Rasulullah saw memberi khabar gembira kepada sejumlah orang dari kalangan sahabat-sahabatnya. Ini benar-benar khabar gembira yang agung, yang diperolehi sebahagian sahabat Rasulullah s.a.w. dengan takwa dan kebaikan amal mereka.

Disebutkan dalam Sunan karya Tarmizi, dari Abdurrahman bin Auf r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Abu Bakar di syurga, Umar di syurga, Usman bin Affan di syurga, Ali bin Abi Thalib di syurga, Thalhah di syurga, Zubair di syurga, Abdurrahman bin Auf di syurga, Sa’ad bin Abi Waqqash di syurga, Sa’id bin Zubair di syurga, Abu Ubaidah bin Jarah di syurga.” (HR Ahmad dalam Musnad, Shahih Jami’ Ash-Shaghir dengan sanad yang shahih).

Beberapa kitab hadis menyebutkan bahawa suatu ketika Rasulullah s.a.w. duduk-duduk di sekitar perigi Aris dengan Abu Musa Al-Asy’ari, sang penjaga perigi atau juru kunci. Lalu, datanglah Abu Bakar meminta izin.  Rasulullah s.a.w. berkata kepada Abu Musa Al-Asy’ari, “Izinkan dia dan gembirakanlah dia dengan syurga.”  Kemudian, Umar datang, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Abu Musa Al-Asy’ari, “Izinkan dia dan gembirakanlah dia dengan syurga.”  Kemudian Usman datang, lalu Rasulullah s.a.w. berkata kepada Abu Musa Al-Asy’ari, “Izinkanlah dia dan gembirakanlah dia dengan syurga kerana musibah yang akan menimpanya.” (HR Bukhari dan Muslim).

Diceritakan dari Ibnu Mas’ud r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Orang yang berdiri setelahku akan berada di syurga.  Orang yang berdiri setelah dia juga akan berada di syurga.  Yang ketiga dan yang keempat juga akan berada di syurga.”  (Shahih Jami’ Ash-Shaghir, dari Ibnu Asakir).

Yang dimaksud dengan kata-kata ‘yang berdiri setelahnya’ adalah yang mengikuti atau menggantikan dalam pemerintahan (khalifah).  Empat orang sahabat tersebut adalah Abu Bakar, Umar bin Khattab, Usman bin Affan  dan Ali bin Abi Talib r.a.

Catatan: Ibnu Khaldun

Translate »