Muta’khir ini kita selalu mendengar isu khilaf yang berlaku samada di kalangan pemimpin , ahli politik, cendikiawan, ulama’, pakar perundangan, pakar ekonomi dan juga orang awam, justeru artikel pada kali ini menumpukan isu khilaf bagaimana penyelesaian dan sikap yang sepatutnya diambil oleh seseorang Islam?

Ulama telah membincangkan berkenaan dengan pengertian khilaf dan ikhtilaf. Seperti yang dimaklumi bahawa ia daripada bahasa arab. Secara ilmiahnya seperti berikut :

“Ikhtilaf” pada bahasa ialah tiada ittifaq (sepakat) pada sesuatu.

Berkata Fairuz al-Abadi: Ikhtilaf dan mukhalafah ialah mengambil setiap orang jalan atau cara lain daripada jalan atau cara orang lain, samada pada keadaan atau perbuatannya. Dan khilaf lebih umum daripada lawannya kerana setiap yang berlawanan adalah berkhilaf sebaliknya bukan setiap yang berkhilaf berlawanan. (Basair Zawi al-Tamyiz, 2/562)

Khilaf pada istilah fuqaha ialah setiap orang alim berpendapat kepada berlawanan dengan apa yang dikatakan yang lain iaitu lawan kepada ittifaq (sepakat). (al-MIsbah al-Munir, alFayyumi, 179)

Ikhtilaf menurut istilah fuqaha bererti berbeza tentang pendapat, agama, jalan-jalan, dalam agama dan kepercayaan terhdap sesuatu yang boleh membawa kebahagiaan atau kecelekaan kepada manusia di dunia dan akhirat.

Al-Imam al-Syatibi berpendapat khilaf ialah sesuatu yang lahir dari hawa nafsu yang menyesatkan, bukan hasil daripada mencari objektif syara’ dengan mengikut dalil-dalilnya. Oleh itu ia tidak diambil kira mana-mana pendapat yang menyalahi hukum syara’ yang thabit secara qat’ie(putus).

Manakala (Ikhtilaf) menurut Syatibi ialah :

Pendapat-pendapat yang lahir daripada ulama mujtahidin dalam masalah-masalah ijtihadiyah yang tiada nas qat’ie padanya, atau
Pendapat-pendapat terhadap masalah-masalah yang berlaku di antara dua pihak yang jelas bertentangan menurut pandangan mujtahidin disebabkan bersembunyi sebahagian dalil-dalil dan tidak ditemuinya.

(Al-Syatibi, Abu Ishaq Ibrahim bin Musa al-Lakhmi, al-Muwafaqat, 4/10)

Syeikh Atiyyah Salim dalam kitabnya “Mauqif al-Ummah” menyebut perbezaan perkataan ikhtilaf dan mukhalafah katanya: “Sesungguhnya asal perkataan satu iaitu khilaf dan dipecah daripadanya kepada beberapa penggunaan sebagaimana yang disebut di dalam Lisan al-Arab :

Al-Khilaf ialah bertentangan.
Al-Takhaluf ialah warna-warna perbezaan.

Kita dapati bahawa disana adanya pertentangan dan jenis-jenis. Dua kalimah khilaf dan ikhtilaf kadang-kadang digunakan silih berganti tempat antara satu sama lain. Namun jika kita amati dengan mendalam kita akan dapati bahawa penggunaan khilaf biasanya pada keadaan maksiat yang berlaku dengan sengaja. Ia seperti Firman Allah dalam Surah al-Nur ayat 63.

Maksudnya: Janganlah kamu jadikan panggilan Rasul diantara kamu seperti panggilan sebahagian kamu kepada sebahagian (yang lain). Sesungguhnya Allah telah mengetahui orang-orang yang berunsur-unsur pergi (mencelah-celah) di antara kamu dengan berlindung (kepada kawannya), maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah Rasul takut akan ditimpa cubaan atau ditimpa azab yang pedih.

Ibn Abbas berkata: “Awasilah kamu daripada Rasul mendoakan kecelakaan ke atasmu apabila kamu melakukan perbuatan yang menyebabkan Baginda murka kerana doa Rasul wajib diterima dan sudah pasti bala’ akan datang. Tidak sebagaimana doa orang lain.

Mujahid dan Qatadah berkata: “Jangan kamu serunya sebagaimana kamu menyeru rakan-rakan kamu dengan panggilan nama sahaja”.

Inilah yang dinyatakan oleh al-Imam al-Baghawi dalam tafsirnya. Dan maksud terkena fitnah ialah bala’ di dunia sebagaimana tafsiran Mujahid sedangkan azab yang pedih bermaksud hukuman dan balasan Tuhan di hari akhirat.

Dan penggunaan Ikhtilaf pada keadaan berubah fahaman yang berlaku daripada berbezanya kemapuan pengamatan seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Nahl, ayat 64.

Maksudnya: “Dan kami tidak menurunkan kepadamu al-Kitab (al-Quran) ini melainkan agar kamu dapat menjelaskan kepada mereka paa yang mereka perselisihkan itu dan menjadi petunjuk dan rahmat nagi kaum yang beriman”.

Al-Sobuni berkata: “Dan kami turunkan atas kamu al-Quran sebagai hidayah untuk hati-hati di samping memberi rahmat dan penawar kepada orang yang beriman dengannya”.

Al-Alusi dalam tafsirnya Ruh al-Ma’ani menerangkan bahawa siapa yang nyata baginya petunjuk dengan al-Quran, sudah tentu merasa cukup dapat memberi manfaat kepadanya kecuali ilmu yang dusta. Dan dimaksudkan dengan kitab pada ayat ini ialah al-Quran.

Atas dasar ini kita menyatakan para ulama di zaman dahulu tidak berikhtilaf untuk khilaf sebahagian di kalangan mereka tetapi mereka berikhtilaf pada mencari dan mencapai kebenaran di samping mentahqiqkan segala maksud syara’ dalam memahami Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah SAW.

Sebab terjadinya khilaf

Banyak faktor dan sebab secara ringkasnya kerana:

Kejahilan
Kezaliman dan melampaui batas
Mengikut hawa nafsu dan husnu zon
Rasa kagum dengan pendapat sendiri
Taksub kepada satu-satu pendapat atau mazhab
Taklid atau pak turut

Ini sebahagian daripada faktor yang menyumbang berlakunya khilaf antara sesama pemimpin, tokoh, ulama atau orang perseorangan.

Menguruskan khilaf

Walaupun seperti yang dinyatakan Allah yang manusia tidak akan bersamaan pemikiran dan kemampuan untuk bersatu keseluruhannya tetapi sewajarnya seseorang mampu menguruskan khilaf dengan baik, antaranya:

Sifat berlapang dada dan boleh menerima khilaf khususnya dalam perkara cabang
Sifat mengasihi dan menghormati sedara seislam mengatasi segala-galanya
Mengelakkan prasangka serta hasad denki dan dendam kesumat
Melihat sejarah genarasi sahabat sebagaimana khilaf dikalangan mereka tidak membawa perpecahan tetapi menambahkan lagi ikatan ukhuwah
Melihat kepada maslahat yang lebih besar dan dikesampingkan hal yang remeh- temeh

Sebagai penutup marilah sama-sama kita merenung pendapat Al-Syahid Imam Hasan al-Banna dengan tegasnya berkata: “Dakwah ini akan sentiasa bersama kebenaran walau di mana sahaja dan akan sentiasa inginkan perpaduan dan tidak mahukan perpecahan”.

Malapetaka paling besar bagi umat Islam ialah perpecahan dan perselisihan. Faktor yang membantu kemenangan umat Islam pula ialah kasih sayang dan perpaduan. Generasi akhir ini hanya mampu dibaiki dengan menggunakan apa yang digunakan untuk memperbaiki generasi pertama. Ini adalah kaedah asas dan juga matlamat yang diketahui oleh setiap saudara seislam. Ia sesuatu yang kita yakini, kita perjuangkan dan kita seru.

Oleh Dr.Zulkifli Al-Bakri

Translate »