Kerajaan Islam pertama di Pulau Jawa ialah Kesultanan Demak. Pada awalnya, kesultanan ini berada di bawah pemerintahan Kerajaan Majapahit. Namun setelah Raden Fatah (putera raja terakhir Majapahit) dewasa, baginda memperoleh kekuasaan ke atas daerah Demak. Atas sokongan Raja Jepara, Gresik dan Tuban, Raden Fatah naik takhta dan terlepas daripada kekuasaan Majapahit. Baginda menjadi Raja Demak pertama dan bergelar Senapati Jimbun Ngabdurahman Panembahan Palembang Sayidin Panatagama. Di bawah pimpinannya, Demak menjadi pusat penyebaran Islam di Jawa. Kesultanan ini mencapai kegemilangannya di bawah pemerintahan Sultan Trenggono. Baginda berjaya memperluas wilayah sambil menyebarkan Islam ke seluruh Jawa, Kalimantan dan sumatera Selatan. Namun, Demak mengalami kemunduran semasa pemerintahan Sunan Prawoto. Beberapa daerah taklukan Demak memberontak.
MASJID AGUNG DEMAK
Masjid Besar Demak adalah salah satu masjid tertua di Indonesia yang terletak di perkarangan hadapan Kota Demak. Masjid ini dibangunkan oleh Wali Songo pada tahun 1477 (sumber lain mengatakan tahun 1479). Seni bina masjid ini bercorak Jawa, dengan atap bersusun tig ayang melambangkan iman, Islam dan ihsan. Pintu masjid sebanyak lima buah melambangkan rukun Islam, manakala enam buah tingkapnya melambangkan rukun iman. Di Masjid itu, tradisi keagamaan yang masih dilakukan ialah Grebeng Demak.
SAKA GURU
Atap tengah Masjid Besar Demak disokong oleh empat batang tiang raksasa yang dinamai saka guru. Saka guru dibina oleh empat orang wali di kalangan Wali Songo. Tiang di sebelah tenggara didirikan oleh Sunan Ampel, di sebelah barat daya oleh Sunan Gunung Jati dan di timur laut oleh Sunan Kalijaga. Tiang yang didirikan oleh Sunan Ampel, Sunan Gunung Jati dan Sunan Bonang diperbuat daripada kayu utuh, manakala tiang yang didirikan oleh Sunan Kalijaga diperbuat daripada potongan kayu balak yang diikat menjadi satu yang disebut saka tatal.
RADEN FATAH
Menurut beberapa sumber sejarah, Raden Fatah adalah dari keturunan Raja Majapahit. Ayahandanya ialah Kertabumi Brawijaya, Raja Majapahit terakhir, manakala bondanya seorang muslimah keturunan Champa (negara kuno di Vietnam Tengah). Oleh sebab itulah sesetengah orang mengatakan Demak ialah penerus Kerajaan Majapahit tetapi telah beragama Islam.
SURANATA
Keturunan Raja Demak kemudian dikenal sebagai keluarga Suranata. Mereka ahli perang dan juga alim ulama yang menjadi pegawai istana Pajang dan Mataram. Keluarga besar Suranata sangat dipercayai oleh Raja Mataram sehingga diizinkan memiliki masjid sendiri yang berdekatan dengan istana di Suranata dan Yogyakarta. Itulah sebabnya keluarga Suranata sering disebut sebagai ulama istana.
- Atap utama Masjid Demak bersusun tiga dan disokong empat tiang yang amat besar. Tiang besar ini sering disebut guru.
- Tiang kayu yang utuh di bahagian barat laut dibuat oleh Sunan Bonang.
Catatan Ibnu Abbas
Recent Comments