Himpunan wahyu Allah s.w.t kepada Nabi Isa a.s disebut Injil. Pandangan Islam tentang Injil berdasar pada ayat al- Quran bahawa Injil seperti dengan kitab Turat dan al- Quran ialah wahyu Tuhan yang kemudian disampaikan kepada umat-Nya. 

FirmanAllah yang bermaksud: Dia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan Dia juga menurunkan Kitab-kitab Taurat dan Injil. (Q. 3:3).

Ada juga firman lain yang bermaksud: Dan Kami utuskan Nabi Isa ibni Maryam mengikuti jejak langkah mereka (Nabi-nabi Bani Israel), untuk membenarkan Kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya; dan Kami telah berikan kepadanya Kitab Injil, yang mengandungi petunjuk hidayah dan cahaya yang menerangi, sambil mengesahkan benarnya apa yang telah ada di hadapannya daripada Kitab Taurat. (Q.5: 46).

Oleh sebab itu, Islam berpendapat bahawa Injil mesti mempunyai satu versi sahaja (seperti al-Quran), dan juga satu bahasa, iaitu Arameah kerana Nabi Isa dan kaumnya berbahasa Arameah. Al-Quran membenarkan Injil dalam pengertian bahawa Allah s.w.t menurunkan Injil kepada Nabi Isa a.s sebagaimana Allah s.w.t menurunkan Taurat kepada Nabi Musa a.s.

EMPAT VERSI INJIL

Pada abad ke-4, gereja menetapkan hanya empat versi Injil yang sah dan menamainya sesuai dengan nama penulisnya; Injil Matthew, Injil Mark, Injil Luke dan Injil John. Keempat-empat kitab orang itu atas bimbingan Roh Kudus sehingga dianggap sebagai hasil karangan manusia sekali gus karangan Tuhan atau firman Tuhan yang tertulis. Dengan adanya ketetapan itu, versi lain dianggap batal, misalnya Injil Thomas dan Injil Barnabas. Injil Barnabas dipercayai ditulis oleh orang Islam kerana isinya lebih sesuai dengan al- Quran.

Luke ialah seorang pengikut Nabi Isa yang merakamkan kisah kehidupan, kata-kata yang diucapkan dan perbuatan Nabi Isa dalam bukunya:Injil Luke. Mark ialah salah seorang penulis Injil. Kitabnya disebut Injil Mark. Lukisan Mark terdapat dalam sebuah manuskrip Injil dari abad ke-9 di Jerman.

KHABAR GEMBIRA

Walaupun berbeza daripada al-Quran, Injil tetap menjadi kitab suci Kristian. Di dalam Injil terkandung ajaran tentang kebenaran dan kisah tentang hal ghaib, iaitu mukjizat Nabi Isa a.s. Injil sendiri berasal daripada kata Yunani euangelion yang bererti khabar gembira. Kemudian kata tersebut melalui bahasa Ethiopia (wangel), terserap masuk ke dalam bahasa Arab: injil. Di dalam al-Quran, kata injil disebut sebanyak 12 kali.

AHLI KITAB

Al-Quran menyebut penganut Kristian sebagai ahli kitab kerana Tuhan memberi mereka kitab (Injil) melalui Nabi a.s. Sebutan itu merupakan suatu penghormatan yang menidakkan  kenyataan bahawa orang Kristian tidak berpegang pada Injil yang dimaksudkan dalam al- Quran tetapi pada empat versi Injil yang ditetapkan oleh gereja. Menurut pandangan Islam, kewujudan Injil seperti yang dimaksudkan al-Quran belum dapat dibuktikan, mungkin kerana hilang atau tidak terpelihara dengan baik. Bagaimanapun, Ibnu Taimiyah (611 H/1263 M 728 H/ 1328 M), pemikir Islam klasik, mengatakan bahawa sebahagian besar isi Injil itu adalah asli.

ANALOGI HADIS

Menurut ahli perbandingan agama, kedudukan Injil pada orang Kristian dapat dianologikan dengan kedudukan hadis pada orang Islam. Kedua-duanya merupakan catatan kisah kehidupan, kata-kata, perbuatan dan tradisi di sekitar kehidupan nabi. Injil memiliki banyak versi, begitu juga hadis. Menurut ketetapan gereja, ada empat versi Injil yang dianggap sah. Hadis pun memiliki versi sahih yang memiliki riwayat autentik yang dapat dipertanggungjawabkan.

Susunan Noriah Salleh

Translate »