Al-Hambra merupakan nama sebuah istana dan benteng yang merupakan bangunan monumen yang paling indah daripada peninggalan arkitektur Islam di kota Granada, Sepanyol Selatan dan salah satu bukti sejarah dari ketinggian peradaban dan kesenian Islam.
Nama itu berasal dari kata Arab hamra, bentuk jamak dari ahmar (merah). Menurut suatu pendapat, istana itu disebut Al-Hambra kerana tanah tempat berdirinya berwarna merah. Ada pula yang berpendapat, istana itu dinamai demikian kerana dindingnya dibuat daripada batu merah. Pendapat lain menyatakan, nama itu diambil daripada al-Ahmar, nama pembuatnya.
Seluruh bangunan yang terdapat dalam kompleks Al-Hambra itu tidak dibangun sekali gus, melainkan secara bertahap selama lebih dari 100 tahun pada abad ke-14 dan ke-15. Pembinaan pertama dibangunkan oleh Sultan Muhammad bin al-Ahmar I (1257-1323 M), keluarga Bani al-Ahmar atau Bani Nasr, yang berketurunan Sa’id bin Ubadah, salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w dari suku Khazraj di Madinah. Kemudian bangunan itu diperluas oleh sultan-sultan sesudahnya.
Al-Hambra berada pada dataran di atas sebuah bukit kecil yang tingginya kira-kira 150 m di atas kota Granada. Dataran seluas kira-kira 14 hektar tersebut dikelilingi dinding yang dari jauh nampak bagaikan sebuah benteng yang kukuh. Di sekeliling dinding itu menjulang menara-menara yang megah sebanyak 13 buah, di antaranya ada yang setinggi 26 m.
Jalan menuju ke istana itu terasa sejuk dan nyaman kerana di sepanjang jalan berjajar pepohonan dan air pancuran. Setelah melewati Istana Generalif yang didirikan oleh Karel V (penguasa Sepanyol tahun 1516-1556 M), pengunjung akan sampai di depan gerbang Al-Hambra. Bangunan yang mula-mula dapat dilihat adalah Masjid al-Mulk atau Masjid Sultan.
Dinding yang mengelilingi Istana Al-Hambra dibuat dari batu buatan daripada tanah, kapur dan batu kerikil berwarna merah. Sepanjang tembok, bahagian bawah setinggi 4 kaki dihiasi dengan gambar-gambar, manakala bahagian atasnya pula ditutup dengan plaster simen. Lantai istana pula dibuat dari pada marmar putih bersegi empat. Atapnya berbentuk kubah. Di dalamnya terdapat taman-taman yang luas dan indah. Di bahagian belakang terdapat dua halaman luas di dalam gedung. Di atas semua bahagian istana, seperti dinding, langit-langit, tiang, ceruk dan lengkungan bertaburan pula arca-arca yang mewah.
Istana Al-Hambra terdiri daripada berbagai-bagai ruangan, masing-masing mempunyai nama dan keindahan yang berbeza, iaitu:
(1) Ruangan al-Hukmi, ruangan pengadilan berbentuk empat persegi setinggi 20 m. Ruangan ini mempunyai sebuah lambang yang menggambarkan tangan yang menadah ke langit dan anak kunci disampingnya, suatu lambang yang mengandungi makna bahawa keadilan membuka jalan untuk kebahagiaan dunia dan akhirat.
(2) Taman Singa, sebuah kawasan berukuran 28.5 m x 15.70 m di sebelah barat Ruangan al-Hukmi. Keempat penjuru lapangan ini dikelilingi oleh teras dengan 128 tiang marmar yang berlapis dua, berlapis tiga dan berlapis empat.
(3) Qa’atu Bani Siraj, sebuah ruangan berbentuk bujur sangkar di sebelah timur Taman Singa. Dindingnya dihiasi dengan ukiran keemasan dan hiasan tulisan Arab. Di tengah ruangan terdapat saluran air pancuran / pancutan daripada batu pualam.
Selain itu terdapat juga ruangan dua perempuan bersaudara, ruangan yang disediakan untuk dua orang saudara perempuan Sultan al-Ahmar. Di samping itu, ada juga ruangan bersiram, ruangan istirahat sultan dan permaisuri, sebuah taman di depan ruangan istirahat aultan, ruangan Barkah, ruangan Duta, ruangan as-Safra’dan masjid di sebelah utara ruangan istirahat sultan.
Seorang penyair dari India yang mengunjungi Al-Hambra menuliskan ketakjubannya pada salah satu pintu Al-Hambra itu: “Andaikan Firdaus ada di dunia, maka Firdaus itu adalah Al-Hambra.”
Kota Granada dengan Al-Hambra jatuh ke tangan penganut Kristian tahun 1492 M, dan Al-Hambra menjadi istana Kristian.
Susunan RODZIAH RADZI
Recent Comments