Kumpulan cerita yang dinisbahkan kepada bangsa Yahudi secara umum dapat disebut Israiliyat. Bagaimanapun, dalam pembahasan mengenai tafsir al-Quran dan hadis Nabi Muhammad s.a.w, kisah Israiliyat tidak hanya dialamatkan atau disandarkan kepada tradisi agama Yahudi, melainkan juga kepada agama Nasrani dan hikayat lain yang terangkum dalam tradisi Yahudi–Kristian. Israiliyat boleh berbentuk tulisan mahupun narasi yang ditemukan dalam kesusasteraan Islam, khususnya tafsir dan hadis.

 

Israiliyat menjadi isu penting dalam Islam sejak meluasnya pentafsiran dan pemahaman terhadap ayat-ayat al-Quran dan hadis Nabi s.a.w. Al-Quran dan hadis merupakan dua sumber pengetahuan dan hukum Islam yang memerlukan pemahaman dan pentafsiran. Sebahagian daripada kisah Israiliyat dibenarkan dan diterima oleh kaum Muslim tetapi sebahagian lagi ditolak.

 

Pada zaman Nabi Muhammad s.a.w, para sahabat dapat menanyakan langsung kepada Nabi s.a.w mengenai penafsiran dan pemahaman ayat al-Quran serta hadis dan Nabi s.a.w dapat menjelaskan langsung kepada mereka maksud daripada ayat al-Quran dan hadis itu. Sebahagian sahabat merasa puas dengan penjelasan Nabi s.a.w, namun sebahagian lagi tidak, khususnya menyangkut ayat-ayat yang berkaitan dengan sejarah masa lalu. Untuk itu, mereka menanyakan akan penjelasan lebih terperinci kepada sahabat-sahabat Nabi s.a.w yang sebelumnya beragama Yahudi atau Nasrani.

 

Tidak semua penjelasan sahabat Nabi s.a.w yang merupakan bekas Yahudi dan Nasrani itu bersumber daripada fakta sejarah yang tertulis dalam kitab suci kedua-dua agama itu. Seringkali penjelasan mereka melibatkan unsur psikologis dan pengalaman peribadi mereka sebagai bekas penganut tradisi Yahudi-Nasrani. Bahkan, beberapa doktrin teologi Yahudi-Nasrani juga kerap kali masuk dalam penjelasan mereka ketika mentafsirkan sesuatu ayat atau hadis.

 

Umumnya, kisah-kisah Nabi dan Rasul dalam tradisi Islam dikemukakan dengan mengambil inspirasi daripada tradisi Israiliyat, baik Yahudi mahupun Nasrani. Di dalam al-Quran, kisah-kisah tersebut seringkali disampaikan dalam bentuk pesanan moral sahaja. Contohnya, kepercayaan mengenai akan datang kembali Isa al-Masih sebagai al-Mahdi di kalangan Ahlususnnah Waljamaah merupakan kepercayaan yang berasal daripada Israiliyat. Kisah Hawa yang dicipta daripada tulang rusuk Adam juga termasuk Israiliyat.

 

Setelah Nabi s.a.w wafat, maklumat tentang Israiliyat tersebar lebih luas tanpa penapisan. Apalagi keterangan-keterangan itu datang daripada para sahabat Nabi s.a.w yang dihormati seperti Ka’b al-Ahbar dan Abdullah bin Salam, dua orang bekas penganut agama Yahudi yang tinggal di Madinah.

 

Pada masa generasi sesudah sahabat Nabi s.a.w, Israiliyat mula mendapat perhatian serius kerana banyak riwayat yang tidak lagi hanya bersifat pentafsiran sejarah tetapi sudah masuk persoalan akidah dan hukum. Para ahli hadis menjadi sangat selektif dalam menerima riwayat yang dianggap sebagai ucapan Nabi s.a.w atau sahabat.

 

Riwayat-riwayat Israiliyat paling banyak ditemukan dalam kitab-kitab tafsir. Bahkan boleh dihitung tidak ada satu kitab tafsir pun yang luput daripada sentuhan Israiliyat. Tafsir-tafsir besar seperti Jami’ al-Bayan karya at-Tabari, Tafsir al-Quran al-Azim karya Ibnu Kasir, dan Tafsir al-Alusi karya Syihabuddin al-Alusi adalah karya-karya tafsir berpengaruh yang banyak memuatkan riwayat Israiliyat. Bahkan Rasyid Rida, pentafsir moden Mesir yang anti terhadap kisah Israiliyat, dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Manar, memuatkan banyak riwayat yang bersumber daripada Israiliyat.

 

Susunan PUTERI SALBIAH MOHD SANI

Translate »