Ulama yang dikenali sebagai penulis kitab yang cergas ini berasal dari Patani, di selatan Thailand. Jumlah kitab dan risalah tulisannya dikatakan melebihi karya yang dihasilkan oleh mana-mana ulama di rantau dunia Melayu. Tarikh lahirnya yang sebenar tidak dapat dipastikan sama ada pada 1133 H, 1153 H atau 1183 H. Beliau dilahirkan di Kerisik dalam persekitaran kawasan istana Sultan Patani. Rumah keluarga beliau berada dalam kawasan istana kerana keluarganya mempunyai peranan penting dalam urusan agama Islam, termasuk ayah beliau, Syeikh Wan Abdullah bin Syeikh Wan Idris bin Syeikh Wan Senik al-Karisiqi al-Patani.

MENENTANG PENGUASAAN SIAM KE ATAS PATANI

Selepas beberapa tahun menuntut ilmu di Makkah, Syeikh Daud yang dianggap ‘Pengarang Terulung di Asia Tenggara’ pulang ke kampung halamannya. Beliau membina sebuah rumah wakaf yang dijadikan tempat pengumpulan pelajar. Beliau juga aktif melibatkan diri dalam perang jihad, menentang kekejaman tentera Siam. Syeikh Daud kemudian berhijrah ke Terengganu dan selepas itu menetap di Makkah sehinggalah beliau meninggal dunia. Seluruh Patani dikatakan mendirikan solat ghaib untuk beliau. Diriwayatkan juga bahawa mayat beliau didapati tidak hancur, setelah dipindahkan dua kali untuk disemadikan berhampiran dengan kubur para sahabat Nabi s.a.w. atas perintah Raja Makkah ketika itu. Sekarang ini, jenazah beliau bersemadi di dalam Masjid Ibnu Abbas.

KELUARGA AL-FATANI

Syeikh Daud al-Patani mempunyai lima adik-beradik. Syeikh Muhammad bin Ismail al-Patani, pengarang kitab fikah Mathla’ul al-Badrain yang amat terkenal di Nusantara, adalah cucu saudara kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Patani. Bahkan menurut riwayat yang boleh dipercayai, Syeikh Daud sendiri yang menyambut kelahiran cucu saudara beliau ini ketika beliau berada di Pulau Duyung Kecil, Terengganu. Syeikh Daud juga turut bertanggungjawab membawa Syeikh Muhammad ke Makkah. Selain Syeikh Muhammad, Syeikh Daud juga mempunyai seorang lagi cucu saudara yang turut menjadi ulama besar. Tokoh yang dimaksudkan ialah Syeikh Wan Abdul Kadir bin Abdul Rahman al-Patani.

PENGARANG TERULUNG DAN ULAMA BESAR

Syeikh Daud al-Patani mempunyai banyak gelaran. Antara yang diketahui ialah Syeikh Daud Waliullah dan Syeikh Daud Pengarang Kitab. Hasil karya beliau yang sebenarnya tidak diketahui, tetapi melebihi 60 kitab yang antaranya dicetak di Makkah, Mesir, Turki, Patani, Singapura, Kelantan dan Bombay. Terdapat juga manuskrip karya yang belum dicetak. Antara karya  beliau ialah Bughyatut Thullab li Muridi Ma’rifati Ahkami bis Shawab yang dicetak tiga kali di Makkah, iaitu pada 1310 H/1892 M, 1321 H/1903 M dan 1328 H/1910 M; Al-Shaidu was Zabaih dicetak di Makkah, iaitu pada 1310 H/1892 M;Al-Bahjatus Saniyah fil Aqaidis Saniyah/Tah-shilu Nailil Maram Syarh ‘Aqidatil ‘Awam, cetakan keduanya pada 1306 H/1888 M. Kisah Nabi Yusuf ‘Alaihis Salam pada 1329 H/1911 M di Makkah, Kasyfu I Ghummah pada 1303 H/1885 M di Makkah, Jam’ul Fawaid al Jawahirul Qalad, cetakan pertama di Makkah pada 1303 H/1885 dan seterusnya di Kaherah pada 1311 H/1893 M.

SYEIKH AHMAD AL-PATANI

Selain Syeikh Abdul Kadir al-Patani dan Syeikh Muhammad al-Patani, seorang lagi daripada keluarga al-Patani yang terkenal dan dianggap menyamai ketokohan Syeikh Daud al-Patani ialah Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Patani. Beliau dilahirkan pada tahun 1272 H, di Kampung Jambu di negeri Jerim, Patani. Beliau dianggap ulama bertaraf antarabangsa dan merupakan guru kepada Tok Kenali. Di Makkah, beliau belajar menghafal al-Quran dan pelbagai jenis ilmu. Salah seorang daripada guru beliau ialah Allamah Saiyid Umar al-Syami al-Baqa’i. Diceritakan bahawa Syeikh Ahmad adalah pakar dalam 47 bidang ilmu. Ketokohan beliau membolehkan beliau dibenarkan mengajar di Masjidilharam.

  • Kitab yang mengisahkan sejarah Patani.
  • Masjid di selatan Thailand yang menggambarkan perkembangan Islam di sana.

Catatan Ibnu Majid

Translate »