Berdasarkan salsilah keturunan, Kiai Haji (KH) Hasyim Asy’arie atau nama lengkapnya Muhammad Hasyim Asy’arie ibn ‘Abd Al-Wahid mempunyai kaitan dengan kerajaan Majapahit dan kerajaan Islam Demak. Menurut catatan, nenek KH Hasyim Asy’arie di sebelah ibunya mempunyai pertalian darah dengan Brawijaya VI (Lembu Peteng).
Brawijaya VI juga dikenali sebagai Kartawijaya atau Damarwulan dan telah berkahwin dengan Puteri Champa. Hasil perkahwinan tersebut telah lahir sorang anak lelaki bernama Jaka Tengkir atau Krebet, yang kemudiannya merupakan seorang raja yang memerintah Pajang dengan gelaran Pangeran Adiwijaya.
Bapanya, Kiai Asy’arie merupakan seorang pengasas pengajian pondok di Kampong Keras, Jombang yang dikenali sebagai Pesantren Keras. Ianya ditubuhkan pada tahun 1876, ketika KH Hashim berumur 6 tahun. Sebelumnya, KH Asy’arie belajar agama daripada KH Usman dan atas kepercayaan KH Usman, KH Asy’arie dijdohkan dengan anak perempuannya, Nyai Halimah.
KH Hasyim Asy’arie lahir pada 14 Februari 1871 (bersamaan 24 Zulkaedah 1287 H) di Gedang, sebuah kampung yang terletak di daerah Jombang, Jawa Timur dalam keluarga ulamak karismatik. Ayahnya, Kiyai Asy’arie merupakan seorang ulamak yang berasal dari kerajaan Islam Demak dan datuknya, KH Usman merupakan pengasas Pondok Gedang, Jombang.
Ketika masih dalam kandungan ibunya, Nyai Halimah sudah mendapat beberapa tanda yang luar biasa; bermimpi bulan jatuh dari langit dan berada di kandungannya; dan,berada dalam kandungan selama 14 bulan. Berdasarkan tanda-tanda tersebut, ramai yang menjangkakan bahawa seorang anak yang mempunyai sahsiah mulia, berbakat, cerdas dan bakal menjadi tokoh terkemuka akan lahir dari seorang wanita yang sangat taat beribadat.
Nyai Halimah pernah berpuasa selama tiga tahun berturut-turut dengan mempunyai nilai kebajikan, iaitu puasa pada tahun pertama diniatkan untuk diri sendiri, tahun kedua untuk kebaikan anak-anak dan keturunannya, manakala puasa di tahun ketiga ialah agar dilimpahkan kebaikan kepada semua pelajar-pelajar pondok.
KH Hashim merupakan anak lelaki ketiga dari 11 adik beradik dan ketika berusia 13 tahun sudah diberikan tanggungjawab mengajar para pelajar di Pondok Keras, yang pada mulanya sebagai guru pengganti dan kemudiannya dilantik sebagai guru sepenuhnya disebabkan sudah mempunyai ilmu untuk mengajar. Dan, sejak kecil KH Hasyim sentiasa dilatih supaya hidup berdikari dan menjalani hidup sebagai petani atau peniaga.
Dalam usia 15 tahun, KH Hashim mula mengambil inisiatif untuk meneruskan pendidikan agama di lain-lain di antaranya Pesantren Wonorejo (Jombang), Wonokoyo (Probolingo), Langitan (Tuban), dan Kademangan (Madura). Semasa di Pasentren Kademangan, beliau berguru dengan seorang ulamak tradisional bernamaKH Cholil bin Abdul Latif selama 3 tahun.
Pada tahun 1891, KH Hashim belajar di Pesantren Siwalan, (Sodiarjo, Jawa Timur) dibawah asuhan KH Ya’qub selama 5 tahun. Semasa belajar di sinilah, KH Ya’qub amat tertarik dengan peribadi KH Hashim dan mencadangkan agar berkahwin dengan puterinya, Khadijah. Cadangan tersebut pada mulanya tidak dipersetujui oleh KH Hasyim atas alasan akan menganggu proses pencarian ilmu. Apabila diberikan nasihat akhirnya pada tahun 1892, mereka bersetuju untuk berkahwin. Mereka kemudianya berangkat ke Mekah untuk menunaikan haji dan meneruskan pendidikan agama.
Setelah berada di Mekah selama 7 bulan, KH Hasyim dikurniakan seorang anak lelaki dan dinamakan Abdullah. Kehadiran Abdullah bukan sahaja menggembirakan dirinya, malah kedua mertuanya yang sama-sama belajar dan menuntut ilmu di Mekah. Kegembiran itu tidak lama kerana Khadijah kemudianya meninggal dunia dan selang 40 hari kemudian, putera kesayangannya, Abdullah menyusul. Akibat kesedihan tersebut, KH Hasyim kembali ke Indonesia bersama-sama mertuanya.
Pada tahun 1893, KH Hashim kembali semula ke Mekah bersama saudara kandungnya bernama Anis. Anis kemudiannya meninggal dunia di Mekah, tetapi KH Hashim tidak berputus asa dan sentiasa meningkatkan keazaman untuk beribadat. Setiap pagi hari Sabtu, KH Hasyim akan menziarahi Gua Hira’yang terletak lebih kurang 10 kilometer dari tempat tinggalnya.
Setiap kali menziarahi Gua Hira, ia mengambil masa selam enam hari dan turun ke Jabal Nur pada hari Jumaat bagi menunaikan solat Jumaat di Masjidil Haram. KH Hashim yang sangat meminati bidang Hadis berguru dengan ramai ulamak Hadis antaranya Syeikh Shuaib bin Abdurrahman, Syeikh Mahfudz al-Tumuzi, Syeikh Khatib al-Minangkabawi, Syeikh Amin al-Aththar, Syeikh Ibrahim Arab, Syeikh Said al-Yamani, Syeikh Rahmatullah dan Syeikh Bafadhal. Belajar fiqh mazhab Syafii dengan Syeikh Ahmad Khatib, yang juga merupakan guru kepada KH Ahmad Dahlan, pengasas Muhammadiyah.
KH Hasyim turut mengajar di Masjidil Haram dan antara muridnya yang terkenal ialah Syeikh Sa’dullah (mufti India), Syeikh Umar Hamdan (ahli Hadis di Mekah), al-Syahib Ahmad bin Abdullah (ulama dari Syria), KH Wahab Hasbullah (Jombang, Indonesia), KH R Asnawi (Kudus, Indonesia), KH Bisri (Jombang, Indonesia) dan KH Saleh (Tayu, Indonesia).
Pada tahun 1899, KH Hasyim kembali ke Indonesia dan berkahwin dengan Nyai Nafisah, anak perempuan KH Romli dari desa Karangkates, Kediri. Mereka bertemu ketika KH Romli sekeluarga mengerjakan haji ke Mekah. Sekembalinya ke Indonesia, KH Hasyim menetap di rumah mertuanya dan membantu datuknya, KH Usman mengajar di Pondok Gedang. KH Hasyim turut membantu ayahnya mengajar di Pondok Keras.
Beberapa bulan kemudian, KH Hasyim mendirikan Pesantren Tebuireng, Jombang. Ketika mengajar di Tebuiring, beliau turut didatangi oleh KH Cholil yang pernah menjadi gurunya semasa di Pondok Kedemangan, datang untuk mempelajari Hadis dari KH Hasyim. Pada tarikh 25 Julai 1947, KH Hasyim yang diberikan gelaran Hadrat Asy-Syaikh meninggal dunia dan dikebumikan di Pesantren Tebuireng.
Semasa memulakan Pesantren Tebuireng (1899), hanya mempunyai murid seramai 8 orang dan tiga bulan kemudian meningkat kepada 28 orang. Pada tahun kedua penubuhan Pesantren, isterinya Nyai Nafisah telah meninggal dunia. Setelah kematian Nyai Nafisah, beberapa bulan kemudian, KH Hasyim berkahwin dengan Nyai Nafiqah, putri kepada KH Ilyas, pengajar di Pesantren Sewulan, Madiun. Perkahwinan ketiga itu dianugerahkan 10 orang cahayamata, termasuk bernama Abdul Wahib, iaitu bapa kepada Abdul Rahman Wahib (Gus Dus), bekas Presiden Indonesia yang ke-5, selepas Megawati Sukarnoputri.
Pada tahun 1920, Nyai Nafuqah meninggal dunia dan kemudianya KH Hasyim berkahwin dengan Nyai Masrurah, putrid KH Hasan, guru di Pesantren Kapurejo, Kediri. Perkahwinan keempat dianugerahkan 4 orang cahayamata, iaitu Abdul Qadir, Fatimah, Khadijah dan Muhammad Ya’qub.
Pada tahun 1919, sistem pendidikan di Pasantren Tebuireng ditukar nama Madrasah Salafiyah Syafi’iyah dan mula memasukan mata pelajaran Bahasa Indonesia, Matematik dan Geografi. Beberapa tahun kemudian, dikembangkan dua lagi mata pelajaran, iaitu Bahasa Belanda dan Sejarah. Anaknya, Abdul Wahid (bapa Gus Dur) ditugaskan untuk mengajar bahasa asing, iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Belanda.
Hasil karya KH Hasyim lebih tertumpu kepada menjawab masalah masyarakat terutamanya mengenai tauhid dan akidah. Antara kitab aqidah yang disusunnya ialah:
Al-Qalaid fi Bayani ma Yajib min al-Aqaid,
Ar-Risalah al-Tauhidiyah,
Risalah Ahli Sunnah Wa al-Jama’ah,
Al-Risalah fi al-Tasawwuf.
Kiai Hasyim juga merupakan penulis kolum untuk majalah Nahdatul Ulama, Panji Masyarakat, dan Swara Nahdhotoel Oelama’. Biasanya tulisan Kiai Hasyim merupakan jawapan kepada masalah fiqh yang ditanya oleh orang ramai. Selain membahasakan masalah fiqhiyah, KH Hasyim turut mengeluarkan pendapat dan nasihat mengenai urusan seharian manusia termasuk menegakkan keadilan, bekerja dan sebagainya.
Sebagai seorang tokoh ulamak dan pemikir yang tersohor, KH Hasyim turut menulis beberapa buah buku, antaranya:
Adab Al-‘Alim wa Al-Muta’allimin,
Ziyadat Ta’liqat,
Al-Tanbihat Al-Wajibat Liman,
Al-Risalat Al-Jami’at,
An-Nur Al-Mubin fi Mahabbah Sayyid Al-Mursalin,
Hasyiyah ‘Ala Fath Al-Rahman bi Syarh Risalat Al-Wali Ruslan li Syekh Al-Isam Zakariya Al-Anshari,
Al-Durr Al-Muntatsirah fi Al-Masail Al-Tis’i Asyrat,
Al-Tibyan Al-Nahy’an Muqathi’ah Al-Ikhwan,
Al-Risalat Al-Tauhidiyah,
Al-Qalaid fi Bayan ma Yajib min Al-‘Aqaid.
Kitab Adab Al-‘Alim wa Al-Muta’allimin merupakan kitab membahaskan mengenai pendidikan. Kitab ini selesai ditulis pada tahun 1343H. Ia ditulis berdasarkan kesedaran kurangnya kitab yang membahaskan mengenai etika mencari ilmu pengatahuan sedangkan menuntut ilmu adalah kewajiban ke atas setiap orang Islam bagi mengeluarkan diri dari kejahilan.
KH Hasyim Asy’arie sentiasa menganjurkan para guru agama agar memberikan perhatian serius kepada usaha meningkatkan pencapaian ekonomi. Semasa merasmikan penubuhan Nahdlah at-Tujjar, KH Hasyim berkata: “kenapa tidak kalian dirikan saja satu badan usaha, yang setiap wilayah ada satu badan usaha yang mandiri.”
Dan, bermula dari kesedaran itulah maka diwujudkan sebuah lembaga yang dinamakan sebagai Syirkan al-Inan dan kemudianya berkembang luas sehinggalah ditubuhkan Nahdatul Ulamk pada pada 31 Janauri 1929. Sebagai pengasasnya, KH Hasyim meletakkan asas yang kukuh kepada orientasi kepimpinan Nahdatul Ulama sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menolak sebarang bentuk mazhab daripada berkembang dalam kalanga pengikut-pengikutnya.
Pada tahun 1930, dalam muktamar Nahdatul Ulamak ke-3, KH Hasyim melengkap dan memperkemaskan organasi itu sehingga menjadi Qanun Asasi Jamiah NU (Undang-Undang Tubuh NU). Ketia gerakan sosial keagamaan menubuhkan sebuah parti politik, iaitu Masyumi pada tahun 1945, KH Hasyim menjadi Ketua Umum yang pertama.
Pada tahun 1942, pernah dipenjarakan oleh Jepun selama 6 bulan dan kemudiannya dibebaskan pada 18 Ogos, 1942. Pada tahun 1943, dilantik sebagai Ketua Agama Pusat (Shumobutyo) oleh Jepun. Pada tahun 1945, iaitu pada tarikh 17 Ogos terlibat sama dalam mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia bersama Soekarno-Hatta.
Atas kegigihannya menentang penjajahan, KH Hasyim yang berjuang melalui Nahdatul Ulama telah dikalungkan sebagai pahlawan kemerdekaan Indonesia (menentang Belanda dan Jepun) oleh Presiden Republik Indonesia (1964), walaupun pada asasnya beliau adalah lebih bersifat ulama tradisional. Buah fikiran tetap dilihat moderat dan ini dapat dibuktikan apabila turut memperkenalkan mata pelajaran bukan agama (Matematik, Sejarah, Bahasa Inggeris, Bahasa Belanda dan sebagainya dalam sistem pendidikan pondok di Tebuireng).
Susunan Ibnu Hisyam
Recent Comments