daripada Nabi Khidir dan meminta izin untuk mengikutnya mengembara.

Nabi Khidir bersetuju, namun dengan syarat bahawa Nabi Musa perlu bersabar dan tidak bertanya tentang perbuatannya semasa dalam perjalanan, hingga dijelaskan sendiri oleh Nabi Khidir kemudiannya. Syarat itu diterima Nabi Musa.

MELUBANGKAN PERAHU

Nabi Khidir mengembara bersama-sama Nabi Musa. Ketika mereka menaiki perahu, tiba-tiba Khidir melubangkan perahu tersebut. Nabi Musa hairan dan terus bertanya. Nabi Khidir lalu mengingatkan kesalahan Nabi Musa yang telah melanggar janjinya. Nabi Musa pun meminta maaf dan berjanji tidak akan bertanya lagi.

MEMBAIKI RUMAH

Dalam perjalanan Nabi Khidir dan Nabi Musa, mereka tiba di sebuah desa. Nabi Khidir berasa penat dan lapar. Namun, sewaktu baginda meminta tolong agar diberikan makanan dan tempat berteduh, tidak ada penduduk desa yang mahu menolong. Maka kedua-duanya terus berjalan.

Nabi Khidir kemudian ternampak sebuah rumah yng hampir roboh. Baginda kemudian membetulkan dan menegakkan kembali dinding rumah itu. Nabi Musa hairan menyaksikan Nabi Khidir menolong penduduk yang tidak mahu memberikan bantuan kepadanya. Baginda bertanya, tetapi Nabi Khidir kembali menegur Nabi Musa dan mengingatkan janjinya.

MEMBUNUH ANAK

Ketika Nabi Khidir dan Nabi Musa dalam perjalanan, mereka berjumpa dengan seorang anak kecil. Nabi Khidir lalu memanggil anak itu, lalu membunuhnya. Nabi Musa tercengang melihat perbuatan itu. Disebabkan lupa akan janjinya, Nabi Musa menanyakan maksud pembunuhan itu. Nabi Khidir menegur Nabi Musa yang tidak sabar dan lupa akan janjinya.

HIKMAH DARI SEGI MORAL

Oleh sebab Nabi Musa sudah tiga kali melanggar janji, Nabi Khidir meminta agar mereka berpisah. Namun, sebelum berpisah, Nabi Khidir menjelaskan maksud setiap perbuatannya. Perahu yang baginda lubangkan adalah milik nelayan miskin.

Perahu itu dilubangkan agar tidak dirampas oleh raja jahat yang mahukan perahu itu. Anak kecil dibunuh kerana anak itu cenderung berbuat jahat dan apabila dewasa kelak mendorong ibu bapanya yang mukmin kepada kesesatan.

Dan rumah yang baginda perbaiki merupakan milik dua orang anak yatim,dan di bawahnya terdapat harta peninggalan ibu bapanya. Dinding rumah itu diperbaiki agar harta anak yatim itu selamat dan menjadi bekalan apabila dewasa kelak.

Susunan NAEMAH MUHAMMAD

Translate »