Arah menghadap ketika solat disebut “kiblat”, iaitu Kaabah di Mekah, Arab Saudi. Kiblat berasal daripada bahasa Arab al-qiblah yang bererti arah. Kata al-qiblah sendiri berasal daripada kata kerja qabala-yaqbalu yang bermaksud menghadap.
Kewajipan umat Islam untuk berkiblat ke Kaabah di Mekah bermula pada tahun kedua Hijrah. Sebelum itu, ketika melaksanakan solat umat Islam masih menghadap ke al- Sakhrah di Baitulmaqdis.
Perubahan arah kiblat solat ini didasarkan pada firman Allah s.w.t yang memerintahkan umat Islam mengubah arah kiblat dari Baitulmaqdis ke Masjidil Haram di Mekah.
BATAS KIBLAT
Ada dua ayat yang menyebut tentang batas kiblat bagi umat Islam, iaitu Q. 2:144 dan 150 yang bermaksud: “Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjidilharam.”
Kata syatr (arah) dalam ayat tersebut dipertikaikan oleh ulama fikah. Ada yang memahaminya sebagai “tepat mengarah ke Kaabah” dan ada pula yang memahaminya “sekitar Kaabah sekalipun tidak tepat menghadap Kaabah.“
Kedua- dua pendapat tersebut dibenarkan kerana mereka yang berada di sekitar dan langsung melihat Kaabah tentu harus menghadap ke Kaabah.
KIBLAT AL-SAKHRAH
Sejarah mencatatkan bahawa ketika Nabi Muhammad s.a.w. bersama- sama para sahabat tiba di Madinah (622M), Allah s.w.t memerintahkan umat Islam untuk berkiblat ke al- Sakhrah (batu cadas) di Baitulmuqaddis.
Akibatnya, orang Yahudi, sebahagian besar penduduk Yathrib (Madinah) pada waktu itu, berasa bangga kerana umat Islam berkiblat ke tempat kiblat mereka. Bahkan mereka kadang-kadang mengejek umat Islam dan menganggap bahawa Muhammad s.a.w mengikuti kiblat.
Nabi Muhammad s.a.w memohon ke hadrat Allah s.w.t supaya umat Islam berkiblat ke Kaabah. Allah berfirman yang bermaksud: “Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang- ulang menengadah ke langit maka kami benarkan engkau berpaling menghadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu, palingkanlah mukamu kea rah Masjidil Haram.” (Q.2:144).
Orang yang tidak mengetahui arah kiblat boleh berijtihad untuk menentukan arah kiblat. Tanda alam yang dapat dijadikan petunjuk ialah fajar, matahari, dan arah mata angin.
Bagaimanapun, jika ada orang boleh dipercayai, maka petunjuknya boleh juga diikuti. Ketika masuk waktu solat semasa berada diatas kenderaan seperti kereta api, orang Islam boleh melakukan solat tanpa menghadap kiblat.
MIHRAB
Mirhab ialah bahagian bangunan masjid yang menentukan arah kiblat. Mihrab berfungsi sebagai tempat imam memimpin solat Jemaah. Masjid terikat dengan kiblat dan mempengaruhi kedudukan, corak dan struktur mihrab.
Perkembangan seni bina Islam banyak mengilhamkan pembangunan mihrab yang hebat. Biasanya terdapat sebuah mimbar di mirhab yang menjadi bahagian utama keindahan seni bina dalaman masjid.
SYARAT KHUSUS
Salah satu syarat sah solat ialah mneghadap ke kiblat. Namun, ada dua syarat yang tidak mengharuskan umat Islam mengghadap kiblat.
Syarat pertama ialah ketika berada di atas kenderaan. Ini didasarkan pada firman Allah s.w.t yang bermaksud: ”Maka ke mana saja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk menghadap Allah), maka di situlah arah yang diredai Allah.” (Q.2:155)
Syarat kedua ialah ketika berada di dalam keadaan takut, dipaksa dan sakit. Ini didasarkan pada firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Dan jika kamu takut akan sesuatu (bahaya), maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan.” (Q.2: 239)
Ayat ini sering kali ditafsirkan sebagai “bolah melaksanakan solat tanpa menghadap ke Kaabah dalam keadaan tertentu.”
UJIAN KETAATAN
Perintah pemindahan kiblat dari al-Sakhrah di Baitulmaqqdis ke Kaabah di Mekah membuatkan orang Yahudi tertanya-tanya, “Apakah yang menyebabkan umat Islam mengubah kiblat ibadatnya?”
Pemindahan kiblat tersebut bertujuan antara lain untuk menguji ketaatan umat Islam dan untuk menunjukkan kehendak dan kekuasaan Allah s.w.t.
ANTARA TIMUR DENGAN BARAT
Kiblat bagi orang yang tidak melihat Kaabah ialah arah Kaabah, sesuai dengan sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: “Arah antara timur dengan barat adalah kiblat. “Bahkan, kiblat Kaabah tidak terbatas pada timur dan barat saja, tetapi termasuk juga udaranya, baik ke atas mahupun ke bawah.”
Oleh sebab itu, orang yang berada di angkasa atau di dasar laut, umpamanya, boleh melakukan solat.
Susunan MASITAH MUHAMMAD
Recent Comments