Ahmad Hassan (terkenal dengan gelaran Hassan Bandung), dilahirkan di Singapura pada tahun 1887 dengan nama semasa kecilnya Hassan bin Ahmad. Beliau dianggap sebagai tokoh ulama Nusantara, dan lebih dikenali di Indonesia kerana peranannya dalam Persatuan Islam (Persis) yang memang terkenal di sana.
Ayahnya berasal dari India. Sementara ibunya, Muznah, berasal daripada keluarga Muslim, di Palekat, Madras, India dan mempunyai susur galur keluarga dari Mesir, tetapi lahir di Surabaya. Kedua-dua ibu bapa Hassan bernikah di Surabaya ketika bapanya merantau ke kota itu walaupun akhirnya menetap di Singapura.
Di samping berniaga, ayahnya (Ahmad) adalah seorang pengarang dalam bahasa Tamil dan pemimpin majalah Nurul Islam yang diterbitkan di Singapura.
Di dalam majalah yang dipimpinnya, Ahmad sering berdebat mengenai berbagai-bagai hal dan masalah agama menerusi rencana dan soal jawab agama. Dalam suasana dan kerjaya bapanya sebagai ahli perniagaan dan pemimpin majalah itulah Hassan dilahir dan dibesarkan di Singapura.
Sebagai anak lelaki, ayahnya juga mahu Hassan apabila besar nanti menjadi seorang penulis sepertinya juga. Untuk tujuan itu, beliau berusaha memberi pendidikan secukupnya kepada Hassan.
Suatu keistimewaan yang yang dianugerahkan Allah s.w.t kepada Hassan, dalam usia tujuh tahun, dia sudah mulai mempelajari al-Quran dan pengetahuan asas dalam bidang agama. Berkat ketekunan dan kecerdasannya, kedua-dua pelajaran ini dapat diselesaikannya dalam tempoh dua tahun.
Selepas itu, Hassan memasuki sekolah Melayu selama empat tahun dan mempelajari bahasa Arab, bahasa Melayu, bahasa Tamil dan bahasa Inggeris. Hassan tidak sempat menamatkan sekolah dasarnya di Singapura, tetapi dia sudah mulai bekerja pada usia 12 tahun. Dia bekerja di sebuah kedai kepunyaan abang iparnya, Sulaiman.
Pada masa itulah beliau belajar dengan Haji Ahmad di Bukit Tinggi. Ketokohan gurunya yang disegani dan berakhlak tinggi itu mempengaruhi jiwa Hassan walaupun gurunya itu bukanlah ulama besar.
Pelajaran yang diterima Hassan adalah sama seperti anak-anak muda lain, iaitu belajar sembahyang, berwuduk, berpuasa dan lain-lain. Hassan mempelajari ilmu ‘nahwu’ dan ‘saraf’ daripada Muhammad Thaib, seorang guru terkenal di Minto Road, juga terkenal dengan nama Kampung Rokoh.
Demi semangat dan cintanya terhadap ilmu, Hassan menerima persyaratan daripada gurunya, iaitu datang belajar pada waktu pagi sebelum Subuh dan tidak boleh menaiki kenderaan ketika datang mengaji.
Setelah beberapa lama belajar ‘nahwu-saraf,’ Hassan memperdalami pula bahasa Arab daripada Said Abdullah al-Munawi al-Manusili selama beberapa tahun. Di samping itu, Hassan juga memperdalami ilmu agama daripada Abdu Lathif (guru yang terkenal di Melaka dan Singapura), Haji Hassan (Syeikh dari Malabar) dan Syeikh Ibrahim India.
Semua proses pembelajaran ini ditekuni oleh Hassan dengan penuh dedikasi hingga tahun 1910 ketika Hassan berusia 23 tahun. Meskipun ketekunannya dalam menuntut ilmu begitu tinggi, di luar waktu belajar, Hassan juga mempunyai ketrampilannya tersendiri, mengasah bakat dalam bidang tenunan dan pertukangan kayu. Beliau juga sempat membantu ayahnya di kilang percetakan, menjadi pelayan di kedai menjual permata, minyak wangi, dan sebagainya, malah pernah bekerja di Jeddah Pilgrim’s Office, sebuah pejabat urusan jemaah haji.
Setelah menyelesaikan pelajaran hingga tahun 1910, Hassan mula mengabdikan diri sebagai guru sementara di madrasah untuk orang-orang India di beberapa tempat, antaranya di Arab Street, Baghdad Street, dan Geylang di Singapura.
Beliau kemudianya dilantik sebagai guru tetap menggantikan Kiai Fadlullah Suhaimi di Madrasah As-Saggaf yang mempunyai peringkat pengajian sampai Ibtidaiyah dan Tsanawiyah.
Keinginan ayahnya untuk melihat Hassan menjadi penulis mula menampakkan hasilnya apabila Hassan mulai menunjukkan kecenderungannya dalam bidang tersebut dalam usia yang masih muda. Pada tahun 1912-1913, beliau bekerja di Utusan Melayu yang diterbitkan di Singapura, pimpinan Hamid dan Sa’dullah Khan.
Hassan banyak menulis tentang agama yang berupa nasihat, anjuran berbuat baik, dan mencegah kemungkaran. Beliau juga mengetengahkan berbagai-bagai persoalan yang dikembangkannya dalam bentuk syair. Tulisannya banyak mengandungi kritikan masyarakat demi untuk kemajuan Islam. Dan tema tulisan sedemikian itulah yang banyak mewarnai hasil karyanya pada masa-masa berikutnya.
Beliau juga dalam salah satu ucapannya, pernah mengecam kemunduran umat Islam, sehingga beliau akhirnya dilarang untuk berceramah agama kerana dianggap oleh pihak berkuasa bahawa ucapannya mengandungi unsur-unsur politik.
Dalam kerjayanya sebagai pengarang, Hassan juga pernah mencipta cerita humor yang berjudul Tertawa dan diterbitkan dalam empat jilid.
Pada tahun 1921, Hassan berangkat ke Surabaya untuk menguruskan kedai kain milik gurunya yang juga bapa saudaranya, iaitu Haji Abdul Lathif. Ketika Surabaya merupakan daerah yang mempunyai penduduk yang ramai, maju dalam ekonomi dan taraf pemikiran masyarakatnya.
Sebelum ke Surabaya, bapa saudaranya itu telah mengingatkan Hassan agar berhati-hati dalam pergaulan kerana di Surabaya banyak muncul berbagai-bagai aliran kefahaman agama. Pada ketika itu, pergerakan yang menyerukan fahaman kembali kepada al-Quran dan Hadis mempunyai pengikut yang ramai di pelbagai daerah termasuk Surabaya.
Ketika itu juga pertentangan Kaum Muda dan Kaum Tua menjadi topik perbicaraan yang panas. Kalangan Kaum Tua lebih kecenderungan kepada amalan tradisi bangsa Jawa yang diisi dengan bentuk ajaran Islam. Bagaimanapun, bagi kalangan Kaum Muda, mereka lebih cenderung menghapuskan sama sekali kepercayaan yang bercampur aduk itu dan digantikan dengan ajaran Islam yang sebenarnya, kembali kepada al-Quran dan Hadis.
Kalangan Kaum Tua diwakili oleh A. Wahab Hasbullah (pengasas Nahdatul Watan dan kemudiannya Nahdatul Ulama). Manakala Kaum Muda diwakili oleh KH Mas Manshur, Ahmad Surkati, dan Fakih Hasyim.
Di Surabaya inilah Hassan tinggal bersama bapa saudaranya, Abdullah Hakim, seorang ahli perniagaan dan syeikh jemaah haji. Pada mulanya Hassan berniat semata-mata menguruskan perniagaan dan mahu menghindari permasalahan agama kerana merasakan pengetahuannya amat sedikit tentang ilmu agama.
Daripada bapa saudaranya itulah Hassan diperkenalkan kepada A. Wahab Hasbullah dan selanjutnya menjalinkan persahabatan dengan Kaum Tua ini. Daripada pelbagai pertemuan dan dialog bersama Wahab Hasbullah, Hassan banyak menggali berbagai-bagai hal dan merubah jalur pemikirannya. Bagaimanapun, dalam perjalanan berikutnya, Hassan berasa tidak berpuas hati dengan jawapan Kaum Tua mengenai beberapa perkara.
Masa-masa mendatang, Hassan berpeluang bertemu dan berkenalan dengan Fakih Hashim, seorang ahli perniagaan dan tokoh ulama berasal dari Sumatera Barat yang telah banyak mengenal pemikiran pembaharuan dan merupakan tokoh kalangan Kaum Muda.
Bermula dari situlah Hassan berpeluang bermuzakarah mengenai soal-soal agama menurut kefahaman Kaum Muda. Dengan berbagai-bagai pertemuan dan muzakarah yang diikutimya, pendirian awal Hassan untuk bersikap berkecuali dalam kemelut kefahaman agama dan mahu menumpukan pada soal-soal perniagaan semata-mata tidak dapat dipertahankan. Malah ghairah keilmuannya semakin bergelora.
Sementara itu, perusahaan pernigaannya mengalami kemerosotan dan keadaan ini menyebabkan beliau terpaksa menyerahkan semula perniagaannya kepada bapa saudaranya yang telah memberi modal awal kepadanya.
Bagaimanapun, selepas itu dia membuka pula perniagaan berkaitan dengan kenderaan kereta, tetapi usaha itu tidak lama. Ketika sebilangan ahli perniagaan di Surabaya hendak membuka kilang tenunan, Hassan mendapat kepercayaan daripada dua sahabatnya, iaitu Bibi Wante dan Mu’allimin untuk mempelajari cara bertenun di Kediri.
Setelah beberapa bulan di Kediri, Hassan merasakan kebolehan yang dimilikinya masih belum mampu menguruskan sebuah kilang tenunan. Oleh hal yang demikian itu, pada tahun 1924, beliau mendapat kesempatan melanjutkan kursus bertenun di Bandung.
Di Bandung inilah, yang kemudian nama kota ini digandingkan dengan namanya ‘Hassan Bandung’. Beliau tinggal dengan keluarga KH M. Yunus, salah seorang tokoh pemimpin Persatuan Islam (Persis). Jadi, di samping mengikuti kursus menenun, dan apabila tamat nanti Hassan berhasrat kembali semula ke Surabaya. Bagaimanapun, penglibatan Hassan di dalam Persis menyebabkan kawan-kawannya menahannya daripada kembali ke Surabaya.
Mereka melihat kemampuan Hassan begitu mengagumkan dan beliau ‘diangkat’ sebagai guru. Mereka juga mendapat persetujuan daripada kedua-dua sahabat Hassan di Surabaya untuk membuka perusahaan tenunan di Bandung dengan Hassan selaku pengurusnya.
Pada tahun 1926, perusahaan tenunan itu dibuka di Bandung, namun kali ini usaha itu juga kurang berhasil kerana kesulitan mendapatkan kemudahan benang dan pewarna, di samping modal yang terbatas hingga menyebabkan perusahaan itu terpaksa ditutup.
Bagaimanapun, dari segi yang lain, Hassan terus aktif mengikuti pengajian-pengajian Persis hingga menjadi anggota secara rasmi pada tahun 1926.
Dalam perkembangan berikutnya, Hassan menumpukan perhatiannya untuk memajukan Persis di samping aktiviti lain, iaitu menulis buah fikiran menjadi karya yang dapat dinikmati hasilnya oleh generasi berikutnya.
Ketika berada di Singapura dulu, Hassan menghasilkan karya-karya yang sederhana, namun apabila berada di Bandungi, Hassan menghasilkan penulisan buku yang mendapat sambutan baik daripada masyarakat, iaitu Tafsir al-Quran yang dicetaknya sendiri.
Suatu ketika, Hassan berkesempatan bertemu dengan Sukarno (bekas Presiden Indonesia pertama) dan menyelami lebih jauh perdebatan mengenai berbagai-bagai persoalan tentang Islam, meskipun terjadi pertentangan pemikiran antara kedua-duanya.
Di Bandung juga Hassan bertemu dengan negarawan Indonesia, Mohammad Natsir dan menjalin keakraban, baik sebagai sahabat mahupun juga murid yang selalu bersamanya. Bersama Natsir, Hassan menerbitkan majalah Pembela Islam (terbit hingga bilangan ke-72), selanjutnya majalah al-Lisan (terbit hingga bilangan 58)
Menerusi kedua-dua majalah itulah Hassan melontarkan pelbagai idea mengenai pembaharuan Islam. Penulisan-penulisannya itulah yang membuat namanya kian terkenal di Nusantara termasuk Malaysia (ketika itu Tanah Melayu) dan Singapura.
Dalam melaksanakan perjuangannya, Hassan tidak tertumpu kepada penulisan sahaja, tetapi juga melalui pelbagai cara seperti pengajian, perdebatan, tabligh serta dialog. Kepetahannya dalam berdebat begitu terkenal. Ini diakui oleh kawan dan lawannya. Banyak lawan debatnya yang mengaku kalah dan kembali ke jalan yang benar.
Hassan tidak memilih siapa yang menjadi lawan debatnya. Baginya, sesiapa saja, bila-bila saja dan di mana saja dapat dilakukan perdebatan itu, bahkan beliau bersedia membiayai pelaksanaan majlis perdebatan atau muzakarah tersebut.
Setelah hampir 17 tahun Hassan ‘bergelanggang’ di Bandung dan menggerakkan pertubuhan Persis, namanya semakin dikenali ramai. Pada tahun 1941, beliau berhijrah ke Bangil. Di tempat baru itu beliau tetap berjuang demi bangsa dan agama dengan menubuhkan Persatuan-Persatuan Islam Bangil dan terus menggerakkan Persis melalui penulisan, tabligh, pengajian dan dialog serta perdebatan.
Apabila beliau berada di Bangil, namanya yang sebelum ini terkenal dengan panggilan Hassan Bandung, kemudian terkenal pula dengan panggilan Hassan Bangil.
Pada tahun 1956, Hassan menunaikan ibadah haji dan ternyata keadaan fizikalnya tidak terlalu kuat sehinggalah beliau jatuh sakit. Keadaan tersebut terus berlanjutan hingga beliau pulang daripada menunaikan ibadah haji. Belum sembuh penyakit yang dideritainya itu, datang pula dugaan lain – penyakit yang menyebabkan kakinya perlu dipotong.
Saat kritis itu dihadapi oleh Hassan dengan penuh optimis dan tawakal. Doktor menasihatinya supaya perkara itu dibawa berbincang dengan keluarga, namun Hassan menolak anjuran tersebut.
Hassan menyatakan: “Tuan doktor, keluarga saya bukan doktor, jadi mereka bukan ahlinya, dan yang ahlinya ialah tuan doktor, dan bahkan kepada diri saya sendiri, tuan doktor cukup tahu segalanya. Kalau tuan doktor berpendapat harus dipotong… maka potonglah! Sesuatu jangan diserahkan kepada yang bukan ahlinya.”
Akhirnya, pada tarikh 10 November 1958, Hassan Ahmad atau sehingga kini lebih terkenal dengan panggilan Hassan Bandung, kembali ke rahmatullah pada usia 71 tahun.
Hassan telah lama pergi meninggalkan dunia yang fana ini, namun namanya tetap dikenang. Banyak hasil karya peninggalannya yang menjadi amal jariah berterusan kepada tokoh ini.
Antara bidang penulisannya ialah fiqh dan ilmu tafsir. Dan hasil penulisannya yang terkenal termasuklah Soal Jawab, Tafsir al-Furqan, Pengajaran Solat, Al-Fara’id, dan At-Tauhid.
Recent Comments