Salah satu aliran terpenting dalam teologi Islam ialah Asy’ariyah. Tokoh aliran atau doktrin ini ialah Abu Hasan al-Asy’ari yang membuat pembaharuan menerusi aliran Ahli Sunnah wal Jamaah. Aliran ini wujud pada abad ke-9 untuk menolak pandangan golongan Muktazilah yang menyesatkan umat Islam.
Kaum Muktazilah pada masa khalifah Abbasiah yang dipimpin oleh al-Makmun (813-833) melakukan minhaj atau ujian akidah dan mendapat tanggapan negatif daripada orang ramai.
Pandangan Asy’ari yang menolak pandangan Muktazilah ini disokong oleh Khalifah al-Mutawakkil dan menetapkan aliran Asy’ariyah sebagai mazhab rasmi. Banyak ulama besar menyatakan dirinya memeluk mazhab ini termasuklah Imam al-Ghazali.
Abu Hasan al-Asy’ari dilahirkan di Basrah pada tahun 873. Semasa meningkat dewasa, Asy’ari lebih tertalik untuk mendalami ilmu teologi, khususnya ajaran Muktazilah dan sering berdiskusi bersama gurunya, Abu Ali al-Jubba’i.
Namun begitu, setiap jawapan yang diberikan oleh gurunya itu tidak dapat memuaskan hatinya sehinggalah beliau berubah haluan pada umur 40 tahun.
Asy’ariyah beriman kepada sifat 20 bagi Allah. Pada awalnya Asy’ariyah hanya memperkenalkan 13 sifat-sifat Allah tetapi akhirnya mengembangkannya kepada 20 sifat. Asy’ariyah bersikap sederhana terhadap doktrin teologi. Pada satu sisi, Asy’ariyah menggunakan akal untuk menyingkap permasalahan teologi tetapi penuh yakin terhadap wahyu Allah.
Abu Hasan al-Asy’ari membuat pembaharuan dalam aliran Ahli Sunnah dengan mengemukakan hujah-hujah logik akal serta teks-teks al-Quran dan hadis yang ada. Hujah-hujah yang dikumpulkan cukup kuat bagi mematahkan hujah Muktazilah yang pesat berkembang pada masa itu. Beliau berjaya mengumpulkan ramai murid dan pengikut. Kemudian, lahir golongan Ahli Sunnah wal Jamaah dikenali sebagai Asya’irah iaitu golongan pengikut fahaman Abu Hasan al Asy’ari.
Antara teori Abu Hasan al-Asy’ari adalah mengemukakan 13 sifat yang wajib bagi Allah secara terperinci, iaitu:
- Ada
- Bersedia
- Kekal
- Berlawanan dengan sesuatu yang baharu
- Berdiri dengan sendirinya
- Satu
- Berkuasa
- Berkehendak
- Mengetahui
- Hidup
- Mendengar
- Melihat
- Berkata
Aliran Muktazilah menolak sifat-sifat Tuhan. Namun aliran Asy’ariyah menyatakan, Tuhan memiliki sifat tetapi sifat yang dimiliki oleh-Nya tidak perlu dipersoalkan berdasarkan daya pemikiran manusia. Ini kerana, pemikiran manusia tidak terjangkau untuk memikirkan sifat-sifat Allah kerana daya pemikiran manusia adalah terbatas.
Aliran Asy’ariyah berkembang di dunia Timur iaitu India, Afghanistan, Pakistan sehinggalah ke Indonesia. Semasa era Mahmud Ghaznawi di India, aliran ini tersebar luas dan mempunyai ramai pengikut.
Sejak Asy’ariyah muncul, Ahli Sunnah wal Jamaah menjadi istilah kepada penggunaan aliran ini. Secara falsafahnya, Ahli Sunnah wal Jamaah adalah sekelompok orang Muslim yang meyakini adanya urutan hierarki empat sahabat Nabi s.a.w. Dan, hal ini tidak dinafikan oleh Asy’ariyah.
Catatan: Ibnu Khaldun
Recent Comments