Salah seorang ahli fiqh tersohor dalam Mazhab Hanbali adalah Ibnu Qayyim al-Jauziah (1292-1350). Beliau seorang ulama besar yang menguasai bahasa Arab, tafsir, hadis, sejarah, tasawwuf, ilmu kalam, dan falsafah.
Nama asalnya adalah Syamsuddin Abi Abdillah Muhammad bin Abi Bakar. Nama Ibnu Qayyim al-Jauziah berasal daripada nama jawatan ayahnya (qayyim/pengelola) di Madrasah al-Jauziah.
Sebagaimana guru dan sekali gus sahabatnya, Ibnu Taimiyah (1263-1328), Ibnu Qayyim mengkritik para falsafah dan sufi serta kaum Muktazilah, Jahmiyah dan Murji’ah, yang dianggap membawa ajaran sesat.
Beliau sefahaman dengan kaum Salaf dalam masalah akidah, kepercayaan dan kalam. Murid-muridnya yang terkenal, antara lain adalah Ibnu Rajab (tokoh fiqh Mazhab Hanbali) serta Ibnu Kasir (mufasir dan ahli ilmu hadis) dan kedua-dua anaknya, al-Burhan dan Syarifuddin (kedua-duanya ahli fiqh).
Ibnu Qayyim dilahirkan daripada keluarga pencipta ilmu. Beliau memulakan pendidikan formalnya di Madrasah al-Jauziah yang dikelolakan ayahnya, Abi Bakr bin Ayyub az-Zar’i. Ibnu Qayyim banyak belajar daripada pelbagai ahli, baik di Damsyik, Kaherah mahupun Mekah.
Gurunya dalam bidang fiqh antara lain ialah Asy-Syirazi (1236-1311) dan Ismail Majduddin al-Farra al-Harrani (m. 1329). Ilmu tauhid dan usul fiqh dipelajarinya daripada Muhammad Syafiuddin bin Abdurrahman bin Muhammad al-Armawi asy-Syafi’I (m. 1315). Sementara Ibnu Taimiyah, sejak kembali dari Mesir (1312), menjadi guru tetapnya dalam bidang tafsir, hadis, fiqh, faraid, dan ilmu kalam.
Ibnu Qayyim berpendapat bahawa ijtihad harus berkembang sesuai dengan perkembangan dan situasi di pelbagai tempat dan zaman. Pemikiran ini merupakan refleksi dan reaksi daripada pendapat umum yang menganggap pintu ijtihad telah tertutup.
Beliau menyeru agar ijtihad lebih diaktifkan kerana hukum yang ada ketikat itu tidak sesuai lagi untuk digunakan. Beliau mengecam keras sikap taklid ulama pada zamannya.
Menurutnya, ulama harus menggunakan akal semaksimum mungkin dalam berijtihad. Penggunaan akal tersebut harus dilandasi dengan niat dan tujuan yang lurus dan ikhlas, tanpa disertai kecenderungan peribadi atau memihak kepada golongan tertentu. Ibnu Qayyim juga mengemukakan beberapa metode ijtihad.
Beliau berpendapat bahawa metode yang dapat digunakan dalam berijtihad adalah ijmak, kias, al-maslahah al-mursalah (kemaslahatan yang tidak didukung dalil syarak secara terperinci, tetapi didukung makna sejumlah nas), istishab (tetap berlakunya suatu hukum kerana tidak adanya hukum baru), ’urf (kebiasaan yang berlaku di tengah masyarakat dan berjalan dengan baik), dan az-zariah (sesuatu yang membawa pada sesuatu yang di larang kerana mengandungi kemudaratan).
Ibnu Qayyim mengecam pemikiran tasawwuf yang mencampuradukkan Tuhan dan alam atau manusia, di antaranya fahaman hulul al-Hallaj, ittihad Abu Yazid al-Bustami, dan wahdatul wujud Ibnu Arabi.
Beliau juga mengecam para sufi yang meniadakan taklif (kewajipan keagamaan), memisahkan syariat daripada hakikat dan berlebih-lebihan dalam beribadah. Beliaumenjadikan al-Quran dan Hadis sebagai pedoman tasawwuf.
Menurutnya, bertasawwuf dengan sesungguhnya adalah meniru perilaku hidup Nabi Muhammad s.a.w.
Bersama dengan Ibnu Taimiyah, beliau berupaya memadukan syariat dan tasawwuf. Beliau juga mengajarkannya maqam (tahapan sufi) yang harus dilalui oleh para pengikut tarekat agar berada sedekat mungkin dengan Allah s.w.t seperti zuhud, taubat, warak, kefakiran, sabar, tawakal dan reda.
Mari kita renungi sepotong hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud:
“Kelebihan seorang alim (ilmuwan) terhadap seorang ‘abid (ahli ibadah) ibarat bulan purnama terhadap seluruh bintang.” (Riwayat Abu Daud)
Catatan: Ibnu Khaldun
Recent Comments