Oleh: M. Jazmie

Suatu hari, seorang imam telah berkunjung ke Baghdad untuk menimba ilmu. Kedatangannya disambut oleh para ulama. Maka berkumpullah ulama tadi untuk menguji daya ingatan si imam.

Sepuluh orang ulama terhandal dipilih. Ulama pertama tampil, lalu menyebut sepuluh buah hadis, namun nama para perawi tadi serta susunan sanadnya telah sengaja ditunggang-langgangkan serta dipalsukan.

Imam tadi terdiam dan memberitahu bahawa dia tidak mengetahui tentang hadis-hadis berkenaan. Dia kemudian membaca semula hadis-hadis berkenaan dengan betul dan lengkap berserta susunan sanad dan nama perawinya yang sebenar.

Tampil ulama kedua, juga menguji imam tadi dengan sepuluh hadis berserta sanad dam perawi yang diputarbelitkan. Sekali lagi imam tersebut membetulkan hadis-hadis berkenaan dengan tertib dan teratur. Begitulah seterusnya hingga lengkap sepuluh orang ulama semuanya.

Terkejut bukan kepalang para ulama tadi. Mereka mengakui, imam ini bukan sembarangan. Ilmu hadisnya cukup tinggi dan daya ingatannya sangat kuat. Bayangkan, 100 hadis dengan sanad dan perawi yang telah dipalsu dan diputarbelitkan, namun imam ini mampu membetul serta menyusunnya semula dengan tepat, tanpa sebarang cacat cela.

Tahukah anda siapa imam yang hebat ini?

Beliau ialah Muhammad Ibnu Ismail al-Bukhari, atau lebih dikenali sebagai Imam Bukhari, seorang tokoh periwayat hadis dari Bukhara (kini Uzbekistan) yang tiada tolok bandingnya dalam sejarah Islam. Kisah ini dicatatkan di dalam mukadimah kitab Fath al-Bari, karya Ibnu hajar (wafat pada 1449 Masihi).

SUATU MALAM Ibnu Al-Jassas menziarahi anaknya yang sedang nazak. Dia duduk di sisi anaknya sambil menangis dan berkata, “Cukuplah Allah bagimu, wahai Anakku. Malam ini adalah malamnya Harut dan Marut.”

Orang di sekelilingnya terkejut, lantas bertanya, “Kenapa Harut dan Martut?”

Ibnu Al-Jassas segera membetulkan kesilapannya, “Semoga Allah melaknati kelupaanku ini. Yang aku maksudkan ialah Yakjuj dan Makjuj!”

Orang ramai bertanya lagi, “Kenapa pula Yakjuj dan Makjuj?”

Ibnu Al-Jassas cepat memintas: “Maksud aku Jalut dan Talut!”

Orang yang berada di rumah itu menggeleng kepala dan berkata, “Kami rasa yang engkau maksudkan ialah Munkar dan Nakir.”

Ibnu Al-Jassas: “Betul… betul. Yang aku maksudkan tadi memang Munkar dan Nakir!”

HAHAHA… begitulah otak kita, pembaca sekalian. Boleh ingat, boleh lupa. Otak sememangnya organ manusia yang paling ajaib dan misteri. Otak kita ini hanya sekitar 420 gram saja beratnya. Saiz pun lebih kurang tempurung kelapa saja, namun di sana terdapat berpuluh-puluh juta sel neuron dengan sistem saraf yang sangat seni dan kompleks, yang tidak dapat dihuraikan oleh para saintis sampailah sekarang!

Dalam penciptaan organ putih yang kenyal dan kompleks itulah tersimpannya segala ingatan setiap manusia.  Apa itu ingatan? Ia bolehlah diringkaskan kepada kemampuan untuk menyimpan informasi sehingga dapat digunakan lagi pada masa yang akan datang.

Para saintis ada yang menyimpulkan ingatan itu kepada tiga peringkat, iaitu pengekodan, iaitu mengubah informasi menjadi simbol-simbol atau gelombang-gelombang tertentu sesuai dengan peringkat yang ada pada sesuatu hidupan.

Kedua, penyimpanan, iaitu informasi yang telah diubah akan dipertahankan pada tahap penyimpanan. Ia disimpan di tempat tertentu, dengan kategori tersendiri.

Ketiga, pemanggilan kembali, iaitu proses mengingat semula, mencari dan menemukan informasi yang disimpan dalam ingatan untuk digunakan  apabila diperlukan.

Tidak perlulah dihuraikan dengan terperinci semua proses yang dilakukan oleh otak. Cuma boleh diringkaskan, otak kita ini boleh mengingat informasi jangka panjang dan jangka pendek. Setiap kita pula dianggarkan boleh menyimpan satu kuadrilion (satu kuadrilion adalah angka 1 diikuti dengan 15 angka kosong) informasi jangka panjang

Jumlah ini jauh lebih besar kapasitinya daripada sebuah komputer. Bayangkan, kapasiti memori di otak kita mampu terus menerus menerima informasi demi informasi sejak lahir hingga meninggal dunia. Bayangkan berapa banyak informasi dan ingatan yang disimpan oleh otak seseorang yang usianya mencecah lebih 100 tahun.

Sedangkan sesebuah komputer, kapasiti memorinya perlu ditambah, ditambah dan ditambah seiring dengan bertambahnya informasi yang diterima. Malah, sistem dan gedung memorinya juga boleh berlaku kerosakan menyebabkan semua informasi yang disimpan hilang kesemuanya dan tidak dapat dijumpai lagi.

Semua orang mahu menjadi orang yang kuat ingatan, bukan? Ini kerana, dengan ingatan yang kuat, kita mampu mengingati setiap butiran yang diajar oleh ibu bapa dan guru-guru. Kita menjadi manusia genius, seperti…

Antonio de Marco Magliabechi, seorang warga Itali yang lahir pada 1633 mampu menulis seluruh isi sebuah buku dengan hanya membacanya sekali sahaja. Ia dilakukan dengan menggunakan ingatan fotografik.

Dario Donatelli memecahkan rekod ingatan dunia dengan mengucapkan kembali rangkaian 73 angka dalam masa 48 saat sahaja. Kaukamata, seorang ketua suku Maori di New Zealand, mampu mengingat seluruh sejarah suku kaumnya dari 45 generasi selama seribu tahun. Sejarah setiap satu generasi memakan masa tiga hari.

Kardinal Mezzofani boleh bertutur 60 bahasa dengan baik. Christin Friedrich Hernaker, bayi genius dari Lubeck, Jerman, lahir pada 1721. Ketika usianya 10 bulan dia mampu mengingat setiap perkataan yang didengarinya. Pada usia tiga tahun, Christin boleh bercakap dalam bahasa Latin dan Perancis,  memahami Injil, geografi dan sejarah dunia secara. Namun, budak genius itu meninggal dunia ketika berumur  empat tahun setelah meramalkan kematiannya sendiri.

Begitulah hebatnya daya ingatan manusia. Tidak perlu menjadi genius, ingatan sangat penting dalam kehidupan ini. Dengan adanya ingatan, barang yang disimpan tidak akan hilang. Pengalaman yang telah berlaku dahulu mudah saja diungkap semula dengan tepat dan cepat. Kehidupan ini menjadi begitu mudah. Hebat, bukan?

Tapi soalnya, kenapa kita juga sering lupa, seperti cerita Al-Jassas tadi? Apa terjadi pada otak kita?

UNTUK PENGETAHUAN anda, kelupaan terjadi akibat pelbagai faktor. Antaranya, ingatan itu rosak dan menghilang apabila informasi  tidak digunakan dalam waktu yang lama. Kedua, informasi itu tidak haus, tetapi mula bercampur aduk dan saling mengganggu antara satu sama lain. Ada kalanya, informasi yang baru diterima mengganggu informasi yang lama disimpan.

Ketiga, informasi jangka panjang masih tersimpan di dalam stor memori, tetapi kita tidak mempunyai petunjuk yang memadai. Kalau kita mendapat petunjuk yang cukup, ingatan itu akan datang kembali.

Keempat, kita sengaja melupakannya. Informasi itu sebenarnya ada, tetapi kita sengaja tidak mahu mengingatnya. Sebahagian daripada informasi ini akhirnya terpadam terus dan luput daripada ingatan. Kelima, akibat penyakit, kemerosotan dan kegagalan fungsi otak. Misalnya nyanyuk.

Soalan saya mudah saja: Anda mahu jadi orang yang kuat ingatan dan tidak pernah lupa, atau jadi orang yang pelupa? Tentu anda pilih yang pertama, kan. Tapi hidup ini bukan begitu. Pembaca sekalian, sebagai manusia, kita perlukan kedua-duanya. Ia umpama siang dan malam. Saling melengkapi, saling mengindahi.

Benar, dengan adanya siang, hidup ini dapat dijalankan dengan lancar. Tapi kita juga perlukan rehat. Lalu Allah ciptakan malam untuk kita berehat, tidur serta bersantai sambil melihat keagungan-Nya yang terpancar pada bintang-bintang di angkasa.

Dengan malam kita dapat menghabiskan masa bersama keluarga, memerhatikan keindahan lampu dan bunga api. Wujudlah juga perniagaan yang berasaskan cahaya, haiwan bingkas mencari makanan, bumi menjadi sejuk semula dan sebagainya. Begitulah manfaat Allah menciptakan malam.

Sekarang bayangkan kalau Allah tidak menciptakan lupa. Mampukah kita hidup dengan terus menerus teringat kepada tragedi yang berlaku dalam hidup kita? Mampukah jiwa kita menanggung penderitaan akibat kematian dan penderitaan orang-orang yang disayangi?

Bayangkan kalau kita hidup sehingga umur 100 tahun. Dalam tempoh itu, ingatan demi ingatan terus datang bertimpa-timpa, berasak-asak, terbayang sedang terperinci.

Suara tangisan terngiang di telinga. Jasad suami yang hancur akibat kemalangan bermain di mata. Suara herdikan bos yang panas baran terus teringat-ingat di minda. Pendeknya, semua ingatan yang buruk tidak pernah luput daripada ingatan.

Mampukah kita hidup dalam keadaan begitu? Tentu sekali tidak. Ia sangat menyeksakan.

Oleh kerana itulah Allah ciptakan lupa, supaya kita dapat melupakan peristiwa yang tidak mahu kita ingati. Akhirnya, jiwa kita menjadi tenang semula dan kita dapat menghadapi hari-hari yang mendatang dengan tenteram dan yakin.

Dengan adanya lupa juga hidup menjadi ceria. Kalau tidak, masakan terjadi peristiwa-peristiwa lucu seperti yang berlaku pada Al-Jassas tadi. Begitulah hebatnya Dia yang Maha Pencipta, yang mencipta semua yang ada di alam ini berpasang-pasangan (Surah Yasin, 36 dan Az-Zariat: 49).

Translate »